Monday, August 8, 2016








Parti baharu naungan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan diberi nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia, menurut sumber yang terlibat dalam penubuhannya kepada FMT.

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pimpinan jawatankuasa penaja parti itu akan menyerahkan borang permohonan pendaftaran parti baharu itu di Jabatan Pendafataran Pertubuhan di Putrajaya, petang ini.

Mengesahkan perkara itu, aktivis pelajar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut menganggotai jawatankuasa itu berkata beliau akan menemani Muhyiddin.

Saddiq turut membalas kritikan sesetengah pihak mengenai keputusan menjadikan keahlian parti itu kepada Melayu dan Bumiputera sahaja.

“Walaupun untuk Bumiputera sahaja, ia akan memperjuangkan nasib semua rakyat Malaysia demi perubahan.

“Parti ini sebuah parti Bumiputera yang berpaksikan perubahan,” katanya, sambil menambah ia bukan sepenuhnya berlandaskan satu kaum.

Saddiq bagaimanapun enggan mendedahkan butir lanjut, sekadar berkata akan ada beberapa kejutan.

Penubuhan parti baharu itu diumumkan Dr Mahathir bulan lalu, selepas mendapat persetujuan Pakatan Harapan.

Parti itu dijangka mengadakan kerjasama dengan pembangkang pada pilihan raya akan datang.

0 ulasan :