Saturday, November 21, 2009

KONSPIRASI POLITIK KOTA BELUD


Dunia ibarat sepi tanpa perkataan “konspirasi”..dalam Politik, ekonomi,social, kemasyarakatan hingga kepada perundangan..semuanya berkumandang dengan slogan konspirasi ini. Pembunuhan Johan F. Kennedy dikatakan satu konspirasi terancang untuk menjaga kepentingan AS. Kematian Yasser Arafat, pemimpin agung Palestin juga diwar-warkan sebagai konspirasi menggagalkan rundingan antara Palestin dengan Yahudi di tebing Barat. Tragedi 11 Sept, juga dikaitkan dengan “konspirasi” tertinggi AS untuk ‘menghalalkan’ serangan ke atas Iraq dan umat Islam. Kemelesetan Ekonomi Dunia setiap 10 tahun berulang juga menggambarkan betapa “konspirasi” dipergunakan untuk menjahanamkan ekonomi Negara-negara lain. Bah kan segala yang berlaku merata tempat dan pelusuk dunia, semuanya dikatakan berunsur “konspirasi”.

Di Negara kita, perkataan Konspirasi muncul sejurus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan Umno. Tuduhan rasuah dan salah laku seks yang dihadapi oleh beliau, bagi penyokongnya adalah satu konspirasi politik yang kejam untuk memalukan ahli politik ini serta keluarganya. Pembunuhan ratu dan Model Monggolia, AlTantuya juga dicanangkan sebagai satu Konspirasi untuk menjaga nama baik orang tertentu. “Rampasan” kuasa yang berlaku di Perak, sehingga Pakatan Rakyat Tumbang dan rebah juga dipekikkan sebagai konspirasi pihak lawan untuk menjatuhkan kerajaan pilihan Rakyat. Isu Babi di Kedah, isu kampung Pala di Pulau Pinang dan kini, beberapa isu di Selangor..difikirkan oleh penyokong Pakatan Sebagai satu lagi konspirasi berterusan untuk mengagalkan kerajaan sedia ada.

Di sabah, Keputusan SAPP keluar dari BN, juga digambarkan sebagai satu konspirasi yang timbul apabila presidennya Yong Teck Lee telah beberapa kali melakukan perbincangan dengan DSAI di luar negeri. Sebelum itu isu penggiliran Ketua Menteri juga adalah Konspirasi politik yang dibuat untuk mententeramkan scenario politik di Sabah. Kemunculan dan pengiktirafan keatas Thamrin sebagai ketua PKR Sabah, juga dilihat dari satu sudut sebagai Konspirasi menyingkirkan kepimpinan Dr. Jeffry Kitingan. Begitu sekali “konspirasi” memainkan peranan dalam politik dan ekonomi.

Di Kota Belud, Konspirasi juga tidak terkecuali. Kekalahan Tadzul dalam perebutan Ketua pemuda, ramai yang mengaitkannya dengan konspirasi pemimpin tertentu untuk menidakkan kepimpinan anak muda ini…? Secara lebih terbuka mereka katakana bahawa TSP sendiri tidak bersetuju dengan keputusan Tadzul bertanding kerana ada perancangan sendiri ingin ‘memperkenalkan” anaknya dalam dunia politik di KB..Benarkah kekalahan Tadzul adalah konspirasi..?

Kekalahan calon-calon G7 dalam pemilihan UMNO beberapa bulan yang lepas juga dipalitkan dengan konspirasi. Mereka mendedahkan bahawa kepimpinan suku Iranun dalam UMNO KB mula diketepikan..? malahan persengkongkolan TSP dengan DSSK dalam mencatur barisan kepimpinan UMNO KB juga dikatakan sebagai konspirasi kedua tokoh ini. Hinggakan tidak ada satu pun wakil Iranun yang Berjaya. Razak, Selisih,Hj.Muar,dan beberapa orang lagi semuanya mangsa Konspirasi..ITU KATA MEREKA.

Kemenangan Ustz. Idris juga Suhaimi dalam pergerakan Pemuda, juga adalah Konspirasi politik, kerana mereka menang atas simpati dan ehsan. Benarkah Umno KB penuh dengan Konspirasi..? Kemenangan DSSK merebut jawatan sebagai Ketua bahagian dengan menyingkirkan Datuk Musbah juga adalah Konspirasi menaikkan kembali imej politik DSSK yang digugurkan dalam PRU-12 yang lalu..Benarkah..?

Pengguguran TSP juga DSSK dalam PRU -12 juga kata penyokong mereka adalah Konspirasi terancang untuk menyisihkan kepimpinan mereka di daerah ini..? Malahan kehadiran Datuk Rahman sebagai ahli Parlimen adalah kerana konspirasi peringkat negeri dan Pusat untuk tidak memberikan ruang kepada DSSK dan TSP..?

Penangkapan SPRM keatas YB Japlin juga dikaitkan dengan Konspirasi golongan tertentu untuk melumpuhkan pengaruh dan cengkaman politik Datuk Japlin. Pelbagai lagi kes dan isu yang berkumandang di KB, yang semuanya dikatakan sebagai ‘Konspirasi”. Hinggakan Sdr Musli juga mengedarkan buku terbarunya “konspirasi Politik Melayu”..

Tidak dapat dipastikan sama ada semua yang saya katakan itu benar-benar satu konspirasi..kerana ‘konspirasi’ itu sendiri membawa makna sebagai satu komplot atau pakatan sulit dan rahsia.

Wednesday, November 18, 2009

PERTEMUAN DATUK SALLEH - MUSA AMAN IBARAT TAUFAN DAN TSUNAMI


gambar pertemuan DSSK-MA: Blog DSSK

Bagaikan taufan Mariniae yang bertiup kencang berkekuatan 90 knot melanggar Filipina dan Thailand ,laksana letusan gunung berapi Pinatubo yang pernah menggegarkan bandaraya Manila, Ibarat Tsunami yang melanda kepulauan Asia sehingga meranapkan perkampungan di Aceh, …Mungkin itulah pengibaratan yang bisa kita gambarkan dalam dunia blog ini, apabila tersiar berita bergambar pertemuan antara Datuk Musa Aman dan Datuk Salleh Said Keruak dalam suasana yang amat mesra beberapa hari yang lalu. Dunia politik Sabah dan Kota Belud, bergegar dengan “gempa politik” yang mencatat lebih daripada 10 skala Richter..menyaksikan satu bentuk ‘kepuasan’ bagi pemerhati dan penganalisis politik tempatan..bahawa dunia politik kedua pemimpin yang sudah ibarat seabad kemarau ini ..akhirnya kembali subur hanya dengan pertemuan yang tidak sampai beberapa jam pun.

Biarpun pertemuan itu hanya bersifat kunjungan hormat bagi seorang mantan KM Sabah, yang kini Timb.Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah juga merangkap Ketua Umno Bahagian Kota Belud ke atas pemimpin nombor satu negeri ,Datuk Seri Musa Aman, dan biarpun kunjungan itu hanya bersifat peribadi kerana melancarkan buku “meneraju Perubahan” hasil nukilan Datuk Salleh Said, Tetapi bagi mata-mata liar pemerhati politik, menganggap bahawa “pertemuan’ itu boleh melunakkan ketegangan yang sekian lama dicanangkan ke hulu dan ke hilir oleh peminat kedua-dua pemimpin ini..

Rasanya ‘ketegangan’ itu bukan sahaja mendapat perhatian dari rakyat jelata di Sabah tetapi juga rakyat di seberang laut..apa tidaknya, selama ini DSSK di gambarkan sebagai seekor anai-anai yang secara diam merosakkan pekakas keutuhan politik di Sabah , itupun setelah DSSK digugurkan dan setelah pelbagai spekluasi dilontarkan lantaran perjuangannya menghidupkan pertubuhan USBO bersama gandingannya TSP yang juga rakan yang digugurkan termasuk Amir kahar dengan berpayung kepada Datuk Shafie Afdal..sehingga ramai yang meramalkan bahawa USBO dijadikan wadah ‘gertakkan’ kepada Musa Aman yang dikatakan tidak mempedulikan kuasa politik rumpun bangsa USBO..

Maka kerana itu, ramai juga yang berani membuat ramalan bahawa hubungan dua pemimpin ini akan juga berakhir apabila kedua-duanya mula memahami perjuangan dan pendirian masing-masing. Dan..dan..dan…Pertemuan itu telah mula meyakinkan akan kebenaran ramalan politik itu. Mungkinkah Musa Aman sudah mula ‘mengendurkan’ ketegangan itu dan mula meyakini bahawa selama ini DSSK dan USBONYA sangat-sangat signifikan buat politik Sabah..? Mungkinkah juga MUSA AMAN mula sedar dan insaf sesungguhnya akan kekhilafan politik yang dilakukannya sewaktu PRU-12 yang lalu..? Apakah juga MUSA AMAN ingin menebus kesilapan itu dengan mengangkat kembali politik DSSK..dan konco-konconya..?

Ada juga yang mengatakan bahawa natijah kepada perlantikan DSSK sebagai Tim. Pengerusi Perhubungan Sabah ialah ‘merapatkan’ kembali idealogi kedua-dua pemimpin UMNO ini. Mereka mula meneka-neka bahawa pengguguran DSSK dalam PRU-12 yang lalu memang benar-benar mengubah landskap politik di negeri “api-api” ini. Bukan sahaja DSSK tidak dilantik sebagai “orang kanan” atau “orang penting “ malahan DSSK juga tidak ditawarkan sebarang kedudukan dan pangkat dalam kerajaan. Masyarakat KOTA BELUD sebegitu gusar menyaksikan lakonan politik MUSA AMAN.. mereka rasa masyarakat dan pemimpin KB tidak dihargai, meskipun UMNO dilahirkan di KB. Mereka mula melihat akan kesilapan percaturan MUSA AMAN itu sehingga, kebangkitan akar umbi, memaksa beberapa sokongan dialihkan kepada parti pembangkang di daerah ini..bukannya kerana UMNO tidak disayangi tetapi kerana merasakan UMNO tidak menghargai pemimpin mereka..memberi pengajaran berguna kepada MUSA AMAN supaya mengembalikan kedaulatan pemimpin KB yang mula dicalar dan diperkosa dengan tekanan yang bertubi-tubi..

Apabila pertemuan itu berlangsung dengan penuh kemesraan..maka kita masyarakat KB juga mengimpikan yang demikian. Supaya dua ekor harimau ini akan kembali mengegarkan rimba raya politik Sabah. Janganlah seperti Biduk lalu dan kemudian Kiambang bertaut kembali… Keikhlasan harus terpancar dari persefahaman itu. Di satu pihak tidak harus menakut-nakutkan dengan kelebihan rumpun bangsanya, manakala di pihak yang satu pula, memberikan peluang dan menggilap kembali sinar yang semakin pudar. Jika itu yang berlaku..DSSK mungkin ada peluang untuk menjadi wakil rakyat di Usukan , Kalaupun tidak menjadi ahli Parlimen semula…Tertinggalkah TSP dalam perlumbaan ini..? Bersama kita nantikan.

Sunday, November 15, 2009

TUN MAHATHIR – WACANA ILMU – KOTA BELUD PELUANG GOLONGAN MUDA


Gambar dari blog DSSK

Kesediaan Pergerakan Pemuda,Wanita dan Puteri UMNO Sabah menjemput Yang Berbahagia TUN Mahathir Muhd, Mantan PM , Mantan Presiden UMNO juga Negarawan ulung yang tidak ada tolok bandingnya di Malaysia dalam era 80-an dan sehingga menjelang penghujung tahun 90-an, dalam satu majlis penerangan kepada UMNO Sabah, Majlis Wacana Ilmu, yang berlangsung beberapa hari yang lepas di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, adalah suatu program yang benar-benar berkewajipan membina semula jatidiri dan pegangan “akidah” politik seluruh ahli Umno di Sabah. Membuatkan ramai ahli dan pemimpin terutama yang ‘selesa’ dengan ‘kuasa’ politiknya berasa amat perlu menjaga ‘kuasa’ itu kembali, setelah ribuan runtunan perasaan pemimpin seperti Tun Mahathir diluahkan tanpa sekatan dan tapisan. Menyedarkan bahawa UMNO dan ahlinya perlu bersikap ‘gentelmen’ apabila berhadapan dengan onak perjuangan memertabatkan UMNO sebagai wadah ulung yang terbilang.

Secara umumnya, ucapan dan luahan Tun Mahathir dapat dibahagikan kepada dua kerangka utama yang mengikat kepada kejujuran perjuangan ahli Umno. Tragedy 1999 yang menyaksikan mendung hitam mula berarak menutupi ‘cahaya’ dan kilauan Parti Umno setelah pemecatan Datuk seri Anwar dari Kerajaan dan parti telah menjadikan UMNO mula retak pada asas kejujuran ahlinya…Biarpun retak itu dapat dirawat dengan baik sehingga membawa kepada peralihan kuasa yang paling terurus dalam peradaban politik dunia pada zaman alaf baru ini, namun peralihan kuasa dari Tun Mahathir kepada pak Lah, menimbulkan satu situasi yang agak merungsingkan apabila amalan kronisme dan nepotisme menjadi-jadi dalam Umno dan Kerajaan. Kemenangan besar dan bersejarah BN pada PRU 2004, hanya sekadar bagai Bara yang tak bernyala..akhirnya 2008 BN mengalami kejutan apabila peratusan sokongan rakyat telah merudum sehingga parahnya masih terasa sehingga kini. Kerana itu menurut Tun Mahathir, UMNO seharusnya merangka usaha untuk merubah situasi selesa dalam parti kepada mewujudkan situasi selesa kepada rakyat untuk memangkah BN dalam PRU akan Datang.

Turut sama hadir dalam majlis wacana Ilmu itu ialah Ketua Menteri yang juga pengerusi Perhubungan Negeri Sabah, Datuk Musa Aman, juga pemimpin kesayangan Blogger Sitti Farhana ( Banasab ) ketua Umno Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang juga timb. Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dan beberapa menteri kabinet negeri…Biarpun pencetusan idea itu nyata lebih segar dan terbuka, namun apa yang lebih penting bagi saya ialah kerangka kedua yang sangat penting dalam ucapan Tun Mahathir iaitu MEMBERIKAN PELUANG SAMARATA DAN ADIL KEPADA GOLONGAN MUDA. Isu ini yang sepatutnya dijadikan permasalahan utama UMNO untuk mengecepai perubahan yang sedang dicanangkan. Agaknya tidak ramai yang melihat signifikannya isu ini di Sabah..misalnya apabila DSSK mengeluarkan isu kehadirannya dalam majlis WACANA ILMU itu, dalam blognya,agak mengejutkan saya kerana tidak langsung menyentuh isu ini..Kenapa..? sama ada dalam konteks UMNO Sabah atau UMNO KB..? hairan dan cukup menghairankan saya…Apa yang lebih penting baginya ialah KEHADIRANNYA dan bukan isu pokok yang wajar dikongsikan bersama…kepada rakyat Sabah dan rakyat KB..

Rasanya kerana dalam kontkes UMNO Sabah dan Umno KB..gejala menysisihkan golongan muda dan terpelajar seperti yang dikatakan oleh TUN Mahathir bahawa kemasukan golongan muda dalam UMNO disekat, diperlekehkan, disisihkan, dihalang dan sering tidak dibuka peluang penonjolan diri dan karisma mereka, nyata benar-benar berlaku. Keadaan inilah yang menjadi Duri dalam Daging UMNO Sabah dan Umno KB serta keseluruhannya. Di peringkat cawangan misalnya, bukan sahaja fenomena penguasaan suku dan keluarga masih berlaku tetapi juga terdapat usaha-usaha untuk menidakkan golongan muda yang terpelajar supaya turut mengambil alih dan menabur benih kepimpinan mereka. Hal ini harus disedari oleh DSSK sendiri sebagai Ketua UMNO KB..tetapi kerana hal ini takut dibicarakan dan kalau dikeluarkan boleh menggugat kedudukan politik golongan tertentu,maka nya terus disembunyikan…

Begitu juga di peringkat Umno KB, golongan muda masih diragui, tidak diasuh, tidak ditarbiyah, tidak ditunjukajar bahkan dibiarkan sendirian mencatur politik mereka. Hinggakan UMNO KB sendiri berpuak-puak untuk mencari landasan survival politik peribadi mereka. Ini golongan muda yang sudah nyata menceburkan diri dalam UMNO KB. Bagaimana gerangannya golongan muda berpendidikan atas pagar yang melihat dari jauh..? Dalam konteks KB, tidak ada usaha untuk menarik golongan ini menyertai UMNO..? Berapa program juga aktiviti yang telah di rancang dan dilaksanakan oleh UMNO KB untuk tujuan ini..? Nah..Tanya kepada Ketua Bahagian UMNO KB..?

Friday, November 13, 2009

KOTA BELUD "POLITIK CENTER" DI SABAH


Bila kita membincangkan topik ini, rasanya ramai yang mungkin kurang bersetuju, selain ada yang berasa lega dan terhibur. Namun jika diperdebatkan secara lebih telus dan terbuka,mungkin boleh mengundang pelbagai spekulasi dan leteran politik yang pelbagai, kerananya daerah KOTA BELUD hanyalah sebuah pekan Koboi yang nyata perlahan dan lambat pembangunan fizikalnya. Ada juga sesetengah ahli fikir yang merasakan apa perlunya meletakkan daerah Koboi ini sebagai "politik Center" kepada dunia politik Sabah. Persoalan ini, tidak jauh bezanya dengan soalan, apa perlunya menyatakan puak KDM di Sabah sebagai Suku 'penentu' halatuju kepimpinan di Sabah..? Maka oleh yang demikian, tidak akan muncul sebarang prasangka kepada penulisan ini..Jika yang sesungguhnya KOTA BELUD sebagai 'center' justeru para pemimpin di daerah ini seharusnya menjaga populariti ini sebagai 'rekod' politik Sabah yang dikongsi bersama generasi akan datang.

Sepintas lalu Daerah Kota Belud, memang sudah lama dikenali sejak sebelum merdeka lagi..tetapi pembabitan bapa Kemerdekaan Sabah Tun Mustapha Datu Harun telah membuka lembaran baru dalam dunia politik KB. Biarpun Tun Mustapha ,dikatakan orang Kudat, namun hampir seluruh riwayat hidup politiknya bersemadi di daerah bertuah ini.. Siapa tidak kenal Tun Mustapha di KB, sebut saja namanya, seluruh masyarakat tanpa mengira suku, mengakui bahawa Tun Mustapha pernah menjadi ikon politik Sabah dengan disinonimkan kepada daerah KB. Malahan menurut sdr Azrone, dalam blognya Seliu-liu, menggambarkan bagaimana kerapatan dan keakraban Tun Mustapha dengan penduduk Kota Belud, sehingga Mah Aning di Kg. Labuan dijadikan sebagai perlambangan kepada 'keakraban' itu. Tun Mustapha beberapa kali meminta supaya masyarakat Bajau di perkampungan itu memberikan sokongan kepada beliau dan calon pilihannya, termasuklah Tan Sri Pandikar Amin.."air mata" perjuangan menjadi bukti kepada keterbukaan dan kredibiliti Tun Mustapha, bahawa politik di KB sebenarnya pernah menjadi 'perhitungan terakhir" kepada perjuangan politiknya. Termasuklah apabila TUn Mustapha menjadi KM, TYT yang akhirnya juga mendapat kesinambungan kepada Tun Said ,ayahanda kepada DSSK, dan membawa kepada DSSK sendiri pernah menjadi 'mantan' KM Sabah.

Biarpun daerah KB, ini menyaksikan 'pertelingkahan' suku kerana fahaman dan perjuangan politik sehingga seperti yang diceritakan kepada saya oleh seorang tokoh politik veteran di Kg. Pantai Emas, bahawa seringkali berlaku pergaduhan apabila pilihanraya berlaku,namun semua itu adalah adat resam dunia politik dan itu seseungguhnya berjaya diatasi di akhir-akhir percaturan politik TSP dan DSSK. Kini mereka berdua yang suatu ketika pernah 'bertarung' dalam satu perlawanan yang maha sengit di Usukan, BERSATU dalam satu perjuangan baru dalam UMNO atas kesedaran dan kepentingan USBO..Dan kalau benar apa yang berdegus sekarang ialah gerakan penyatuan rumpun bangsa juga mula diperkatakan di KB. Maka kita menyaksikan bahawa daerah KB sekali lagi menjadi 'center' kepada penyatuan bangsa USBO yang dipelopori oleh DSSK dan TSP..

Antara yang menjadikan daerah KB sebagai "politik center' ialah kerana di sinilah UMNO SABAH diberanakkan, di Usukan lah darah nifas UMNO dilupuskan selama dalam pantang menghadapi cabaran PBS...dan kerana KB jugalah, rakyat Sabah mendapat tempat berpaut untuk satu Kapal besar perjuangan selepas Tun Mustapha merelakan USNO dibubarkan. Seharusnya setiap yang bergelar KETUA MENTERI SABAH tidak mengira siapa dan keturunannya termasuk MUSA AMAN selagi bernaung di bawah payung UMNO, menadah tangan kesyukuran kepada pemimpin Kota Belud dan masyarakatnya yang sanggup merelakan tanah tumpah darah mereka di pergunakan untuk menempatkan' kelahiran" UMNO Sabah. kalau bukan kerana Kota Belud yang juga dikaitkan dengan pekan Lembu/kerbau..mana mungkin MUSA Aman merasa manisnya kerusi KM itu sekarang. sewajarnya para pemimpin di daerah ini dihargai, diberikan tempat, kedudukan dan perhatian lebih daripada pemimpin lain..sewajarnya begitu ! dan selebihnya juga begitu !..

Tidak cukup dengan itu, daerah KB juga turut membuka ruang kepada beberapa orang 'pendatang' baru dalam politik sabah untuk membina kerjaya dan wibawa mereka Bahkan Tun Mustapha sendiri adalah antara tokoh yang melakar kegemilangannya d daerah ini selain daraipada beberapa lagi termasuk datuk Yahya Lampong, Datuk Mohd. Noor Manshor dan yang terbaru ialah datuk Abd. Rahman Dahlan. Kalau pun ada daerah lain di Sabah yang juga berbuat demikian tetapi KB rasanya mendahului nya kerana sejak dulu hingga sekarang, fenomena itu terus berlaku di KB, dan inilah sumbangan terbesar daerah ini yang seharusnya dipandang kembali oleh MUSA AMAN untuk membuat perhitungan dimana sepatutnya pemimpin KB diletakkan dalam barisan akar kepimpinan negeri.

Kini apabila kita golongan kelas pertengahan mula memberikan perhatian kepada politik KB termasuk seperti yang dikatakan oleh beberapa blogger bahawa KB adalah satu satunya daerah di Sabah yang mempunyai blogger TER RAMAI dan itu adalah rekod! serta aktif memperkatakan fenomena politik daerah mereka, termasuk mempersoalkan beberapa pemimpin daerah ini yang disifatkan oleh mereka sebagai kehilangan taring kerana atas sebab peribadi dan bukannya faktor sokongan masyarakat KB. Maka sewajarnya fenomena blogger melambak di KB dijadikan satu inspirasi kerana gerakkan terawal politik sabah sudah lama bermula di daerah ini...Apakah status sebagai 'politik center' ini akan memberikan kelebihan kepada pemimpin daerah ini..? sukar malahan amat sukar diramalkan ..kerana apa..? kerana kita sudah semakin jauh dari perjuangan asal...mengangkat daerah ini sebagai daerah membangun dan berdaya saing..

Thursday, November 12, 2009

USBO DATUK SHAFIE APDAL, DAN UMNO MUSA AMAN


Bukan suatu rahsia lagi bahawa, politik di sabah ibarat seperti air tenang yang ada buaya. Apa tidaknya , kalau di pihak pemerintah dan kerajaan BN di Sabah masih bergolak , begitu juga di pihak pembangkang masih terus dilanda wabak tragis, lebih bahaya dari wabak H1N1 yang suatu ketika menjadi pendemik seluruh dunia. Di pihak UMNO Sabah sendiri, masih disangsikan dengan akar suku juga kepentingan politik golongan tertentu. USBO nyata sentiasa membayangi UMNO selain usaha-usaha EX-USNO yang menghidupkan kembali roh dan semangat juang parti terbesar milik bumiputera Islam Sabah sehingga mewakili jiwa dan atma seluruhnya ‘memerdekakan’ negeri di bawah bayu ini. UMNO Sabah pada luarannya, Nampak tenang sedang pada dalamnya masih tercari-cari dasar dan asas untuk menyatukan ahli dan pemimpin di kalangan mereka sendiri.

Dan terbaru yang sedang melanda golongan berfahaman untuk menghidupkan kuasa politik rumpun USBO dalam UMNO ialah apabila Penasihatnya, iaitu menteri Kemajuan Luar Bandar dan wilayah, Datuk Seri Shafie Afdal dikhabarkan terlibat dalam beberapa kes salah guna kuasa membabitkan penyelewengan peruntukkan dan pembahagian projek bekalan elektrik luar Bandar di sabah dan Sarawak. Isu ini pernah dibangkitkan oleh Tian Chua, Naib Presiden PKR dalam Dewan Rakyat. Biarpun isu ini sudah diterangkan dan dinafikan oleh Datuk Seri Shafie Afdal, namun ‘gossip’ politik berkaitan isu ini terus bertiup sehingga membawa kepada beberapa spekulasi liar yang tidak bisa terbendung lagi.

Bagi sesetengah penyokong tegar USBO, isu ini nyata tidak memberikan kesan kepada pergerakan dan perjuangan mendaulatkan kembali kuasa politik mereka. Harapan terus dibicarakan, sehingga mereka merasakan bahawa kuasa politik hampir dimiliki. Ada yang mengandaikan bahawa apabila Datuk Seri Shafie Afdal di’turunkan’ di sabah sebagai KM menggantikan Musa Aman, maka yang akan ‘hidup’ kembali sentuhan politiknya ialah TSP dan DSSK yang juga masing-masing Presiden dan Tim.Presiden USBO, memungkinkan segala yang dirancang akan menjadi kenyataan.

Namun apa yang tidak jelas kepada pendukung USBO ialah jika Datuk Shafie menjadi KM, di mana posisi MUSA AMAN dalam politik Sabah..? Apakah jawatan Penasihat USBO itu dan selaku Naib presiden UMNO dan Menteri KLBW akan ‘dikorbankan’ sebagai imbalan kepada menghidupkan kuasa politik rumpun USBO? Bagaimanakah percaturan politik ini mewujudkan situasi ‘win-win’ kepada TSP dan DSSK..?

Bagi penyokong USBO di daerah KB, tidak sangat mengharapkan situasi seperti itu berlaku dengan cepat. Mereka masih menaruh harap agar antara TSP, DSSK dan Amir Kahar yang akan menduduki kerusi KM. Dan yang paling dekat kata mereka ialah DSSK..kerana dia adalah mantan KM, juga Mantan Tim.KM,.Justeru apakah ‘kemantanan’nya itu akan memberikan beliau kelebihan berbanding tokoh yang lain. Usaha menghidupkan kuasa politik rumpun UsBO ini digambarkan kepada situasi bahawa sekarang berlaku gerakkan penyatuan pemimpin dan pemikir puak KDM dalam politik Sabah. Bahkan keputusan Dr. Jeffry meninggalkan PKR dilihat akan ‘berpatah arang’ kepada parti abangnya PBS, sekaligus membuktikan bahawa puak KDM mula memikirkan penyatuan antara mereka. Benarkah yang demikian..? atau isu ini sengaja diperbesarkan untuk mewujudkan betapa relevannya semangat rumpun USBO di Sabah..? Adakah keikhlasan DSSK sendiri begitu jelas dalam memperjuangkan apa yang disifatkan sebagai perkongsian kuasa. Sedangkan ketika TSP mewarkan dalam blognya Formula 2:1:1, DSSK nyata masih membisu..dan seakan enggan mengiyakan pandangan Tim.Presiden USBOnya itu..? kenapa..dan apa yang tersirat kepada ketidakpedulian DSSK ini..?

Begitulah antara isu pertentangan yang mula melanda kembali politik Sabah dan UMNO nya. Bagi yang sejak dari awal mencurigai kewujudan kuasa politik USBO, mereka melihat bahawa Isu berbangkit mengenai Datuk Shafie Afdal akan lebih memberikan kelebihan kepada Puak Musa Aman dalam UMNO Sabah untuk “menyorong bantal” kepada Datuk Seri Najib. Kumpulan pemikiran yang menyebelahi KM Sabah yang dilabelkan oleh ramai blogger sebagai berdarah Pakistan akan lebih yakin bahawa Musa Aman “TATAP” KM Sabah selepas PRU-13 yang akan datang. Sekaligus menyaksikan bahawa sekali lagi isu rumpun sebangsa akan menjadi agenda politik peribadi.

Bagi sesetengah pemerhati politik, keputusan menjadikan USBO sebagai wadah perjuangan politik pemimpin tertentu adalah satu kesilapan yang besar kerana ia nyata memperluaskan jurang politik antara pimpinan UMNO di Sabah.Namun jika diperhalusi bahawa disudut politik jujur, ia memberikan “signal” kepada puak KDM bahawa kuasa politik perlu dikongsi seperti asalnya Tun Mustapha dan Donald Stepehens. Semangat politik “pra merdeka” bisa hidup melanyak kembali aspirasi UMNO Sabah untuk melupakan aura itu setidaknya apabila USNO disembelih dalam upacara korban yang menyayat hati. Penduduk sabah, bila agaknya prinsip politik matang yang bersandar terus kepada percaturan pemikiran dan gagasan semasa membawa rakyat mengecapi nikmat kemerdekaan sebenar akan berlaku..?