Thursday, December 30, 2010


Apabila saya mengambil keputusan untuk menulis perihal tajuk ini, saya terfikir sejenak, apakah saya akan terus-terusan dilabel sebagai penulis upahan? walaupun pada penulisan yang terdahulu saya juga mengetengahkan keperluan Datuk Rahman selaku MP Parlimen di Kota Belud. Sedang saya juga memaparkan apakah natijahnya jika Ketua UMNO Bahagian iaitu Datuk Salleh dikembalikan ke Usukan dan TSP ke Parlimen KB pada PRU akan datang. Namun idea asal kepada penulisan ini adalah lahir dari perbincangan saya dengan seorang AJK Bahagian UMNO yang cuba mengulas keseluruhan personaliti pemimpin politik di daerah Kota Belud. Perbincangan yang diselang seli dengan pelbagai isu itu bersifat netural dan melihat secara jauh keperluan Datuk Musbah di kekalkan di DUN Temapsuk.


Datuk Musbah secara awalnya bukanlah seorang yang asing bagi masyarakat Kota Belud. Berasal dari keluarga petani dan beliau asalnya adalah seorang usahawan di Kg Taun Gusi. Melibatkan diri dalam politik sehingga mencapai tahap tinggi sekarang apabila dilantik sebagai Pembantu menteri Pertanian dan asas tani walaupun 'gagal' mempertahankan kedudukannya sebagai ketua UMNO KB daripada pencabarnya Datuk Salleh Tun Said. Secara asasnya projek Jelapang Padi dan Agropolitan KB sering dikaitkan dengan Datuk Musbah walaupun pada realitinya projek mega berdaya saing itu telah mula dicetuskan seawal Tan Sri Pandikar menjadi wakil rakayat di Tempasuk lagi. Walaupun begitu dari mana datang idea Jelapang padi itu tidak penting kerana yang lebih menonjol ialah keterbukaan dan kesungguhan Datuk Musbah meralisasikan projek tersebut.

Antara yang menjadi rutin YB Datuk Musbah ini ialah menghadiri majlis kenduri dan majlis perkahwinan di daerah Kota Belud. Apa yang memeranjatkan ialah sikap serta pendekatan Datuk Musbah yang begitu tidak mementingkan protokol. Beliau datang kadfang-kadang seorang diri dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda dan tidak pula segan silu duduk bersama dengan rakyat biasa. Mendengar permasalahn mereka dan sedaya upaya untuk menyelesaikannya. Sikap berjiwa rakyat ini, nampaknya telah melahirkan poersefahaman akar umbi dan mengurangkan jurang antara seorang YB dengan rakyat yang mendukungnya. Oleh kerana itu tidak hairan jika Datuk Musbah begitu disenangi sehingga di minta menyumbangkan beberapa lagu dalam majlis perkahwinan yang dihadirinya.

Memang kita akui bahawa setiap pemimpin mempunyai kelebihan tersendiri. Misalnya Datuk salleh juga dilihat sebagai seorang yang lebih mementingkan pencapaian akademik masyarakat di KB. Tidak janggal jika kita melihat ketua Umno KB ini sering merasmikan acara-acara di sekolah sekitar daerah Kota Belud.

Sebagai satu jaminan bahawa projek Jelapang padi ini dapat direalisasikan seperti yang dirancang , adalah lebih baik sekiranya YB datuk Musbah terus diberikan mandat untuk menjadi wakil rakyat di Tempasuk pada PRU 13 akan datang. Apa yang penting ialah sokongan akar umbi yang tidak berbelah bahagi. Itupun terpulang kepada pengundi di Kota Belud untuk menilai beliau.

Wednesday, December 29, 2010



Pengguguran dua tokoh politik Kota Belud, datuk salleh Tun said dan Tan Sri Pandikar Amin pada PRU 12 yang lepas dianggap oleh kebanyakkan penganalisis politik tempatan sebagai satu “kesilapan” besar pimpinan BN negeri dan Pusat. Asasnya adalah pada hujah bahawa kedua-dua pemimpin ini mempunyai kridebiliti politik yang menyakinkan iaitu berpaksi kepada ‘kesetiaan’ total kepada kehendak pucuk pimpinan. Sebab itu sambung mereka lagi, kedua-dua pemimpin ini ‘tidak’ berpaling tadah , sebaliknya membantu kemenangan calon BN iaitu dari UMNO pada waktu itu. Justeru, adalah wajar pada anggapan pemerhati politik kedua-dua tokoh paling konsisten dalam landskap politik Sabah ini diberikan tempat pada PRU 13 akan datang?



Apa yang menjadi misteri politik di Sabah dan Kota Belud, ialah apakah punca besar kepada ‘pengguguran’ itu? Apakah kerana Salleh dan Pandikar serta beberapa orang lagi digugurkan berikutan ‘kegagalan’ mereka sebagai wakil rakyat di kawasan mereka? Atau kerana ada ‘musuh’ politik peringkat tertinggi yang mahu ‘memusnahkan’ pengaruh politik kedua-dua tokoh ini? Atau mungkin juga kerana mereka menjadi ‘kambing hitam’ sehingga terpaksa digugurkan untuk memberi laluan kepada pemimpin pilihan Khairy Jamaludin, yang waktu itu dikatakan sebagai “master mind” pemilihan calon PM ketika itu yang juga Mertuanya, Tun Abdullah?



Cuba kita ulas satu persatu hujah ini supaya ‘punca’ kepada pengguguran itu dapat dimuktamadkan. Pertama ialah mengenai apa yang dikatakan sebagai ‘kegagalan’ sebagai wakil rakyat. Walaupun hujah pertama ini nampak lebih luas ,mencakupi pelbagai bidang dan aspek, namun jika ditinjau dari sudut pembangunan fizikal kawasan yang mereka wakili, nyata prestasi kedua-dua tokoh ini berada pada paras ‘rendah’. Ini berpandukan kepada di mana kedua-dua tokoh ini pernah menjadi wakil rakyat. Datuk Salleh, mungkin boleh berbangga kerana membawa jalan raya Tuaran- Kota Belud ketika menjadi Ketua Menteri pada pasca penggiliran jawatan berkenaan, tetapi pada waktu yang sama, Datuk Salleh harus akur bahawa tidak banyak pembangunan asas yang dibawa oleh beliau di kawasan DUN USUKAN walaupun berdekad menjadi wakil rakyat di kawasan itu. Soal keperluan asas penduduk seperti, bekalan air, bekalan elektrik, jalan raya beraspal, perkembangan sektor pertanian melibatkan penanaman padi, sektor perikanan dan usahawan desa serta pengcungkilan kepimpinan belia, boleh dikatakan sebagai tidak berlaku.




Pandikar Amin juga ketika ‘bertahkta’ di DUN TEMPASUK, masalah keperluan asas juga ‘gagal’ diselesaikan oleh beliau, meskipun pelbagai ‘janji’ ditaburkan. Saya masih ingat ketika berkempen TSP pernah ‘berjanji’ akan menyelesaikan isu sistem perparitan dan pengairan ke kawasan sawah padi tetapi tidak ‘tertunai’, walaupun perlbagai portfolio pernah disandang seperti menteri Pertanian Perikanan, dan menteri di Jabatan perdana Menteri. Keperluan asas lain berupa bekalan air paip, jalan raya berturap, bekalan elektrik juga ‘gagal’ diatasi.




Oleh itu jika hujah mengatakan bahawa pengguguran kedua-dua tokoh ini adalah atas sebab ‘prestasi’, mungkin ada logiknya. Hujah kedua ialah kerana adanya ‘musuh’ politik yang saban waktu mengambil kesempatan untuk memusnahkan pengaruh kedua-dua tokoh ini. Realitinya dalam politik, tidak ada kawan dan tiodak ada lawan yang berpanjangan. Segalanya berkemungkinan. Kerana itu hujah kedua ini juga diterima sebagai sebab kepada pengguguran mereka. Dan sebab yang ketiga ialah kerana percaturan politik Khairy Jamaluddin. Hujah ketiga ini berkemungkinan menjadi “sebab’ kepada pengguguran TSP dan DSSK pada PRU 12 yang lepas. Ini berikutan tokoh yang menggantikan DSSK di Parlimen Kota Belud iaitu Datuk Rahman Dahlan dikatakan sebagai orang Khairy Jamaluddin. Begitu juga skandal DUN USUKAN yang membawa kepada penggantungan keahlian Datuk Japlin Akim juga dikaitkan dengan hubungan dengan Khairy. Oleh yang demikian ketiga-tiga hujah itu sangat relevan untuk diperbincangkan.





Apakah pemilihan calon pada PRU 13 akan datang terus diselimuti oleh soal-soal titik bengik pada PRU 12 yang lepas. Ketika mengadakan perbincangan politik dengan tokoh veteran di pantai Emas yang juga penyokong tegar USNO dan DSSK, serta pernah beberapa kali menyokong TSP, beliau berhujah kepada saya bahawa daripada perbincangan beliau dengan DSSK, ada keyakinan bahawa DSSK akan dicalonkan di USUKAN pada PRU 13, manakala TSP pula dikatakan akan dicalonkan di Parlimen Kota Belud. Apakah keyakinan ini ada asasnya? Akan saya ulas pada penulisan seterusnya.

Monday, December 20, 2010



Setelah hampir 3 bulan lepas ,majoriti suku Iranun yang menganuti fahaman “bloggersisme” dan “Facebookisme” dalam dunia cyebr dikejutkan dengan perwar-war-an akan kononnya satu wadah baru Iranun bakal diwujudkan yang diberi nama PERISA, akhirnya idea murni itu tenggelam bersama bibit-bibit idea pro dan kontra yang tidak berkesudahan. Namun sebenarnya idea PERISA itu ‘sedang’ dalam perjalanan untuk santapan anak-anak muda Iranun yang ‘masih’ berkeinginan untuk menyumbang sesuatu yang berharga buat sukubangsanya. Baik sumbangan material mahupun sumbangan pemikiran dan tenaga perjuangan.



Daripada maklumat yang diperolehi PERISA sedang menunggu untuk didaftarkan. Sementelahan itu, ramai anak-naka muda Iranun yang begitu merasai betapa keperluan satu wadah baru disaat-saat penghunjung tahun 2010 ini. Kerana kata mereka,banyak sangat program yang boleh dilaksanakan di musim cuti ini. Setelah “kematian” PISBA dalam longgokan ego para pemimpin terdahulu, dan juga setelah PAGISA ‘tertutup’ pintunya kepada mereka yang belum berkelayakan menghabiskan pengajian di menara gading, anak-anak muda yang ratanya belia umuran 21 tahun hingga 30-an ini masih terumbang-ambing mencari tapak perjuangan untuk bangsa mereka.




Perubahan pendekatan pemimpin Iranun terutama TSP terhadap golongan muda Iranun juga menjadi penyumbang kepada bertapa perlunya satu wadah baru ditubuhkan secepat mungkin sebagai landasan perjuangan yang baru. Kita tidak meragui persatuan sedia ada seperti PAGISA tetapi keahlian yang cukup terhad kepada golongan graduan membantutkan penyertaan lebih ramai anak-anak muda berkemahiran untuk melibatkan diri dalam penyelesaian dan pemudahcaraan permasalahan bangsa Iranun. Dalam beberapa bulan yang lepas dikhabarkan TSP telah ‘membawa’ serombongan” anak-anak muda Iranun ke Manila. Walaupun pada dasarnya ia merupakan acara rasmi beliau sebagai YDP Dewan rakyat Malaysia, namun kehadiran golongan itu ikut sama seperti sdr Milus Aloh, Naddin Sahhidin, Izan Masi dan Kontraktor sdr Fakhrul Bian telah menyemarakkan lagi keinginan anak-anak muda ‘merapati’ agenda kepolitikkan TSP. Namun kerana ketiadaan wadah baru ini, ia menjadikan harapan itu sebagai mimpi di siang hari.




Begitu juga dengan kehadiran beberapa anak muda Iranun di Dewan rakyat yang dikatakan atas inisiatif TSP sendiri, barangkali sebagai pendedahan umum kepada belia Iranun atau sebagai persiapan strategi beliau untuk menawan hati golongan muda dari sukunya, nyata akan lebih tersusun jika wadah baru ini dapat direalisasikan secepat mungkin. Apakah sudah ada natijah tersurat yang benar-benar hinggap di benak TSP ekoran daripada percaturan politiknya yang semakin hampir kepada PRU 13. Masih samar dan belum dapat kita rumuskan, dimana dan harus bagaimana penyatuan anak-anak Iranun ini dapat kita realisasikan.

Sunday, December 19, 2010





Saturday, December 18, 2010


Saya ingin memulakan penulisan kali ini dengan kenyataan 'neutral' bahawa tidak ada pun mana-mana manusia di dunia ini yang tidak mahu beranjak dari kehidupan masa lampau kepada kehidupan yang lebih sempurna. Kerana sifat tabi' manusia memang inginkan perubahan dan kehidupan yang lebih baik. Sebab itulah bagi rakyat di Kota Belud, mereka sentiasa menginginkan dan mengalu-alukan apa jua pembangunan dan perubahan yang dibawa dan dicetuskan oleh para pemimpin politik di daerah pejuang ini. Namun bila pembangunan itu tidak diurus dan dirancang dengan baik terutama berkaitan dengan impak kepada kehidupan rakyat, maka rakyat akan mula mengeluh dan akhirnya kita dapat menyaksikan sejak kebelakangan ini, masyarakat Kota Belud mula 'berani' menyatakan protes mereka melalui demontrasi secara aman dan dapat pula "dipublishkan" di dada-dada akhbar nasional. Budaya ini nampak semakin menjadi-jadi, dan tidak ada pula usaha untuk mencari 'punca' kepada kewujudan budaya baru ini.


Sejak pembinaan jalan raya Bypass yang mernghubungkan Kota Belud dan Kudat secara 'lencongan' melalui beberapa perkampungan yang dihuni oleh ratusan petani miskin , ia terus menjadi polemik kepada rakyat. Di samping dikatakan 'gagal' menyelesaikan isu kesesakan yang berlaku di Pekan Kota Belud, walaupun tujuan utama pembinaan jalanraya Bypass itu adalah kerana masalah kesesakan. Isu Bypass ini juga masih 'panas' apabila dikhabarkan masih ada rakyat yang belum mendapat pampasan sewajarnya, selain daripada tanah pertanian mereka yang 'mati' dan tidak dapat diusahakan kerana jalanraya yang dibina ditengah-tengah tanah mereka telah merosakkan sistem peparitan dan saliran tali air untuk tujuan penanaman padi.


Kemudian impak besar kepada pembinaan jalan raya Bypass KB-Kudat ini ialah 'pemesongan' aliran sungai tempasuk sehingga menyebabkan banjir berlaku setipa kali hujan lebat turun sekitar 4 hingga 5 jam. Banjir berlaku terutama dipersimpangan jalan raya bulatan ke KK-Pekan KB -Kudat berhadapan dengan projek perumahan Yick Meng yang tergendala kononya tidak mendapat kelulusan kerana kawasan itu kerap dinaiki air banjir.


Baru-baru inbi banjir sekali lagi berlaku di KB, walaupun sekejap iaitu sekitar lebih 48 jam, namun ia benar-benar menimbulkan kesulitan kepada para penduduk, malahan melalui tinjuan saya pada waktu tersebut, ( saya turut terperangkap dalam banjir berkenaan dalam perjalanan ke KK), ramai yang menyifatkan bahawa tindakan pihak-pihak berkenaan melencongkan aliran sungai Tempasuk dalam pembinaan Jalan Raya Bypass tersebut adalah punca kepada banjir yang berlaku. Saya terfikir, apakah nasib projek untuk kemashlatan rakyat yang tidak terurus dan terancang dengan sempurna akan menjadi seperti ini?


Kekecohan yang berlaku di dewan rakyat baru-baru ini dianggap oleh ramai pihak sebagai ‘detik’ hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen di negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan. Malahan penggantungan ketua pembangkang Datuk Seri anwar Ibrahim daripada mengikuti persidangan dewan selama 6 bulan bersama tiga yang lain dianggap oleh pembangkang sebagai keterlaluan dan mencabuli hak-hak demokrasi serta bertentangan dengan hak asasi ahli parlimen. Alasan yang diberikan ialah kerana kononya DSAI tidak diberikan peluang untuk membela diri terutama berkaitan dengan isu APCO. Menimbulkan banyak tanda tanya, apakah isu APCO ini begitu ‘menjejaskan’ kepentingan rakyat sehingga menyaksikan YDP Tan Sri Pandikar Amin mengambil keputusan sedemikian?




Soal undang-undang dewan dan peraturan mesyuarat jelas menyatakan bahawa ‘kuasa’ penuh kepada DYP untuk membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak , baik di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Namun pada realitinya keadaan itu tentu sukar diamalkan, kerana kecenderungan YDP tentu pada pihak kerajaan yang mempunyai majoriti di dewan rakyat, malahan perlantikan DYP juga adalah atas ‘kuasa’ dan ‘pengaruh’ pihak kerajaan. Jadi apa yang nak dihairankan sangat jika ‘kecenderungan’ YDP itu melebihi 60% kepada pihak kerajaan.




Apa yang menjadi tanda tanya ialah jika benar apa yang dinyatakan oleh Karpal Singh bahawa keputusan Tan Sri Pandikar Amin itu adalah tidak adil dan tidak menepati lunas-lunas undang-undang maka perkara itu tentunya akan menjatuhkan imej kerajaan di bawah pentadbiran Najib. Malahan ketika mengulas situasi dalam dewan yang kecoh itu, Karpal Singh memberikan bayangan akan merujuk kes itu ke mahkamah untuk menuntut keadilan. Apakah Tan Sri Pandikar akan mencatat sejarah sebagai satu-satunya YDP dewan rakyat yang di bawa ke mahkamah lantaran keputusan yang dibuat memperlihatkan ‘kecenderungan’ kepada pihak kerajaan?




Isu ini tentunya akan dimanipulasikan oleh pihak pembangkang, sepertimana yang mereka war-warkan kononnya demokrasi telah mati di negara ini. Justeru adalah sesuatu yang menakutkan jika tidak ada usaha-usaha untuk membetulkan tragedi ini. Sejauhmana pun kita menafikan peranan DSAI dalam politik negara, namun tidak dapat kita nafikan bahawasanya percaturan DSAI masih signifikan dalam Pakatan Rakyat. Dan ini akan menambah ranjau dalam usaha Najib mendapatkan kepercayaan rakyat pada PRU 13 akan datang. kerana tindakan YDP itu tentunya akan melonjakkan imej politik DSAI dimata rakyat. Lalu siapa yang akan 'membetulkan'dan mengingatkan kerajaan dalam semua polisi pentadbiran jika 'pembangkang' dihiloangkan 'taringnya'? Adakah Bung Moktar mampu melakukannya? atau barangkali Nazri Aziz lebih berperanan sebagaimana Datuk Rahman Dahlan begitu 'aktif' dalam membahaskan isu Apco ini.

Monday, December 13, 2010


Apabila Najib mengumumkan bahawa calon BN pada pilihanraya ke 13 adalah calon pilihan rakyat,ramai yang mula mentafsirkan kenyataan itu terutama dari sudut kebenarannya, kerana apakah kayu pengukur dan penanda aras kepada ‘pilihan’ rakyat itu? Apakah formula untuk menentukan bahawa calon yang dipilih itu benar-benara menepati citarasa dan kehendak rakyat diperingkat akar umbi? Apakah cadangan dan pandangan akar umbi itu adalah berdasarkan inspirasi politik Ketua Bahagian? Atau apakah Najib akan memikirkan supaya satu bentuk ‘pungutan’ suara dapat diadakan di sesuatu kawasan seperti alah-alah PRU untuk mendapatkan ‘calon pilihan’ itu seperti apa yang diumukan oleh Najib? Atau barangkali Najib akan menggunakan “mimpi” purnamanya untuk menentukan calon nanti? Masih samar dan tentunya kesamaran itu akan bertamabh bila PRU 13 bakal menjelang tiba.




Asasnya adalah pokok pangkal kepada sistem sedia ada. Demokrasi di negara ini yang berpaksikan kepada “sistem Sample Majoriti” menerbitkan bahawa kemenangan calon dalam PRU kadangkala melewati batas sokongan majoriti. Contohnya jika dalam sesuatu kawasan yang mempunyai pengundi seramai 10 ribu orang dalam ada 3 calon yang bakal berebut menjadi wakil rakyat di kawasan itu, keputusan yang diterima ialah Calon A mendapat 4 ribu, Calon B dan C masing-masing mendapat 3 ribu. Jika diukur kepada sokongan majoriti,maka jelas bahawa calon A ditolak oleh 6 ribu pengundi di kawasan itu, tetapi kerana sistem simple majoriti maka calon A dimumukan sebagai wakil rakyat dikawasan berkenaan.




Pemilihan calon PRU juga jika berasaskan kepada “calon pilihan” rakyat, maka akan berlaku pertembungan antara kehendak kumpulan dalam kelompok masyarakat tersebut. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga ketika mengulas mengenai perihal ini, menegaskan bahawa pada PRU 13 , calon BN adalah calon yang benar-benar mempunyai personaliti pilihan ramai. Yakni sama ada calon itu berada dalam kedudukan selesa dalam parti atau tidak, sudah menjadi pilihan kedua.




Ketika berbincang dengan beberapa rakan dalam kelompok belia, isu memilih calon pilihan rakyat ini terus menjadi tanda tanya. Ada kemungkinan besar bahawa kononnya PM sekarang “memasang” mata-mata untuk melihat dan memantu calon-calon tertentu dalam parti. Jika benar, apakah transformasi yanjg dilaungkan oleh PM itu tidak bersifat nyata? Sebaliknya KPI dan NKRA nya sengaja ‘disembunyikan’?




Di Kota Belud, prestasi YB-YB BN rasanya cukup tinggi, walaupun masih kedengaran di sana-sini pelbagai keluhan dan keresahan penduduk tatkala menghadapi kemelut hidup. Namun seharusnya itu tidak dijadikan sandaran kepada mereka untuk meraih populariti sebagai pilihan rakyat.Datuk Shafie Apdal juga mengakui bahawa calon akan datang wajar popular dan diterima oleh rakyat? Apa yang mengusarkan kita, apakah yang berlaku jika BN meletakkan calon pilihan rakyat tetapi bukan pemimpin pilihan parti? Bolehkan mencapai kemenangan yang membanggakan?apakah tidak akan berlaku ‘sabotaj’ seperti yang terjadi pada PRU 12 yang lepas? Cuba kita fikirkan bersama keadaan ini.

Saturday, December 4, 2010


Politik sememangnya sesuatu yang sukar dijangka, baik jangkaan pada masa depan ataupun jangkaan yang beralaskan imaginasi. Kerana itu bagi kebanyakkan pemerhati politik, segala ramalan awal bisa meleset apabila hakikat sebenar mula terserlah. Mungkin situasi ini bertepatan dengan apa yang berlaku kepada tokoh politik paling menyerlah di Kota Belud iaitu Tan sri Pandikar Amin. Sebelum ini, isu penggugurannya pada PRU 12 menjadi bual bicara di semua peringkat lapisan masyarakat di daerah ini. Ada yang melahirkan sikap pro dan ada juga yang kontra tidak kurang yang berada diatas pagar. Selepas perlantikkanya sebagai YDP dewan Rakyat, pemerhati politik mula berkira-kira bahawasanya Tan Sri pandikar Amin akan dipencenkan dengan tawaran jawatan TYT Sabah. Ramalan ini pernah disuarakan oleh penulis politik sdr Musli Oli. Namun kerana politik adalah ‘cecair’ yang terus mengalir, maka perlantikan Tan sri Hamid Egoh,bekas setiausaha kerajaan negeri yang dikhabarkan akan menduduki kerusi TYT itu menjadikan Tan Sri Pandikar Amin yang dikatakan turut tersenarai tetapi tidak terpilih, harus membuat tindakan berani dalam hidup politiknya , sama ada akan kembali aktif dalam politik setelah melepaskan jawatan ketua umno bahagian Kota Marudu selepas dilantik ke jawatan YDP dewan rakyat, atau Tan Sri Pandikar akan menjadi seperti nasib ratusan ahli politik yang ditinggalkan oleh kehendak rakyat dan akhirnya menjadi rakyat biasa setelah begitu lama ‘berkelana’ dalam poliitk kepartian.



Jika Tan Sri Pandikar masih ‘berselera’ untuk terjun dalam dunia politik semula, dan jika Tan sri Pandikar masih ‘mengidam’ jawatan eksekutif utama di negeri Sabah, maka adalah tidak janggal jika pemerhati politik mengandaikan bahawa harus ada keberanian bagi personaliti politik Iranun itu ‘melobi’ untuk menjadi wakil rakyat semula. Tidak timbul di posisi mana, baik di DUN tempasuk, Dun Usukan, hatta di kawasan parlimen sekalipun. Hanya yang menjadi taruhan politik Tan Sri Pandikar ialah ‘kebersediaan’ beliau untuk mentransformasikan pendekatan politik beliau terutama melibatkan golongan muda atas pagar di daerah ini.




Memang diakui bahawa ‘aura’ Tan sri Pandikar masih bergelojak di kebanyakkan jiwa pengikut setianya di daerah ini yang rata-rata telah mencecah usia 50 tahun setelah ditolak penglibatan Tan sri Pandikar dalam dunia politik sehampir 30 tahun yang lepas. Namun golongan ini tidak sebegitu ramai jika dibandingkan dengan golongan tunas baru yang mula mengenal politik seawal usia 21 tahun hingga 40 tahun. Oleh yang demikian pendekatan politik tan sri Pandikar harus berubah mengikut naluri golongan ini, itupun jika seperti yang saya katakan seawal tadi kalau Tan sri Pandikar masih “berselera” untuk menjadi wakil rakyat di Kota belud.




Dari pemerhatian dan perbincangan secara berkelompok, mendapati bahawa golongan muda non partisan ini masih terus menyembunyikan pegangan politik mereka. Sokongan golongan ini akan memberikan impak besar kepada keberjayaan tan sri Pandikar sekurang-kurangnya mencatat sokongan majoriti paling bergaya pada PRU 13 akan datang jika beliau dicalonkan. Namun harus disedari bahawa golongan muda non partisan ini bukanlah berupa pemuda Umno Kb, tetapi golongan ini adalah antara ratusan anak-anak muda yang masih merahsiakan sokongan mereka kepada mana-mana pihak atau pemimpin politik di daerah ini.




Kerana itu saya menjangkakan bahawa Tan Sri Pandikar Amin sudah tidak ada pilihan lain selain daripada kembali aktif dalam politik apabila pengumuman calon TYT Sabah diwartakan kelak. Maka bermula dari sekarang pada hemat saya Tan Sri Pandikar perlu ‘turun’ padang merasai denyut nadi golongan ini. Bukan sekadar membawa mereka mengunjungi kota Manila dan melawat Magindanao. Sedangkan yang masih tinggal di daerah ini begitu ramai menanti apakah bentuk program yang boleh mereka sertai sebagai tindakbalas kepada penagihan sokongan terhadap Tan Sri Pandikar. Misalnya pada waktu terdekat ada baiknya TSP menganjurkan program berbentuk riadah seperti pertandingan Futsal, Bola Sepak atau badminton merebut piala TSP.Sama ada suara kecil di blog ini mendapat perhatain TSP atau tidak hanya akan terjawab apabila PRU 13 ‘memberikan’ peluang kepada tokoh dari suku Iranun ini. Bersama kita nantikan!.

Thursday, December 2, 2010


Kali kedua saya menyoroti penulisan dari LOT.. Mungkinkah akan berlaku seperti yang diimaginasikan oleh penulis ini?..


TANPA disedari, komuniti Bajau memainkan peranan penting dalam kancah politik Sabah yang bergejolak bagaikan hebatnya nakhoda yang mengemudi bahtera ketika dilambung ombak. Hakikat yang tidak boleh dinafikan sejarah politik Sabah, gelincirnya sokongan komuniti Bajau, mampu menumbangkan sesebuah kerajaan di Sabah.

Tumbangnya kerajaan USNO pada 1976 kerana berhijrahnya orang Bajau kepada Berjaya sehingga walaupun ketika itu USNO dipimpin oleh Bajau Kudat, namun tanpa sokongan Bajau Kota Belud dan Bajau Semporna, maka kecundanglah sebuah kerajaan perikatan yang menggunakan Bajau sebagai ‘kayu api’ politik.

Di sinilah munculnya teori kekuatan Bajau Kota Belud dan Bajau Semporna yang mula mengisi pentas politik Sabah kerana selama ini dikuasai sepenuhnya oleh Bajau Kudat dan Bajau Tuaran.

Pada 1985, Bajau sekali lagi melakukan penghijrahan besar-besaran secara senyap menyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) sehingga kerajaan popular Berjaya yang diterajui Bapa Pembangunan Sabah, Datuk Harris Salleh tumbang kepada Huguan Siou, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan; walaupun PBS berkonsepkan parti Kadazan Dusun dan berkiblatkan ajaran Kristian.

Menyedari Bajau sebagai senjata ampuh untuk memperkasa politik Sabah, UMNO yang ketika itu terpaksa turun gelanggang menyinsing lengan menentang PBS; terutama setelah USNO dan Berjaya kecundang pada pilihan raya 1985, 1986, 1990, dengan merekrut secara beramai-ramai lebih 300,000 pendatang asing tanpa izin sebagai ahli UMNO dan pengundi melalui projek ‘X-Files’. (berdasarkan keterangan OKK Hassnar Ebrahim di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 1999 ketika Petisyen Pilihanraya Likas).

Pada pilihanraya umum 1994, kerajaan pilihan rakyat PBS tumbang dengan perpindahan sokongan Bajau kepada UMNO walaupun ketika itu dua ADUN PBS, berasaskan Kadazandusun iaitu Datuk Rubin Balang (Murut) dan Datuk Lajim Hj Ukin (Bisaya) menyertai UMNO dan diikuti oleh beberapa ADUN lain.

Bermulalah era Bajau Semporna mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Sabah dengan perlantikan Datuk Seri Panglima Sakaran Dandai sebagai Ketua Menteri Sabah di bawah sistem penggiliran Ketua Menteri; salah satu pancingan undi yang diumpan oleh Perdana Menteri (ketika itu) Dato’ Seri Dr Mahatir Mohammad.

Walaupun tempoh pemerintahan Bajau Semporna (sebenarnya Tidung Bulungan) agak singkat, namun terbukti Bajau Semporna terlalu bijaksana sehingga berjaya membunuh Bajau Kudat yang mempunyai karisma seperti Tun Mustapha semata-mata untuk kepentingan politik.

Pejabat Ketua Menteri bagaikan ‘Little Semporna’ kerana segala suku sakat Sakaran dan seangkatan dengannya, berkampung di Pejabat Ketua Menteri ‘boneka’; ketika itu dikuasai oleh anak saudaranya, Datuk Shafie Apdal dan Jihek Basanu yang menjadi pemerintah sementara, disebabkan ketidakupayaan Sakaran menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri.

Akibatnya, BN terpaksa mencantas dan memecah belahkan pengundi Bajau dengan melantik Datuk Salleh Tun Said bagi menggantikan Sakaran yang bersetuju ditabalkan sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah.

‘Barter Trade’ yang berlaku di antara mantan TYT, Tun Said dengan Sakaran sebenarnya menguntungkan Bajau kerana anak Tun Said, Salleh dilantik sebagai Ketua Menteri dan Sakaran sebagai TYT; kedua jawatan tertinggi di Sabah didominasi Bajau.

Walaupun Bajau dikhianati pada pilihanraya umum 2008; apabila Shafie yang merupakan ‘Blue Eye Boy’ Dato’ Seri Najib Tun Razak, gagal membela kepentingan pemimpin Bajau, sehingga tokoh terpenting Bajau seperti Tan Sri Pandekar Amin Hj Mulia; Salleh Tun Said; Samsu Baharum Hj Abdul Rahman; Mat Lan Alani; Datuk Amir Kahar Tun Mustapha dan sebagainya disisihkan oleh Perdana Menteri (Pak Lah) dan digantikan dengan pemimpin baru yang masih hingusan dalam politik.

Kerajaan BN hampir tumbang walaupun pilihanraya baru selesai kerana Ketua Umum PKR hampir berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008, namun berkat kebijaksanaan beberapa pemimpin veteran UMNO, akhirnya berjaya mengekang penghijrahan ramai pemimpin Bajau ke dalam PKR dengan melantik semula pemimpin Bajau yang disisihkan ke beberapa jawatan penting, sehingga masyarakat Bajau kembali menyokong BN.

Perlantikan Tan Sri Pandikar Amin sebagai Speaker Dewan Rakyat; Datuk Armani Mahiruddin sebagai Senator dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat; Datuk Johar Mahiruddin sebagai Speaker Dewan Undangan negeri Sabah dan Datuk Salleh Tun Said sebagai Penasihat Sains kepada Ketua Menteri Sabah telah menyatukan semula Bajau di dalam Barisan Nasional.

Persetujuan USBO untuk menyertai Gagasan BN membuka satu lembaran politik baru, bukan sahaja untuk Bajau, malah untuk bumiputera Sabah yang beragama Islam bagi menentukan halatuju dan halacara masa hadapan politik Sabah yang selari dengan Gagasan Barisan Nasional bagi mengimbangi kebangkitan Pakatan Rakyat yang dalam peringkat pembersihan parti untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Sejarah politik Sabah, dulu, kini dan akan datang masih didominasi oleh masyarakat Bajau yang menjadi penentu kepada jatuh bangunnya sebuah kuasa politik, walaupun dengan atau tanpa sokongan kerajaan Persekutuan.

Sekalipun dengan adanya ‘Fixed Deposit’ iaitu sokongan politik Bajau Filipina dan Bugis Indonesia, namun Bajau Semporna dan Bajau Kota Belud masih memainkan peranan penting bagi menentukan arah sokongan rakyat kepada kerajaan BN Sabah.

Namun dikhuatiri Bajau Kota Belud dan Bajau Semporna akan kecundang di tangan Bajau Filipina yang mula menjadi penanda aras kepada kekuatan politik BN kerana mereka mudah diupah dan kerajaan BN memegang tongkat sakti untuk mencabut kerakyatan mereka jika berpaling tadah.

Apakah Bajau akan menjadi penentu pada pilihanraya umum ke 13 atau mereka akan membentuk satu Task Force baru bagi mengimbangi kuasa politik nasional yang mula mengekang kebebasan bersuara dan membuat acuan politik berkonsepkan kepatuhan membuta tuli kepada Barisan Nasional?

Monday, November 29, 2010


Dalam kekalutan BN mentransformasikan agenda perjuangan mereka, kita di sabah tidak putus-putus disajikan dengan agenda mengekalkan Fixed Deposit BN tatkala PRU 13 mungkin akan melabuhkan tirainya di penghujung tahun 2010 sebelum penghunjung 2011 akan menjengah kita. Itu tidak sangat membertakan otak untuk memikirkan lantas bagaimana BN akan mengekalkan tampuk kuasa yang dimilikinya sejak awal merdeka hingga sekarang. Kerana yang lebih berat otak kita di Sabah ini memikirkannya ialah bila diumumkan di dewan Rakyat, bahawa projek-projek kerajaan BN di Sabah dan sarawak telah mencecah nilai RM 641.07 juta yang diketgorikan sebagai "sakit tenat" dan memerlukan suntikan modal dari kerajaan. Dengan lain makna kos yang diumumkan akan melibatkan peruntukkan tambahan paling kurang sekali ganda dari amaun tersebut.

Di Sabah, projek-projek yang dilaksanakan oleh BN memang rancak dan kelihatan di sana-sini dengan papan tanda "SATU LAGI PROJEK BN UNTUK RAKYAT". Walaupun kerajaan pada dasarnya mengetahu punca kepada kelewatan projek yang dijalankan tetapi masalah itu seakan berulang dan tidak ada tindakan sewajarnya yang dilakukan.

Di Kota Belud ini, ada juga projek-projek besar yang melibatkan kepentingan masyarakat amnya terpaksa dilambatkan kerana faktor kontraktor, kos dan pelbagai lagi kerana birokrasi. Antara projek itu ialah melibatkan pembinaan sekolah seperti SK Tamau, Sk Pekan , SMKA Agama Tun Said dan beberapa sekolah lagi seperti yang dilaporkan. Dalam konteks itu semenangnya wajar tidak menuding jari kepada YB yang ada di Kota Belud ini, kerana biasanya 'tender' yang dibuat diluar batas pengetahuan mereka. Ada Kontraktor yang dikatakan berpengkalan di Semenanjung dan hanya memberikan Sub kepada Kontraktor tempatan. Bagaimana akan dapat menyelesaikan masalah ini jika YB yang berada di kawasannya itu hanya dengan JKKK kampung.

Sudah sampai masanya BN dalam melangkah PRU 13 memikirkan untuk meletakkan calon yang benar-benar berkelibar dan berpendidikan supaya bentuk-bentuk pengurusan,pendedahan dengan 'delivery sistem' dapat dikuasai supaya masalah kelewatan projek di bawah kerajaan BN ini akan dapat diminimumkan.

Saya teringat kepada isu kelewatan pembinaan SK Tamau dan juga kes terbengkalai Makmla Komputer SK Labuan. walaupun YB berkenaan berjanji untuk menyelesaikan isu berkenaan, namun tidak ada perkembangan yang positif. Sama ada kerana kesibukan ataupun sebab pengetahuan yang terbatas tentang karenah birokrasi, sukar kita pastikan..namun memberikan janji kepada orang yang lebih mengetahui dari kita rasanya amat sukar di zaman IT ini.

Saturday, November 27, 2010


Salam hormat saudara Azrone: saya rasa saudara agak emosi jika masalah yang dekat dihati saudara tidak dapat diselesaikan. Dan terus membuat kesimpulan yamg agak keras. Bagaimana pula masalah yang dapat diselesaikan oleh YB YB "bersembunyi" ini yang tidak dilapurkan?




Tapi saya agak itu bukan salah saudara juga kerana mana mungkin saudara tahu. Lagipun masalah orang lain yang diselesaikan oleh kami mungkin bukan isu yang dekat dengan hati saudara.



Sebagai wartawan saudara tentu arif tentang lapuran yang seimbang? Jika jalan atau rumah yang saudara tunjukkan didalam surat khabar itu bermasalah dan merasakan isu itu tidak dipedulikan oleh YB YB, saya rasa perlu untuk saudara mengimbangi lapuran saudara dengan memasukkan komen atau respon dari pejabat daerah atau YB YB. Itu baru seimbang. Bayangkan kalau respond dari kami tidak dimasukkan. Orang awam mungkin ingat kami tidak perihatin langsung.




Malah bagi setiap rumah yang saudara kata tidak dipedulikan oleh YB YB, saya boleh tunjukkan beratus rumah yang telah dibantu. Bagi setiap jalan yang dikatakan rosak dan diabaikan oleh kami, kami boleh tunjukkan berpuluh puluh kilometer jalan di Kota belud yang dibaiki dibina dan dipedulikan.




Saya minta maaf isu berbuka puasa di kampung wakaf itu tetapi bagi satu kampung yang tidak dapat dilawat semasa berbuka puasa, saya boleh tunjukkan senarai berpuluh puluh kampung yang kami lawati semasa berbuka puasa.



Dan akhirnya bagi setiap kes tiada pampasan, saya boleh senaraikan beratus ratus orang yang mendapat pampasan dari kerajaan dalam isu isu yang lain. Tapi ini tidak bermakna isu rumah atau jalan atau pampasan yang saudara bawa itu tidak penting. Semuanya penting. Cuma untuk makluman saudara, menyelesaikan masalah rakyat tidak akan pernah berhentii. Ianya akan terus ada kerana kita masih lagi dalam serba kekurangan.





Seperkara lagi, banyak sebab kenapa masalah rakyat terutamanya infrastruktur tidak dapat diselesaikan sekelip mata. Masalah yang terbesar ialah peruntukan. Percayalah tidak ada seorang wakil rakyat yang mahu kawasannya mundur. Dan saya percaya begitu juga setiap wartawan. Mereka juga mahukan daerah mereka mendapat pembangunan.




Saya menghargai pendedahan saudra didalam akhbar tentang masalah rakyat. Itu adalah tanggungjawab murni saudara sebagai wartawan. Saya sendiri sering mengikuti lapuran lapuran saudara dengan teliti dan melihat kolum saudara sebagai salah satu cara mendengar rintihan rakyat. Bagus dan saya harap saudara teruskan usaha baik saudara itu. Cuma saya harap saudara mempertahankan etika kerjaya kewartawanan dengan baik dan jangan membuat kesimpulan begitu sahaja. Dan sesekali lapurkan juga pembangunan yang ujud didaerah kita ini. Banyak perkara yang dibuat oleh kerajaan di Kota Belud.




Saya boleh ditegur malah boleh dipantau. Cuma biarlah teguran yang membina agar kita dapat bersama sama menyumbang kepada masyarakat Kota Belud. Saya sentiasa terbuka untuk perbincangan. Terima kasih.



Response DARD ini dipetik dari FCB sdr Azrone Sarabatin.

Saturday, November 20, 2010



Sejak pemilihan pucuk pimpinan PKR yang dikatakan membuka pintu demokrasi dengan luas melalui slogan “1 ahli satu undi” dan sejak Zaid Ibrahim bertindak menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR atas sebab bukan peribadi tetapi atas sebab apa yang dikatakannya sebagai penyelewengan dan kepincangan dalam parti seripihan UMNO itu, dan kemudiannya Zaid mengumumkan akan keluar dari PKR dan sama ada akan mengambil alih sebuah parti politik atau menumbuhkan parti baru , maka sejak itu media arus perdana mula mendendang betapa kemunculan parti baru akan kononnya memberi pilihan kuasa ketiga kepada rakyat menjelang PRU 13. Dan semacam satu ‘badi’ akhirnya situasi politik di semenanjung kini tidak lekang dan perbicaraan ‘kuasa politik ketiga ‘ itu.


Di Sabah dan di Kota Belud sejak zaman USNO lagi kemudiannya meniti kepada Zaman BERJAYA dan selepas itu memasuki era PBS dan kini UMNO , ‘kuasa ketiga’ itu tidak pernah muncul dalam kamus politik masyarakat di daerah ini. Walaupun ada parti-parti kecil seperti BERSIH, BERSEKUTU, dan kini SAPP, namun parti-parti ini tidak dapat menggalas tanggungjawab sebagai ‘kuasa ketiga’ kerana lama-kelamaan perjuangan mereka terhakis dan berlalu begitu sahaja.


Jadi tidak hairan kalau para pemimpin politik di daerah ini sudah lama memasuki “zon selesa”. Sama ada para pemimpin menunjukkan komitmen atau disibukkan dengan takwim politik peribadi tidak sudah menjadi pertimbangan masyarakat Kota Belud. Golongan berumur 45 tahun yang mendominasi hampir lebih 60 peratus dari senarai pemilih berdaftra di Kota Belud begitu ‘selesa’ dengan amalan politik yang disandarkan kepada ‘kesetiaan’ yang tidak berpedoman. Mereka mempunyi ‘world view’ yang sama setiap kali PRU.Tanggapan mereka sama ada kemudahan dan keperluan asas itu ada atau sebaliknya, mereka tetap juga menjalani kehidupan seperti biasa. Soal minum air tidak terawat, sudah biasa bagi mereka kerana kehidupan itu sudah sebati lebih 30 tahun , soal mereka berpelita di malam hari juga tidak ada salahnya kerana mereka biasa menggunakan pancaindera untuk melihat alam ciptaan tuhan ini.


Sebab paradigma inilah saya meramalkan akan 30 tahun mendatang ini ‘kuasa politik ketiga’ itu tidak akan muncul lagi. Sama ada melalui perubahan pemikiran apatah lagi kewujudan parti baru yang jauh dari lintasan pemikiran mereka.Namun apa yang boleh kita kemudikan ialah barangkali proses pemerkasaan pembangkang di daerah ini. Pastinya parti PKR dan PAS. Jika ditinjau dari sudut suku, pada hemat saya ketika berbincang dengan seorang pensyarah kanan UMS yang mengkaji tentang tabiat politik di negera ini, saya mengusulkan bahawa sejak PRU 12 iaitu tahun 2008, suku Iranun di daerah Kota Belud, mula mencari “kuasa politik ketiga” ini berbanding suku lain. Misalnya saya berhujah bahawa sekitar 5-10 tahun yang lepas, ramai anak-anak muda dari suku ini yang mula mengepalai ideologi kepembangkangan di daerah ini. Nama-nama seperti Laiman Hj Ikin, Razak Rakunman dan kemudian Hj Norbin Aloh yang bertanding dalam PAS walaupun bukan golongan muda tetapi perjuangan dan kempen mereka dirangkastrategi oleh orang muda Iranun.


Walaupun sekitar tahun 1986, daerah Kota Belud telah menyaksikan wakil calon PAS dari suku Bajau iaitu Allahyarham Jamlidi Oli yang direkodkan telah memperolehi undi 3000 lebih tetapi dalam dasa yang mendatang suku Bajau dilihat menyoroti suku Iranun dalam mencari “kuasa politik ketiga” . Justeru itu, memperkasakan parti dan kepimpinan Pembangkang di Kota Belud, nyata akan mempercepatkan pencarian kuasa politik ketiga ini.

Suku Iranun semacam mengalami “teori letupan” yang dihimpit oleh tekanan sama ada tekanan kerana pemimpin yang tidak boleh dileteri atau kerana pertentangan ideologi dan pendekatan politik. MEMPERKASAKAN parti pembangkang ini akan menjadi tekanan kepada para pemimpin sedia ada di daerah ini untuk mengubah stail dan pendekatan mereka. Saya mengimpikan supaya keadaan ini berlaku.