Seperti yang dilaporkan oleh Utusan, keadaan Sungai Tempasuk yang melimpahi tebing setiap kali banjir berlaku mengancam keselamatan Rakyat Kota Belud yang tinggal berdekatan dengan sungai teranjang di Kota belud itu. Malapetaka ini dikaitkan dengan beberapa isu seperti penutupan sungai berkenaan oleh pihak tertentu.
KOTA BELUD 23 Jan. - Hujan berterusan sepanjang minggu ini menyebabkan arus Sungai Tempasuk berbahaya kepada para penduduk yang mendiami sepanjang tebing sungai berkenaan.
Penduduk, Siti Salehah Majin, 34, berkata, dia berasa bimbang kerana sungai itu kini kian menghampiri rumah keluarganya di Kampung Kota Belud setiap kali banjir melanda.
Katanya, sebelum ini arus deras memusnahkan tanaman keluarganya dan bangunan stor belakang rumahnya kini seperti berada di hujung tanduk.
"Kami telah membuat permohonan kepada pihak-pihak berwajib supaya memasang batu sangkar bagi mengatasi masalah ini sejak beberapa tahun yang lalu, namun masih belum ada sebarang tindakan susulan dibuat," katanya di sini semalam.
Jelas Siti Salehah, perkara itu kini menjadi keperluan mendesak demi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
"Limpahan air ke kawasan ini setiap kali hujan berterusan sebenarnya menjadi lumrah bagi kami, namun kali ini amat membimbangkan kerana pelbagai kemungkinan yang buruk pasti boleh terjadi pada bila-bila masa," katanya.
Bagi Sentosa Andah, 55, langkah mengatasi hakisan tebing patut segera diambil bukan hanya untuk keselamatan satu pihak tetapi bagi keselamatan seluruh penduduk.
"Jalan raya yang menghubungkan Daerah Kota Belud dengan kampung sekitarnya juga terancam kerana laluan berkenaan kini hanya berjarak kurang 100 meter dengan tebing sungai ini," katanya.
No comments:
Post a Comment