Wednesday, August 8, 2018




Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendedahkan akaun amanah di mana kerajaan memasukkan wang bayaran balik GST mengalami kekurangan sebanyak RM18 bilion.

Menurut Lim, wang itu hilang semasa pentadbiran Barisan Nasional dan sepatutnya dikembalikan kepada peniaga 2 minggu selepas mereka memfailkan tuntutan.

“Setakat 31 Mei 2018, jumlah tertunggak sejak 2015 ialah sebanyak RM19.4 bilion,” kata Lim di Dewan Rakyat hari ini.

“Daripada jumlah itu, sejumlah RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion dari 2017, RM2.8 bilion dari 2016 dan baki RM600 juta dari 2015.



“Baki yang tinggal dalam akaun ialah hanya RM1.486 bilion. Ingin saya tegaskan bahawa angka-angka ini telah disahkan selepas audit dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Kastam.”

Lim berkata dia dimaklumkan tunggakan itu berlaku kerana pentadbiran lepas gagal memasukkan kutipan GST ke dalam akaun amanah itu.

“Membayar balik tunggakan bayaran balik cukai GST adalah ‘kemestian moral’ kerana wang tersebut bukanlah milikan kerajaan. Kelewatan pembayaran balik cukai ini menjejaskan suasana perniagaan dan memberi kesan negatif kepada daya saing negara.”

Beliau seterusnya menuduh kerajaan Barisan Nasional merompak akaun amanah itu kerana kutipan GST tidak dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk dimasukkan ke akaun tersebut.

“Kerajaan BN tidak boleh lari daripada pemalsuan akaun dan penyalahgunaan cukai input sebagai hasil kerajaan untuk menutup sebarang defisit perbelanjaan atau menyokong perbelanjaan pembangunan untuk kroni-kroni. Ini telah berlaku sejak 3 tahun GST diperkenalkan pada 1hb April 2015.

“Bak kata pepatah Melayu, harapkan pagar, pegar makan padi,” katanya.

https://youtu.be/LHbzQeSNXkE

Tuesday, August 7, 2018



Kertas siasatan berhubung kes laporan polis membabitkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman hampir siap dan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, bagaimanapun terdapat sedikit tambahan percakapan perlu direkodkan untuk melengkapkan kertas siasatan itu.

"Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung perkara itu dan setakat ini sahaja maklumat yang kita ada pada masa ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.



Pada 14 Mei lepas, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membuat laporan polis terhadap Musa dipercayai berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan Ketua Menteri.

Sebaik sahaja laporan polis dibuat, percakapan Juhar turut diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Musa telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di hadapan Juhar dua hari kemudian (12 Mei) selepas beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri daripada BN berpaling tadah kepada Warisan.

Monday, August 6, 2018



Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah sudah melupuskan kira-kira 10,000 ekor ayam di sebuah ladang ternakan ayam di Tamparuli yang sebelum ini diisytiharkan dijangkiti virus selesema burung, setakat Isnin.

Timbalan Pengarah JPV Bahagian Kesihatan Sabah, Dr Peter Lee Ah Kong, berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 28,000 ekor ayam yang akan dilupuskan di Tamparuli ekoran pengesanan virus selesema burung di sebuah ladang di kawasan itu.

"Selebihnya (18,000 ekor ayam) lagi akan mula dilupuskan esok (Selasa). Walaupun ladang ternakan ayam yang satu lagi ini (yang menempatkan 18,000 ekor ayam) tidak dijangkiti, tetapi ia perlu dilupuskan juga kerana ia terletak di radius satu kilometer daripada wabak itu dikesan," katanya.

Menurutnya, ayam kampung yang diternak penduduk di kawasan wabak juga akan mula dilupuskan pada Selasa namun ia akan dilakukan pada waktu malam apabila unggas itu tidur.

Sementara itu, Lee berkata JPV dengan kerjasama pihak polis masih meneruskan sekatan jalan raya 24 jam di jalan masuk ke kawasan wabak berkenaan bagi memastikan tidak ada ayam dibawa keluar dari kawasan itu.

Pada 3 Ogos lepas, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong mengisytiharkan Tuaran sebagai kawasan wabak penyakit selesema burung selepas ayam di sebuah ladang ternakan ayam di daerah berkenaan didapati dijangkiti virus itu. -- Bernama


Datuk Seri Najib Razak mahu 4 hakim utama dikeluarkan daripada bersidang dalam panel 7 anggota Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan semakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi saman misfeasans dikemukakannya berhubung salah guna kuasa sebagai penjawat awam.

Peguam mewakili Najib, Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun memberitahu mahkamah pelantikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah adalah atas nasihat Dr Mahathir.

Beliau mengemukakan bantahan awal terhadap komposisi panel itu, menyatakan ia bagi mengelakkan sebarang tanggapan akan kemungkinan berlaku berat sebelah dan juga demi kepentingan keadilan khususnya keyakinan awam terhadap badan kehakiman.

Mohd Hafarizam berkata juga sudah berlaku “cakap-cakap” oleh orang awam susulan artikel oleh bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang mempersoalkan sama ada terdapat 2 ketua hakim negara antara 11 Julai dan 31 Julai tahun ini berikutan penggal rasmi bekas ketua hakim negara Tun Raus Sharif hanya tamat pada 31 Julai manakala Malanjum dilantik sebagai ketua hakim negara untuk menggantikan Raus pada 11 Julai.



Malanjum yang mempengerusikan panel 7 hakim itu bertanya sama ada isu itu dibangkitkan dalam pendengaran sebelum ini dan peguam mewakili Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjawab perkara sama dibangkitkan oleh beliau tetapi ia berkaitan perlembagaan pelanjutan tempoh Raus sebagai ketua hakim negara bagi 3 tahun lagi.

Mohamed Haniff berkata akhirnya Raus memutuskan untuk tidak menarik diri daripada bersidang dalam panel 5 anggota untuk mendengar permohonan anak guamnya bagi kebenaran untuk merayu.

Peguam itu berkata 4 hakim utama itu tidak sepatutnya menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

Malanjum tidak membuat keputusan berhubung bantahan awal itu tetapi kemudiannya bersetuju menangguhkan pendengaran permohonan semakan itu sementara menunggu selesainya satu lagi perkara lain yang turut membangkitkan isu sama berhubung definisi penjawat awam.

Katanya mahkamah akan menetapkan tarikh baharu pendengaran bagi permohonan semakan itu selepas Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan bagi kebenaran dikemukakan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee untuk mengembalikan saman misfeasans atau salah guna jawatan awam terhadap Najib pada 5 November tahun ini.

Terdahulu, Mohamed Haniff mencadangkan kepada mahkamah untuk menunggu keputusan permohonan bagi kebenaran untuk merayu perkara itu oleh Pua dan Mohd Hafarizam menyokong cadangan itu.

Beliau juga memaklumkan mahkamah bahawa Peguam Negara berminat disenaraikan sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) dalam permohonan semakan itu.

Dr Mahathir, 93, dan bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang tidak memberikan kebenaran kepada mereka untuk mengembalikan saman mereka terhadap Najib, yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Dr Mahathir, Khairuddin dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin menyaman Najib pada 23 Mac, 2016, menuduh beliau (Najib) melakukan misfeasans atau salah guna jawatan awam dan pecah amanah tugas fidusiarinya berhubung pengurusan dana pelaburan 1MDB.

Pada 28 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu, memutuskan perdana menteri bukan pegawai awam tetapi seorang anggota pentadbiran.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan dikemukakan oleh Dr Mahathir, Khairuddin, 55, dan Anina, 43. Pada 27 Feb tahun ini, panel 3 anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Raus menolak permohonan Dr Mahathir dan Khairuddin bagi kebenaran untuk merayu.

Permohonan Anina bagi kebenaran untuk merayu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 16 April tahun ini.

Selepas prosiding mahkamah hari ini, Mohamed Haniff memberitahu pemberita, Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan kepadanya dalam pertemuan pada Jumaat, bahawa Jabatan Peguam Negara berminat untuk memohon kepada mahkamah bagi menjadi amicus curiae dalam permohonan semakan itu.

Beliau bagaimanapun, berkata telah menulis kepada mahkamah untuk memohon penangguhan pendengaran semakan itu kerana beliau tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyerahkan kertas alasan kepada Jabatan Peguam Negara.

Wednesday, August 1, 2018



Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman hari ini mengumumkan keluar UMNO serta Barisan Nasional dan akan menjadi ADUN bebas berkuat kuasa serta merta.

"Saya akan menjadi ADUN pembangkang bebas yang konstruktif serta menjadi penimbang tara sesuai dengan politik masa kini," katanya dalam kenyataan di sini.

Saddi mengucapkan terima kasih kepada bekas presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan bekas pengerusi badan perhubungan UMNO Sabah Tan Sri Musa Aman atas peluang diberikan bagi mencurah bakti kepada rakyat di DUN Sukau sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Dalam pada itu, Saddi berkata beliau menyokong mana-mana parti politik berasaskan parti tempatan yang memperjuang isu Perjanjian Malaysia 1963 termasuk tuntutan royalti minyak dan gas yang adil kepada Sabah daripada kerajaan Persekutuan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Saddi juga berharap rakyat DUN Sukau yang telah memilih beliau pada PRU14 dapat terus bekerja sama dengannya.....