Tuesday, August 20, 2013

 Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak menggesa Kementerian Pendidikan untuk memberikan kuasa lebih kepada Jabatan Pelajaran Sabah.

Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata usaha ini perlu untuk mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek dan program meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini, terutamanya di kawasan luar bandar yang mencapai keputusan kurang memberangsangkan dalam peperiksaan pusat.

"Perwakilan kuasa perlulah disokong dengan dana mencukupi dan mengurangkan proses birokrasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran guru-guru di sini hari ini.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata banyak usaha pembangunan pendidikan di Sabah terjejas berikutan amalan kini yang gemar merujuk ke Putrajaya berkaitan perkara-perkara remeh.

"Banyak bangunan sekolah di negeri ini memerlukan usaha penambahbaikan dan projek pendidikan tidak dilaksanakan secara sistematik kerana amalan ini," katanya sambil menambah, kuasa yang lebih kepada Jabatan Pelajaran Negeri adalah selari dengan transformasi bidang pendidikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kementerian Pendidikan sebelum ini telah bersetuju untuk mewakilkan kuasa kepada setiap Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak bagi menguruskan pemberian projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Konvensyen Tahunan ke-26, Parti Bersatu Sabah (PBS) di KDCA, Penampang dipetik sebagai berkata, ia adalah munasabah untuk mewakilkan kuasa itu, memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang besar dari segi jumlah mahupun saiz sekolah.

"Saya melihat kesesuaian dalam mewakilkan kuasa ini kepada Sabah dan Sarawak. Satu cara adalah mewakilkan kuasa itu kepada Pengarah Pelajaran negeri untuk melihat bagaimana sesetengah projek yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama-sama diuruskan," Muhyiddin dipetik sebagai berkata.

Dalam hal ini, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri berharap Kementerian Pendidikan dapat menyegerakan pelaksanaan perwakilan kuasa kepada Jabatan Pelajaran Sabah demi rakyat, negeri dan negara ini.

0 ulasan :