Thursday, December 2, 2010


Kali kedua saya menyoroti penulisan dari LOT.. Mungkinkah akan berlaku seperti yang diimaginasikan oleh penulis ini?..


TANPA disedari, komuniti Bajau memainkan peranan penting dalam kancah politik Sabah yang bergejolak bagaikan hebatnya nakhoda yang mengemudi bahtera ketika dilambung ombak. Hakikat yang tidak boleh dinafikan sejarah politik Sabah, gelincirnya sokongan komuniti Bajau, mampu menumbangkan sesebuah kerajaan di Sabah.

Tumbangnya kerajaan USNO pada 1976 kerana berhijrahnya orang Bajau kepada Berjaya sehingga walaupun ketika itu USNO dipimpin oleh Bajau Kudat, namun tanpa sokongan Bajau Kota Belud dan Bajau Semporna, maka kecundanglah sebuah kerajaan perikatan yang menggunakan Bajau sebagai ‘kayu api’ politik.

Di sinilah munculnya teori kekuatan Bajau Kota Belud dan Bajau Semporna yang mula mengisi pentas politik Sabah kerana selama ini dikuasai sepenuhnya oleh Bajau Kudat dan Bajau Tuaran.

Pada 1985, Bajau sekali lagi melakukan penghijrahan besar-besaran secara senyap menyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) sehingga kerajaan popular Berjaya yang diterajui Bapa Pembangunan Sabah, Datuk Harris Salleh tumbang kepada Huguan Siou, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan; walaupun PBS berkonsepkan parti Kadazan Dusun dan berkiblatkan ajaran Kristian.

Menyedari Bajau sebagai senjata ampuh untuk memperkasa politik Sabah, UMNO yang ketika itu terpaksa turun gelanggang menyinsing lengan menentang PBS; terutama setelah USNO dan Berjaya kecundang pada pilihan raya 1985, 1986, 1990, dengan merekrut secara beramai-ramai lebih 300,000 pendatang asing tanpa izin sebagai ahli UMNO dan pengundi melalui projek ‘X-Files’. (berdasarkan keterangan OKK Hassnar Ebrahim di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 1999 ketika Petisyen Pilihanraya Likas).

Pada pilihanraya umum 1994, kerajaan pilihan rakyat PBS tumbang dengan perpindahan sokongan Bajau kepada UMNO walaupun ketika itu dua ADUN PBS, berasaskan Kadazandusun iaitu Datuk Rubin Balang (Murut) dan Datuk Lajim Hj Ukin (Bisaya) menyertai UMNO dan diikuti oleh beberapa ADUN lain.

Bermulalah era Bajau Semporna mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Sabah dengan perlantikan Datuk Seri Panglima Sakaran Dandai sebagai Ketua Menteri Sabah di bawah sistem penggiliran Ketua Menteri; salah satu pancingan undi yang diumpan oleh Perdana Menteri (ketika itu) Dato’ Seri Dr Mahatir Mohammad.

Walaupun tempoh pemerintahan Bajau Semporna (sebenarnya Tidung Bulungan) agak singkat, namun terbukti Bajau Semporna terlalu bijaksana sehingga berjaya membunuh Bajau Kudat yang mempunyai karisma seperti Tun Mustapha semata-mata untuk kepentingan politik.

Pejabat Ketua Menteri bagaikan ‘Little Semporna’ kerana segala suku sakat Sakaran dan seangkatan dengannya, berkampung di Pejabat Ketua Menteri ‘boneka’; ketika itu dikuasai oleh anak saudaranya, Datuk Shafie Apdal dan Jihek Basanu yang menjadi pemerintah sementara, disebabkan ketidakupayaan Sakaran menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri.

Akibatnya, BN terpaksa mencantas dan memecah belahkan pengundi Bajau dengan melantik Datuk Salleh Tun Said bagi menggantikan Sakaran yang bersetuju ditabalkan sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah.

‘Barter Trade’ yang berlaku di antara mantan TYT, Tun Said dengan Sakaran sebenarnya menguntungkan Bajau kerana anak Tun Said, Salleh dilantik sebagai Ketua Menteri dan Sakaran sebagai TYT; kedua jawatan tertinggi di Sabah didominasi Bajau.

Walaupun Bajau dikhianati pada pilihanraya umum 2008; apabila Shafie yang merupakan ‘Blue Eye Boy’ Dato’ Seri Najib Tun Razak, gagal membela kepentingan pemimpin Bajau, sehingga tokoh terpenting Bajau seperti Tan Sri Pandekar Amin Hj Mulia; Salleh Tun Said; Samsu Baharum Hj Abdul Rahman; Mat Lan Alani; Datuk Amir Kahar Tun Mustapha dan sebagainya disisihkan oleh Perdana Menteri (Pak Lah) dan digantikan dengan pemimpin baru yang masih hingusan dalam politik.

Kerajaan BN hampir tumbang walaupun pilihanraya baru selesai kerana Ketua Umum PKR hampir berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008, namun berkat kebijaksanaan beberapa pemimpin veteran UMNO, akhirnya berjaya mengekang penghijrahan ramai pemimpin Bajau ke dalam PKR dengan melantik semula pemimpin Bajau yang disisihkan ke beberapa jawatan penting, sehingga masyarakat Bajau kembali menyokong BN.

Perlantikan Tan Sri Pandikar Amin sebagai Speaker Dewan Rakyat; Datuk Armani Mahiruddin sebagai Senator dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat; Datuk Johar Mahiruddin sebagai Speaker Dewan Undangan negeri Sabah dan Datuk Salleh Tun Said sebagai Penasihat Sains kepada Ketua Menteri Sabah telah menyatukan semula Bajau di dalam Barisan Nasional.

Persetujuan USBO untuk menyertai Gagasan BN membuka satu lembaran politik baru, bukan sahaja untuk Bajau, malah untuk bumiputera Sabah yang beragama Islam bagi menentukan halatuju dan halacara masa hadapan politik Sabah yang selari dengan Gagasan Barisan Nasional bagi mengimbangi kebangkitan Pakatan Rakyat yang dalam peringkat pembersihan parti untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Sejarah politik Sabah, dulu, kini dan akan datang masih didominasi oleh masyarakat Bajau yang menjadi penentu kepada jatuh bangunnya sebuah kuasa politik, walaupun dengan atau tanpa sokongan kerajaan Persekutuan.

Sekalipun dengan adanya ‘Fixed Deposit’ iaitu sokongan politik Bajau Filipina dan Bugis Indonesia, namun Bajau Semporna dan Bajau Kota Belud masih memainkan peranan penting bagi menentukan arah sokongan rakyat kepada kerajaan BN Sabah.

Namun dikhuatiri Bajau Kota Belud dan Bajau Semporna akan kecundang di tangan Bajau Filipina yang mula menjadi penanda aras kepada kekuatan politik BN kerana mereka mudah diupah dan kerajaan BN memegang tongkat sakti untuk mencabut kerakyatan mereka jika berpaling tadah.

Apakah Bajau akan menjadi penentu pada pilihanraya umum ke 13 atau mereka akan membentuk satu Task Force baru bagi mengimbangi kuasa politik nasional yang mula mengekang kebebasan bersuara dan membuat acuan politik berkonsepkan kepatuhan membuta tuli kepada Barisan Nasional?

5 ulasan :

lady gagak said...

mengapakah kelapa mawar melagakan LOT dengan komuniti bajau?

al-hindi said...
This comment has been removed by the author.
Jonjongot said...

Puiiii, blog anjing.. Berusha melaga-lagakan bangsa Sabahan yg berbeza agama n bangsa.

Anonymous said...

bila masa pula wujud bajau filipina.....bajau semporna juga berasal daripada philipina la ..hanya bajau KB dan tuaran sahaja yang betul2 ori sabahan

Shahruddin said...

Bajau di sabah tetap bersatu