Monday, January 31, 2011


Sejak laporan sulit politik Najib menunjukkan rakyat sudah semakin 'kembali' kepangkuan BN dan UMNO, ramai penganalisis politik meramalkan ada kemungkinan PRU 13 akan diadakan lebih awal sebelum tamat tempoh pada 2013. Ada yang menjangkakan PRU 13 akan diadakan serentak dengan PRU Sarawak yang paling lewat perlu adakan pada pengunjung Julai 2011 ini. Ada juga yang menyarankan agar PM Datuk Najib terus membiarkan tempoh berakhir agar segala janji kepada rakyat dapat dilaksanakan. Untuk mendapat kepercayaan rakyat! kata mereka.

Namun yang demikian, jika Najib menutup adegan politiknya dengan membubarkan parlimen sebelum tempoh matang berakhir, maka beberapa persoalan berikut harus dicari jawapannya. Pertama ialah Apakah negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat seperti selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan juga akan membubarkan DUN masing-masing untuk membolehkan PRU dapat diadakan? Kerana Hak secara ekslusif pembubaran DUN atau Mesyuarat Kerajaan Negeri itu adalah terletak kepada kuasa Ketua Menteri/Menteri Besar.

Dewasa ini memperlihatkan kepada rakyat bahawa sudah semacam pertentangan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat. Isu di Pulau Pinang dengan cadangan untuk mengadakan kembali Pilihanraya Majlis Tempatan. Kemudian di Selangor ada isu Sidang DUN tergempar untuk meminda undang-undang Tubuh Kerajaan berkaitan dengan hak dan kuasa MB dan Sultan dalam melantik 3 Jawatan utama melibatkan perkhidmatan Awam yang dikatakan oleh MB Selangor sebagai 'mengembalikan' kuasa Sultan setelah Kerajaan Pusat meminda perlembagaan pada tahun 1993.

Selain itu, pindaan-pindaan perlembagaan yang dibuat selama BN dan UMNO memerintah dikhabarkan sebanyak 700 kali sejak negera merdeka. Oleh yang demikian, ada logiknya jika anggapan bahawa Najib akan berhadapan dengan 'krisis' perlembagaan jika kerajaan negeri di bawah pembangkang 'enggan' membubarkan DUN masing-masing. Isu ini akan menjadi pertimbangan utama Najib untuk mengadakan PRU 13 lebih awal. Jika tidak adalah lebih baik sekiranya Najib menunggu tamat tempoh pentadbiran dan kemudian baru membubarkan parlimen.


Thursday, January 27, 2011


Ketika Datuk Musbah, ADUN TEMPASUK 'gagal' mempertahankan jawatan Ketua Umno Kota Belud daripada jatuh ke tangan Datuk Salleh Tun said, ramai politikus tempatan di daerah ini menyifatkan 'kegagalan' itu sebagai petanda awal kepada penurunan prestasi politik anak kelahiran Taun Gusi ini yang setelah itu 'selalu' di sinonimkan dengan "projek Jelapang Padi". Namun itu tidak mematahkan semangat ADUN ini kerana Kesungguhan dan aktiviti Turun Padang Datuk Musbah menemui rakyat di kawasannya dirakamkan dalam blog peribadi dan FCB wakil rakyat ini. Malahan ramai yang menyatakan kepada saya secara terus terang bahawa pengendali tetap Blog dan FCB itu adalah datuk Musbah sendiri dan bukannya "pembantu' seperti kebanyakkan pemimpin lain.

Suatu ketika dulu Blog Datuk Musbah http://musbahjamli.blogspot.com/ menjadi meja bulat bagi sesetengah rakyat untuk meluahkan pandangan dan pendapat mengenai sebarang isu yang melingkari permasalah rakyat khususnya di kawasan Tempasuk. Dan yang uniknya isu itu dijawab sendiri oleh Datuk Musbah dengan cukup bernas. Waktu itu, ramai pemerhati politik tempatan memberikan 'kredit' kepada Datuk Musbah kerana membuka ruang perbincangan di alam maya ini dengan cukup terbuka, berbanding sesetengah pemimpin di daerah ini yang hingga kini langsung tidak 'membenarkan' sesi percambahan minda berlaku di blog mereka. Antara yang konsisten dengan amalan itu ialah ketua Umno Kota Belud sendiri, Datuk Salleh Tun Said. Lihat blog ini : http://sskeruak.blogspot.com/ ..

Kini yang menjadi tanda tanya di hati rakyat Kota Belud terutama kepada masyarakat kawasan tempasuk ialah kemana DatukMusbah menghilang dalam dunia internet setelah lebih 5 bulan Blog Peribadi Datuk Musbah yang sebelum ini memaparkan aktiviti turun padangnya tidak lagi di update dan begitu juga FCB beliau..seolah-olah membayangkan Datuk Musbah sudah hilang dalam 'radar' internet di negara ini khusunya dan am nya di Kota Belud. Pun begitu masyarakat masih melihat kelibat pemimpin ini di majlis-majlis perkahwinan dan majlis kesyukuran serta majlis kematian.

Apakah strategi politik Datuk Musbah dalam hal ini? Apakah Datuk Musbah sudah 'sedar' bahawa penglibatan secara aktif dalam dunia internet ini tidak mendatangkan apa-apa 'hasil' dalam pelonjakkan prestasi politiknya? Atau apakah yang berlaku sehingga keadaan ini wujud. Sukar kita pastikan, namun di sudut hati paling dalam para penyokong Datuk Musbah seperti yang diceritakan kepada saya oleh beberapa orang 'orang kuat" ADUN Tempasuk ini, mengharapkan supaya beliau kembali "aktif" ,sekurang-kurangnya sebagai simpanan rekod generasi mendatang terutamaberkaitan gambar dan rakaman aktiviti yang sebelum ini dihari oleh Datuk Musbah. Bersama kita nantikan perubahan itu!

Saturday, January 22, 2011


Membicarakan sesuatu yang dianggap sebagai 'terkedapan' rasanya bukanlah suatu perkara yang mudah. Segala andaian dan persepsi boleh jatuh kepada bentuk ramalan semata-mata. Namun itu bukan halangan dan kekangan, kerana jika bukan kita siapa lagi? dan kalau bukan sekarang bila lagi?. Walaupun begitu penulisan ini hanya bersifat fleksibeliti iaitu mempunyai sifat 'kemudahlenturan' bebas menerima apa juga kritikan dan pandangan seperti yang mana dikatakan oleh tokoh sosiologi terkenal William James bahawa manusia hanya dapat memberi pengertian tentang orang lain dan aspek dunia di sekililing mereka secara simbolik, dapat mewujudkan perasaan dan sikap terhadap orang lain.

Pun begitu janganlah kiranya inti penulisan ini dianggap sebagai "racist" dan "jumud'. Bahkan ia tidak merentas ikatan sedia ada antara bangsa dan suku yang sekian lama hidup harmoni di Kota Belud. lantas, penulisan ini cuba menyingkap dilema kepimpinan Iranun pada masa akan datang. Siapa penyambung dan apakah ciri kepimpinan kehendak akar umbi bangsa Iranun ini? kerana jika dibiarkan isu ini lambat laun, percaya atau tidak dan mahu atau sebaliknya, isu kepimpinan Iranun pada dasawarsa akan datang akan tetap menemui kita dan generasi akan datang. John Dewey menyatakan bahawa antara keunikan manusia adalah terletak pada kapasiti mereka berfikir. Minda bagi Dewey adalah proses yang menandakan sesuatu objek itu berada dalam persekitaran, mencari kebenaran tentang garis potensi tingkah laku dan menggambarkan setiap garis tersebut.

Sebab itu apabila saya menjalankan beberapa penyelidikan perseorangan melalui perbincangan dan muzakarah dengan beberapa orang pemikir dan cendikiawan Iranun mengenai persoalan kepimpinan Iranun ini pada masa akan datang, ramai yang memberikan gambaran jelas, meskipun ada yang berhujah berdasarkan "sentimen" kepolitikan dan "sentimen" kepimpinan Individu. Saya maklumi hal sedemikian kerana itu mungkin Wilfred Pareto lebih awal menyatakan bahawa setiap individu adalah sebahagian daripada setiap sistem masyarakat dan setiap individu adalah dipengaruhi oleh suatu daya, terpenting yang diterangkan olehnya sebagai "sentimen". Beberapa konklusi dapat saya muktamadkan, misalnya ciri kepimpinan jangka panjang yang diterima oleh suku Iranun harus dipaksikan kepada nilai semasa masyarakat berkenaan. Apa yang terpenting pada hemat beberapa tokoh ilmuan yang saya sempat temui memberi andaian berikut:

1. Kepimpinan Iranun jangka panjang harus diterima oleh 3 nukleas perkampungan suku ini.

a) Kampung Rampayan. Kampung ini dikenali juga dengan nama Marampayan dalam suku Iranun. Jika pada fakta sejarah, ramai tokoh pemimpin politik yang dilahirkan di kawasan ini termasuk beberapa orang yang besar sumbangannya dalam bantuan proses kemerdekaan kepada Allahyarham Tun Mustapha. Namun yang paling menonjol dalam arena kepolitikan ialah Ayahanda kepada Tan Sri Pandikar Amin sendiri. Ramai pemikir Iranun percaya, jika pemimpin Iranun akan datang dapat diterima di Marampayan..maka sokongan kawasan sekitarnya seperti kampung Nanamun, Tapukan, Pandasan, Kaguraan dan beberapa entiti perkampungan Iranun berdekatan akan dapat diperolehi.

b) Kampung Tamau. Perkampungan Iranun di persisir pantai ini, rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi dalam soal kepimpinan dan politik. Ramai tokoh pemimpin peringkat cawangan yang mempunia idealisme perjuangan seawal zaman USNO lagi. Ini yang melahirkan ramai cendikawan Iranun di perkampungan ini. Hanya dalam waktu terkebelakang ini Kampung Tamau dilihat lebih 'menonjol' dari segi mencari pengaruh politik. Andaian bahawa penerimaan kepimpinan baru di kampung ini akan dapat menarik sokongan dari perkampungan berdekatan seperti kg.Pintasan, Kg,Lilud, Kg.Merbau ,kg Kota Bungan dan kg. Merabau.

c) Kampung Pantai Emas. Nukleus perkampungan ini merangkumi perkampungan seperti kota Peladok, Kg Liang, Kg lebak Engad, Kg Kulambai, dan Kg Timbang Dayang . Kg Pantai Emas dan Kota Paladok jika menurut catatan sejarah adalah merupakan petempatan pembesar-pembesar Iranun yang berkerajaan di Tempasuk apabila pemerintahan itu mengalami keruntuhan. Banyak orang-orang Iranu8n yang bergelar "datu' berada di kampung ini. Malahan beberapa peralatan ketenteraan warisan kerajaan Tempasuk seperti Meriam boleh kita lihat hingga kini. Justeru itu dari pemerhatian saya, jika pemimpin penyambung beroleh mandat dan sokongan di kampung ini, nescaya ada keberangkalian untuk mendapat sokongan majoriti dari perkampungan Iranun.

Walaupun begitu, penulisan ini seperti yang seawalnya saya menyatakan hanyalah bersifat mudahlentur dan memerlukan penambaahbaikan idea dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya dari suku Iranun sendiri. Bersama kita fikirkan.

Wednesday, January 19, 2011


Kata orang politik adalah 'kuasa' dan 'kuasa' itu adalah 'pelarian'. Semakin seorang pemimpin politik itu mengejar kuasa, maka dia semakin jauh dari realiti kehidupannya. Namun bila 'kuasa' itu dianggap sebagai 'amanah' maka pemimpin itu semakin dekat dengan tuhannya.

Di negara kita, isu politik dan kuasa tidak putus-putus diperbincangkan. Kerana mungkin banyak isu politik dirahsiakan, maka itulah rakyat saban waktu memperkatakan tentang politik. Pagi ini saya terbaca di FCB mengenai isu yang diutarakan oleh seorang pegawai kanan di JPNS mengenai situasi pemimpin dan fahaman politik seperti berikut : ..."wajarkah seorang ketua parti berlainan fahaman katakanlah parti pemerintah hadir dalam pelancaran parti pembangkang, atas sebab mendapat undangan dan menghormati kawan? Bincangkan...."

Situasi ini agak ganjil berlaku, kalau ada pun mungkin boleh dikira dengan jari. tetapi yang banyak berlaku ialah pemimpin parti yang sama fahaman politik tetapi tidak hadir ketika program parti atau pemimpin lain dalam parti berkenaan mengadakan program tertentu.

Beberapa hari lalu saya juga terbaca dalam FCB mengenai komen sdr Musli Oli yang menyatakan bahawa Datuk Rahman Dahlan , MP Parlimen Kota Belud tidak pernah hadir dalam mesyuarat UMNO Kota Belud, walaupun dijemput untuk hadir.

Situasi ini menjadi bual bicara pagi di kalangan penggiat politik di Kota Belud. Ada yang pro dan ada yang kontra. Bagi yang berpendapat agak liberal mengganggap bahawa DARD adalah ahli Umno Tuaran, dan sebarang perkaitan dan program yang dirancang oleh UMNO KB secara literalnya DARD tidak terlibat. Namun sebarang program parlimen DARD tidak terkecuali.

Bagi yang berpandangan kontra, situasi politik ini dianggap tidak sihat. Dan harus dielakkan. sebagai MP Parlimen KB, DARD seharusnya boleh menyumbang idea dan tenaga melalui UMNO Bahagian KB. Walaupun 'kehadiran' DARD di KB ini suatu ketika dulu dinggap sebagai 'menidakkan' pemimpin sedia ada, namun angapan itu sedikit sebanyak mula kendur apabila DARD mula menunjukkan kesungguhan menyelesaikan beberapa masalah asas di daerah ini. Ini juga sekaligus menjawab persoalan mengapa DSSK tidak hadir dalam beberapa program Parlimen yang dianjurkan termasuk program juara rakyat yang dihadiri oleh Datuk Noh Omar pada tahun lepas.



Friday, January 14, 2011


Agak tidak lewat jika dalam pentakwiman tahun 2011 ini, orang-orang di Kota Belud banyak dikejutkan dengan pelbagai insiden dan pencapaian politik, termasuk seorang pemimpin yang pernah digugurkan pada PRU 12 lepas kembali mendapat kepercayaan ,walaupun ada yang berpandangan, perlantikan DSSK ke jawatan Speaker DUN itu hanyalah 'mengisi' kekosongan setelah jawatan berkenaan ditinggalkan oleh Datuk Juhar selepas menjadi TYT yang baru. Namun kali ini bukanlah itu isunya, tetapi apa yang dipaparkan ialah kenyataan MP Kota Belud , Datuk Rahman Dahlan dalam satu wawancara di stesen TV swasta di negara ini, yang menyifatkan pengguna Facebook banyak didominasi oleh golongan tua. Sama ada kenyataan itu dibuat secara berseloroh, ataupun ditunjangi oleh asas dan dalil, sukar dipastikan kerana begitu banyak pengguna FCB di negara ini yang masih menyembunyikan status mereka terutama berkaitan dengan usia dan identiti.

Sepanjang Datuk Rahman menerajugi kawasan Parlimen di Kota Belus, banyak tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin muda ini menimbulkan polemik dan kontrovesi di kalangan masyarakat Kota Belud. Suatu ketika apabila Datuk Rahman mengumumkan penumpunannya dalam penyelesaian isu bekalan air bersih, ia mendapat pelbagai response positif dan tidak kurang juga persepsi negatif yang meragui keikhlasan DARD dalam soal itu, kononnya ingin menjadi 'hero' sementara.

Kemudiannya tindakan DARD membawa wartawan TV3 menaiki helikopter ketika meninjau kawasan banjir besar melanda daerah Kota Belud tahun lepas, juga menimbulkan kontrovesi kerana kononnya, apakah segala bantuan kecemasan itu hanya akan terlaksana di depan kamera TV3, hinggakan ada mangsa banjir yang merunggut kerana kelewatan bantuan terutama di perkampungan Tawadakan dan Kota Bungan. Begitu juga dengan isu judi yang pernah mengegarkan dewan parlimen apabila keputusan kerajaan pada waktu itu memberikan lesen judi sempena wold cup kepada sebuah syarikat yang dikatakan dimiliki oleh jutawan Vincent Tan. Dan ketika itu DARD juga membuat kenyataan menyokong langkah kerajaan itu. Namun pada akhirnya kerajaan atas desakan beberapa pihak membatalkan pemberian lesen berkenaan. Pada Waktu itu DARD menjadi bual mulut masyarakat Kota Belud kerana tindakannya seolah-olah 'menghalalkan' judi.

Terbaru apabila DARD mengeluarkan kenyataan bahawa pengguna FCB adalah terdiri daripada golongan tua. Ia menjadi perhatian umum terutama kepada pengguna laman sosial berkenaan di daerah ini. Antara yang tidak putus-putus mempersoalkan ialah YDP Perkasa Sabah, sdr Musli Oli. Seolah-olah kenyataan itu satu dosa besar yang tidak terampun. Namun secara jujurnya saya menganggap kenyataan DARD itu hanya bersifat peribadi dan bukannya ditunjangi oleh kajian yang mendalam. Agak menghairankan kerana kenyataan itu diperbesarkan, walaupun sebelum ini ada yang mempersoalkan hukum menggunakan FCB ini.

Agaknya DARD harus juga mengeluarkan kenyataan, mengenai rangking pengguna blog. Kerana jika fcb untuk golongan tua dan twitter untuk golongan muda, siapakah pula yang mendominasi penggunaan blog di negara ini? DARD rasanya tertawa membaca artikel ini.

Wednesday, January 12, 2011


Bukan main melonjak lagi para penyokong tegar mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Salleh tun said di Kota Belud, apabila ketua Umno Bahagian itu juga merangkap timbalan perhubungan Umno negeri seperti "kera mendapat bunga" dan umpama "purnama jatuh ke riba" di permulaan tahun baru ini, apabila menyaksikan dua jawatan digondol serentak iaitu, Pengerusi Finas dan juga Speaker Dun Sabah. Ini sekaligus melonjakkan nama daerah Kota Belud sebagai antara tempat yang mencatat sejarah negara apabila dua pemimpin yang sebelum ini digugurkan dalam PRU 12, namun akhirnya diiktiraf kepimpinan mereka apabila Tan Sri Pandikar dilantik ke jawatan YDP Dewan rakyat dan akhirnya gandingan Salleh-Pandikar ini menyaksikan kemudiannya DSSK dilantik sebagai speaker Dun sabah.

Ramai yang menobatkan DSSK sebagai politikus yang sangat licik dan strategik apabila, berjaya membawa politiknya kembali mendapat kepercayaan pucuk pimpinan negeri dan negara. Walaupun ada yang berpandangan bahawa penyusunan DSSK dalam politik Sabah adalah percaturan Najib yang kononya untuk mengimbangi kuasa politik Musa Aman, yang dilihat terlalu mendominasi politik Umno dan BN, setelah ayam tambatan Najib, Datuk Shafie Apdal dilihat 'gagal' menyempurnakan banyak startegik Najib di Sabah. Ini sekaligus membawa satu andaian politik bahawasanya DSSK telah mempunyai pelung cerah untuk diclaonkan semula pada PRU 13 akan datang. Namun senarion terbaru ini, juga tidak memungkinkan 'kawan sepermainan" DSSK dalam USBO iaitu TSP dan Datuk Amir Kahar akan mendapat tempat semula.

Beberapa penyokong tegar DSSK yang sempat ditemui di Kota Belud, terus memberikan gambaran bahawasanya peluang DSSK untuk sekurang-kurangnya menduduki kerusi nombor 2 di sabah bisa termakbul selepas PRU 13. Dulu, ramai yang meramalkan situasi kontra dan tekanan politik yang diwujudkan oleh DSSK ketika dalam USBO akan mendekatkan kepada jawatan CM, namun apabila strategi politik akrab berjaya dilakukan keatas Musa Aman, maka paling cincai pun kata orang Kota Belud, DSSK bakal menjadi timbalan ketua menteri mewakili kouta Bumiputera Islam.

Oleh kerana yang demikian senario terbaru ini iaitu dengan perlantikan DSSK sebagai Speaker Dun Sabah akan memberikan petanda baik bagi politik beliau. Jika selepas ini KETUA-KETUA UMNO BAHAGIAN bakal dipanggil oleh Najib selepas pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen, maka sayugia memberikan signal yang DSSK mempunyai kuasa politik dalam pemilihan calon khususnya di daerah Kota Belud. Yang menjadi teka-teki ialah, apakah DSSK akan memberikan laluan kepada Datuk Musbah Jamli? Atau adakah nama Datuk Rahman akan tersenarai? Bagaimana dengan nasib Datuk Japlin Akim? Atau akan berlaku kejutan, bila golongan muda diberikan kesempatan? masih tidak terjawab!

Sunday, January 9, 2011


Keputusan PM , Datuk Seri Najib "memanggil" kesemua MP Parlimen BN dalam satu pertemuan 'empat mata' dilihat oleh kebanyakkan pemerhati politik tempatan sebagai petanda awal bahawasabya PREU 13 sudah semakin dekat. Namun seperti yang dijangka juga pertemuan Najib dengan kesemua MP Parlimen BN itu dikatakan sebagai Transformasi BN untuk memastikan prestasi ahli-ahli parlimen ini berada pada tahap paling maksimum. Dan pastinyanya prestasi yang dimaksudkan ialah berkaitan dengan komitmen ahli Parlimen terhadap permasalahn di kawasan mereka. Daripada 122 ahli parlimen diberitakan seramai 105 telahpun menemui PM dan setiap ahli parlimen diberikan 5 minit untuk menerangkan secara terperinci "kedayaupayaan" mereka di kawasan masing-masing.

Di Kota Belud tentunya MP Datuk Rahman dahlan tidak terkecuali 'menghadap' PM dengan membawa saratan pelbagai masalah masyarakat Kota Belud. Namun bagi response awal saya , masa 5 minit yang diperuntukkan kepada Datuk Rahman Dahlan dalam pertemuan dengan PM itu rasa saya tidak cukup untuk menerangkan pelbagai langkah dan program pembangunan yang dirancang diperingkat Parlimen. Itu terpulang kepada budi bicara DARD dalam membuat perioriti permasalahan yang perlu 'disembahkan' kepada PM. Dan seperti yang saya jangka dari awal lagfi, isu bekalan air telah menjadi perioriti terpenting DARD kali ini. Hanya yang menjadi harapan kita masyarakat KB ialah apakah imp[ak kepada pertemuan antara DARD dengan PM itu? Adakah selepas ini PM benar-benar memberikan perhatian serius terhadap apa yang di 'adukan' kepadanya, setelah belasan tahun UMNO diberanakkan di Kota Belud? Atau apakah selepas ini, dan selepas PRU 13, pekan Kota Belud akan bermandi dengan limpahan air bersih hingga kepelusuk perkampungan seperti di kg Sarang, Dudar dan yang sewaktu denganya?

Sesungguhnya benarlah seperti yang dilaporkan oleh DARD dalam FCB nya bahawa masalah air adalah masalah asas yang utama. Jika masalah ini boleh diatasi, tentun kualiti hidup rakyat akan dapat ditingkatkan. Kerana airlah yang memberikan kita tenaga, airlah juga punca kejadian kita. Bersama kita berdoa supaya ditahun baru ini, pekan kota Belud akan menjadi pekan " zero' dengan masalah air.

Friday, January 7, 2011


Baru baru ini saya menulis nota saya bertajuk "MANUSIA SEBAGI MAKHLUK" dalam hal ini saya menekankan, sifat manusia sebagai Makhluk Berfikir dan Makhluk Berperasaan. Sebagai makhluk berfikir , asas berfikir ialah menggunakan otaknya yang terdiri dari 10 bilion se-l-sel dan diterjemahkan oleh akal atau pendapatnya. Sebagai Makhluk berperasaan, kemampuan perasaannya yang tertinggi adalah Intuisi(rasional) dan firasat(irrasional) dan ianya berpangkal kepada batinnya. Memahami diri saya dan Kelapa Mawar, sama-sama sebagai manusia, tentunya kami berdua akan menganggap bahawa pendapat kami adalah benar, walaupun tidak benar dengan sendirinya, kerana yang benar dengan sendirinya itu milikNya, sebab itu isi Al Quraan itu benar dengan sendiri atau benar muthlak. kerana bersumber dariNya. Rentetan dari itu, pendapat kami berdua adalah benar secara relatif. Oleh kerana pendapat manusia itu hanya benar secara relatif, sebab itulah manusia yang bukan beragama islam, menganggap agama mereka yang benar atau dengan sendirinya menolak Al Quraan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah dan demikian sebaliknya kita sebagai islam menolak kefahaman agama mereka, walaupun hakikatnya asas penolakan kita adalah berasaskan Al Quraan yakni apa yang difirmankan oleh Allah SWT.




Berasaskan kepada kenyataan saya di atas, saya cuba memahami maksud tersirat dan tersurat, tulisan saudara saya yang budiman, Kelapa Mawar berhubung dengan perkara di atas. Disebutkan oleh saudara Kelapa Mawar berasakan rujukkannya tentang sekolah itu adalah di dermakan oleh Datuk Salleh Tun Said. Kelapa Mawar adalah benar secara relatif kerana berasaskan rujukkannya, tetapi bagai saya kenyataan tersebut adalah benar sebahagian atau tidak benar semuanya. Hal ini kerana rekod Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Bangunan Sekolah Agama Tun Said adalah dibina atas Peruntukan Kementerian Pelajaran Malaysia, untuk JPN Sabah. Bangunan tersebut dibina atas tapak tanah yang didermakan oleh Datuk Salleh Tun Said . Kontraktor pembinaannya adalah kontraktor yang sama dengan kontraktor yang membina SMK Usukan. Menyentuh tentang kedaifan asrama seperti yang ditunjukkan pada gambar, sekali lagi saya katakan Kelapa Mawar benar berasaskan pemerhatiannya, tetapi tidak benar berasakan rekod Jabatan pelajaran Negeri Sabah. Yang sebenarnya asrama putera yang ditunjukkan dengan gambar tersebut adalah bangunan sekolah atau ruang kelas yang dipakai sementara untuk menampung pelajar lelaki sekolah tersebut atas budibicara Pengetua Sekolah tersebut yang terdahulu. SMKA Agama Tun Said ada bangunan Asrama, tetapi asrama yang dibina tidak cukup menampung Jumlah Pelajar yang ramai, oleh itu asrama yang ada hanya didiami oleh pelajar wanita. Mengikut Rekod Jumlah Pelajar Asrama samada yang tinggal di asrama kekal atau pelajar asrama yang menumpang di kelas sebagai tempat tinggal ) kini seramai 450 dan dijangka bertambah jika bangunan asrama baru siap sepenuhnya. Untuk makluman, atas keperihatian Jabatan Pelajaran Sabah dan KPM sesungguhnya bangunan asrama baru bagi sekolah tersebut sedang dalam pembinaan. Walaubagai manapun, tentang perabot untuk keperluan pelajar Unit Asrama Sektor Pembangunan Kemanusia sentiasa membuat ABM setiap tahun, dan pada setiap tahun pula peruntukkan perabot (Katil, Meja, Kerusi, Bantal dan Tilam) sentiasa dihantar ke sekolah sekolah dan diurus perolehannya oleh Unit Perolehan Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan yang Ketua Sektornya seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik(PTD). Namun perolehan semua perkara tersebut adalah berasaskan Kontrak Pusat yang di Luluskan oleh Kementerian Kewangan. Berkualiti atau tidak semua barangan tersebut adalah tanggunjawab yang meluluskan Kontrak Pusat, akan tetapi Pengetua sebagai Pemimpin Sekolah berhak menolak barangan yang dihantar jika tidak menepati piawaian atau spesifikasi yang yang dietapkan.






Bercakap tentang tanggungjawab terhadap kepentingan pelajar, sesungguhnya semua kita warga masyarakat bertanggunjawab dalam perkara ini. Rujukkan kita, bahawa kita semua ini adalah pemimpian. Dalam konteks demokrasi kita semua mempunyai kuasa yang sama dalam menentukan hala tuju pemerintahan sebuah negara. Kita semua hanya memilik hak kuasa 1 undi dalam Pilihan Raya. Wakil Kuasa yang kita pilih pun memiliki hak kuasa 1 undi, oleh itu secara perseorangan dia tidak mampu utuk mewujudkan Punca Kuasa, melainkan kita membantunya atau menyokongnya secara majoriti. Jadi kesimpulannya, kuasa yang ada pada wakil kuasa yang kita anggap pemimpin adalah kuasa rakyat secara kolektif, oleh itu wajarlah Kelapa Mawar mengemukakan pendapat dan pandangan, walaupun ia hanya benar secara relatif untuk menegur dirinya dan kita semua secara kolektif yang menentukan kuasa.





Sebelum saya menutup pandangan saya dalam perkara ini, bahawa saya mengajak Kelapa Mawar memperkenalkan dirinya (nama sebenarnya) untuk berkongsi kebenaran. Namun ini hanya pendapat saya secara relatif, mungkin juga Kelapa Mawar berselindung disebalik Nama Samarannya Kelapa Mawar, kerana bagi mengelak pandangannya dianggap serong sehingga menimbulkan sengketa kepadanya. Tak apalah, yang penting Kelapa Mawar mungkin seorang kakitangan kerajaan yang bertanggungjawab, Kelapa Mawar sebagai Pelaksana Dasar Kerajaan, wajarlah kelapa mawar akur kepada kerajaan yang memerintah. Kalaulah Kelapa Mawar sebagai Usahawan dan aktif dalam Politik Perolehan Mandat, Kelapa Mawar perlu bersuara didalam medan mesyuarat, bengkel atau dailog secara profesional, berhujah berasaskan fakta yang benar dan mengajukan pandangan demi kepentingan kolektif bagi memacu pembangunan masyarakat dan negara. Selamat Berjuang Kelapa Mawar, dengan nama mu Kelapa Mawar tergambar dibenak ku air Kelapa Mawar yang sedap rasanya. Bila tua Kelapa Mawar banyak santanya.



p/s Ma kasih atas response ini, semoga apa yang dipaparkan akan memberikan kebaikan kepada semua pihak.

Thursday, January 6, 2011


Di Kota Belud hanya terdapat dua buah sekolah menengah yang disinonimkan dengan nama tokoh atas sumbangan yang mereka berikan ,sama ada kepada daerah Kota Belud sendiri atau kepada negeri dan negara. Sekolah menengah tersebut ialah Sekolah Menengah Arshad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Said. Kedua-dua nama tokoh yang diabadikan pada nama sekolah ini adalah dari susur galur keturunan yang sama, iaitu dari keluarga "ARSHAD". Namun itu bukan persoalan utama kerana apa yang lebih penting ialah perihal kekurangan dan kedaifan yang dimiliki oleh sekolah menengah Kebangsaan Agama Tun Said ini.

Sepintas lalu mengenai SMKA Tun Said ini seperti yang saya petik dalam laman Web sekolah berkenaan adalah seperti berikut :
"....SMKA Tun Said merupakan salah sebuah sekolah menengah kebangsaan agama di negeri Sabah.SMKA Tun Said terletak di atas Bukit Maharaja di kampung Pengkalan Abai, Kota Belud dengankeluasan 40 ekar.Tapak SMKA Tun Said adalah sumbangan derma daripada YB Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said. Proses pembinaan sekolah ini dimulakan sejak 01 oktober 1997 dan telah mula digunakan sebagai pusat pembelajaran pada 13 Januari 2001. Jumlah pelajar yang mendaftar pada pendaftaran pertama ketika itu ialah seramai 210 orang pelajar tingkatan 1...."

Isu yang menyelubungi sekolah menengah agama ini seperti yang dilaporkan dalam blog dan FCB ialah masalah kekurangan katil,almari sehingga pelajar yang mendaftar di sekolah berkenaan pada sesi pembelajaran 2011 ini didakwa tidur diatas lantai dan menggantung pakaian di dinding bilik asrama mereka. kekurangan peralatan asrama ini dikatakan pada tahap kronik kerana ramai ibubapa yang mendakwa tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh pihak pentadbir.

Sebelum ini saya juga pernah menyuarakan kekurangan pada satu lagi sekolah menengah di daerah ini iaitu SMK Usukan yang mengalami masalah air serta frasarana yang lain. Khabarnya SMKA Tun Said ini juga tersenarai dalam projek yang bermasalah pada tahun lepas selain daripada kelewatan pembinaan beberapa sekolah rendah di Kota Belud seperti Sk tamau, makmal Sk Labuan, SMK Pekan dan SMK Taun Gusi II.

Persoalan yang boleh kita utarakan ialah, apakah peranan YB dan pemimpin setempat kita di Kota Belud sehingga keadaan persekitaran persekolah di daerah ini begitu nampak bermasalah. Mungkin alasan yang diberikan ialah karenah birokrasi menjadi penyebab. selain itu pemimpin politik tidak ingin mencampuri urusan pihak sekolah, walaupun sebenarnya sistem pendidikan di negara kita sememangnya pun telah lama dipolitikkan. Menteri Pelajaran kita juga adalah orang politik. Keputusan kerajaan untuk mewajibkan lulus matapelajaran Sejarah diperingkat SPM pada 2013 diumukan pada persidangan UMNO dan bukannya dalam mesyuarat kabinet. Justeru itu, tidak ada salahnya jika MP Parlimen dan ADUN yang dipilih rakyat sekali sekala memantau perjalanan pengurusan sekolah di sekitar daerah Kb ini supaya masalah-masalah sebegini dapat diminimumkan.

Jika keadaan ini dibiarkan tidak salah, proses pembelajaran dan perkembangan dunia pendidikan akan terbantut.walaupun kita pada waktu yang sama melahirkan pemimpin bertaraf nasional tetapi status itu tidak akan bertahan lama kerana jika generasi yang mewarisinya tidak mempunyai pencapaian yang memberangsangkan dalam pendidikan. Melalui pendidikanlah manusia akan berubah dan beranjak kualiti kehidupan . Dalam isu ini peranan pemimpin harus segera ditagih.


Kenyataan ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU 13akan datang telah mengundang pelbagai spekulasi politik peringkat atasan. Setelah tidak diberikan sebarang 'portfolio' dalam kerajaan oleh Najib , Khairy Jamaluddin dilihat keseorangan merealisasikan agenda politik peribadinya.'Keseorangan dalam kumpulannya' kerana ramai orang-orang kanannya semasa era Pak Lah yang turut dikesampingkan dalam kerajaan,walaupun ada juga yang diberikan tempat dan kedudukan.

Di Kota Belud, antara yang menjadi tumpuan ialah Datuk Rahman Dahlan yang dikatakan mempunyai hubungan politik yang akrab dengan KJ. Malahan sudah menjadi 'rahsia umum' di Kota Belud bahawa 'kehadiran DARD" di Kota Belud pada PRU 12 yang lepas adalah atas 'ehsan' dan percaturan politik KJ peringkat pusat. Walaupun pada mulanya menimbulkan rasa tidak senang dikalangan pemimpin sedia ada dan peringkat pimpinan belia di daerah ini,namun setelah 2 tahun DARD yang disinonimkan dengan status politik "orang luar" itu nyata mula mendapat tempat dan keyakinan di kalangan rakyat. Walaupun ada berlaku beberapa kerapuhan keyakinan rakyat kepada MP Kota Belud ini, namun nampaknya DARD tetap terus bertahan dan dikalangan golongan muda, prestasi DARD agak memuaskan. saya masih ingat bahawa satu ketika dalam blog ini saya pernah menyuarakan bahawa betapa keperluannya DARD dikekalkan di Kota Belud dengan mengambil kira 'pendekatan' politik DARD dikalangan pemimpin peringkat pusat dan negeri di samping pengalaman luas dalam parti dengan menyaksikan jawatan 'setiausaha' yang pernah disandangnya.

Apa yang menimbulkan banyak perkiraan politik di Kota Belud mengenai kenyataan KJ ini ialah ada pihak-pihak peringkat pimpinan kelas atas yang membuat kenyataan dalam FCB bahawa jika KJ tidak mahu mempertahankan kerusi ,kawasan yang diwakilinya pada PRU 12 yang lepas, maka ada logiknya juga DARD tidak dicalonkan di Kota Belud, kerana kononnya DARD harus mengikut rentak KJ. Apakah perkaitannya dengan ituasi KJ itu? Lalu apakah KJ begitu berperanan besar dalam mencorakkan landskap politik KB? Atau apakah Kota Belud akan mendapat "durian runtuh" yang besar dengan pengunduran DARD? Persoalan-persoalan ini harus perhalusi walaupun sudah kedengaran bahawa DARD juga berkemungkinan akan berhijrah di Sepanggar, namun dalam politik semuanya adalah 'rahsia' yang terpelihara sehinggalah dibongkar dan didedahkan kepada umum.

Jika pun DARD sudah 'berniat' meninggalkan KB, namun bagi hemat saya, ia satu kerugian yang besar dengan mengambilkira beberapa faktor dan keadaan yang telah saya sebutkan pada penulisan terdahulu. itupun ia sekadar pandangan peribadi. Mungkin ada sebab yang lebih kuat untuk kita memberikan peluang semula kepada pemimpin dulu di daerah KB?

Monday, January 3, 2011


Setakat ini, sebelum menjelang PRU 13, rasanya tidak ada personaliti politikus di Sabah yang sebegitu hebat menyusun gerak politik jangka panjang mereka selain dari dua orang tokoh dari Kota Belud iaitu mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Salleh Tun said dengan YDP Dewan Rakyat Tan sri Pandikar Amin Mulia. Kenapa saya katakan demikian, asasnya ialah mereka ini adalah antara dua tokoh politik yang 'dijahanamkan' politiknya oleh musuh politik sehingga digugurkan pada PRU 12, tetapi begitu tangkas dan bingkas bangun mempersiapkan kembali penyusunan strategi politik peribadi sehingga saat ini dari cakap-cakap politik kedia kopi di Kota Belud, kedua-dua tokoh ini mempunyai peluang yang cukup luas untuk dicalonkan kembali. Sama ada benar atau sebaliknya, itu tidak penting kerana yang lebih utama ialah bagaimana kedua tokoh ini berjaya menyertai bahtera politik Datuk Musa Aman sehingga suara mereka tidak terus tenggelam.

Gandingan Salleh -Pandikar pada waktu ini dikatakan begitu utuh dan berpengaruh dalam mencorakkan landskap politik UMNO di Sabah. Jika sebelum ini team Datuk Shafie Apdal dilihat mempunyai kelebihan tersebut, namun tidak sudah kini, lantaran beberapa insiden politik di Sabah yang menyaksikan Team Ketua Menteri secaraq terang-terangan menunjukkan 'protes' beralas dalam apa juga program yang dihadiri oleh tokoh politik pantai timur ini. Justeru yang lebih dominan ialah gandingan Salleh-Pandikar yang mempunyai kelebihan sama ada dari DUN (negeri) ataupun Parlimen (pusat).

TSP dilihat mempunyai rangkaian politik peringkat Pusat berbanding wakil-wakil rakyat Sabah yang lain. Kelebihan TSP kerana sejaka zaman Mahathir lagi sudah mula menapak kukuh dengan 'menerima' jawatan Senator di jabatan Perdana Menteri setelah sanggup "melepaskan" kouta AKAR-IRANUN di DUN TEMPASUK kepada wakil UMNO, Datuk Musbah Jamli sekalipus, ';signboard' kempen TSP sudah sedia terpampang di persimpangan jalan ke Tempasuk. Rangkaian politik TSP di peringkat pusat bertambah kukuh apabila beliau menerima jawatan YDP Dewan Rakyat sehingga dilabelkan oleh kebanyakkan pemerhati politik sebagai "singa" Parlimen yang dapat meredakan kelancangan suara-suara pihak pembangkang yang cuba menafikan simple majoriti dari pihak kerajaan. Kepetahan, ketegasan, kebertolak-ansuran TSP begitu sinonim dengan istilah yang beliau gunakan "duduk Yang Berhormat" atau "cukup yang berhormat" . Jika menurut cakap-cakap kedai kopi di Kota Belud, ketidak lantikan TSP sebagai TYT Sabah yang baru sebenarnya sudah dirancang lebih awal, kerana pada hemat mereka TSP akan kembali mempertaruhkan hayat politiknya di Parlimen Kota Belud, untuk lebih melayakkan beliau menjadi "singa" Parlimen seterusnya, walaupun itu bukanlah prasyarat utama kepada keberkekalan dalam jawatan YDP itu.

Manakala Salleh dilihat lebih relevan diperingkat negeri. Walaupun tidak mempunyai jawatan penting dalam kabinet hanya bertaraf 'penasihat' tetapi jawatan sebagai Timbalan pengerusi perhubungan negeri memberikan DSSK mandat yang lebih dominan di peringkat negeri. Keakraban politik dengan ketua menteri DatukMusa Aman tidak akan menjadikan DSSK 'dibutakan' pada senarai calon BN pada PRU 13 akan datang. Tentunya jika DSSK memberikan tumpuan kepada DUN Sabah bersama Musa Aman, UMNO diramal akan mempunyai darjat politik yang utama di sabah berbanding parti-parti komponen yang lain termasuk PBS. Pengekalan kuasa UMNO selaku parti teras di Sabah akan terlaksana sepenuhnya bila gandingan Salleh dan Pandikar ini mendapat kepercayaan semula pada PRU 13 akan datang. Benarkah gandingan TSP- salleh ini dikatakan menentukan darjat politik UMNO di Sabah? bersama kita fikirkan!