Tuesday, March 29, 2011


Laporan media beberapa minggu lepas tentang'pembebasan' Datuk Japlin Akim yang juga ADUN USUKAN danpembantu menteri Infrastruktur negeri dari pergantungan keahlian parti UMNO ekoran tuduhan rasuah dan politik wang kepadanya 2 tahun yang lepas telah menimbulkan 'keterujaan' politik di Kota Belud. Ramai yang memikirkannya, apakah impak keatas politik dua orang tokoh 'pencorak' poltik Kota Belud sebelum ini iaitu Speaker Negeri Datuk Salleh Tun Said dan YDP Dewan rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Ini berikutan kerana sebelum ini kedua-dua tokoh berkenaan dilihat mempunyai peluang besar untuk kembali , sama ada Datuk salleh ke USUKAN atau Tan Sri Pandikar ke Parlimen.

Namun setelah Datuk Japlin dibebaskan, signifikan politik kepada DSSK dan TSP begitu besar,kerana jika sebelum ini peluang sudah tersedia, kini ada kebarangkalian untuk Datuk Japlin dikekalkan di USUKAN , sekaligus juga memungkinkan DSSK dan TSP akan kembali 'memanaskan' bangku simpanan pada PRU 13 akan datang.

Sedari awal lagi, ada pihak-pihak di Kota Belud, yang begitu pesimis dengan perlantikan DSSK sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri. Kerana menurut mereka pelbagai 'umpan' politik termasuk umpan "jawatan" akan diberikan sebagai imbalan kepada 'musuh' politik agar terus 'terpinggir' secara senyap.

Menurut khabar-khabar politik kini, ada laporan yang menyatakan bahawa DSSK dan TSP sukar untuk mendapat tempat di Kota Belud atas beberapa faktor seperti peranan mereka diperlukan untuk menuteralkan pembankang di peringkat pusat dan negeri. Jika itu berlaku ada kemungkinan sindrom sabotaj sekalilagi akan berlaku pada PRU13 di Kota belud.

Saturday, March 26, 2011

Saya petik:
Dalam budaya manusia yang tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh.

Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram.

Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

Sama ada PAS, Umno dan PKR; ramai individu dalamparti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka.

Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada pada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.

Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini.

Sedangkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat." (Riwayat Muslim).

Aib peribadi
Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.

Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf.

Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi - sekalipun mungkin benar - adalah berat di sisi agama.

Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).

Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar.

Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

"Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu 'Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: Bahkan untuk manusia keseluruhannya."
Bukan bukti Asas
Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain.

Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:

"Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis 'barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya...."

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya.

Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.
Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih (bermaksud):

"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, hal 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
Berbeza Dengan Kes Kezaliman
Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa.

Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa.

Itu pun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.

Firman Allah (maksudnya): "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa". (Surah al-Nisa: Ayat 148-149).
Tidak Perlu Suruhajaya
Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya'Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah.
Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-ma'ruf(menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, danal-Nahy 'an al-munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:

"Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Ingatan
Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu.
|
Mereka ini ada dalam Umno, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12).
Bangkit generasi baru
Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini.

Kita tentang semua pelakon politik yang suka mengelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.
Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini! - Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Friday, March 25, 2011


Kalau kita cerita tentang politik Melayu pasca Merdeka..tidak dapat tidak kita akan melihat perjalanan 'roh' perjuangan UMNO selaku parti utama orang Melayu. Bencana perpecahan yang melanda politik orang Melayu sangat besar digambarkan pada tahu 1998, tatkala berlaku pemecatan DSAI dari UMNO dan kerajaan. bencana ini lebih besar dari apa yang berlaku pada tahun-tahun 'kebangkitan' Tengku Razaleigh pada awal 80-an yang membawa kepada kehancuran parti UMNO dan UMNO BARU ditubuhkan. Pada musim itu bencana politik Melayu telah mula retak menanti belah kerana faktor politik Wang yang begitu dominan. Namun ramai yang berpandangan bahawa bencana politik Wang itu 'terlalu' lama memakan tubuh parti UMNO. Tidak seperti politikkotor,dan jijik yang mula melanda politik UMNO dan orang Melayu sejurus selepas berlaku pengaiban besar-besaran kep-ada pemimpin melayu mengenai skandal seks luar tabii. Tentunya ramai yang masih ingat, mahkamah membebaskan DASI dari tuduhan liwat walaupun ada pihak yang mendakwa ada asas yang kukuh terhadap skandal seks itu.


Politik Melayu kini semakin jijik,kotor dan mengaibkan ,apabila ada segelintir orang Melayu yang tidak serik dan tergamak membuat onar kepada bangsanya. Sejak peristiwa 1998, orang Melayu sudah beralih kepada politik seks untuk menjatuhkan pemimpin lain. Malahan pelbagai taktik dan strategi dirancang untuk mengaibkan orang lain. Dakwaan liar terhadap DSAI mengenai video seks yang tersebar beberapa hari lepas secara logiknya juga amat-amat meragukan, walaupun kita sehingga kini tidak berpeluang mengesahkan watak yang ada dalam video 22 minit itu adalah DSAI . Namun dari pengakuan dan juga penglibatan orang perseorangan yang dikepalai oleh Datuk "T" mencerminkan orang Melayu semakin terperenagkap dengan politik seks yang mengaibkan.

Dari kaca mata rakyat biasa, kita berpendirian bahawa rahmat di sebalik video seks itu ialah sokongan berganda buat PKR dan pembangkang. Mengapakah di saat Najib melaungkan transformasi, orang Melayu dan pemimpin melayu masih terperangkap dalam ilusi kotor dan saling menjatuhkan. Ini pada hemat ramai pihak akan memberikan "advantage" kepada DSAI untuk terus melakar sejarah politik peribadinya yang tersendiri, sekaligus akan menyukarkan UMNO dan BN untuk kembali meraih sokongan orang Melayu.

PRU Sarawak yang bakal berlangsung awal April ini juga dijangka akan memberikan signal terhadap isu video lucah ini. Sama ada PKR akan dapat mengalihkan pandangan rakyat sarawak mengenai isu ini atau tidak hanya akan terbukti bila keputusan PRU sarawak diumumkan kelak.

Sunday, March 13, 2011


Ketika saya membaca kenyataan berfakta yang diutarakan oleh Datuk Rahman Dahlan dalam Blognya mengenai kredibiliti "buku Jingga' hasil perah otak pemimpin Pakatan Rakyat, saya menjadi begitu 'pesimis'. Kerana perkataan "kebankrapan" atau "muflis' itu bagi saya risiko yang maha besar yang terpaksa dihadapi oleh Negara apabila 'ditakdirkan' PR dapat menawan Putrajaya.

Namun setelah saya habis membaca kenyataan itu, beberapa persoalan bersarang dalam pemikiran saya. Sebagai blogger dan juga rakyat yang berada dalam zon "non- Partisan'' ulasan saya lebih tampak berada dalam keadaan di tengah-tengah, berbanding dengan Datuk Rahman yang semua orang tahu mendapat 'talian' hayat politiknya dalam bahtera BN dan UMNO. bagaimanapun 'lengkap' atau 'menariknya' Buku Jingga, saya berkeyakinan sebagai pemimpin yang memperjuangkan idealisme politik BN/ UMNO, Datuk Rahman 'tetap' dianggap 'bias' dan 'menyerang'. walapun saya tidak begitu arif tentang ekonomi negara ditambah lagi tidak mendapat pendedahan dan bantuan dari agensi berkenaan seperti DARD, namun saya cuba menjawap kenyataan DARD itu dari sudut pandang anak-anak muda yang memerlukan penerangan dan panduan.

Kenyataan DARD seperti " Sebagai penyokong BN, saya hampir saja membuang Buku Jingga kedalam tong sampah kerana kecewa dengan retorik politik yang berlebihan yang tidak kena pada tempatnya" ( lihat blog DARD) bagi saya agak 'keras' dan mengandungi pendekatan politik yang ekstrem. Bagaimana lagaknya anak-anak muda yang memerlukan penerangan lanjut mengenai sudut pandang pemimpin BN/ UMNO apabila membaca kenyataan ini? tentu ada yang menganggap sebagai bongkak dan sombong.

Begitu juga dengan kenyataan DARD " Satu perkara lagi yang saya dapat bezakan antara Buku Jingga dan Program Transformasi Ekonomi dan kerajaan ialah cara ianya dirancang". Menurut DARD perancangan PR dalam Buku Jingga tidak mengambil kira kehendak dan aspirasi rakyat. Dalam hal ini saya begitu 'tawaduk' kerana pada hemat saya bahawa DSAI dan konco-konconya tidak hanya merangka Buku Jingga itu dalam sindrom 'minum kopi' dan sehari dua. Sebagai pemimpin yang berpengalaman dan pernah menduduki kerusi nombor dua saya merasakan "buku Jingga' juga dibuat dan dirangka dengan begitu strategik dan penuh keinsafan sepertimana yang didakwa oleh DARD terhadap perancangan Transformasi ekonomi kelolaan BN. Soal meremehkan dan merendah-rendahkan apa yang terkandung dalam BJ tidak akan dapat meyakinkan golongan non partisan untuk tidak memberi undi kepada PR pada PRU 13 nanti. Apa yang lebih utama ialah melihat apa yang diutarakan oleh PR dalam buku berkenaan dan melihat kewajarannya dari semua sudut.

Saya juga ada membaca BJ ini dan cuba untuk memahaminya berdasarkan renungan bahawa apakah 'kelebihan' yang bakal diperolehi jika membenarkan BJ menjadi satu kenyataan. DARD banyak mempertikaikan mengenai jumlah pendapatan kerajaan yang dijangka dan didakwa akan mengalami penurunan berikutan beberapa cadangan dalam BJ antaranya dengan penghapusan konsesi lebuhraya yang dijangka bernilai 50 billion dan penghapusan subsidi kepada IPP bernilai 19 bilion serta menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan sebanyak 20%.


Dalam hal ini, saya tidak suka terikat dengan angka dan nombor tetapi sebaliknya melihat apa rasional kepada langkah yang dipaparkan dalam BJ. Antara yang saya perolehi ialah, situasi tersebut nyata membebankan rakyat. Kos atau tol yang dikenakan kepada rakyat dianggap begitu membebankan, walaupun kita ketahui bahawa itu adalah antara kos lepas yang terpaksa dihadapi dalam pembangunan. Begitu juga dengan subsidi kepada IPP yang dianggap terlalu besar dan didakwa oleh PR sebagai tidak praktikal kerana kerajaan terpaksa menjaga 'pensubsidian; ini ekoran daripada keterikatan terhadap kroni dan perjanjian yang tidak sama rata.

PR menjangkakan dengan penghapusan subsidi ini akan dapat memberikan kelebihan kepada kerajaan dalam menyusun atur subsidi kepada rakyat. DARD juga cuba melontarkan persoalan kerana kos yang sebegini besar, menyebabkan kerajaan akan kerugian. Dari mana PR bercadang untuk menambah pendapatan? saya tidak ingin menjawab persoalan itu kerana bagi saya PR masih belum 'memerintah' dan 'peluang' untuk menambah pendapatan tidak akan datang pada masa ini, melainkan setelah 'memerintah'.

Kejujuran dan ketegasan PR membenteras ketirisan, kebocoran dan gejala rasuah yang berlaku tentunya mendatangkan pendapatan yang lebih. Kerajaan seperti yang dilaporkan menghadapi berbilion ringgit ekoran daripada gejala rasuah dan kebocoran dari beberapa perlaksanaan projek mega yang menggunakan wang rakyat sebagai perbelanjaan. Kita masih ingat tentunya isu atau skandal pembelian kapal selam yang di dakwa menelan kos 50 juta untuk komisyennya. begitu juga perlaksanaan projek MMR2 yang menghadapi pertambahan kos berjuta ringgit kerana faktor pembinaan yang tidak sempurna. Skandal PKFZ yang juga menelan berbilion ringgit dan pelbagai lagi isu berkaitan, termasuk di Sabah sendiri apabila beberapa projek pembinaan sekolah yang menghadapi masalah. Bagi anak-anak muda non partisan ini, isu ketirisan adalah lebih mustahak daripada memperkatakan tentang sumber mana PR akan mendapatkan pendapatannya apabila memerintah kelak?

Sepekara lagi yang menjadikan 'hati' saya begitu mula meneliti BJ ini ialah apabila media melaporkan bahawa timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin membuat pengakuan tentang kerelevanan dan kewajaran yang terkandung dalam BJ ini. sementelahan itu saya juga cuba merungkai persoalan tentang apa yang dikatakan oleh BJ kepada Sabah dan sarawak sebagai "rakan kongsi". walaupun istilah "rakan Kongsi' ini bertujuan untuk pancingan sokongan tetapi saya lebih melihat ia seakan hampir kepada konsep 'penserdajatan' yang terkandung dalam perjanjian Malaysia apabila Sabah dan sarawak bertindak menyertai Gagasan Malaysia pada tahun 1963. Hak dan kedaulatan Sabah seharusnya dilihat sebagai 'rakan kongsi' dan bukannya sebahagian dari negeri-negeri dalam wilayah yang bergabung itu. Ini satu realiti kesedaran politik yang cuba diterapkan dalam BJ untuk rakyat Sabah merasai 'kemanisan' idea para pemimpin terdahulu yang mengambil peranan penting dalam penyertaan Sabah dalam gagasan Malaysia.

Satu lagi yang meyakinkan saya bahawa BJ akan terus menjadi polemik politik buat BN dan UMNO ialah apabila DSAI 'mencabar' PM Datuk Najib untuk membahaskan kewajaran dan keberkesanan BJ ini, namun ditolak. Jika benar kerajaan mengambilkira impak kehidupan rakyat luar bandar terhadap dasar-dasar transformasi ekonomi yang dirancang, inilah masanya Najib 'menghuraikan' secara panjang lebar tentang itu dan kenapa BJ tidak harus 'bersemadi' dalam lubuk hati rakyat Malaysia. Barangkali kerana politik dan demokrasi di negara ini masih berada pada tahap 'setengah masak' dan belum menunjukkan kematangan, justeru pelawaan itu ditolak tanpa alasan yang boleh diterima oleh jutaan 'hati' anak-anak muda yang mahukan kebenarannya. Bukankah di negara- negara demokrasi tertua, budaya 'debat' dan 'bahas' ini adalah satu keperluan?



Friday, March 11, 2011


Tahun 2011 banyak mencatat sejarah 'kebangkitan' rakyat. Yang lebih besar dan 'mendebarkan' ini apa yang berlaku diluar negara. Dunia Arab dan Afrika telah mengalami ledakan politik yang maha besar. Isu pengangguran, kenaikan harga barang dan juga isu inflasi menjadi motivasi' dalaman kepada rakyat Arab dan Afrika untuk bangun menggulingkan kerajaan sedia ada. Negara demokrasi terbesar di dunia, INDIA juga mengalami situasi yang hampir serupa. Chinaebuah negara Komunis juga tidak terkecuali mengalami kenaikan harga barang yang menyaksikan beberapa barang keperluan berkurangan dalam pasaran sehingga rakyat mengalami kesukaran untuk mendapatkannya.

Di negara kita isu kenaikan harga minyak begitu mempunyai kaitan rapat dengan kenaikan harga barang keperluan. Seagai sebuah negara yang masih bergantung kepada import barangan keperluan, Malaysia tidak terkecuali merasa bahang kenaikan harga barangan yang berlaku dengan beberapa negara dagang. Misalnya kenaikan harga dan kekurangan Bawang, menyebabkan negara kita juga turut merasa pedihnya.

Walaupun begitu, kerajaan tidak harus 'menutup' mata dengan kenaikan harga barang ini. Sebolehnya kerajaan harus meminimumkannya berdasarkan kepercayaan pasaran kapitalis, dimana kerajaan boleh melakukan campur tangan. Jika masalah kenaikan harga barang berterusan sehingga menimbulkan kesengsaraan kepada rakyat, maka tidak mustahil akan berlaku 'kebangkitan' rakyat untuk menuntut status hidup yang lebih selesa. Mungkin kebangkitan atas rasa ketidakpuasan hati pada senario politik dapat dibendung, namun tidak bagi isu memenuhi keperluan asas manusia. Bagaimanakah dapat meringankan ribuan rakyat yang bergelandangan dan bergentayangan akibat harga barang yang parah dan tinggi? Tentu isu kenaikan harga barang ini akan menjadi isu besar pada PRU13 akan datang.

Wednesday, March 9, 2011


Polemik antara Tun Mahathir dengan Dtauk Nik Aziz tidak pernah reda. Sejak Tun M menjadi PM lagi sehingga sekarang. Isunya mencakupi pelbagai aspek, Pluralisme, Nasionalisme sehingga kepada isu berkaitan dengan 'pegangan' ideologi, agama dan 'pembelaan' kepada ketuanan Melayu. Berikutan beberapa siri penulisan kedua-dua tokoh ini yang seakan saling berjawaban, muncul pula pemimpin kanan PAS Datuk Husam Musa yang mendakwa melalui blognya bahawa Tun M sebenarnya adalah 'pengkhianat Melayu". Bersandarkan kepada 3 dalil yang berkait rapat dengan hak dan outonomi kerajaan Kelantan terhadap hasil minyak yang diperolehi dipersekitaran perairan negeri berkenaan. Isu yang dibangkitkan oleh Datuk Husam ini tidak pula dijawab oleh Tun M sebagaimana dia menjawab tulisan-tulisan datuk Nik Aziz sebelumnya.

Di Sabah nam Tun M begitu gah. Pertama kerana pada era pemerintahannya, UMNO dilahirkan di Sabah. Kedua, pada eranya juga PBS 'menjilat' kembali ludahnya untuk tidak 'bertuankan' BN dan sekutunya. Ketiga, kerana Tun M jugalah bumiputera Islam 'kehilangan' parti tertua USNO. Dan keempat, kerana pada zamannya juga Tun M berjaya 'mempengaruhi' Datuk Hariss Salleh untuk 'menyerahkan' Pulau Labuan kepada Wilayah Persekutuan. Sebenarnya terlalu banyak 'pengorbanan' Tun M buat Rakyat Sabah, termasuklah merealisasikan penubuhan Universiti Malaysia Sabah.

Walaupun begitu Sabah bukanlah 'buta' dalam mencatat memori politik yang pincang. Tun M sehingga kini dipertikaikan oleh banyak pihak tentang keputusan dan percaturannya ketika di singahsana politik negara. Penggiliran Jawatan Ketua Menteri, dianggap oleh ramai penganalisis politik tempatan sebagai tidak praktikal, mencabuli hak dan perundangan, dan juga ada yang menganggap sebagai 'mengkhianati' hak demokrasi rakyat Sabah.

Sesetengah penulis bebas melalui buku mereka mendakwa, pada era Tun M juga wujudnya IC PROJEK di Sabah. Memberikan kerakyatan dan taraf penduduk tetap kepada sebilangan ramai PATI di Sabah sehingga banci yang dilakukan mendapati pertambahan penduduk Sabah dalam kadar 300% , sesuatu angka yang begitu luarbiasa dan tidak masuk akal langsung. Kini, masalah PATI bukan sahaja telah berakar umbi di Sabah, malahan telah ada dakwaan anak-anak PATI ini telah pun berjaya memasuki IPTA iaitu di UMS.Lihat blog ini http://mutalibmd.blogspot.com/ Walaupun beberapa pemimpin dengan lantang mengkritik dayaupaya kerajaan Pusat dalam menangani isu PATI ini, nyata semuanya diambil 'enteng'. Desakan dan gesaan supaya satu Suruhanjaya bebas diadakan juga ditolak . Menteri Keselamatan Dalam Nedgeri Datuk Hisyamuddin dalam satu laporan menyatakan bahawa ketidakperluan kerajaan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya diraja mengenai PATI di Sabah.

Siapakah yang patut disalahkan dalam hal ini? Apakah para pemimpin Sabah yang begitu mudah digula-gulakan. Atau apakah adalah muslihat dan skandal berlarutan sehingga lebih 3 dekad masalah PATI di Sabah 'gagal' diselesaikan. Saya serahkan pada pembaca untuk menilai sama ada Tun M juga adalah 'pengkhianat" atau 'penyelamat"bumiputera Islam di Sabah.

Tuesday, March 8, 2011


Walaupun ramai pihak di Sabah yang melihat bahawa janji-janji Pakatan Rakyat sebagai 'sumbang' dan 'fatamorgana' semata-mata, namun harus diingat bahawa janji Pakatan Rakyat yang terkandung dalam "BUKU JINGGA" itu harus dicerap secara ilmiah dan berlandaskan undang-undang Perjanjian Malaysia 1963. Ketika meneliti Buku Jingga ini, ramai penganalisis politik yang 'bertauliah' atas kepakaran mereka secara ilmiah dalam soal Penyertaan Sabah dan sarawa ke dalam gagasan Malaysia, menyifatkan 'janji' Pakatan Rakyat itu sebagai mengembalikan 'hak-hak' outonomi Sabah yang telah lama terhakis sejak merdeka.

Buku Jingga ini mengandungi segala perancangan startegik ekonomi, sosial dan politik pihak pembangkang. Dengan slogan "ubah sekarang, Selamatkan Malaysia" , Pakatan Rakyat mengetengahkan konsep Sabah dan sarawak sebagai "rakan kongsi". Selain diberikan outonomi , Sabah juga turut 'ditawarkan' kenaikan royalti minyak daripada 5% kepada 20%. Jika bersandarkan kepada kehendak dan isu yang diperjuangkan oleh segelintir pemimpin 'ultra' Sabahan, maka landasan Buku Jingga ini bertepatan dengan apa yang diperjuangkan.

Namun isu ini dijangka tidak akan mengoncang sokongan padu rakyat Sabah kepada BN dan UMNO pada PRU 13. Apa yang terus dilupai oleh pemimpin BN ialah Pakatan Rakyat melalui janji Buku Jingga ini sebenarnya telah memberikan 'pilihan' kepada rakyat Sabah yang mahukan perubahan dan mandat kepimpinan. Memang kita akui bahawa kadar peratusan perubahan itu adalah sedikit jika dibandingbeza dengan di Semenanjung, namun adalah tidak mustahil bahawa perubahan itu datang, tatkala pelbagai isu tertunggak kerajaan dan UMNO yang gagal diselesaikan.

Seperti yang disuarakan oleh mantan Bendahari UMNO Datuk Daim Zainuddin bahawa antara faktor kemerosotan sokongan rakyat keatas BN pada PRU 2008 adalah bertitik tolak dari isu sosial dan ekonomi yang gagal diselesaikan oleh kerajaan pada waktu itu.

Melalui Buku Jingga, Pakatan Rakyat bukan sahaja memberi alternatif kepada rakyat sabah dalam mengubah landskap politiknya, nyata Buku Jingga itu juga dijangka menjadi dokumen rasmi Pakatan Rakyat sebagai manifesto pada PR 13 akan datang. Bukankah rakyat sabah sebelum ini tidak punya peluang dan pilihan untuk selain mengubah kerajaan. PBS yang menyertai BN, dilihat telah menodai keinginan segelintir rakyat yang mahukan perubahan.

Apakah Buku Jingga ini akan mengubah landskap politik Sabah?

Monday, March 7, 2011


Beberapa minggu yang lepas, rakyat Sabah dikejutkan dengan tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menamatkan khidmat lebih 500 orang Guru sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang terdiri dari rakyat Sabah dan diwar-warkan akan digantikan dengan GSTT dari semenanjung. Situasi ini bukan sahaja mendapat runggutan dari pelbagai pihak malahan telah menimbulkan kontrovesi yang tragik. Memerihalkan nasib guru-guru Sabah yang 'dinafikan' kelayakan dan ktrampilan mereka sebagai pendidik, walaupun dikhabarkan mempunyai kelulusan yang baik. Akhirnya menyedari bantahan dan 'risiko' yang bakal dihadapi oleh kerajaan pada PRU 13 yang bila-bila masa akan diadakan itu, KPM menarik balik penamatan kontrak keseluruhan GSTT di negara ini.

Di Sabah, juga tidak kurang isunya berkaitan dengan jawatan-jawatan kontrak yang tidak disambung yang melibatkan rakyat Sabah sendiri. Pejabat Pembangunan Negeri Sabah yang diletakan di bawah ICU Jabatan Perdana Menteri dikhabarkan telah menamatkan kontrak lebih 25 orang Pengurus Projek yang sebelum ini telah 'ditauliahkan' khidmat mereka lebih dua tahun. Penamatan kontrak ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan rakyat, kerana selain daripada khidmat mereka diperlukan terutama dalam soal-soal pemantauan dan penyelarasan projek di peringkat negeri, ia juga dikatakan menyumbang kadar pengangguran di negeri ini. PPNS pula tidak berjaya mewujudkan jawatan-jawatan baru yang boleh dipenuhi oleh rakyat Sabah terutama berkaitan dengan isu pembangunan di negeri ini. Sedangkan Sabah telahpun 'dinobatkan' sebagai negeri yang termiskin di negara ini. Mengapa masalah ini tidak diperincikan untuk kebaikan rakyat Sabah sendiri?

Khidmat para pengurus projek telah terbukti berkesan memastikan perjalan projek yang dilaksanakan. Para pegawai ini diletakkan di bawaha Pejabat Daerah di seluruh negeri Sabah. Kesanggupan mereka berkhidmat di luar daerah dan terpencil seharusnya diambil kira oleh PPNS sebelum mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan mereka. Apa yang dikesali ialah jika jawatan yang berkenaan akan di isi oleh pegawai baru yang tidak berpengalaman dalam soal selok belok kehendak masyarakat tempatan di mana mereka ditugaskan.

Disaat BN dan UMN O menghadapi bahang PRU 13 yang diramalkan akan diadakan pada tahun ini, kerajaan Sabah khususnya dan kerajaan Persekutuan amnya tidak sepatutnya mengambil 'risiko' tidak mendapat sokongan dari rakyat Sabah. Isu pembelaan dan isu layanan sepatutnya keatas rakyat Sabah dalam perkhidmatan sokongan dan kontrak seharusnya diambil berat.

Friday, March 4, 2011


Kenyataan Mp Parlimen Datuk Rahman Dahlan dalam sebuah akhbar tempatan beberapa hari lepas yang kemudiannya "dipostkan" dalam FCB BAKAL CALON P169 KOTA BELUD, di bawah pengendalian sdr Razak Rakunman berkaitan dengan gesaan dan kenyataan DARD bahawa suku kaum Bajau Samah perlu mendapat peruntukan khas dalam bajet 2011, telah mengundang 'kemarahan' dikalangan bloggers dan FCB. "kemarahan' yang berasas itu adalah kerana pada perkiraan awal,seseorang ahli Parlimen yang mewakili beberapa suku yang mendiami daerah Kota Belud tidak harus dipandang begitu berat sebelah. "membela' suku tertentu manakala menidakkan pembelaan kepada suku lain.

Walaupun Sdr Musli Oli yang juga merupakan AJK kepada USBO dan YDP PERKASA Sabah, cuba menjelaskan keadaan yang berlaku dengan pendirian menyokong kenyataan DARD itu, namun nampak gayanya, pembahas dan pengunjung FCB BAKAL CALON P169 KOTA BELUD tidak begitu berpuas hati. Malahan KM dalam hal ini mengutarakan kewajaran kenyataan yang dikeluarkan oleh DARD itu selaku MP Kota Belud.

Gesaan dan desakan turut disuarakan supaya DARD dengan rela hati dan bukan lepas tangan dapat memberikan penjelasan berkaitan kenyataannya itu. Ini perlu kerana dikhuatiri tanggapan negatif terus dilemparkan oleh penggiat politik di Kota Belud.

Secara lebih terbuka, KM sendiri masih tertanya-tanya apakah motif sebenar DARD mengeluarkan kenyataan itu? Apakah bertujuan untuk meraih sokongan lebih daripada suku Bajau Samah? Atau apakah ini adalah antara perancangan pihak tertentu untuk 'memusnahkan ' pengaruh DARD di Kota Belud yang mula bertapak?

Ada juga idea-idea yang kedengaran, mempersoalkan tindakan pro sdr Musli Oli dengan kenyataan DARD ini. Kerana sebelum ini Musli Oli begitu lantang mengkritik kepimpinan DARD di Kota Belud. Soal skuad p169, soal 'lawatan' DARD kebeberapa kawasan juga turut dipersoalkan.Namun bila menyentuh tentang peruntukan bajet untuk suku kaum Bajau samah, Musli Oli begitu lantang membuat penjelasan. Apakah ini adalah antara usaha-usaha Musli Oli untuk menimbulkan rasa kurang senang masyarakat lain kepada DARD? Atau mungkin juga Musli Oli 'sedang' merangka strategi politik peribadi untuk menyisihkan DARD di Kota Belud setelah kenyataannya untuk bertanding di Parlimen Kota Belud tidak mendapat response dari DARD sendiri?

Apa yang harus dilakukan oleh DARD ialah dengan memberikan penjelasan yang sejelas-jelasnya supaya keadaan tidak akan menjadi keruh. Kerana beberapa orang dalam FCB mula mempersoalkan 'pemberian'undi mereka kepada DARD pada PRU12 yang lepas. Jika hal ini berterusan dijangka reputasi DARD di Kota Belud akan menjunam dan merudum.

Wednesday, March 2, 2011


Selepas menemui MP Parlimen KB, Datuk Rahman Dahlan dalam satu pertemuan empat mata dengan ahli-ahli parlimen BN seluruh negara, Najib terus melakukan transformasi politik dengan memanggil ketua-ketua UMNO Bahagian menemuinya. Di Kota Belud, Ketua Umno Bahagian, Datuk Salleh Tun Said telahpun 'dipanggil'. Namun hingga kini, masyarakat di KB masih samar dengan pertemuan itu. Apakah isu yang diperdengarkan oleh DSSK kepada Najib berkaitan politik KB? Kini Najib dan Muhyiddin akan menjelajah seluruh negara turun ke peringkat akar umbi untuk melihat dan memantau sendiri apa yang berlaku di peringkat itu. Tidak cukup dengan maklumat yang disampaikan oleh MP Kota Belud dan Ketua Umno Bahagian, DSSK, Najib atau timbalannya dijangka akan mengunjungi masyarakat Kota Belud tidak berapa lama lagi.

Inilah masa yang paling sesuai untuk Najib melihat dengan mata kepala sendiri apa yang berlaku dengan daerah Kota Belud, anak emas kepada UMNO yang melahirkan UMNO Sabah. Apa yang berlaku biasanya segala kepincangan, ketirisan,kebocoran atau apa jua yang berkaitan denga kedaifan (kalau ada) akan disembunyikan supaya mata Najib tidak akan melihat keadaan yang sebenar. Justeru itu peranan pemimpin kelas pertengahan di Kota Belud untuk memaparkan realiti kehidupan masyarakat yang serba serbi kekurangan , walaupun pernah Kota Belud melahirkan pemimpin bertaraf nasional.

Sementara itu para pemimpin di KB juga digesa untuk mengurangkan jurang perbezaan pendapat, dan isu politik yang keterlaluan sehingga rakyat menjadi mangsa kepada percaturan itu. Sikap tolak ansur dan saling melengkapi boleh diterapkan dengan 'mengecilkan' kepentingan diri dan kumpulan tertentu demi rakyat yang selama ini memberikan sokongan kepada mereka.

Jika sesungguhnya Najib ke KB, rakyat secara berhemah harus mempersembahkan segala macam permasalahan berkaitan secara berhemah. Adalah lebih baik jika pemimpin kelas pertengahan yang lebih terdedah kepada masalah di peringkat akar umbi menjadi 'perantara' sementara. Kita tunggu ketibaan Najib dan Timbalannya.