Datuk Seri Najib Razak mahu 4 hakim utama dikeluarkan daripada bersidang dalam panel 7 anggota Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan semakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi saman misfeasans dikemukakannya berhubung salah guna kuasa sebagai penjawat awam.
Peguam mewakili Najib, Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun memberitahu mahkamah pelantikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah adalah atas nasihat Dr Mahathir.
Beliau mengemukakan bantahan awal terhadap komposisi panel itu, menyatakan ia bagi mengelakkan sebarang tanggapan akan kemungkinan berlaku berat sebelah dan juga demi kepentingan keadilan khususnya keyakinan awam terhadap badan kehakiman.
Mohd Hafarizam berkata juga sudah berlaku “cakap-cakap” oleh orang awam susulan artikel oleh bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang mempersoalkan sama ada terdapat 2 ketua hakim negara antara 11 Julai dan 31 Julai tahun ini berikutan penggal rasmi bekas ketua hakim negara Tun Raus Sharif hanya tamat pada 31 Julai manakala Malanjum dilantik sebagai ketua hakim negara untuk menggantikan Raus pada 11 Julai.
Malanjum yang mempengerusikan panel 7 hakim itu bertanya sama ada isu itu dibangkitkan dalam pendengaran sebelum ini dan peguam mewakili Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjawab perkara sama dibangkitkan oleh beliau tetapi ia berkaitan perlembagaan pelanjutan tempoh Raus sebagai ketua hakim negara bagi 3 tahun lagi.
Mohamed Haniff berkata akhirnya Raus memutuskan untuk tidak menarik diri daripada bersidang dalam panel 5 anggota untuk mendengar permohonan anak guamnya bagi kebenaran untuk merayu.
Peguam itu berkata 4 hakim utama itu tidak sepatutnya menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.
Malanjum tidak membuat keputusan berhubung bantahan awal itu tetapi kemudiannya bersetuju menangguhkan pendengaran permohonan semakan itu sementara menunggu selesainya satu lagi perkara lain yang turut membangkitkan isu sama berhubung definisi penjawat awam.
Katanya mahkamah akan menetapkan tarikh baharu pendengaran bagi permohonan semakan itu selepas Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan bagi kebenaran dikemukakan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee untuk mengembalikan saman misfeasans atau salah guna jawatan awam terhadap Najib pada 5 November tahun ini.
Terdahulu, Mohamed Haniff mencadangkan kepada mahkamah untuk menunggu keputusan permohonan bagi kebenaran untuk merayu perkara itu oleh Pua dan Mohd Hafarizam menyokong cadangan itu.
Beliau juga memaklumkan mahkamah bahawa Peguam Negara berminat disenaraikan sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) dalam permohonan semakan itu.
Dr Mahathir, 93, dan bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang tidak memberikan kebenaran kepada mereka untuk mengembalikan saman mereka terhadap Najib, yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Dr Mahathir, Khairuddin dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin menyaman Najib pada 23 Mac, 2016, menuduh beliau (Najib) melakukan misfeasans atau salah guna jawatan awam dan pecah amanah tugas fidusiarinya berhubung pengurusan dana pelaburan 1MDB.
Pada 28 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu, memutuskan perdana menteri bukan pegawai awam tetapi seorang anggota pentadbiran.
Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan dikemukakan oleh Dr Mahathir, Khairuddin, 55, dan Anina, 43. Pada 27 Feb tahun ini, panel 3 anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Raus menolak permohonan Dr Mahathir dan Khairuddin bagi kebenaran untuk merayu.
Permohonan Anina bagi kebenaran untuk merayu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 16 April tahun ini.
Selepas prosiding mahkamah hari ini, Mohamed Haniff memberitahu pemberita, Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan kepadanya dalam pertemuan pada Jumaat, bahawa Jabatan Peguam Negara berminat untuk memohon kepada mahkamah bagi menjadi amicus curiae dalam permohonan semakan itu.
Beliau bagaimanapun, berkata telah menulis kepada mahkamah untuk memohon penangguhan pendengaran semakan itu kerana beliau tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyerahkan kertas alasan kepada Jabatan Peguam Negara.
1 ulasan :
Thanks for sharing, great post!
Áo khoác Đà Lạt chuyên sỉ và lẻ áo khoác áo khoác nam với giá ưu đãi nhất 2020. Luôn cập nhật mẫu mới chất lượng và dày ấm nhất kể cả với thời tiết lạnh giá các nước có du học sinh và xuất khẩu lao động. Aokhoacdalat.com được đồng hành cùng các bạn!!!!
Post a Comment