KELAPA MAWAR

Monday, July 2, 2018

TUN M LANTIK 3 MENTERI PENUH DAN 2 TIMBALAN MENTERI DARI SABAH



Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi kepercayaan kepada tiga pemimpin dari Sabah untuk menjawat jawatan sebagai menteri penuh di peringkat kerajaan persekutuan.

Mohd Shafie berkata, tiga menteri penuh dan dua timbalan menteri yang dilantik Dr Mahathir berkenaan merupakan pemimpin kanan parti Warisan yang mengetuai kerajaan baharu di Sabah.

“Kami diwakili pemimpin parti yang senior. Satu timbalan presiden parti (Warisan) dan dua lagi ahli majlis tertinggi Warisan. Ketua Wira dan Ketua Wirawati (Warisan) dilantik timbalan menteri,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan Dun Sabah Ke-15 di sini.

Beliau mengulas pelantikan Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong (VK Liew) dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri) (Undang-Undang), Ahli Parlimen Penampang Ignatius Darell Leiking (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Ahli Parlimen Silam Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Mohd Shafie berkata, pelantikan berkenaan merupakan satu penghargaan kepada parti Warisan memandangkan banyak lagi parti lain di Semenanjung turut ingin dilantik ke jawatan Kabinet persekutuan namun ruang itu diberikan kepada pemimpin dari Sabah.

“Saya nasihatkan rakan-rakan saya supaya laksanakan tugas sebaik-baiknya untuk negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Christina Liew percaya ahli Parlimen dari Sabah yang dilantik itu akan menggunakan kedudukan mereka dalam Kabinet persekutuan sebaiknya dalam menyumbang kepada kemajuan Sabah.

“Mereka semua adalah ahli Parlimen berkebolehan dan Tun Dr Mahathir sudah tentu telah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap portfolio yang diberikan. Saya percaya, mereka akan membawa pembangunan lebih pantas kepada Sabah,” katanya.

Liew turut berterima kasih kepada Dr Mahathir atas kepercayaan Perdana Menteri melantik ahli Parlimen dari Sabah itu dan juga kepada Mohd Shafie atas cadangan nama ahli Parlimen berkenaan untuk menjadi anggota jemaah menteri persekutuan.

No comments:

Post a Comment