Sunday, August 29, 2010


Selepas sahaja PRU 12 melabuhkan tirainya, Politik Sabah terus bergolak. Banyak sebab yang dapat diberikan. Antaranya ialah penyingkiran beberapa orang pemimpin di Sabah yang dikatakan 'berpengaruh', ketidakpuasan hati pemimpin parti-parti komponen dan juga "dasar' dan "stail" kepimpinan Musa Aman. Ramai ahli politik di Sabah,merasakan bahawa peluang dan ruang mereka untuk menyusun strategi politik musnah dengan beberapa tindakan Musa Aman termasuk beberapa skandal melibatkan pembalakan hutan simpan Yayasan Sabah, penggubahan wang haram di luar negera, isu kroni dan proksi dan banyak lagi yang sudah 'tidak larat' dilaporkan oleh media massa arus perdana, melainkan hanya melalui media ketiga yang mula mendominasi ruang penyebaran maklumat di negeri bawah bayu ini.

Isu yang paling menarik untuk dikedepankan ialah isu penyingkiran pemimpin pada PRU 12. Kerana bagi KM inilah yang menjadi asas kepada segala bentuk masalah yang dihadapi kini oleh BN Sabah di bawah kepimpinan Musa Aman. Antara pemimpin yang terlibat disingkirkan ialah Datuk Salleh dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta Datu Amir Kahar, yang kemudiannya bergabung dalam satu wadah sosial iaitu USBO.

Walaupun USBO diberikan nafas baru kononnya bukan untuk tujuan politik, tetapi ia sebagai signal kepada Musa Aman pada waktu itu bahawa pemimpin yang disingkirkan itu adalah dari rumpun bangsa majoriti. Bahawa mereka ada upaya untuk mencorakkan landskap politik di Sabah. Sekaligus kononnya pemimpin ini sewajaranya diberikan ruang untuk turut sama dalam mengharungi badai politik Sabah.

USBO akhirnya, tidak kemana, lebih-lebih lagi apabila DSSK dan TSPAM mendapat tempat dalam kabinet dan juga status politik yang baik. DSSK dilantik sebagai penasihat Sains kepada Ketua Menteri bertaraf menteri, manakala TSPAM dilantik sebagai YDP Dewan Rakyat, jawatan bukan politik tetapi jawatan atas sebab pengiktirafan politik.

Sejak kes PRU 12 ini, pelbagai 'virus' mula merebak dalam politik Sabah. Rasa tidak puas hati sentiasa hinggap dalam benak pemimpin parti komponen. Rasa sentiasa "terancam' sehingga segala tindak tanduk Musa Aman adalah 'ibarat hempedu" politik yang sangat pahit bagi mereka. Kes pembahagian kerusi PRU adalah antara yang menjadi agenda parti-parti komponen BN di Sabah beberapa bulan mendatang ini .Mereka takut kalau-kalau parti dan pemimpin mereka disingkirkan. Sedangkan pemimpin UMNO yang begitu 'advance' di peringkat negeri dan nasional bisa disingkirkan oleh Musa Aman pada PRU yang lepas, apatah lagi pemimpin Parti Komponen BN ini yang rata-rata mula kehilangan taring setelah mereka berpecah dalam beberapa aliran parti politik yang berbeza.

"Rampasan 'kuasa oleh Datuk Shafie Apdal sengaja diperbesarkan, supaya memberi tekanan kepada Musa Aman, apatah lagi DSA adalah 'anak' emas Datuk Najib diperingkat persekutuan. Kini apabila isu itu berlalu, Presiden UPKO pula membidas kepimpinan UMNO di sabah, kononnya tidak membawa semangat 1Malaysia. DSSK yang kini menjadi 'penasihat ' kepada Musa Aman, melenting dan membidas kenyataan itu dalam blognya. Sebelum inipun beberapa pemimpin parti komponen BN membuat desakan dan tuntutan supaya beberapa isu tertunggak seperti PATI dan pengundi Hantu diselesaikan.

Apa yang menjadi tumpuan pemerhati politik sejak seminggu yang lalu ialah tindakan LDP membuat kenyataan terbuka enggan berkompromi dengan Musa Aman tetapi menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib. Beberapa isu seperti pembinaan patung Mazu di Kudat hanya dijadikan 'topeng' kepada ketidakpuasan hati itu. Kerana selang sehari selepas itu, DSSK mengeluarkan kenyataan pula kononnya ada komplot menjatuhkan dan mneyingkirkan Datuk Musa Aman. Yang peliknya DSSK lebih duluan mengetahui perkara ini daripada setiausaha Bn sabah, Datuk Rahman Dahlan. Ramai yang mempertikaikan kenyataan DSSK ini kerana kata mereka, sebelum inipun DSSK bukanlah politikus yang setia kepada ketua. Bukankah ketika dalam USBO, DSSK turut memberi 'tekanan'kepada Musa Aman. ?

Ramai pemerhati politik, ingin mencari jawapan , kepada persoalan, apakah sebenarnya Motif DSSK mengeluarkan kenyataan itu? Apakah sebagai 'pembersihan' noda politiknya kepada Musa Aman, kononnya dia adalah pelindung kepada politik Musa Aman di Sabah? Apakah benar ada konspirasi menjatuhkan Musa Aman..atau sekadar propaganda untuk 'mengurangkan'perhatian media dan orang awam kepada isu skandal dan tuntutan pembahagian kerusi parti-parti komponen. Apakah nilai 'kesetiaan' yang ditunjukkan oleh DSSK ini?

Apa yang nyata ialah, Musa Aman di sabah sudah kehilangan kepercayaan dikalangan pemimpin rakan dalam BN Sabah. Dan jika itu benar tentunya DSSK akan kehilangan tempat berteduh . Justeru itu segala macam strategi politik akan dilaksanakan untuk memastikan kepercayaan keatas Musa Aman oleh pucuk pimpinan pusat tidak akan surut. Sekaligus 'kesetiaan' DSSK yang baru "menetas" kepada Musa Aman akan terbukti.

Bagi Najib perkembangan terbaru ini akan menjadi satu lagi isu yang bakal dipertimbangkan untuk membuat sesuatu yang terbaik buat Sabah. Jika tidak"tekanan' politik akan mencairkan Fixed Deposit BN ini pada PRU 13 akan datang. Dan jika benar bahawa adanya komplot tentunya ia hanya akan berakhir bila KETUA MENTERI Sabah yang baru akan mengangkat sumpah.



Thursday, August 26, 2010


Mungkin gerakan penyatuan Iranun yang dilaungkan semenjak beberapa minggu kebelakangan ini, tidak dapat kita samakan dengan gerakan Revolusi Perindustrian di Perancis beberapa dekad yang lampau. Kerana walaupun Revolusi itu juga bermula dari peringkat masyarakat bawahan tetapi unsurnya ialah "Revolusi " itu perubahan besar-besaran secara kekerasan. Manakala gerakan penyatuan Iranun hanya bersifar "reform" iaitu pembaharuan iaitu agak perlahan sifatnya ,tetapi juga bermula dari peringkat akar umbi.

Justeru itu gerakan penyatuan Iranun yang diilhamkan diperingkat akar umbi ini dijangka akan panjang jangka hayatnya, itu pun jika pelopor kepada gerakan ini mempunyai jati diri dan naluri serta idealisme penyatuan yang kental. Kerana mendidik dan membawa masyarakat untuk melupakan soal resis, soal perbedaan, soal dendam. soal kesumat, soal kemurnian diri , bukan ssesuatu yang mudah. Ia memerlukan ketekunan dan pengorbanan besar. Itu yang kita harapkan tatkala ada idea-idea penyatuan ini dikumandangkan.

Biasanya diperingkat pimpinan masyarakat, maka soal penyatuan bangsa ini dilahirkan oleh peringkat pimpinan tinggi..ia dikenal sebagai gagasan penyatuan. Situasi sebegini agak mudah diurus, ditadbir kerana ia hanya "turun" ke peringkat kelas pertengahan dan kemudian di peringkat bawahan. Para pemimpin yang punya kekebalan idea penyatuan ini akan memastikan gagasan itu berjalan dengan baik dan rakyat hanya berfungsi sebagai 'penerima' dan 'pelksana' gagasan sedemikian. Misalnya, Gagasan 1 Malaysia yang dipelopori oleh datuk Najib..membawa situasi yang saya maksudkan. Apa yang menjadi masalah kepada gagasan penyatuan bangsa dari peringkat pimpinan kelas atasan ini ialah, ia senang bergolak dan berubah kerana, jika kepimpinan berubah,idea dan gagasan itu juga turut berubah. Namun ada juga byang berjaya. Dan kejayaan gagasan penyatuan itu adalah atas dukungan rakyat atau bangsa berkenaan.

Gerakan penyatuan yang bermula dari peringkat akar umbi nyata boleh bertahan lama. kerana ia lahir atas kesedaran, keinsafan, dan ketekunan untuk membawa apa yang diistilahkan sebagai "reform" atau pembaharuan. Gagasan penyatuan sedemikian akan melahirkan bakat-bakat pemimpin kelas pertengahan dan kelas atasan. Kebangkitan akar umbi yang inginkan penyatuan menyeluruh akan dapat melahirkan pembaharuan yang kekal dan teratur.

Inilah yang saya maksudkan dalam gerakan penyatuan Iranun yang lebih awal disuarakan oleh peringkat akar umbi. Bermula dari hanya cakap-cakap kosong dalam FCb akhirnya ia terlaksana sebagai satu gerakan penyatuan. Pada hari sabtu ini, satu lagi perjumpaan peringkat pimpinan penaja akan berlangsung dan tentunya akan membuahkan hasil yang baik.

Berdasarkan maklum balas yang diterima, kita mengharapkan agar penyatuan bangsa yang tidak berpaksi kepada politik semata-mata akan berjalan dengan baik dan mencapai matlamatnya. para cendikawan dan pemikir Iranun, dialu-alukan untuk memberikan komitmen dalam gagasan penyatuan akar umbi ini.

Tuesday, August 24, 2010


Penulisan kali ini saya dahulukan dengan ungkapan bahawa "POLITIK ITU ADALAH KUASA DAN KUASA ITU ADALAH POLITIK" Ini membawa makna yang mendalam, sebab itulah kita lihat di serata dunia 'perebutan' KUASA' ini berlaku. Yang belum berkuasa akan mencari KUASA. Yang sudah berkuasa akan mempertahankan KUASA. Banyak pertumpahan darah, kerosakan harta benda hatta kehilangan nyawa berlaku lantaran kerana POLITIK dan KUASA. Negera-negara luar seperti Thailand, Filipina, Indonesia..malahan keseluruhan negara di dunia bergolak, kerana isu yang sama.

Apa yang saya cuba utarakan pada penulisan ini, ialah betapa POLITIK itu memecahbelahkan, betapa politik itu memudaratkan banyak pihak, betapa politik itu menindas sebilangan yang majoriti atau pun minoriti. Kerana itu juga politiklah ,maka sesuatu golongan minoriti dan majoriti itu dikenali. Selagi POLITIK itu dipelihara mengikut lunas-lunas kemanusiaan dan hukum ketuhanan, maka selagi itu penolakan akan berlaku kepada idea asal yang nyatakan bahawa POLITIK itu memusnahkan.

Apakah ada yang berani tampil menawarkan idea bahawa pecah dan belah suku Iranun itu adalah kerana POLITIK?. Mungkin boleh dihujahkan. tetapi berapa kerat yang menerima situasi dan kenyataan ini? Sejak dari zaman ayahanda Pinjaman Hassin sudah ada tanda-tanda menunjukkan ketidakserasian percaturan politik Tan Sri pandikar dengan beliau..? Mungkin disebabkan dengan pendidikan dan situasi..tetapi itupun sudah cukup 'melemaskan' politik Iranun.

Dan kini setelah 3 dekad TSP berada dalam persada politik negara, pelbagai kejayaan politik peribadi telah dapat dikecapi..tetapi yang cukup menghairankan ialah ramai daripada generasi yang lahir selepas perjuangan TSP memertabatkan Iranun dalam persada politik nasional yang menunjukkan sikap kontra kepada pemimpin Iranun ini. Sama ada mereka yang berwajah politik atau pejuangan sosial, mereka ada alasan yang tersendiri dalam hal ini. Antara pemikir Iranun yang bukan kecil sumbangannya dalam kelangsungan budaya Iranun ialah arwah Datu Bandira Datu Alang yang juga berjuang dalam landasan kepartian yang berbeza dari TSP. Selepas itu sdr Razak Rakunman juga menunjukkan pola perjuangan yang sama dengan berdiri sebagai calon BEBAS.

Seperti apa yang dikatakan oleh TSP bahawa ketika muda, hati ingin mengubah dunia..adakah boleh dijadikan sebagai penghujahan dalam senario ini?...Apakah benar bahawa ramai pemikir,pejuang, aristokrat Iranun yang tidak sealiran dengan TSP terlalu ingin cepat bergelar pemimpin? Atau Apakah perlu TSP sendir melihat kembali pendekatan dan strateginya dalam 'menyempurnakan' kelangsungan politik Iranun? Atau barangkali sudah sampai masanya idea-idea baru boleh disenyawakan dengan kepimpinan TSP sekarang supaya lebih utuh dan menyeluruh terutama dalam hal-hal berkaitan dengan Bangsa Iranun?

Seorang pejuang Iranun yang sama-sama memperjuangkan TSP ketika era politik USNO dan BERJAYA yang sempat saya dengar penjelasannya menyatakan bahawa kejayaan TSP adalah kejayan politik peribadi dan bukan kejayaan politik suku Iranun? Alasannya yang diberikan kerana hingga kini, katanya kepimpinan Iranun masih berpaksi kepada TSP tanpa ada pelapis yang boleh meneruskan legasi kepimpinan Iranun di masa depan. Katanya lagi, kerana adalah mustahil sehingga kini tidak ada tunas baru yang bol;eh digilap oleh TSP? Tetapi kenapa tidak ada? Atau belum bersediakah TSP secara peribadinya berganding dengan pimpinan baru Iranun?

Kalau menurut tulisan Sdr Milus Alu dalam blognya, menyatakan berdasarkan fakta sejarah, bahawa suku Iranun asalnya sudah berkerajaan awal di Tempasuk dengan beberapa nama di sebut antaranya Raja Ismail dan raja Sa Tebok. Saya tidak menceritakan kisah sejarah ini. tetapi apa yang benarnya bahawa suku Iranun mewarisi darah pemimpin dari sebuah kerajaan yang hebat di Tampasuk.

Kerana itu, biarpun suku Iranun adalah minoriti tetapi POLITIK telah mengangkat seorang tokoh Iranun menjadi antara pemimpin yang disegani di sabah dan di Malaysia. Tokoh yang saya maksudkan ialah Tan Sri Pandikar Amin Hj. Mulia. setakat artikel ini ditulis, tidak ada satupun anak Iranun rasanya pada pengamatan saya yang sebegitu berjaya dalam dunia kepolitikkan dan kerjaya sebagai politikus , selain daripada Tan Sri Pandikar. Saya harap kenyataan ini dipersetujui kebenarannya.

Tan Sri Pandikar diangkat sebagai PEMIMPIN IRANUN dengan linangan air mata dan tumpahan merah darah menyala moyang -moyang kita yang terdahulu. Tan Sri Pandikar "dimuliakan" oleh bangsanya kerana sedikit kelebihan yang dimiliki oleh beliau. Beliau adalah ibarat pelita yang menerangi bangsa Iranun setelah berdekad lamanya.Tanpa IRANUN, rasanya Tan Sri Pandikar Amin juga tidak akan kemana. Hakikat ini juga kita akui.

Lalu, bilamana berdengung isu penyatuan suku IRANUN, rasa saya, Manusia IRANUN yang pertama harus melaungkannya ialah Tan Sri Pandikar. Kemudiannya di susuli oleh laungan dari rakyat kebanyakkan dari suku Ini. Biar bergema, nusantara ini dengan laungan "HIDUP IRANUN", biar bergelora laut sepanjang Marampayan, Nanamun, Pintasan, Tamau dan Pantai Emas menyambut kegermersikan laungan itu. Asalkan apa yang dikatakan sebagai PENYATUAN itu akan termakbul.

Pengwujudan Wadah Baru Iranun, harus disegerakan dengan melalui beberapa sumpah bangsa. Menghadap Tan Sri Pandikar dalam suasana hiba menceritkan perihal keaiban bangsa, rasanya beradat dan bermaruah.Kunjungan perlu dilakukan supaya jalan semakin terang. Dan atas bangsa sekalian , Mohon agar Tan Sri Pandikar juga menyatakan pandangan dan pendirian..supaya yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.

Sunday, August 22, 2010


Terima kasih KM, kerana tulisan dan luahan yang menggamit kalbu, saya juga terharu atas artikel ini. Saya amat menghargai setiap tulisan dan kritikan yang membina serta dapat mengingatkan kita atas kelalaian yang berlaku dalam masyarakat Iranun ini. Saya secara terus terang tidak terlintas untuk menentang sebarang penubuhan Wadah Baru Iranun. Pada saya sesiapa sahaja berhak melakukan apa yang mereka fikirkan baik untuk bangsa ini. Saya juga mengalakkan sebarang perbincangan yang menjurus terhadap pembangunan bangsa ini. Soal politik tidak ada termaktub dalam mana undang-undang atau perlembagaan Negara yang hanya dimiliki oleh seorang individu dan orang lain tidak berhak untuk berpolitik. WBI yang menjadi polimek sekarang ini pun berhak untuk lahir dan dilahirkan. Soal perpaduan yang dikatakan akan terjejas dengan adanya WBI, ianya adalah khayalan dan igauan yang tidak berpijak di bumi nyata. Selama ini Iranun sudah pun mempunyai ideologi politik yang berbeza, dan ianya berlaku sejak awal lagi.



Saya ada mengkaji politik Iranun dalam Master Sejarah saya di UMS dengan tajuk 'Masyarakat Iranun Di Sabah, 1780-an Hingga 1994: Persaingan Politik Akar Umbi Di Kota Belud', dan dalam analisis saya mendapati bahawa masyarakat Iranun telah terlibat dalam politik Nusantara sebelum 1700-an, dan orang Iranun adalah antara bangsa yang kuat dan aktif menentang para penjajah Barat dengan menyerang kapal-kapal pedagang tersebut, selepas itu mereka juga mempunyai hubungan politik dan perdagangan dengan beberapa kerajaan Melayu Nusantara seperti Johor, Kelantan, Siam, Acheh, Brunei, Singapura, Sulawesi dan Melaka, begitu juga Sri Langka, Afrika, dan Burma.



Selepas itu, orang Iranun menumpukan penentangan mereka di Sabah dengan menyerang penempatan English East India Company di pulau Balambangan yang diketuai oleh Datu Tating pada tahun 1775, mereka turut mempertahankan Kubu mereka di Teluk Marudu daripada serangan British pada tahun 1845 yang diketuai oleh Sharif Uthman, membantu Mat Salleh menyerang Ambong pada tahun 1897, menyerang Kudat pada 28 April 1900 yang diketuai oleh Mat Sator, pada ogos 1902 mereka juga menyerang Kudat kembali yang diketuai oleh Kamunta, serangan Raja Laut ke atas kapal British HMS Kestrel 1878 di Lahad Datu, penentangan Datu Kedunding 1879 di Tungku dan terakhir peristiwa Pandasan 1915.




Ketika pendudukan Jepun 1941-1945, ada orang Iranun yang terlibat dalam penentangan ini, antaranya Sharif Yakin di Kaniong, Haji Kasah Lawading, Datu Dani Datu Abpa, dan Datu Oker Datu Ansau, tetapi penentangan ini dilakukan secara senyap.



Era kemerdekaan pula, orang Iranun turut terlibat ketika kongres USNO di Kudat pada 24 Disembar 1961, yang diketuai oleh Haji Mulia. Namun pembentukan J/Kuasa USNO KB, Haji Mulia tidak dilantik sebagai AJK.



Semasa kemerdekaan, berlaku perpecahan politik antara masyarakat Iranun dalam USNO mula muncul, USNO yang dipimpin oleh Anuar Hj. Arshad telah memilih Iranun sebelah Kota Peladok dan Peladok sebagai AJK USNO KB, seperti KK Raya, KK Raup, Datu Ansau Datu Nanong, manakala Iranun sebelah Rampayan diberikan jawatan seperti Datu Oker dan juga Haji Mulia, situasi ini dilihat oleh Pinjaman Hasin pada masa itu sebagai menganak-tirikan orang Iranun dalam pentadbiran USNO, lalu beliau menubuhkan USAP dengan menyertai beberapa pilihan raya. Ketika pilihan raya 1974, beliau telah dibelasah oleh sebahagian penyokong fantik USNO yang menyebabkan kecederaan dan beliau tidak dapat bertanding kerana borang pencalonan beliau di kotorkan oleh penyokong2 fanatik USNO. Sebelum pencalonan beliau menjadi buruan dan mengisi borang dalam perahu ketika waktu malam, selepas itu beliau diburu lagi oleh pihak berkuasa untuk diISAkan, lalu rakan2 beliau dalam USAP yang tidak tahan dgn tekanan membatalkan USAP, beliau kemudian menyertai PEKEMAS dan berkempen menjelaskan hala tuju PEKEMAS ke seluruh pelusuk Sabah, namun parti itu turut terkubur.



Era BERJAYA 1976 yang menjatuhkan USNO, Jabar Khan Napi dan Raskan Asing antara tokoh utama selain Datu Masangkai yang menubuhkan parti ini, maka orang Iranun terbahagi kepada dua kumpulan iaitu USNO sebagai pembangkang dan BERJAYA sebagai pemerintah. Pada masa ini juga Tan Sri Pandikar muncul dalam politik USNO dan bertanding dalam pilihan raya 1981 dalam parlimen P. 169 Kota Belud dan beliau kalah, selepas itu memenangi pilihan raya kecil Usukan 1982.




Maka era Tan Sri Pandikar, orang Iranun mula mendapat tempat dalam politik Sabah dan KB dengan memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan dan kini sebagai Speaker Parlimen. (lihat blog saya - abuhilmie.blogspot.com)




Melihat kepada sedikit urutan perjuangan Iranun, saya amat yakin bahawa perbezaan fahaman politik bukanlah faktor utama Iranun akan mundur dan miskin atau akan merempat dalam negara ini. Soal WBI bukanlah masalah sebenar, tetapi apa yang penting kita sentiasa membuka ruang kepada sesiapa yang berminat dalam politik. Kadang kita terlalu takut apabila ada kumpulan yang cuba mahu menjadi hero dalam masyarakat ini dan kita cop mereka sebagai petualang, pengkhianat, pemecah-belah, tamak, rakus dan berbagai tuduhan yang tak sepatutnya dipaparkan. Dunia ini Allah SWT yang jadikan bukan dimiliki oleh hanya satu bangsa, satu glongan, tetapi semuanya bebas menjalani kehidupan dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.



Dalam perjuangan ini kita hendaklah sentiasa terbuka, bukan menghalang dan kalau kita ada sikap seperti ini, ianya lebih teruk daripada zaman British dan zaman Jepun. "Malaysia Negara Demokrasi' bebas bersuara, bebas berhujah, apa yang kita risaukan. Soal kepimpinan orang senior seperti Pinjaman Hasin, Tan Sri Pandikar atau sesiapa sahaja, kita tak pernah mengenepikan mereka, kita hormati jasa mereka, kita hargai pengorbanan mereka, kita kenang mereka, kita juga mengambil pandangan dan saranan mereka, tetapi kadangkala berlaku juga pertembungan idea dan pandangan dengan mereka, ini bukan bererti kita menderhaka. Berbeza itu bukan bererti berpecah, bersatu itu bukan juga menandakan kita sehaluan.



Agenda utama kita ialah meletakkan Iranun dalam pelbagai sektor utama negara ini, seperti Politik, Ekonomi, Sosial dan juga dalam Jabatan2 Kerajaan supaya masing-masing dapat memainkan peranan.




Kadang-kala kita tersalah tafsir bahawa hanya politik sahaja yang mampu melakukan semua ini. Kalau inilah tanggapan kita bagus semua kakitangan kerajaan yang berbangsa Iranun terjun dalam politik dan yang berniaga, yang menjadi nelayan, para petani dan sebagainya tinggalkan semua itu, kita berpolitik semua.



Saudara KM, jangan putus asa teruskan mendidik bangsa ini dengan pena anda, teruskan ...menulis dan terus menulis... kerana bangsa ini yang memerlukan pembelaan dan dahagakan pembangunan secara menyeluruh, membangun lahir daripada keupayaan menterjemah serta mengutarakan idea2 yang bermutu dan berwibawa.



Saya juga selaku S/U PAGISA yang dituduh gagal mengaktifkan persatuan ini memohon maaf. Saya ada beberapa kekangan dalam hal ini; 1. Saya tengah menghabiskan tesis master sejarah saya yang baru saja selesai pada bulan Julai lalu dan telah dihantar ke UMS.



2. Saya juga kakitangan kerajaan seorang Cikgu, kadang tumpuan lebih kepada perkhidmatan. 3. Kekuatan Ekonomi yang terhad, ahli tidak bayar yuran. dalam hal ini saya amat berterima kasih kepada Abu Aslam selaku S/U Kewangan yang banyak menyumbang dalam pelbagai aktiviti PAGISA dialah pendana utama persatuan ini. 4. Kelemahan saya sendiri.




Namun begitu PAGISA ada juga aktiviti yang dilakukan;

Peringkat International
1. Menyertai Delegasi Kecil Malaysia ke Syria dan Mesir (saya wakilnya)
2. Lawatan AMT ke India
3. Penganjuran bersama dalam CORNCEN Seminar BIMP-EAGA di UMS



Peringkat National
1. Menyertai Seminar Kesultanan Melayu Nusantara di Kuantan Pahang (saya dan presiden wakilnya)



Peringkat Negeri
1. Penganjur bersama CORNCEN 'Gejala Murtad' di Masjid Negeri
2. Penganjur bersama CORNCEN 'Isu Kalimah Allah'
3. Kunjungan Hormat dengan TYT bersama CORNCEN ( yang pertama saya wakil, kunjungan kedua Presiden)
4. Menghantar Surat bantahan kepada Ketua Menteri 'Isu Gejala Murtad' iaitu undang2 Syariah ( wakil Tim. Presiden)
5. Beberapa kenyataan akhbar bersama CORNCEN
6. Wacana Ilmu di Likas Plaza 'Penerangan berkaitan PAGISA' yang hadir tak sampai 20 orang bennar sudah digantung, namun tak ada sambutan.
7. Seminar Ekonomi di USIA pembentang Allahyarham Datu Bandira Datu Alang (yang hadir tak sampai 10 orang)
8. Kunungan Hormat kepada Datuk Masidi Manjun Menteri Belia dan Sukan Sabah pada masa itu.
9. Hari Bersama PAGISA sempena pelancarannya di KB dirasmikan oleh Datuk Masidi Manjun
10.Beberapa siri mesyuarat setiap bulan dengan CORNCEN



Peringkat Daerah
1. Rawatan Kesihatan di Kg. Pantai Emas dan Kg. Tamau (AJK yang hadir saya dengan Abu Aslam, isteri beliau adalah doktor yang dijemput sebagai perawat, ubat2an beliau yang dermakan). Program ini menjadi isu dan PAGISA dituduh mula berpolitik kerana Abu Aslam S/U Kewanagan adalah PAS.
2. Motivasi Siri 1 UPSR di SMK Arshad
3. Hari Anugerah Cemerlang UPSR, PMR, SPM, STPM di SMK Arshad
4. Motivasi Siri 2 UPSR di sekolah2 masyarakat Iranun.
5. Jamuan Hari Raya


Banyak lagi aktiviti yang tak sempat saya paparkan.




Apakah ini bukan aktiviti namanya sehingga PAGISA dituduh sudah lesu, tenggelam. Cuma aktiviti ini kami tak siarkan dalam akhbar atau media elektronik. Saya pun tak faham apa yang dimaksudkan aktiviti? Saya sedia meletakkan jawatan selaku S/U sekiranya ini adalah kegagalan saya dan berikan jawatan ini kepada yang berapi-api menuduh PAGISA sudah berkubur, kekangan kita kerana setiap aktiviti memerlukan kos dan perbelanjaan. Kalau bukan Abu Aslam, saya tak tahu macam mana PAGISA boleh bergerak sejauh ini?



Mungkin ada pihak mahu melihat para pemimpin PAGISA berdiri di medan politik, maka barulah PAGISA dikatakan aktif, atau mahu PAGISA membuat program yang akan menjadikan semua masyarakat Iranun kaya-raya. Ini mustahil boleh berlaku, tugas politik serahkan kepada yang berpolitik, kalau ada ahli PAGISA yang berpolitik jangan dilihat PAGISA terlibat dalam politik, kerana ada juga pemimpin2 pertubuhan lain yang pemimpinnya terlibat dalam politik, tetapi tak dituduh berpolitik, ini pemikiran songsang dan terkebelakang.




Saudara KM, hidup sebagai pengkisah kebenaran memang sentiasa mendapat krtitikan dan tentangan, lihat bagai mana ar-Rasul menyampaikan dakwah Islam di Makkah dan Madinah, apa yang beliau dapat bukan cemuhan dan ejekan. Siapa kita yang tidak boleh dikritik? tapi para pengkritik dalam Iranun tak tahu apa yang dikritik? masalahnya mereka hanya melihat apa yang dapat dilihat tak ada strategi, tak ada perancangan, kita ada agenda tersendiri. Mudaha2an komen ini dapat membantu.




Mohon maaf kerana memberi komen yang panjang. Terima kasih....wassalam

S/U PAGISA.

Friday, August 20, 2010


Penulisan saya sebelum ini yang memperkatakan tentang keperluannya menubuhkan satu wadah baru bagi suku Iranun di Kota Belud dan Sabah amnya,mendapat banyak kritikan dari segenap pimpinan Iranun. Sama ada datangnya dari peringkat akar umbi sehinggalah kepada peringkat pimpinan tinggi suku ini. Dalam blog Tan Sri Pandikar Amin, masih membincangkan betapa "Wadah Baru' ini menjadi pilihan penulisan pemimpin yang berkelibar ini. sebagai pemerhati politik Iranun yang lebih 30 tahun melihat, mendengar, membaca, mentafsir dan menghitung percaturan politik Iranun dan kemudian memikirkannya betapa untung atau ruginya orang Iranun atas percaturan itu, maka saya mengambil keputusan untuk 'mempersembahkan' kepada seluruhnya orang Iranun bahawa zaman telah berubah, masalah suku bukan lagi masalah kesukuan yang ideal semata-mata tetapi telah melibatkan keseluruhannya masyarakat majmuk di Sabah.

Ada yang begitu sangsi dengan beberapa penulisan Kelapa Mawar. Kononnya Kelapa Mawar telah melakukan 'penderhakaan luar biasa' kepada suku Iranun kerana menceritakan akan kepincangan terutama kepincangan politik dan peringkat pimpinan dalam suku ini. Apa yang menghairankan Kelapa Mawar ialah selama ini, orang-orang yang berfikiran begitu ..sanggup melihat masalah perpecahan di kalangan suku Iranun terutama dalam soal kepolitikan dan idealisme penyatuan bangsa berakar umbi dan hanya 'membiarkan' ia menjadi "duri dalam daging'. Mereka yang bercakap adalah mereka yang punya pendidikan, daya fikir serta imaginasi kepimpinan yang tinggi. Bagi mereka 'kudis' di badan Iranun harus disembunyikan sekalipun sudah berbau dan bernanah. Di manakah kesilapan ini?

Bila dalam FCB saya paparkan beberapa gambar melibatkan pimpinan Iranun, orang ini juga memberikan komen dan ulasan menyerang pimpinan tertentu. Ada yang mempertikaikan kewujudan wadah baru ini. Ada yang merasa dialah yang sepatutnya merintis penyatuan masyarakat Iranun. Ada juga yang pura-pura tidak tahu..apakah benar Iranun sekarang nampak berpecah oleh aliran politik yang berbeza? Kerana kata mereka perkara ini biasa kerana orang Melayu juga nampak punya parti yang banyak . Namun bila pula mahu diwujudkan wadah baru kata mereka, terlalu banyak pertubuhan, nanti Iranun nampak berpecah dan akan tambah berpecah. Benarkah? Sedangkan pertubuhan sedia ada ibarat "hidup segan mati tak mahu".

Persoalan yang ingin saya lontarkan ialah..berapa ramai di kalangan kita Iranun yang cuba untuk mencari jalan penyelasaian dalam soal penyatuan suku Iranun? ..Namun Kalau ada idea sebegini tidak diperhalusi malahan di curigai. Malahan Kelapa Mawar pula yang ingin dimusuhi...,dipersenda dan diperlekehkan. Allah hu Akbar.!!! Dalam banyak penulisan saya selalu menyatakan bahawa saya tidak punya apa-apa 'agenda' dan kepentingan baik dari segi meterial, baik dari segi keupayaan pangkat dan kedudukan apatah lagi soal menyentuh kepentingan politik. Tidak ada. !!! langsung tidak ada!!!!. Cuma saya mengambil jalan tengah memaparkan isu suku ini, (walaupun saya rasa, kelapa mawar tidak pernah mendedahkan keaiban suku Iranun) kalau ada sila nyatakan. Namun jika kemahuan bahawa sekalian orang Iranun untuk menghentikan penulisan ini,maka saya akan berhenti...

Kelapa mawar hanya membawa seluruh masyarakat dan ahli fikir Iranun termasuk Tan Sri Pandikar Amin supaya merenung kembali hala tuju suku kita dalam semua soal termasuk politik, ekonomi dan sosial. Apakah keterlibatan suku ini alam politik negara secara serius sejak zaman Pinjaman Hassin sehingga sekarang telah 'mencatat' keberuntungan yang tinggi? Jika ya, maka satu bentuk penerusan kepimpinan dilakukan dengan melatih "kader-kader" atau 'pelapis muda supaya kepimpinan itu dapat diteruskan selepas kepimpinan sedia ada. Banyak sebab supaya keberuntungan itu dapat dikecapi oleh generasi akan datang, juga supaya generasi pelapis atau pimpinan muda tidak akan terpesong dan tersasar dari landasan kepimpinan terdahulu. Jika kebersediaan ini berlaku, justeru peralihan politik dan idealisme itu akan lebih tersusun dan berpanjangan.Dan jangka hayat politik Iranun akan berpanjangan.

Namun jika keterlibatan suku Iranun dalam politik di sabah tidak mencatat keberuntungan yang lumayan, maka kita perlu membuat satu bentuk "post mortem" untuk mengenal pasti kelemahan dan kesilapan yang berlaku. Jangan pula , bila saya bercakap demikian, maka saya dituduh mencurigai kepimpinan yang ada.Ini bukan mustahil kerana Iranun punya cerdik pandai yang ramai. Iranun punya pegawai tinggi kerajaan, Punya intelektual dan pemikir bertaraf profesional. Peguam, ahli Farmasi, wartawan, pegawai kerajaan, kontraktor , Jurutera, dan ramai lagi yang berkelulasan peringkat master dan PHD. Persoalannya ialah kenapa mereka ini tidak digerakkan! kalau bukan mereka, siapa lagi? Apakah keadaan ini terus dibiarkan begitu sahaja?

Lalu saya terfikir jika beginilah sikap kita yang semuanya hanya "kosmetik" belaka...maka inilah kesudahannya. PISBA tidak digerakkan. PAGISA tidak memberi signifikan kepada suku Iranun. Mungkin ramai yang marah dengan saya. tetapi cuba kalian duduk sebentar..dan fikirkan apa yang saya nyatakan ini...jika salah mohon maaf dari saya...dan jika benar...kita terima sebagai satu kewajipan.

Yang baik itu datangnya dari Allah yang tidak baik itu datangnya pada saya sendiri yang sudah tidak tahan melihat bangsanya bercakaran!


Thursday, August 19, 2010


Bismillahhirahmannirahim


Dengan nama Allah yang maha Pengasih dan Penyayang. Yang mengatur alam ini dengan begitu sempurna.Mentakdirkan malam mengambil alih siang dan siang ditutupi malam. KepadaNYA kita menyerahkan jiwa dan raga. Mengharapkan agar Datuk Seri dan keluarga sentiasa dalam RahmatNYA.



Pertama sekali saya memohon maaf kerana mengutus surat terbuka ini kepada Datuk Seri…Terbuka kerana sesiapa pun boleh membacanya.Tidak mengandungi paparan sengketa lama dalam bangsa. Tetapi ini sekadar catatan penglipurlara, seorang puteri pejuang bangsa ,membawa cerita-cerita lisan masa depan bangsa kita. Mungkin Datuk seri lebih arif dan perkasa dalam cerita bangkit dan rebahnya bangsa .Kerana MUNGKIN Datuk seri punya Ilmu Kebalnya. SEDANGKAN kami generasi muda sudah semakin SESAT dan kembali mentelaah buku dan catit,penghujungnya entah ke mana. Andainya itu berlaku..surat terbuka ini adalah renteten darinya..Andai Datuk Seri sibuk banyak perkara…surat ini sekadar mengingatkan semula..



Datuk Seri…


Saya hanyalah manusia biasa, bersendirian mengutus surat kepada Datuk Seri membawa pesan, membawa rintihan, membawa keluhan generasi belia kita sebangsa…mengingatkan semula Datuk Seri sudah sedekad lamanya kita tidak mendengar laungan PISBA. Sudah sekian lamanya juga kita sudah tidak merasa hembusan nafas PISBA, juga sudah sedekad ini mungkin akan menjadi sekurun kalau pencaindera PISBA ditutup sekian lama. Kerana Datuk Seri seingat saya, PISBA ditubuhkan sudah seusia dengan saya. Seorang manusia sudah cukup dewasa mencecah umur 35 tahun, barangkali sudah separuh perjalanannya. Cukup matang menghadapi gelombang. Cukup dewasa menghadapi badai samudera. Bagaimana dengan PISBA kita Datuk?



Datuk Seri..


Kalau di susur semula ‘kehebatan’ PISBA, ia menjadi salur darah bangsa kita. Bermula dari mufakat pemimpin yang lahir dari jerit laung bangsa Iranun…pemimpin kita mula mendaki bukit-bukit kuasa. Terima kasih kepada mereka..kerana merekalah bangsa kita mencipta nama…kerana merekalah kita disegan kawan dan lawan..Tetapi datuk…setelah hampir begitu lama..Di mana sudah Generasi kita?..Di mana sudah janji-janji pemimpin kita?..Di mana sudah pemufakatan kita..? Di mana Datuk, pertubuhan kita? Di mana sudah PISBA? Tempat generasi muda bergurau senda.. tempat sekalian orang tua kita mencanai dan menggilap tunas pemimpin muda…



Datuk Seri…


Andainya PISBA sudah lama meninggal dunia…Tunjukkanlah kami mana pusaranya? Sampaikan pada kami bila kendurinya..? supaya kami datang menangisi kematian pejuang bangsa…supaya kami hadir membacakan Fatihah…supaya kami berkumpul membacakan doa..Dan sekiranya PISBA berkahwin dua..mana bunga manggarnya..bunyi gong dan keulintangangan tak sampai di telinga. Janganlah generasi muda menjadi anak tiri kepada isteri kedua…janganlah kami-kami ini tak cukup makan di keramaiannya…Janganlah kami dicerca di majlis renjis mawarnya.



Kami tidak punya apa Datuk seri…kami sudah yatim piatu..tidak menentu.. matinya PISBA, gelitalah kami, Nisannya PISBA kenangan bagi kami…Hancurnya PISBA mengkucar-kacirkan kami..Berilah kami tanda Datuk Seri….Andainya PIBSA dijangkiti wabak bahaya..kita bersemuka daripada bercengkarama di hujung telinga…kita berusaha mencari penawarnya. Biar tak larat berlari..kita merangkak.., biar tak boleh merangkak …kita mendengus tanda masih bertenaga. Kerana PISBA adalah bapa-bapa pejuang kita..kerana PISBA adalah ibu-ibu mengandungkan pemimpin kita…,



Kami ini generasi muda..perlu dibakar semangatnya..kerana Datuk seri..ramai lagi adik-adik kami yang tidak pernah mendengar PISBA, malahan langsung tidak mengenali Datuk Seri…Tidak Nampak jalan yang dilalui bangsanya…masih ramai yang terkurung dalam gua-gua gelap yang dibina tatkala musim hujan dan panas. Ada yang teraba-raba mencari idealisme perjuangan bangsanya. Sampai ada yang menangis melihat ego, dendam kesumat ,dan politik haprak membakar bangsanya. Nenek moyang kita jua pernah berkata…biarkan kita binasa, biarkan kita terbakar seluruhnya namun kalau itulah syarat anak-anak kita megecapi bahagia…



Datuk seri..


Andainya surat terbuka ini tidak sampai ke mata Datuk seri…saya pasrah ,kerana sebagai puteri bangsa..saya sedar .saya hanyalah sebutir pasir di tepi pantai…nilainya TIDAK SEBERAT segenggam garam dilautan..Bagi yang menatapnya…mohon dengan seikhlasnya, sampaikan ke pengetahuan Datuk seri supaya kita tidak dirundung malapetaka.



Salam kasih sayang yang berpanjangan dari saya puteri bangsa..

Seikhlasnya..


KELAPA MAWAR

Tuesday, August 17, 2010




Jika pun secara umumnya istilah “wadah” itu dimengertikan, maka ia menjurus kepada satu wacana atau platform yang membawa kepada kebaikan. Jauh dari mencetuskan perkelahian, jauh dari manipulasi dan jauh dan persengketaan. “ Wadah” adalah landasan atau “tapak asas” untuk tujuan kebajikan. “tempat” untuk mencanang idea. Melontarkan buah fikiran dengan semangat musyawarah dan kekitaan. Tempat mencanai idea –idea baru dan segar untuk tujuan penyatuan, kesatuan dan paling dekat dengan tujuan “reform” dan kemajuan. Ia lebih singkat ditafsirkan sebagai “ a raised floor or stage for people to stand on when they are making a speech”.




Beberapa faktor kepada penwujudan satu ‘wadah’ baru bagi sesebuah kelompok, organisasi, bangsa, syarikat ataupun badan-badan kepartian. Namun “wadah’ ini seperti yang saya terangkan dari awalnya membawa kebaikan, membawa penyatuan dan bukan menghancurkan dan menjahanamkan organisasi atau pertubuhan lain.Peri penting satu wadah baru yang segar diwujudkan sama ada dalam bentuk NGO atau pertubuhan ialah kerana dengan pertubuhan bukan politik, maka suara dapat dilaungkan dengan lebih bebas, rangka pembaharuan dapat dilaksanakan dengan tuntas tanpa birokrasi dan segala macam ragam pengurusan. Dapat melahirkan ahli yang lebih pragmatis dan berupaya mencerna idea dan pemikiran untuk tujuan apa juga termasuk soal-soal penyatuan bangsa.





Kalau kita menyoroti sejarah bangsa Yahudi yang kini menguasai sosiopolitik dan ekonomi dunia, maka kita dapati bahawa bangsa Yahundi ini bergerak dalam satu ‘wadah’ sama ada dalam bentuk NGO, syarikat atau pertubuhan radikal. Bangsa Yahundi tidak punya apa-apa kekayaan material, tidak ada keupayaan persenjataan yang canggih hatta tidak punya negara sekalipun. Tetapi Bangsa Yahudi menggunakan ‘wadah’ atau pertubuhan mereka untuk ‘memperdagangkan’ idea dan buah fikiran mereka dalam semua bidang. Jururunding dan bijak pandai mereka ditempat kan dalam hampir semua organisasi penting. Mereka menjual idea sebenarnya. Kerana itu, kehadiran mereka diperlukan. Kehadiran mereka sebagai ‘juru runding politik dan juru runding ekonomi ‘ sangat-sangat penting. Justeru tidak hairan jika 1/3 daripada dunia ini dikuasai oleh pemikiran mereka. AS dan hampir kesemua negara di dunia mengggunakan khidmat dan kepakaran mereka.






Jika kita ‘perkenankan’ idea wadah baru ini dengan masyarakat Iranun, maka beberapa sebab kepada keperluannya mewujudkan satu bentuk atau platform ke arah penyatuan masyarakat Iranun. Wadah baru yang bakal ditubuhkan ini, jauh dari persepsi negatif dan bebas dari cengkaman politik kepartian. Jauh sekali ditubuhkan untuk menjatuhkan kepimpinan seseorang sama ada dari orang Iranun sendiri ataupun dari luar Iranun. Wadah baru ini bergerak sebagai satu pertubuhan sosial setelah kegagalan beberapa pertubuhan Iranun sebelum ini. Misalnya PISBA walaupun sudah lama ditubuhkan seawal tahun 1978 lagi, tetapi banyak kali terjebak kepada percaturan politik. Malahan sampai satu ketika, ramai pemimpin PISBA membuat gesaan untuk menyerahkan kepimpinan kepada bukan ahli politik. Setelah diserahkan kepada para pemikir Iranun, PISBA akhirnya mati, dan sejak tahun 1999, PISBA hilang dalam kamus dan jiwa generasi muda Iranun.






Setelah itu PAGISA pula ditubuhkan dan dianggotai oleh para graduan Iranun. Dan seperti nasibnya PISBA , ternyata PAGISA juga gagal menjadi platform untuk ‘memperdagangkan idea penyatuan”. Akhirnya PAGISA jadi lesu, tidak bermaya dan tidak banyak Aktiviti dapat dijalankan. BKI juga begitu, walaupun unsur-unsur bahasa dititikberatkan, namun BKI tetapi dipandang sebagai ‘gagal’ merealisasikan harapan generasi muda dan akan datang untuk melihat Iranun menjadi bangsa besar dan disegani. Dalam soal ini..kelemahan PISBA,PAGISA dan BKI sewajarnya dijadikan pengajaran untuk membina satu wadah baru yang lebih kemas dan teratur.






Oleh itu penwujudan satu wadah baru harus dilihat dari sudut positif. Walaupun Wadah baru ini dipengerusi oleh orang politik ( Pengerusi Penaja) tetapi orang Iranun berpeluang dan malahan berhak untuk menolak mereka dalam satu mesyuarat agung yang menyaksikan jawatan Presiden dan ke bawah dipertandingkan. Apa yang berlaku ialah kesanggupan untuk ‘menanggalkan’ topeng politik mereka nanti. Jangalah disalah tafsirkan kewujudan wadah baru ini kononnya untuk mengekang kemaraan politik seseorang, atau tujuan untuk memecahbelahkan masyarakat Iranun. Berilah keyakinan dan dorongan, mudah-mudahan wadah baru ini nanti akan lebih segar dan mampu menjadi paltform penyatuan masyarakat Iranun.

Sunday, August 15, 2010


“Air yang di cincang tidak akan putus” Bagai isi dengan kuku” . Begitulah agaknya perumpaan yang boleh diberikan berkenaan kaitan Pemimpin dengan bangsanya. Seorang pemimpin yang diangkat, akan tidak dapat lari dari perjuangan dan dilema penyatuan bangsa kelahirannya. Malahan ketika ‘kuasa’ berada ditelapak kaki pemimpin, maka segala percaturan, pertimbangan, kehendak , keinginan dan buah fikirannya perlu ‘disenyawakan’ dengan bangsanya, supaya naluri kepimpinan akan dapat diterima. Dan bila sampai masanya, pemimpin akan pergi dan pengganti akan terus meneruskan agenda sebelumnya. Pemimpin yang pergi akan terus ‘hidup’ dengan ideanya ketika dia ‘berkuasa’.



Ketika saya menulis paparan ini, teringat saya Presiden Filipina, Marcos. Ketika pemimpin ini digulingkan oleh “people power” di Manila, pemimpin diktator ini telah menghubungi Presiden Amerika ketika itu Reagan untuk meminta bantuan. Dan antara lain yang diucapkan oleh Reagan ialah “Masa Mu telah tiba”. Kata-kata itu menggambarkan bahawa proses kepimpinan sebenarnya berperingkat dan berfasa. Bila tiba masanya, sama ada seorang pemimpin itu mahu atau tidak..”kuasa” yang dipegangnya terpaksa dilepaskan. Hanya situasi pelepasan kuasa itu yang berbeza. Misalnya Taksin Sinawat yang disinonimkan oleh sokongan akar umbi digulingkan oleh rakyat Thailand melalui kuasa tentera ekoran beberapa dasarnya di Selatan Thailand yang menerima kritikan hebat. Di Malaysia, Tun Mahathir melalui proses peralihan kepimpinan yang paling lancar di era pemerintahannya.



Isu-isu ini saya paparkan tatkala, saya membaca coretan pemimpin tunggal Iranun, Tan Sri Pandikar Amin yang memberi perumpamaan bahawa pemimpin lama ibarat pelita yangt bersinar dan diperlukan sangat-sangat pada zaman dahulu. Kata beliau lagi, zaman moden ini pelita telah banyak dan pelbagai warna dan ada yang menggunakan “janakuasa”. Sedangkan pelita kata beliau lagi bersinar tanpa bantuan ‘janagkuasa”.



Perumpaan ini bagi saya cukup besar maknanya.Terutama kepada pemimpin muda yang bakal mengambilalih kepimpinan suku Iranun ini. Apakah makna tersirat dari tulisan TSP ini dalam blognya? Apakah ada dikalangan suku Iranun yang berani tampil ke hadapan menyatakan dengan setulusnya kepada TSP bahawa “pelita” yang dimaksudkan itu adalah TSP sendiri? Atau adakah yang sanggup menyatakan kepada TSP bahawa “sudah sampai masanya”? Atau barangkali ada yang bersanggupan menyuarakan bahawa kesemua “pelita” sama ada baru atau yang lama adalah mempunyai tugas yang sama?



Idea dari seorang pemikir Iranun yang sempat saya tanya mengenai perumpaan TSP ini menyatakan bahawa pemimpin Iranun ini seakan mula merajuk dengan bangsanya. Memberi peringatan kepada pemimpin muda bahawa, tanpa sokongan dan keterlibatan mereka, maka TSP boleh berdiri sendirinya. (Pelita tidak perlukan janakuasa). Sekaligus ini juga memberi peringatan kepada pemimpin sedia ada bahawa kepimpinan Iranun adalah pelbagai variasi dan pendekatan.



Bagi Kelapa Mawar, pemimpin lama jangan dilupa. Angkat mereka di mana mereka harus berada. Jangan disisihkan dengan alasan “ sudah sampai masanya”. Alangkah baik dan ketikanya jika proses peralihan itu berlaku dengan sopan dan penuh kesantunan. Generasi yang ada dan akan datang ‘membesar’ dengan hati yang tiada lukanya.