Friday, August 16, 2013

Walaupun Datuk Shafie Apdal bersama dua lagi naib presiden UMNO Datuk Zahid Hamidi dan Datuk Hisyamuddin  telah mengeluarkan kenyatan akan mempertahankan jawatan berkenaan pada pemilihan parti pada oktober tahun ini, namun di Sabah sudah ada gerakan yang tidak merestui ahli parlimen Semporna itu untuk kekal sebagai naib presiden UMNO.

Sudah ada di kalangan pemimpin UMNO Sabah yang mula memancing undi perwakilan dengan mencadangkan ketua menteri Sabah Datuk Musa Aman menduduki kerusi naib presiden itu. Timbalan ketua menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin bersama ADUN USUKAN yang juga Speaker DUN Datuk Salleh Tun Said begitu berkobar-kobar mahu 'mengorbankan' Datuk Shafie Apdal bagi perebutan jawatan Naib dengan membuat sokongan terbuka kepada pencalonan Musa Aman. Kedua-dua politikus ini berselindung di sebalik rasional 'tertentu' untuk mengenepikan Datuk Shafie Apdal. Sesuatu yang memeranjatkan politik sabah kerana bagaimana kerusi NAIB PRESIDEN yang telah diduduki oleh pemimpin dari Sabah, direbuti dan ingin diberikan kepada pemimpin yang juga dari UMNO SABAH. Apakah ini petandanya bahawa serampang dua mata atau serampang bermata-mata memang telah dan digunakan oleh pemimpin UMNO SABAH untuk kepentingan politik peribadi?

KOTA KINABALU, 16 Ogos (Bernama) -- Umno Sabah akan "berkomunikasi" dengan rakan Umno di Semenanjung berhubung kewajaran mencalonkan Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.
"Sebagai pemimpin dari Sabah, kami mempunyai alasan kukuh dan kami berpendapat mereka dapat diyakinkan dan bersetuju dengan kami bahawa Musa pilihan terbaik untuk mengisi satu daripada tiga jawatan naib presiden," kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubugan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, di sini hari ini.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Yahya Hussin baru-baru ini bahawa Umno Sabah sudah bersedia menggerakkan jenteranya sekiranya Musa memutuskan bertanding jawatan itu.
Yahya juga dipetik sebagai berkata setakat ini lebih 20 Bahagian Umno telah mengikrarkan sokongan padu kepada Musa, dan menambah Ketua Menteri ialah antara tiga calon teratas bagi jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti bagi dua penggal berturut-turut.
"Sokongan padu daripada lebih 20 Bahagian itu atas keyakinan mereka terhadap keupayaan dan kapasiti Datuk Seri Musa sebagai pemimpin parti," kata Timbalan Ketua Menteri.
Salleh berkata kejayaan Musa menerajui Barisan Nasional (BN) Sabah mengekalkan kuasa di negeri ini dengan majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 60 kawasan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, telah membuktikan komitmen, kerja keras dan kesetiaan beliau kepada
parti.
BN negeri juga memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah untuk menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN di peringkat persekutuan.
Salleh juga melahirkan keyakinan Musa akan mampu, bersama-sama dengan pemimpin yang lain, memperkukuhkan Umno untuk menang selesa dalam pilihan raya umum akan datang.
"Beliau (Musa) akan memberikan pendapatnya secara jujur dan ikhlas mewakili bukan sahaja Sabah tetapi juga anggota parti.
"Naib Presiden ialah jawatan penting dalam parti dan anggota mesti diberikan pilihan. Kami pasti akan memberikan pandangan kami kepada rakan-rakan di Kuala Lumpur mengenai Ketua Menteri kami.
"Apa pun, Musa yang akan memberikan kata putus (sama ada akan bertanding atau tidak) selepas menimbangkan semua faktor demi kebaikan Sabah dan parti," kata Salleh.

0 ulasan :