Wednesday, August 28, 2013



 Datuk Rahman Dahlan yang akan bertanding jawatan AMT UMNO pada pemilihan parti itu Oktober ini, adalah antara pemimpin muda yang diramal akan mudah menaiki tangga jawatan dalam pemilihan parti itu. MP Kota Belud ini,dilaporkan oleh media telah menyatakan sokongan keada pencalonan Musa Aman selaku Naib Presiden UMNO.Kenyataan itu disiarkan oleh Malaysiakini..

Seorang lagi tokoh Umno Sabah hari ini tampil menyatakan sokongan kepada ketua perhubungan Umno negeri Datuk Seri Musa Aman untuk merebut jawatan kerusi naib presiden parti dalam pemilihan Oktober depan.


Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga setiausaha BN negeri menyatakan sokongan tersebut kerana menurutnya Umno Sabah kini dianggap sebagai salah satu negeri kubu kuat Umno di Malaysia.


"(Musa Aman) belum mengumumkan secara rasmi akan bertanding kerusi naib presiden tetapi lebih ramai (bertanding) lebih bagus.

"Saya fikir beliau ada peluang yang baik untuk menang salah satu kerusi memandangkan Umno Sabah pada masa ini adalah salah satu Umno negeri yang paling kuat," katanya kepada pemberita pagi tadi.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata demikian ditanya sekiranya beliau menyokong seruan untuk Musa Aman bertanding kerusi itu yang dilaporkan dibuat 22 bahagian Umno Sabah.


Naib Presiden Umno dari Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebelum ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi tersebut dan pendirian yang sama turut dinyatakan dua lagi naib presiden lain - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Abdul Rahman turut membidas gesaan agar para menteri Kabinet tidak bertanding bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi dalam pemilihan kali ini.


"Saya tidak fikir (gesaan) itu betul kerana (jika gesaan itu diikuti) siapa yang akan jadi ahli majlis tertinggi?

"Biar ahli tentukan perkara ini kerana ahli-ahli Umno adalah sekumpulan orang yang bijak," katanya.

Beliau mengulas gesaan naib ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Tengku Putra Aminurrashid Tengku Hamid Jumat yang dilaporkan akhbar Sinar Harian semalam.


Menurut Tengku Putra, langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan dan percanggahan bidang kuasa para pemimpin terbabit. (Malaysiakini)

Monday, August 26, 2013

Pelantikan Ketua Pembangkang Sabah Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat Sabah oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak disenangi oleh beberapa anggota lain khususnya empat ADUN PKR Sabah.


Adun Matunggong Jelani Hamdan berkata, walaupun mereka menghormati keputusan Anwar melantik Lajim, yang dipercayai baru sahaja menyertai PKR baru-baru ini, mereka tidak berpuas hati kerana mereka tidak dibawa berunding atau mendapatkan pandangan mereka.


Menurutnya, beliau dan tiga lagi wakil rakyat PKR, Terrence Siambun (Moyog), Jeremy Malajad (Kadamaian) dan Christina Liew (Api-api), telah menyerahkan usul kepada kedua-dua Anwar dan Lajim berhubung isu-isu tertentu.


"Jika cadangan ini tidak diberi pertimbangan, kami tidak akan menerima mana-mana jawatan dalam sebarang jawatankuasa atau dalam parti," katanya pada Ahad.


Beliau juga berkata, mereka mungkin akan mencontohi pendekatan oleh rakan sejawat Adun Luyang (DAP), Hiew King Cheu dengan melepaskan semua jawatan mereka dalam parti ketika ini.


Walaupun mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan drastik seperti meninggalkan parti, katanya, mereka tidak akan terlibat dalam mana-mana aktiviti parti jika Anwar dan Lajim tidak menimbangkan usul mereka.


Usul berkenaan katanya, yang telah dipersetujui oleh Adun PKR Sabah, diberikan kepada Anwar semasa Rumah Terbuka Hari Raya yang diadakan oleh PKR di sebuah hotel, bulan lepas.


"Datuk Lajim tahu tentang usul ini kerana kami juga memberikannya satu salinan," katanya.


Bagaimanapun, empat wakil rakyat itu akan menunggu pelantikan Majlis Pemimpin PKR Sabah sebelum melakukan tindakan seterusnya.


"Kami akan menunggu siapa yang dilantik oleh Lajim ke dalam majlis itu nanti dan juga sama ada beliau akan menimbang dan menghormati usul kami," kata Jelani.


Katanya, Lajim menggantikan bekas Ketua PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini, ekoran petisyen oleh kira-kira 16 atau 17 Ketua atau pemangku Ketua Bahagian agar Thamrin berundur.


"Mungkin mereka mahu muka baharu (untuk mengetuai PKR Sabah)," katanya.


Beliau menyuarakan kebimbangan akan berlaku "kecederaan" dalam PKR Sabah sama seperti apabila Lajim dilantik sebagai Ketua Pembangkang Sabah.


Beliau merujuk Hiew sebagai "kecederaan" itu kerana menyokong Adun Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Bumburing sebagai Ketua Pembangkang negeri.


Anwar berkata pelantikan Lajim sebagai Ketua PKR Sabah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi parti.

Sunday, August 25, 2013

Pemerhati politik Kota belud, meramalkan pemilihan parti UMNO oktober ini akan hangat dari biasa. Bukan sekadar kehangatan ekoran pindaan perlembagaan parti itu yang menyaksikan lebih 150 ribu perwakilan layak mengundi untuk memilih pemimpin, tetapi juga penghapusan kouta pencalonan jawatan PRESIDEN dan Timbalan PRESIDEN. Ini bermakna kedua-dua jawatan utama dalam parti itu 'terbuka' untuk ditandingi.

Di peringkat Bahagian fenomena ini juga turut berlaku, ketua Bahagian akan tersedia kepada ahli-ahli parti untuk memikirkan sama ada berlakunya pertandingan atau sebaliknya. Di peringkat UMNO KB, awal-awal lagi jawatan berkenaan dipopularkan dengan pencabaran akan ditandingi oleh beberapa orang ahli UMNO yang berkedudukan kelas pertengahan. Setakat artikel ini ditulis sudah kedengaran 3 calon menawarkan diri bertanding Jawatan Ketua UMNO Bahagian, seorangh mantan AJK UMNO KB, seorang lagi Kontraktor berjaya, dan seorang lagi juga pemimpin kelas pertengahan. Namun penawaran diri itu hanya berlaku dalam dunia maya iaitu Fb, sahaja. Setakat ini belum ada roadshow yang dibuat dari cawangan ke cawangan oleh calon-calon yang manawarkan diri ini secara lebih teratur dan bertujuan untuk kempen.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah mantan Ketua UMNO KB, Datuk Musbah Jamli yang juga ADUN TEMPASUK merangkap pembantu menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Sabah. Datuk Musbah yang sebelum ini dicabar oleh Datuk Salleh dan kalah dalam pentandingan itu, masih berteka teki sama ada akan menawarkan diri mencabar Datuk Salleh atau sebaliknya. Perwakilan juga masih mengharapkan agar jawatan ketua Bahagian itu diperbincangkan, iaitu sama ada mengekalkan Datuk Salleh untuk penggal kedua ataupun Datuk Salleh memberikan laluan kepada calon yang difikirkan boleh menggalas jawatan berkenaan seperti yang dilakukan oleh beliau kepada Datuk Musbah dahulu.

Walau pun begitu, sumber-sumber terdekat membisikan bahawa Datuk Salleh bersedia untuk mempertahankan kedudukannya itu. Ini bermakna sesiapa juga yang berhasrat mahu kan jawatan Ketua Bahagian akan menyaksikan pertandingan. Pada hemat penulis, ketaringan politik Datuk Salleh bukan mudah untuk dilumpuhkan hanya Datuk Musbah yang sedikit sebanyak boleh mencabar kedudukan Datuk Salleh.

Dan jika berlaku pertandingan antara Datuk Salleh dan Datuk Musbah, calon-calon yang beriya-iya menawarkan diri dalam Fb harus memikirkan untuk mengundur diri sebaliknya memberikan sokongan kepada antara dua calon popular berkenaan supaya proses pemilihan pemimpin parti dapat berlangsung dengan meriah dan praktikal.

Sama ada Datuk Musbah akan mengulangi pertandingan merebut ketua UMNO Bahagian atau tidak, bersama kita tunggu
Setiap manusia ada kelebihannya begini juga berlaku pada kanak-kanak ini.

Manusia memerlukan cahaya untuk dapat melihat sesuatu dengan jelas, terutamanya di malam hari. Namun tidak bagi Nong Yousui. Budak yang berasal dari Dahua, China, ini dilahirkan dengan mata biru cerah dan boleh melihat jelas di dalam gelap sekalipun, seperti mata kucing.
Mata biru cerah Nong tak hanya membuatnya kelihatan unik, gurunya juga mendakwa bahawa mata Nong berubah menjadi bersinar dan berwarna hijau neon ketika disuluh dengan lampu.
Seorang wartawan tempatan dari China menyiapkan satu set untuk menguji kemampuan Nong. Ia diminta untuk duduk di dalam bilik gelap gelita. Nong menyelesaikan seluruh ujiannya dan membuktikan bahawa penglihatannya di malam hari sama dengan penglihatan di hari siang pada kebanyakan orang.
Para saintis mendedahkan bahawa hal ini sukar dipercayai. Penglihatan malam atau night vision ini biasanya dimiliki oleh haiwan tertentu, seperti kucing dan harimau. Keadaan ini dimungkinkan oleh adanya lapisan tipis sel yang dikenali sebagai tapetum lucidum. Masih belum diketahui secara pasti bagaimana boleh lapisan ini boleh dimiliki oleh manusia.


seorang doktor pakar mata kanak-kanak di State University of New York, ada mutasi genetik tunggal yang mungkin boleh membentuk tapetum lucidum sepenuhnya pada manusia dan berfungsi dengan baik walaupun sangat jarang berlaku. Sebab kemampuan semacam ini akan memerlukan beberapa mutasi dari generasi ke generasi dan tidak boleh terjadi dalam mutasi tunggal.
"Kira-kira 2 minggu selepas ia lahir saya diberitahu bahawa matanya berbeza. Kami kemudian membawanya ke rumah sakit dan doktor mengatakan kepada saya untuk tidak bimbang kerana seiring pertumbuhan usia matanya akan berhenti bersinar dan akan berubah menjadi hitam seperti kebanyakan orang China, tapi kenyataannya tak ada yang berubah, "ungkap ayah Nong, seperti dipetik dari Daily Mail.





Tuesday, August 20, 2013

 Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak menggesa Kementerian Pendidikan untuk memberikan kuasa lebih kepada Jabatan Pelajaran Sabah.

Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata usaha ini perlu untuk mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek dan program meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini, terutamanya di kawasan luar bandar yang mencapai keputusan kurang memberangsangkan dalam peperiksaan pusat.

"Perwakilan kuasa perlulah disokong dengan dana mencukupi dan mengurangkan proses birokrasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran guru-guru di sini hari ini.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata banyak usaha pembangunan pendidikan di Sabah terjejas berikutan amalan kini yang gemar merujuk ke Putrajaya berkaitan perkara-perkara remeh.

"Banyak bangunan sekolah di negeri ini memerlukan usaha penambahbaikan dan projek pendidikan tidak dilaksanakan secara sistematik kerana amalan ini," katanya sambil menambah, kuasa yang lebih kepada Jabatan Pelajaran Negeri adalah selari dengan transformasi bidang pendidikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kementerian Pendidikan sebelum ini telah bersetuju untuk mewakilkan kuasa kepada setiap Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak bagi menguruskan pemberian projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Konvensyen Tahunan ke-26, Parti Bersatu Sabah (PBS) di KDCA, Penampang dipetik sebagai berkata, ia adalah munasabah untuk mewakilkan kuasa itu, memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang besar dari segi jumlah mahupun saiz sekolah.

"Saya melihat kesesuaian dalam mewakilkan kuasa ini kepada Sabah dan Sarawak. Satu cara adalah mewakilkan kuasa itu kepada Pengarah Pelajaran negeri untuk melihat bagaimana sesetengah projek yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama-sama diuruskan," Muhyiddin dipetik sebagai berkata.

Dalam hal ini, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri berharap Kementerian Pendidikan dapat menyegerakan pelaksanaan perwakilan kuasa kepada Jabatan Pelajaran Sabah demi rakyat, negeri dan negara ini.

Monday, August 19, 2013

Jika khabar angin ini menjadi realiti bahawa ADUN N.7 KADAMAIAN EN UKOH @ JEREMY MALAJAD akan menyertai sebuah Parti PRO Kerajaan maka satu sejarah baru bagi Kawasan ADUN N7 KADAMAIAN dan Seorang ADUN baru dari Parti Pembangkang ( KEADILAN - PAKATAN RAKYAT ) berpaling tadah dari perjuangan asal Partinya, Kebenaran khabar angin ini juga menjadi bualan dikalangan beberapa pemimpin di daerah Kota Belud mala seperti " Pisang Panas " cakap-cakap di meja minum.

Encik Ukoh @ Jeremy ( PKR ) memenangi PRU 13 di Kawasan ADUN N.7 Kadamaian dengan mojiriti 889 sahaja mengalahkan calon BN mantan ADUN terdahulu Datuk Herbert Timbun Lagadan dan Peter Marajin ( SAPP ), Rubbin Guriba ( STAR ), Sejarah PRU 13 adalah diumpakan sebagai Tsunami kepada mana-mana parti yang bertanding, Keputusan PRU 13 ini juga menjadi satu kejutan mengurangkan mojiriti 2/3 Parlimen 133 ( BN ) Kerusi berbanding 140 ( PRU 12 ), juga menambahkan Calon ADUN dari Pembangkang di Negeri Sabah.



Perkhabran ini juga menjadi senyuman kepada para pemimpin sayap Parti PBRS di Kawasan Kota Belud dan menambahkan ADUN dari Kalangan parti ini di Dewan Undangan Negeri Sabah, kerana Parti PBRS menjadi pilihan kepada ADUN N.7 Kadamaian menurut berita tersebut jika fantasi ini menjadi realiti maka parti yang bercirikan KDM terutama di Kadamaian akan menarik nafas kerana diwakili oleh ADUN di Kalangan PRO Kerajaan namun disebalik kegembiraan ini juga akan menjadi tamparan kepada Parti PBS yang masih mengintai mewakili calon PRU 14 di Kadamaian akan datang , sementara itu adakah tenaga kerja Pejabat UPKR Kadamaian turut bertukar atau ditukar ?

Disebalik isu ini, bagaimanakah respon dari kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat Kota Belud , seperti Munirah Majilis , Mustapha Sakmud dan Laiman Ikin yang sama-sama melaungkan perjuangan Parti semasa PRU 13 juga ADUN kawasan lain ?, bagaimana hati dan suara Presiden Parti Keadilan Rakyat menjawab perkara ini nanti ?, " tranformasi " ini adakah 15 ribu pengundi di Kawasan Kadamaian terutama penyokong tegar PKR merestui hal ini ?.

Spekulasi ini tiba-tiba menjadi hangat disaat Pakatan Rakyat terus berusaha mendakwa membawa keputusan PRU 13 ke mahkamah untuk membatalkan keputusan atas sebab penipuan besar berlaku di sebalik penggunaan dakwat kekal , juga baru tiga bulan bergelar YB mewakili PKR di Dewan Rakyat Negeri Sabah , disebalik semua ini dan perkara sebenar hanya pada yang terlibat terutama YB Ukoh @ Jeremy M yang boleh menjawab , jikalau perkara ini demi kebaikan rakyat yang diwakilinya sudah tentu agenda tranformasi ini akan membawa kabar baik kepada semua masyarakat Kampung di Kadamaian.

Mengimbas pada sejarah dan merujuk kepada fakta politik di Sabah isu melompat parti di negeri ini dan memetik insiden ahli politik Sabah yang melompat parti pada sekitar 1994 terutama kalangan KDM menerima hukuman daripada masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) itu sendiri pada pilihan raya negeri 1999, adakah suasana ini masih menjadi ukuran pada PRU akan datang ?.

Menurut desas-desus penyertaan YB Ukoh dijangka akan membuat mengumumkan dalam masa terdekat sudah tentu keputusan ini realiti atau fantasi dalam wancana politik di Negara kita.

Sunday, August 18, 2013

'Baju Melayu Berbutang Lima, Ada Juga Berbutang Suasa, Orang Melayu Jangan Lupa, Hilang Kuasa Hilang Semua'-
Dr Rais Yatim AMT UMNO mengingatkan perwakilan bahawa musuh utama parti bukanlah keinginan seseorang untuk bertanding atau mencabar penyandang tetapi musuh utama UMNO adalah politik wang. Begitu lama UMNO bergelumang dengan skandal politik wang, sudah berapa lama ia berlaku? dan sudah berapa ramai pemimpin yang didapati terlibat yang kemudiannya diambil tindakan oleh lembaga displin parti? Namun nampak gayanya ia tidak memberi 'ancaman' kepada pemimpin yang menggunakan kekuatan poket untuk dipilih perwakilan.

Di Kota belud, tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa gejala politik wang juga berlaku dalam pemilihan parti itu. Sehingga akhirnya para perwakilan menjadikan pemilihan Bahagian sebagai pesta mengumpul 'angpau'. Setiap kali pemilihan, wang akan berjalan dan ia sangat mempengaruhi pemilihan pemimpin di Kota Belud.

Fenomena kelabu asap ini jika tidak dibendung lebih awal akan menimbulkan impak memanjang yang tragis dan memilukan. UMNO KB bukan sahaja akan kehilangan sinar dan bakat pemimpin muda atau pelapis, malah ia akan turut mewujudkan situasi tumpul di kalangan orang muda. Akibatnya generasi baru akan kurang berminat menyertai parti itu diperingkat cawangan hatta akan memandang sinis kepada kepimpinan yang naik atas faktor "poket" dan bukannya kelayakan yang sebenar menjadi pemimpin. Ulasan Tun Mahathir sangat relevan untuk kita renungi:

"Para pemimpin UMNO mesti komited membersihkan imej parti daripada tuduhan penyelewengan dan amalan 'cantas' sekiranya ingin menarik sokongan golongan muda serta profesional.

Tun M berkata, segelintir individu menyertai UMNO semata-mata untuk kepentingan peribadi , amalan 'cantas' juga sering berlaku apabila pihak yang tidak dicalonkan untuk jawatan yang diingini berusaha menjatuhkan lawan mereka.

"Pada pandangan saya, bukan UMNO yang bermasalah tetapi mereka yang menguruskannya,"

Para perwakilan digesa mengubah paradgima politik dengan tidak membenarkan langsung politik bercirikan wang mengambil tempat dalam pemilihan kali ini. Pengorbanan ini adalah sangat dituntut untuk memastikan tidak ada lagi pemimpin recycle yang berjaya menduduki singahsana atas faktor wang ringgit. Budaya mendapatkan undi dengan cara menabur wang ringgit wajar dihentikan. Bertarunglah dengan umpama panglima berada di padang yang rata berbekalkan ilmu di dada. Selamat bersidang!

Walaupun lebih 2/3 daripada keseluruhan 25 Bahagian UMNO Sabah menyatakan sokongan sekiranya Ketua Menteri Datuk Musa Aman berhasrat bertanding kerusi Naib Presiden UMNO, Oktober ini, namun pernyataan sokongan ini tidak wajar dijadikan faktor pertimbangan yang mutlak untuk Musa Aman bertindak terburu-buru bertanding kerusi nombor tiga dalam heraraki parti UMNO itu. Ini kerana kedudukan dan posisi Musa Aman di Sabah sekarang ini jauh lebih mantap dan utuh jika dibanding kalau beliau menduduki kerusi Naib Presiden. Musa Aman harus dapat membedakan antara keperluan, kehendak dan provokasi pihak-pihak tertentu yang mahukan beliau ‘meninggalkan’ kerusi sedia ada yang beliau miliki sekarang.

Datuk Musa Aman harus melihat lebih jauh apa matlamat beliau ‘mengorbankan’ Datuk Shafie Apdal yang sebelum ini telah ‘dimenangkan’ oleh perwakilan dari Sabah yang diketuai sendiri oleh Musa Aman selaku Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah. Musa Aman wajar melihat ‘ketekalan’ jawatan Naib Presiden UMNO itu dari kaca mata politik kehadapan. Sekiranya beliau berjaya menduduki jawatan Naib Presiden UMNO dengan “melacurkan’ keyakinannya kepada kredibiliti Datuk Shafie Apdal,maka apakah masa depan politiknya? Apakah adanya peluang untuk Musa Aman menduduki jawatan Timbalan Presiden ataupun kerusi Presiden UMNO? Secara matematiknya, kebarangkalian kemenjadian Musa Aman sebagai Timbalan Presiden dan Presiden UMNO adalah sangat tipis dari segi teori demokrasi dalam parti UMNO. Justeru adalah lebih terjamin kedudukan Musa Aman dengan mengekalkan perioritinya selaku Ketua Perhubungan UMNO negeri dan sebagai ketua menteri Sabah merangkap menteri kewangan.

Datuk Anifah Aman yang juga adik kepada Musa Aman ketika ditanya mengenai kemungkinan hasratnya bertanding AMT UMNO, Menteri Luar ini menyatakan bahawa buat masa sekarang beliau tidak mahu bertanding kerana tidak dapat membahagikan masa antara tugas menteri dengan tugas dalam parti. Walaupun alasan ini dianggap alasan selamat namun ada kebenarannya.Musa Aman wajar pada hemat sayamempertimbangkan ‘alasan selamat’ ini untuk tidak bertanding kerusi Naib Presiden UMNO walaupun dikatakan dibayangi oleh kenyataan sokongan Timbalan Ketua perhubungan UMNO negeri, Datuk Salleh Tun Said dan setiausaha UMNO negeri, yang juga timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin. Musa Aman perlu dalam melebarkan jurang beza antara tugas mengurus negeri dengan tugas dalam parti.


Buat masa ini m,asa depan UMNO negeri Sabah,masih berpandu arah kepada kedudukan Musa Aman selaku ketua perhubungan walaupun Datuk Shafie Apdal berstatus Naib Presiden UMNO. Adalah lebih menang-menang atau win-win situation dengan membiarkan Datuk Shafie kekal sebagai Naib. Hanyasanya yang perlu dilakukan ialah merapatkan sokongan dan perpaduan antara mereka supaya kemantapan dan kejelekitan peranan dapat dimuktamadkan. Dengan mengorbankan Datuk Shafie hanya kerana atas alasan tidak sehaluan tidak akan ‘mendewakan’ Musa Aman dimata PM Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperkara yang harus dilihat oleh perwakilan UMNO negeri Sabah ialah peranan yang sangat besar yang dimainkan oleh Musa Aman dengan melonjakkan perekonomian negeri termasuk pengurangan kadar kemiskinan dan meningkatkan rezab kewangan negeri. Kejayaan ini harus dikekalkan, maka jika tumpuan itu perlu dikekalkan bebanan tugas harus dikurangkan bukan sebaliknya ditambah. Betapa pun geniusnya seorang pemimpin, dia tidak akan dapat melaksanakan kesemua tugasnya dengan cemerlang, apatah lagi mengetuai kerajaan negeri jauh bedanya dengan tugas mengemudi sebuah parti yang besar seperti UMNO.

Jangan kerana hasrat pihak tertentu mahukan Musa Aman dihijrahkan ke pusat dan mengharapkan kemerosotan prestasi di peringkat negeri, maka Musa Aman terpedaya dan akhirnya Sabahakan mendapat ketua perhubungan yang baru. Pasti pada PRU14, nakhoda negeri akan ditukar, walaupun ia bukan prasyarat untuk itu semua.

Saturday, August 17, 2013

Dalam organisasi kepartian, tidak ada siapa yang berhak mendakwa bahawa dialah tonggak kepada keutuhan organisasi parti tersebut, baik dari peringkat cawangan hingga kepada peringkat tertinggi parti. Semuanya baik sebagai hanya seorang perwakilan, atau ketua bahagian hatta presiden parti sekalipun, mempunyai peranan dari segi keterlibatan dalam memastikan menjadi sokongan kepada keutuhan dan kesatbilan parti.

Justeru itu jika berlaku persaingan dalam perebuatan dalam apa juga jawatan dalam parti, ia harus diurus dalam suasana kekeluargaan dan bukan atas dasar dendam dan kesumat. Pertandingan dalam parti adalah manifestasi dalam pencarian seorang "KETUA" yang mempunyai daya juang dan sandaran idealisme bagi penganut parti tersebut.

Dalam UMNO KOTA BELUD, pertandingan merebuat ketua Bahagian rasanya tidak dapat dielakkan. Jikapun bukan bertujuan mencabar kepimpinan sedia ada, mungkin ia berkait kepada penawaran diri berkhidmat kepada parti. Jika sebelum ini pelbagai watak dikatakan akan bertindak mencabar Datuk Salleh sebagai Ketua UMNO Bahagian setelah pertarungan paling sengit dalam sejarah UMNO KB apabila DSSK bertindak mencabar Datuk Musbah Jamli berakhir. Maka jika sekarang ini DSSK dicabar pula, justeru tidak harus ada prasangka negatif, kerana beliau juga pernah mencabar kepimpinan orang lain.

Seperti yang saya katakan dari awal lagi, pertandingan dalam parti tidak harus dirujuk sebagai perbedaan sebaliknya wajar diraikan untuk mengangkat kualiti kepimpinan dalam parti. Adalah menjadi hak mutlak yang tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah pun bahawa seorang ahli parti berhak bertanding pada apa-apa juga jawatan yang dirasakan perlu dan hak itu harus dihormati dan disanjungi oleh ahli-ahli parti melainkan jika beberapa syarat dilanggari.

Keberanian dan kecekalan Sdr Rosmin kasan, sorang pemimpin UMNO KB kelas pertengahan dalam menyatakan hasrat bertanding ketua UMNO KB, sewajarnya dilihat sebagai satu permulaan murni mengcungkil bakat kepimpinan pelapis. Tidak timbul team siapa, tidak timbul team Datuk Shafie dan sebagainya, kerana dalam organisasi kepartian kumpulan dan kelompok adalah kesemulajadian demokrasi dalam mengangkat kredibiliti kepimpinan. Kita tidak tahu siapa lagi selepas ini yang akan menawarkan diri mencabar Datuk Salleh?

Saya petik kata-kata Sdr Rosmin dalam wall Fcbnya:

Saya doakan semoga dia berhenti dari mengungkit segala yg pernah d bagi&berhenti membuat penghinaan,biarlah kita ikhlas dalam apa juga pemberian kita,jgnlah kita menganggap musuh pada ahli2 UMNO yg ingin menawarkan diri untuk bertanding jawatan d bahagian,ingatlah kata orang Alim,pada harta kita ada 2 hak yg perlu kita ketahui:
1.Hak orang yg tidak meminta
&2.Hak orang yg meminta
-Kata2 yg meninggi diri serta merendah-merendahkan orang lain boleh menyebabkan kita terjerumus kelembah kedosaan.Terimalah hakikat bahawa apa yg berlaku ada hikmahnya&mungkin perkara yg kita benci itu tersimpan seribu kebaikan-Saya menawarkan diri bertanding bukan mencari musuh,biarlah kita letakkan silaturrahim melebihi kepentingan politik-Ikhlas dari saya,salam perjuangan!
Hanya ahli UMNO KB yang tulus, ikhlas dan tidak dipengaruhi oleh warna-warna wang ringgit yang akan memilih berdasarkan penilian semasa dapat menyempurnakan kehendak demokrasi kepartian itu. Ahli-ahli UMNO KB wajar dibebaskan dari cengkaman kekeliruan antara kepimpinan parti dan kepimpinan individu, antara kepentingan umum dengan kepentingan peribadi.
Selamat Bersidang dan berjuang.!!
Isu kerajaan perpaduan antara BN dengan PKR yang telah timbul sejak hampir seminggu lalu sehingga menyebabkan ada yang deman sejuk, demam panas, migrain dan sebagainya, akhirnya mendapat jawapan daripada Pejabat Perdana Menteri yang menafikan wujud sebarang usaha ke arah itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pejabat Perdana Menteri menyatakan, usaha ke arah pembentukan kerajaan perpaduan ini tidak mungkin dilakukan ketika ini kerana Anwar dan Pakatan Rakyat masih menolak keputusan pilihanraya umum yang lalu.

Kenyataan itu juga menyebut, andaian bahawa wujudanya usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan itu hanyalah rekaan dan imaginasi penulis beberapa portal berita tertentu sahaja.

Sebelum ini, Najib dilaporkan sedang mengusahakan pembentukan kerajaan perpaduan dengan PKR dengan menawarkan kepada Anwar jawatan Timbalan Perdana Menteri dan lima jawatan menteri kabinet. Dilaporkan bahawa bekas Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla menjadi orang tengah kepada usaha itu.

Kemudiannya, Anwar mengesahkannya kepada Asia Sentinel bahawa beliau dihubungi oleh Najib melalui perantara untuk pembentukan kerajaan perpaduan itu tetapi telah menolaknya sebelum sempat ia menjadi kenyataan atas alasan isu-isu perkauman yang berterusan dimainkan oleh UMNO menjadi antara penghalangnya.

Terbaru The Edge Review pula mendetailkan lagi mengenai usaha pembentukan itu dengan menyebut nama Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution sebagai orang kanan daripada UMNO dan PKR yang sedangkan merundingkan beberapa aspek teknikal bagi memungkinkan idea kerajaan perpaduan itu menjadi kenyataan.

Najib dikatakan memilih PKR untuk berbaik-baik dan menguatkan lagi kerajaannya bukan saja kerana PKR sebuah parti berbilang kaum yang boleh menampung kelompongan wakil Cina dan India dalam kerajaan tetapi juga dikatakan sebagai langkah membuka gelanggang baru untuk keluar dari pengaruh dan bayang-bayang Mahathir yang sehingga kini masih mahu menunjukkan pengaruhnya dalam UMNO dan kerajaan.

Bagaimanapun isu kerajaan perpaduan ini menimbulkan rasa kurang senang di kedua-dua belah pihak. Di dalam PKR sendiri ramai yang tidak setuju atas alasan penentangan terhadap UMNO selama ini ialah berkaitan isu pokok seperti rasuah, penyelewengan, pembaziran dan sebagainya yang tidak boleh dikompromi sama-sekali.

Dalam masa yang sama, Anwar juga mula dikecam secara diam-diam kerana bersetuju berunding dengan UMNO mengenai kerajaan perpaduan itu kerana ia dianggap mengkhianati Pas dan DAP yang selama ini begitu setia dengan Anwar sejak beliau dipecat daripada UMNO dN kerajaan.

Di dalam UMNO pula, ramai yang turut tidak setuju dengan kerajaan perpaduan ini kerana merasakan Anwar bukanlah musuh politik yang boleh ditukar menjadi kawan. Ramai yang kecewa dan sakit hati jika Anwar yang dimusuhi dan diserang selama bertahun-tahun ini tiba-tiba bertukar menjadi rakan kepada Najib serta sebahagian daripada anggota kerajaan.

Secara diam-diam, sudah ada kedengaran suara-suara yang mengecam dan memaki-hamun Najib jika benar beliau mahu berbaik-baik dengan Anwar. Malah, ada yang mencadangkan agar Najib ditentang bagi jawatan Presiden UMNO pada pemilihan 19 Oktober depan bagi menghalang usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan itu daripada menjadi kenyataan.

Walaupun Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu hari ini, persoalan yang masih bermain-main di fikiran ramai orang ialah kenapa penafian ini begitu lewat dikeluarkan? Kenapa setelah hampir seminggu berita megenainya berlegar-legar di ruang atmosfera politik negara, baru ia mahu dinafikan oleh Najib?

Dalam dunia langit terbuka dan semuanya serba pantas sekarang serta mengetahui berita tidak perlu lagi menunggu terbitnya akhbar pada keesokan harinya, tindakan Pejabat Perdana Menteri yang terlalu lewat menafikan perkara ini tetap menyundang persoalan yang sukar dirungkaikan.

Sepatutnya jika benar usaha mewujudkan kerajaan perpaduan ini tidak benar dan laporan Asia Sentinel serta The Edge Review adalah palsu, tidak perlulah Pejabat Najib menunggu sehingga hampir seminggu untuk menjelaskan duduk perkara sebenarnya. Lagi pula, Najib juga mempunyai laman Facebook dan Twitter, yang kononnya antara paling aktif di kalangan pemimpin dunia, bukankah bila-bila masa beliau boleh menaip sendiri melalui telefon pintar yang dimilikinya?

Atau mungkinkah usaha mewujudkan kerajaan perpaduan ini sebenarnya memang wujud dan ia hanya terhalang kerana respon ahli dan pemimpin UMNO yang tidak begitu memberangsangkan terhadap idea itu?

Apakah Najib sebenarnya ingin meninjau-ninjau sambutan ahli dan pemimpin UMNO terlebih dahulu, jika sambutannya okey, ia bolehlah diteruskan tetapi jika tidak, barulah dikeluarkan penafian dan menolaknya.

Timbul juga persoalan bila penjelasan Najib menyebut rundingan ke arah kerajaan perpaduan tidak mungkin berlaku sehingga Anwar dan PR menerima keputusan pilihanraya lalu serta tidak lagi mempertikaikannya. Adakah ini bermakna, ia hanya tidak mungkin berlaku sekarang tetapi boleh berlaku selepas ini jika Anwar sudah akur dengan keputusan pilihanraya lalu?

Hakikatnya, penjelasan Najib turut menimbulkan beberapa persoalan dan keresahan yang berterusan.

Oleh kerana Anwar yang mula-mula membangkitkan mengenai kerajaan perpaduan ini dan Najib pula hanya menafikannya setelah hampir seminggu ia muncul, adalah penting untuk Anwar sekali lagi menjelaskan kedudukan sebenarnya. Beliau perlu menyatakan sama ada ia pernah dibincangkan atau tidak, secara langsung atau melalui wakil atau turut menafikan sebagaimana yang dilakukan oleh Pejabat Perdana Menteri itu.

Zahid Hamidi dan Saifuddin Nasuition yang disebut sebagai dua pemimpin kanan UMNO dan PKR yang sedang menjayakan usaha itu juga perlu tampil menjelaskannya kepada umum.

Hanya setelah semua itu diterangkan dengan seterang-terangnya, barulah kita tahu siapa yang berbohong dan siapa yang bercakap benar dalam isu ini.

Friday, August 16, 2013

Walaupun Datuk Shafie Apdal bersama dua lagi naib presiden UMNO Datuk Zahid Hamidi dan Datuk Hisyamuddin  telah mengeluarkan kenyatan akan mempertahankan jawatan berkenaan pada pemilihan parti pada oktober tahun ini, namun di Sabah sudah ada gerakan yang tidak merestui ahli parlimen Semporna itu untuk kekal sebagai naib presiden UMNO.

Sudah ada di kalangan pemimpin UMNO Sabah yang mula memancing undi perwakilan dengan mencadangkan ketua menteri Sabah Datuk Musa Aman menduduki kerusi naib presiden itu. Timbalan ketua menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin bersama ADUN USUKAN yang juga Speaker DUN Datuk Salleh Tun Said begitu berkobar-kobar mahu 'mengorbankan' Datuk Shafie Apdal bagi perebutan jawatan Naib dengan membuat sokongan terbuka kepada pencalonan Musa Aman. Kedua-dua politikus ini berselindung di sebalik rasional 'tertentu' untuk mengenepikan Datuk Shafie Apdal. Sesuatu yang memeranjatkan politik sabah kerana bagaimana kerusi NAIB PRESIDEN yang telah diduduki oleh pemimpin dari Sabah, direbuti dan ingin diberikan kepada pemimpin yang juga dari UMNO SABAH. Apakah ini petandanya bahawa serampang dua mata atau serampang bermata-mata memang telah dan digunakan oleh pemimpin UMNO SABAH untuk kepentingan politik peribadi?

KOTA KINABALU, 16 Ogos (Bernama) -- Umno Sabah akan "berkomunikasi" dengan rakan Umno di Semenanjung berhubung kewajaran mencalonkan Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.
"Sebagai pemimpin dari Sabah, kami mempunyai alasan kukuh dan kami berpendapat mereka dapat diyakinkan dan bersetuju dengan kami bahawa Musa pilihan terbaik untuk mengisi satu daripada tiga jawatan naib presiden," kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubugan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, di sini hari ini.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Yahya Hussin baru-baru ini bahawa Umno Sabah sudah bersedia menggerakkan jenteranya sekiranya Musa memutuskan bertanding jawatan itu.
Yahya juga dipetik sebagai berkata setakat ini lebih 20 Bahagian Umno telah mengikrarkan sokongan padu kepada Musa, dan menambah Ketua Menteri ialah antara tiga calon teratas bagi jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti bagi dua penggal berturut-turut.
"Sokongan padu daripada lebih 20 Bahagian itu atas keyakinan mereka terhadap keupayaan dan kapasiti Datuk Seri Musa sebagai pemimpin parti," kata Timbalan Ketua Menteri.
Salleh berkata kejayaan Musa menerajui Barisan Nasional (BN) Sabah mengekalkan kuasa di negeri ini dengan majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 60 kawasan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, telah membuktikan komitmen, kerja keras dan kesetiaan beliau kepada
parti.
BN negeri juga memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah untuk menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN di peringkat persekutuan.
Salleh juga melahirkan keyakinan Musa akan mampu, bersama-sama dengan pemimpin yang lain, memperkukuhkan Umno untuk menang selesa dalam pilihan raya umum akan datang.
"Beliau (Musa) akan memberikan pendapatnya secara jujur dan ikhlas mewakili bukan sahaja Sabah tetapi juga anggota parti.
"Naib Presiden ialah jawatan penting dalam parti dan anggota mesti diberikan pilihan. Kami pasti akan memberikan pandangan kami kepada rakan-rakan di Kuala Lumpur mengenai Ketua Menteri kami.
"Apa pun, Musa yang akan memberikan kata putus (sama ada akan bertanding atau tidak) selepas menimbangkan semua faktor demi kebaikan Sabah dan parti," kata Salleh.