Sunday, August 18, 2013


Walaupun lebih 2/3 daripada keseluruhan 25 Bahagian UMNO Sabah menyatakan sokongan sekiranya Ketua Menteri Datuk Musa Aman berhasrat bertanding kerusi Naib Presiden UMNO, Oktober ini, namun pernyataan sokongan ini tidak wajar dijadikan faktor pertimbangan yang mutlak untuk Musa Aman bertindak terburu-buru bertanding kerusi nombor tiga dalam heraraki parti UMNO itu. Ini kerana kedudukan dan posisi Musa Aman di Sabah sekarang ini jauh lebih mantap dan utuh jika dibanding kalau beliau menduduki kerusi Naib Presiden. Musa Aman harus dapat membedakan antara keperluan, kehendak dan provokasi pihak-pihak tertentu yang mahukan beliau ‘meninggalkan’ kerusi sedia ada yang beliau miliki sekarang.

Datuk Musa Aman harus melihat lebih jauh apa matlamat beliau ‘mengorbankan’ Datuk Shafie Apdal yang sebelum ini telah ‘dimenangkan’ oleh perwakilan dari Sabah yang diketuai sendiri oleh Musa Aman selaku Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah. Musa Aman wajar melihat ‘ketekalan’ jawatan Naib Presiden UMNO itu dari kaca mata politik kehadapan. Sekiranya beliau berjaya menduduki jawatan Naib Presiden UMNO dengan “melacurkan’ keyakinannya kepada kredibiliti Datuk Shafie Apdal,maka apakah masa depan politiknya? Apakah adanya peluang untuk Musa Aman menduduki jawatan Timbalan Presiden ataupun kerusi Presiden UMNO? Secara matematiknya, kebarangkalian kemenjadian Musa Aman sebagai Timbalan Presiden dan Presiden UMNO adalah sangat tipis dari segi teori demokrasi dalam parti UMNO. Justeru adalah lebih terjamin kedudukan Musa Aman dengan mengekalkan perioritinya selaku Ketua Perhubungan UMNO negeri dan sebagai ketua menteri Sabah merangkap menteri kewangan.

Datuk Anifah Aman yang juga adik kepada Musa Aman ketika ditanya mengenai kemungkinan hasratnya bertanding AMT UMNO, Menteri Luar ini menyatakan bahawa buat masa sekarang beliau tidak mahu bertanding kerana tidak dapat membahagikan masa antara tugas menteri dengan tugas dalam parti. Walaupun alasan ini dianggap alasan selamat namun ada kebenarannya.Musa Aman wajar pada hemat sayamempertimbangkan ‘alasan selamat’ ini untuk tidak bertanding kerusi Naib Presiden UMNO walaupun dikatakan dibayangi oleh kenyataan sokongan Timbalan Ketua perhubungan UMNO negeri, Datuk Salleh Tun Said dan setiausaha UMNO negeri, yang juga timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin. Musa Aman perlu dalam melebarkan jurang beza antara tugas mengurus negeri dengan tugas dalam parti.


Buat masa ini m,asa depan UMNO negeri Sabah,masih berpandu arah kepada kedudukan Musa Aman selaku ketua perhubungan walaupun Datuk Shafie Apdal berstatus Naib Presiden UMNO. Adalah lebih menang-menang atau win-win situation dengan membiarkan Datuk Shafie kekal sebagai Naib. Hanyasanya yang perlu dilakukan ialah merapatkan sokongan dan perpaduan antara mereka supaya kemantapan dan kejelekitan peranan dapat dimuktamadkan. Dengan mengorbankan Datuk Shafie hanya kerana atas alasan tidak sehaluan tidak akan ‘mendewakan’ Musa Aman dimata PM Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperkara yang harus dilihat oleh perwakilan UMNO negeri Sabah ialah peranan yang sangat besar yang dimainkan oleh Musa Aman dengan melonjakkan perekonomian negeri termasuk pengurangan kadar kemiskinan dan meningkatkan rezab kewangan negeri. Kejayaan ini harus dikekalkan, maka jika tumpuan itu perlu dikekalkan bebanan tugas harus dikurangkan bukan sebaliknya ditambah. Betapa pun geniusnya seorang pemimpin, dia tidak akan dapat melaksanakan kesemua tugasnya dengan cemerlang, apatah lagi mengetuai kerajaan negeri jauh bedanya dengan tugas mengemudi sebuah parti yang besar seperti UMNO.

Jangan kerana hasrat pihak tertentu mahukan Musa Aman dihijrahkan ke pusat dan mengharapkan kemerosotan prestasi di peringkat negeri, maka Musa Aman terpedaya dan akhirnya Sabahakan mendapat ketua perhubungan yang baru. Pasti pada PRU14, nakhoda negeri akan ditukar, walaupun ia bukan prasyarat untuk itu semua.

0 ulasan :