Tuesday, July 27, 2010


Rumah guru Sk Tamau juga terbengkalai...





JKR KOTA BELUD melawat tapak..tetapi tiada tindakan yang diambil.




Bangunan sementara yang dibina, sempit dan tidak selesa.



Walaupun isu ini sudah terpampang di dada akhbar nasional Berita Harian, walaupun Pengerusi PIBG bersama wartawan Borneo Post, Sdr Naddin Sahiddin telah membuat liputan mengenai kelewatan pembinaan bangunan sekolah ini dan khabarnya telah pun diterbitkan dalam surat Khabar berkenaan, walaupun Isu ini telah dimaklumkan kepada JKR Kota Belud , sudah dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan Bahagian, melalui unit pembangunan, isu ini juga telah sedia maklum kepada MP Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan, telah maklum kepada DUN TEMPASUK iaitu Datuk Musbah Jamli di mana sekolah ini di dalam DUN Berkenaan, Namun segala-galanya bagaikan ‘mencurah air di daun keladi”. Isu kelewatan pembinaan Bangunan Sekolah ini telah mencecah lebih setahun. Tiada tindakan yang diambil. Semua agensi yang terlibat seolah-olah ‘enggan’ memberikan response.



JKR Kota Belud seakan menutup mata. Walaupun sudah beberapa kali melawat tapak pembinaan, dan juga mengetahui perkembangan ini, tetapi tiada tindakan drastik yang diambil. Jika menurut Iklan pembinaan di luar, sepatutnya pembinaan Sk Tamau ini siap pada bulan Jun 2009. Sehingga sekarang perkembangan hanya sekitar 70%. Kerja-kerja pembinaan hanya dijalankan oleh pekerja kontrak tidak sampai 10 orang. Jabatan pendidikan Kota Belud juga menutup mata, tiada tindakan yang diambil. YB MP PARLIMEN DAN YB DUN TEMPASUK juga gagal mengambil tindakan sewajarnya. Yang menjadi sasaran ialah murid-murid Sk Tamau yang tidak selesa dengan sesi pembelajaran yang dijalankan.Khabarnya juga Penyelia petang Sk Tamau juga telah mendapat surat pertukaran, kerana sekolah berkenaan telah diwartakan untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran persekolahan satu sesi.Sedangkan bangunan konkrit masih belum siap sepenuhnya. Dimanakah murid-murid ini akan menjalani pembelajaran?



Kerana itu, Ketua kampung dan pengerusi JKKK harus segera melaporkan perkara ini kepada SPRM supaya dapat mengambil tindakan dan satu bentuk penyiasatan dapat dibuat, agar projek-projek kerajaan yang berimpak tinggi seperti ini tidak akan terbengkalai. Siapakah yang ‘melindungi’ projek ini sehingga agensi yang terlibat tidak dapat berbuat apa-apa? JKR, PPD KOTA BELUD hatta YB-YB di daerah ini juga 'gagal' memberikan alternatif. Adakah orang penting di sebalik projek ini? Rakyat berhak mengetahui keadaan yang sebenar. Jika tidak pembaziran wang rakyat yang digunakan untuk projek seumpama ini akan berleluasa.

.

Monday, July 26, 2010






Kata orang Janji politik bagi seorang wakil rakyat adalah janji yang bisa tak tertunai. Kata orang juga janji peribadi seorang pemimpin adalah janji 'hidup mati" politiknya. Kerana kata orang jugalah, ia sewajarnya dijadikan sempadan dan pengajaran bagi sesiapa juga yang menjadi wakil rakyat. Pemimpin KB, sama ada yang telah lama bergelar YB ataupun baru merasa status itu, akan mendepani janji-janji politik kepada rakyat.

Ketika seorang blogger Kota Belud, menyuarakan kebimbangan kepada YB Datuk Musbah Jamli, Adun Tempasuk mengenai kekhuatirannya dengan nasib sedereten bangunan sekolah agama di bawah kendali JHEAIS di DUN berkenaan yang kerapkali dilanda banjir...menyebabkan ramai kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk menjalani pembelajaran..maka YB yang disinonimkan oleh kebanyakkan blogger sebagai "Thaksin Sinawat" Kota Belud itu telah memberikan response positif akan mengambil tindakan sewajarnya. Aku Janji itu berlangsung tahun lepas ketika Kg. Merabau Kota Belud, dimana selalu berlaku limpahan air sungai Merbau, mengakibatkan Banjir di sekolah berkenaan.




Beginilah keadaan sekolah agama merbau yang usur dan sering dilanda banjir.

Dan setelah berlangsung beberapa bulan mendatangnya, tindakan itu tidak pernah kunjung tiba, sekolah agama yang menempatkan dua blok bangunan kayu yang uzur di mamah usia sehingga nampak sudah seret ke tepi..masih tidak berubah. Setiap kali banjir melanda, sekolah itu pasti akan digenangi air dan pembelajaran kanak-kanak seusia 7-12 tahun sekitar kg Tamau, Pintasan, Kota Bungan dan Tawadakan itu dengan purata bilangan pelajar sekitar 200 orang akan terganggu dan tergendala.

Apa yang memeranjatkan kita ialah tidak kurang dari 5 bulan setelah banjir melanda Kota Belud yang menyaksikan Datuk Musbah turun padang, telah meluluskan pembinaan jambatan gantung untuk kegunaan penduduk yang terlibat dan jambatan itu dibangunkan berdekatan dengan sekolah yang berkenaan.

Apakah Datuk Musabh sudah mengambil inisiatif mengenai perkara ini? Atau sudah YB Jelapang Padi ini telah lupa dan alpa kepada keperluan penambahbaikan keadaan sekolah yang uzur itu? Apakah wujud keperluan birokrasi mengenai hal ini?

Menyusuri keadaan itu, berbangkit pula isu pembinaan Masjid Kg Tamau, yang dikatakan telah mendapat "restu" dari YB Haji Musbah. Seingatnya, dari tahun lepas lagi setelah beberapa kali dilawat oleh pegawai pembangunan Negeri..kononnya sudah ditender dan dikhabarkan juga diperolehi oleh syarikat mantan PKR TEMPASUK, Sdr Baghdad Turogan. Tahun 2010 telah melangkah ke bulan 8, isu pembinaan masjid baru Kg. Tamau terus menjadi tanda tanya? Isu kelewatan pembinaan bangunan konkrit SK Tamau yang mencecah kelewatan 12 bulan disiapkan oleh kontraktor juga tidak mendapat perhatian YB Datuk Musbah, walaupun YB ini pernah menghadiri program PIBG di bangunan sementara sekolah berkenaan dan telah melihat sendiri keperluan mendesak yang dialami oleh murid-murid sekolah tersebut.

Dimanakah janji Datuk Musbah mengenai permasalahan rakyat di kawasan DUN nya? Kita mengharapkan agar isu-isu ini dapat diperjelaskan supaya kekeliruan dapat diungkai dan rakyat berpuas hati atas khidmatnya sebagai "Yang berhormat dan yang berkhidmat".

Saturday, July 24, 2010


Sejak beberapa bulan yang lepas, tatkala Tan Sri Pandikar turun 'mencemar duli politik' minum bersama rakyat dan penyokongnya di beberapa restoran di KB, ramai yang mula "meniupkan' sentimen politik peribadi pemimpin itu. Ada yang mula menagak-agak TSP akan kembali ke persada politik KB, Ada juga yang mula memikirkan bahawa TSP barangkali sudah ada 'calon' pilihan untuk menerusikan 'legasi' kepimpinannya di daerah ini. Tidak kurang juga meramal, bahawa TSP sengaja melihat semula bahang 'pengaruhnya' di daerah KB sejurus sebelum PRU 13 akan datang.

Walaupun ada yang mula memandang enteng kepada percaturan TSP dalam persada politik tanahair, apatah lagi setelah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dalam parti terutama UMNO KOTA MARUDU, namun jarang ada yang dapat menjangka, bahawa sesungguhnya satu kelebihan pada pemimpin ini ialah beliau mempunyai rangkaian kuat di peringkat negeri dan pusat. Bila-bila masa, TSP boleh mewarnai kembali aliran politik Sabah, setelah tamat penggal sebagai YDP Dewan Rakyat.

Maka atas kesedaran itu, pemerhati politik Sabah, sudah mula mengcongak-congak akan kebarangkalian yang berlaku. Dan satu daripadanya ialah, andaian bahawa TSP akan ke Tempasuk Semula, sebagai ADUN walaupun ada DUN USUKAN yang juga 'selamat' bagi beliau. Kata pemerhati politik ini, Musa Aman tidak ada pilihan lain selain daripada mencalonkan semula TSP kerana beberapa desakan peringkat tertinggi dan juga desakan akar umbi peringkat parti mengkehendakkan begitu. Itupun tidak mustahil kata mereka kerana sebelum ini sudah 2 kali persefahaman politik antara TSP dan Datuk Musbah Jamli telah berlangsung..dan seperti adatnya, ketika DHMJ menjadi Calon di Temapsuk, maka TSP juga berkempen untuk beliau.

Angin bertiup kencang sejak akhir-akhir ini, menyatakan TSP bakal calon di Tempasuk, walaupun ada suara-suara kecil memberi laluan kepada beliau untuk Parlimen Kota Belud. Namun itulah politik, ia sentiasa bergelora..dan geloranya sentiasa panas selagi PRU 13 tidak kunjung tiba

Wednesday, July 21, 2010


Siapa yang tidak suka jika daerahnya ada pemimpin yang berjiwa besar. Siapa yang tidak'kembang hidungnya' kalau dikatakan daerahnya yang miskin telah berjaya melahirkan pemimpin yang ada 'class' di peringkat negeri dan negara. Semuanya suka, dan semuanya juga bergumbira dengan pencapaian itu. Namun kenapa pemimpin yang dilahirkan di Kota Belud ini mendapat 'perhatian' dari pengendali media ketiga iaitu media alternatif, berupa BLOG dan FACEBOOK. ? Mungkin jawapan yang agak selamat ialah kerana mereka pemimpin, lantas ia menjadi sasaran setiap mata yang bukan sahaja para blogger tetapi juga ahli masyarakat yang lain.


Antara pemimpin yang paling mendapat sambutan dan menjadi sasaran kritikan di Kota Belud ialah mantan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Salleh Tun said. pelbagai tanggapan, bahan cerita dan juga pertikaian kerasionalan dipaparkan di dada-dada Blog dan FCB. Ada yang menyatakan kerumitan tentang kepimpinannya, ada yang mempertikaikan kewajaran tindakan pemimpin ini. Termasuk ada yang mencemuh, melontarkan fitnah dan pelbagai bentuk rencam lagi.

KM terfikir seketika mengapa DSSK menjadi sasaran ?. Sebenarnya pada hemat KM , bukan sahaja DSSK tetapi juga kesemua pemimpin di KB yang menjadi bahan cerita para blogger. TSP, DARD, DJA dan DMHJ juga telah menimbulkan pelbagai polemik terhadap dunia pengendali blog ini. Namun apa yang nyata ialah kesemua pemimpin ini kecuali DSSK, hadir ke dalam Blog yang berkenaan untuk membuat penjelasan, dan memberikan pandangan terhadap isu yang dipaparkan. Misalnya TSP suatu ketika dulu, telah menunjukkan 'keterbukaan' beliau apabila, banyak blog di KB yang 'dimasukinya' untuk membetulkan fakta dan pandangan penulis blog ini. Mungkin ada kesanya..akhirnya, isu-isu dan cerita panas pemimpin ini berlalu begitu sahaja.

DARD juga sedemikian, telah beberapa kali memberikan penjelasan dalam blog yang berkenaan. Isu peribadi dan perancangannya sebagai MP Kota Belud telah diperjelaskan seterang-terangnya. Dan kini, isu 'keperluan' DARD di KB telah makin dilupakan. Hanya beberapa isu berbangkit yang masih cuba dipaparkan.

DMHJ telah juga berbuat yang begitu...walaupun dikatakan beliau kesuntukan masa, namun beliau masih tetap menemani para blogger di KB yang tidak seramai pun seperti di semananjung untuk menerangkan isu-isu berkaitan gagasan dan wawasannya terutama melibatkan sektor ekonomi seperti projek Jelapang Padi.

DJA, walaupun masih mengambil jalan 'tengah' itu mendaimkan diri, tetapi beliau masih mengikuti perkembangan dunia blog dan FCB di KB ini. Dalam blognya, beliau masih membuka ruang untuk 'sembang' mengenai isu yang dipaparkan.

Menyentuh DSSK, pemimpin ini banyak menerima kritikan. Sikap tidak mempedulikan media ketiga di daerah ini telah menjadikan DSSK sasaran setiap masa. Punca kepada kemurungan umno KB dikatakan berpunca dari kepimpinannya. Tinddakannya setiap masa mendapat liputan meluas para blogger. Mungkin kerana DSSK tidak membenarkan interaksi sehala berlaku dalam blognya, dan juga 'enggan' memberikan respone terhadap isu mengenai dirinya yang dipaparkan, maka beliau terus mendapat publisiti dalam dunia blog.

Pengiktirafan terhadap dunia media ketiga ini seharusnya diambil dari awal-awal lagi. dan bukannya mengambil jalan 'membisu seribu bahasa' kerana jika berlarutan, proses pembersihan diri dan roh perjuangannya tidak akan terlaksana dalam waktu yang terdekat.




Keputusan MT Umno untuk menyerahkan segala urusan berkaitan dua Bahagian Umno ,masing-masing satu di Kelantan Dan Kedah kepada Badan Perhubungan negeri Parti itu, seharusnya diberikan perhatian kepada UMNO KOTA BELUD, supaya situasi 'memalukan' itu tidak berlaku kepada Bahagian itu, berikutan beberapa insiden menggambarkan ketidakwujudan keserasian kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian berkenaan.

Masyarakat Kota Belud, terutama barisan kepimpinan Umno Bahagian itu yang terdiri daripada Sayap Pemuda, Wanita Dan Puteri amat maklum dengan situasi yang melanda Bahagian itu. Kepimpinan DSSK dilihat sebagai "biduk lalu, kiambang bertaut". Bah kan ada AJK Umno KB yang begitu lantang dan berani mempertikaikan beberapa situasi yang bagi hemat mereka tidak menguntungkan Bahagian itu dan gagal diselesaikan oleh kepimpinan sedia ada. Seorang Blogger yang menggelarkan dirinya sebagai "AHLI UMNO KOTA BELUD" membuat pendedahan seperti berikut dalam blognya"

"....Lazimnya setiap tahun setiap cawangan UMNO diminta mengadakan mesyuarat tahunannya dengan dihadiri oleh seorang AJK bahagian bagi memantau perjalanan mesyuarat tersebut mengikut perlembagaan parti. Tetapi sebaliknya pada tahun ini cawangan-cawangan UMNO di dalam bahagian UMNO Kota Belud tidak satu pun yang mengadakan persidangan sebaliknya dibuat dikedai-kedai kopi sahaja dengan dipantau oleh seorang AJK bahagian. Justeru itu jika tulisan saya ini dapat dibaca mana-mana pemimpin UMNO yang menduduki jawatan Ahli Majlis Tertinggi memohon agar perkara ini disiasat dan diminta melakukan sesuatu agar perkara ini dapat diperbetulkan demi untuk menjaga keutuhan parti UMNO supaya sentiasa releven sepanjang zaman"...


Menyedari keadaan itu,maka sebagai masyarakat kota Belud, merakamkan rasa kebimbangan itu jika 'krisis' kepimpianan antara mantan ketua Umno Bahagian itu , Datuk Musbah dengan DSSK , tidak diselesaikan dengan rasa jujur dan bertanggungjawab. Walaupun 'krisis' itu hanya berupaya sengketa senyap, kerana keperluan menjaga kepentingan masing-masing dan berupa 'dalam hati' namun ia akan menjadi 'api dalam sekam' yang akan membakar Umno Bahagian itu pada jangka panjang. Pengurusan Umno KB juga dipertikaikan.

Pengurusan parti UMNO Kota Belud amat memalukan sekali sejak dibawa kepimpinan Datuk Salleh Tun Said cawangan-cawangan bukan sahaja tidak mengadakan mesyuarat tahunan akan tetapi wang RM 50 ringgit yang diagihkan oleh UMNO pusat untuk tujuan pengurusan cawangan dalam mengadakan mesyuarat tahunannya tidak diberi oleh bendahari bahagian iaitu Zainal Abiddin Haji Soud. Rata-rata ketua cawangan UMNO mengeluh ke atas pengurusan parti yang mereka anggap cukup memalukan dan menjurus ke arah kehancuran.



Monday, July 19, 2010


ADAKAH NAJIB MEMILIH DATUK SALLEH TUN SAID SEPENINGGALAN DATUK MUSA AMAN.?


Ibarat filem “putus sudah kasih sayang”, mungkin begitulah tamsilan bagi nasib politik Musa Aman apabila sebegitu ramai orang perseorangan, termasuk ahli politik tertentu yang membawa khabar bahawa ADUN Sibuga itu bukan lagi pilihan Najib untuk terus menerajui kerajaan BN di Sabah. Banyak yang memberikan sebab kepada hal itu, di samping atas alasan imej Najib dan negara di mata dunia yang tercalar lantaran masalah penggubahan wang haram, isu pembalakan di hutan simpan Yayasan Sabah, isu rampasan tanah-tanah kerajaan yang diusahakan oleh rakyat tempatan yang merentasi kawasan pantai timur melibatkan daerah Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Terdapat juga beberapa isu bertiup sekitar di Kota Kinabalu yang mengembar-gemburkan kononnya, kontrak-kontrak pembangunan bernilai jutaan ribu ringgit diberikan kepada kroni dan proksi Datuk Musa Aman. Mereka mempertikaikan ketelusan dan pengagihan kontrak tersebut.



Di peringkat politik, Datuk Musa Aman juga dilihat ‘gagal’ mewujudkan isu perpaduan di kalangan parti komponen BN di Sabah. SAPP keluar dari BN, LDP bermasam- muka dgn pucuk pimpinan negeri. Selain itu isu pengguguran beberapa pemimpin di Sabah pada PRU 12 juga terus diperkatakan dan disifatkan sebagai percaturan Musa Aman yang sangat ‘mencemaskan”. Bisa saja kata mereka UMNO dan BN di Sabah hampir-hampir kalah pada PRU 12 yang lepas..mujurlah kesetiaan para pemimpin ini masih bisa dipertahankan.



Atas sebab itu, maka ramai pemerhati politik mentafsirkan bahawa Datuk Musa Aman tidak akan dapat bertahan lama. Mahu atau tidak, Najib akan membuat satu lagi keputusan untuk menggantikannya. Persoalannya ialah siapa yang berpotensi untuk kerusi no satu negeri itu? Ada yang ‘mengandaikan’ bahawa terdapat dua tokoh yang berpotensi menduduki kerusi KM Sabah sepeninggalan Datuk Musa Aman, iaitu Datuk Shafie Apdal dan Datuk Salleh Tun Said.



Para penyokong tegar DSSK berkeyakinan benar bahawa pemimpin kesayangan mereka itulah begitu ‘dekat’ kepada jawatan Ketua Menteri Sabah. Alasan dan hujah yang diberikan, kerana, DSSK dikatakan berpengalaman mentadbir negeri kerana pernah menjadi Ketua Menteri dalam sistem penggiliran yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir pada ketika itu. Berbanding dengan Datuk Shafie yang langsung tidak punya pengalaman mentadbir negeri. Kerana pada waktu itu DSSK juga dilihat telah berjaya ‘menjinakkan” dan menyelesaikan beberapa isu politik terutama berkaitan dengan kelantangan PBS dan juga isu kelangsungan kepimpinan Tun Mustapha dan legasinya. Kedua, kerana kata mereka DSSK sekarang ialah Timbalan pengerusi Perhubungan negeri dan penasihat Sains kepada Datuk Musa Aman, situasi kedua-dua ini seakan memberikan gambaran bahawa DSSK lah yang sepatutnya menggantikan Datuk Musa Aman sekiranya berlaku seperti yang di dakwa oleh ramai blogger itu. Manakala Datuk Shafie pula adalah ketua perhubungan negeri Kedah. Atas alasan tradisi, ketua perhubungan negeri adalah Ketua Menteri,Maka DSSK bagi mereka adalah calon yang paling tepat.



Kesemua hujah itu secara rasional tertolak jika Najib membuat perhitungan yang lebih matang dan tepat untuk politiknya dan kesinambungan Sabah sebagai fixed deposit. Ini kerana berdasarkan hujah bahawa ketika DSSK menjadi Ketua Umno Bahagian ,beliau telah bertindak tidak mencalonkan Datuk Najib yang ketika itu sebagai Timbalan Presiden UMNO. Mungkin peristiwa ini boleh dijadikan sandaran buat Najib bahawa DSSK bukan pemimpin yang boleh dipercayai.



Soal pengalaman, Najib melihat Datuk Shafie sebagai lebih berbanding DSSK kerana walaupun DSA tidak pernah menerajui negeri tetapi pengalaman mengetuai beberapa kementerian penting dalam era Mahathir, Abdullah dan Najib sendiri memberi kelebihan kepada pemimpin pantai Timur ini untuk menjadi calon paling sesuai. Walaupun, DSA adalah pengerusi Perhubungan Umno Kedah, tetapi tradisi itu tidak semestinya benar dan bukan prasyarat utama dalam pemilihan Ketua Menteri Sabah. DSA boleh menjadi Ketua Menteri Sabah dan kemudian mengisi kekosongan jawatan ketua perhubungan yang ditinggalkan oleh Datuk Musa Aman.



Di peringkat pimpinan dalam kawasan masing-masing, DSSK dilihat telah mula menerima tentangan di peringkat daerah Kota Belud. Ramai yang tidak berpuas hati, sehingga hanya memberikan kemenangan sebanyak 47 undi menewaskan Datuk Musbah dalam pertandingan sengit pemilihan ketua bahagian Umno KB. Dan kalau berdasarkan jumlah pencalonan. Datuk Musbah nyata mendapat kepercayaan ketua-ketua cawangan berbanding DSSK. Manakala DSA di kawasan Semporna masih mendapat kepercayaan dalam kawasannya. Walaupun pada PRU 12 menyaksikan beliau di tentang oleh En. Azis Abd. Hamid (PKR) namun beliau menang dengan majoriti besar.



Penawaran Jawatan penasihat Sains hanya dilihat sebagai percaturan politik Musa Aman untuk mengurangkan “bisa” dalam kepimpinan suku USBO di Sabah. DSSK dikatakan telah ‘memasuki” perangkap Samar yang begitu memedihkan. Sejauh mana Najib mengambil kira faktor dan situasi ini? Hanya akan terjawa jikasegala hijab politik terbuka selepas PRU 13.

Thursday, July 15, 2010


Tidak salah jika kerajaan membuat perhitungan mengurangkan subsidi minyak dan gula, jika tujuan dan dasarnya adalah untuk 'penjimatan' ekonomi negara sehingga RM 750 juta hingga akhir tahun ini. Tidak salah juga jika kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib mengambil berat kenyataan yang dibuat oleh Datuk Idris Jala bahawa Malaysia akan mengalami kebankrapan menjelang 2019 jika terus memberikan Subsidi dan memilih pergantungan ekonomi melalui skim pinjaman. Malahan tidak salah juga jika pendapatan negara yang kebanyakkannya datang dari 'rakyat' melalui pelbagai jenis cukai dihadkan penyalurannya dengan 'memotong' subsidi untuk digunakan membangunkan negara ini. Ekonomi negara juga yang digembar-gemburkan sebagai 'ekonomi berpendapatan tinggi' adalah satu langkah bijak untuk membawa rakyat merealisasikan wawasan 2020.

Oleh yang demikian itu, apa salahnya kerajaan berbuat demikian? Bagaimana dengan nasib penduduk d luar bandar dan kawasan pedalaman yang masih ketandusan keperluan asas yang cukup mendesak berupa bekalan air bersih, infrastruktur sistem perhubungan dan pengangkutan, bekalan perkhidmatan elektrik dan tarifnya yang 'bakal' dinaikkan. Bagimana dengan perkhidmatan kesihatan yang masih ditahap tidak memuaskan? Semuanya ini membawa satu nkesan besar kepada pentadbiran Najib.Usah kita mengulas isu pengurangan subsidi atau kenaikan minyak ini pada ruang lingkup golongan berpendapatan tetap seperti kakitangan kerajaan dan swasta..tetapi kita menjiwai sebentar secara lebih 'empati' kehidupan golongan marhain ini?

Ketika kegawatan ekonomi yang melanda duni sekitar 1999, PM pada waktu itu, Tun Mahathir telah mengambil pelbagai langkah termasuk melakukan pemotongan gaji kakitangan awam sekitar 10% sebagai langkah penjimatan dan bantuan kepada kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara. Nampak agak simple tetapi membawa kesan besar kerana kerajaan pada waktu itu mampu mencatatkan penjimatan kos operasi yang tinggi. rakyat di luar bandar masih agak 'selamat' walaupun ekonomi merudum teruk, kerana harga barang walaupun naik tetapi masih ditahap terkawal dan mampu dimiliki.

Namun bila harga minyak dinaikkan lantaran pengurangan subsidi , maka ia memberikan kesan besar kepada kenaikan harga barangan keperluan secara mendadak. Kalau Najib menaikkan harga gula dan minyak, maka ia membawa makna harga gula naik dua kali ganda daripada biasa kerana pengangkutan akan menambah kos operasi mereka. Walaupun kerajaan memberikan jaminan bahawa harga barangan akan dipantau..namun apakah kita percaya bahawa ia benar-benar dikuatkuasakan terutama di kawasan luar bandar?

Mungkin kajian yang menunjukkan bahawa populariti Najib sudah melonjak hingga lebih 70% akan menyaksikan penurunan selepas ini. Seperti yang dikatakan oleh DSAI ketika berdebat dengan Datuk Seri Sabri, bahawa kerajaan harus menyelesaikan dan mengurangkan ketirisan dan kebocoran yang berlaku dalam pengurusan kerajaan terutama yang melibatakan perkhidmatan dan penyampaian, dengan itu kerajaan mampu melakukan penjimatan supayarakyat tidak terus dibebankan bila melibatkan kenaikan harga minyak yang menyaksikan kesemua harga barangan dan perkhidmatan akan melonjak naik. Apakah cara dan kaedah ini, mampu menyelamatkan ekonomi negara?

Sama ada populariti Najib akan melonjak atau merudum,hanya akan terbukti pada PRU 13 nanti. Rakyat akan membuat keputusan, kerana kerajaan dari awal sudah memuktamadkan keputusan yang sama.

Gelora politik di sabah sejak akhir-akhir ini begitu besar bahananya, apa tidaknya sudahlah dikatakan bahawa Najib akan membuat keputusan terbaik buat Sabah, diwar-warkan lagi kononnya Sabah akan mendapat Ketua Menteri Baru sejurus selepas PRU 13, yang paling lewatpun akan diadakan pada 2012. Kalau diawalkan pun kebarangkalian sekitar selepas konvensyen BN penghujung tahun ini itupun kerana berdasarkan kajian telah berlaku peningkatan sokongan rakyat kepada Najib sehingga mencecah 70%. Dan jika mengambilkira pendirian Tun Mahathir, maka tempoh yang paling sesuai membubarkan Dewan Rakyat ialah pada ketika ini. Kemudian dari itu, kedengaran juga berita bahawa pembabitan MA dalam beberapa skandal yang tengah disiasat oleh SPRM membuatkan gelora politik Sabah semakin memuncak.

Maka kedengaran desas-desus kononya MA akan meletakkan jawatan, mendahului tangapan awal beliau akan disingkirkan dari Jawatan itu. Lalu yang menjadi perhitungan di KB ialah apakah yang bakal terjadi kepada DSSK yang mula bermanis muka dengan KM Sabah itu? Dan bagi masyarakat KB, perkara paling tragis yang menghinggapi pemikiran mereka ialah ke mana haluan politik TSP yang kini berstatus 'Speaker dewan Rakyat"?

Walaupun sebelum ini, ramai yang menjangkakan bahawa TSP 'bakal' menjadi TYT Sabah, berdasarkan hujah bahawa jawatan YDP Dewan rakyat adalah jawatan pencen politik, namun harus diingatkan bahawa percaturan politik TSP selama ini nyata begitu berbisa.Sesekali walaupun seakan disisihkan dalam parti dan kerajaan..tetapi pada waktu itu juga TSP mendapat kekuatan dan akhirnya kembali mencatur politik peribadinya. Bahkan jawatan YDP yang diterimanya itu memberikan satu kelebihan besar kepada pemimpin Iranun itu untuk terus 'kekal' dalam persada politik tanah air dan sabah khasnya.

Jika sesungguhnya MA benar bukan lagi KM Sabah, maka TSP juga mempunyai peluang yang lebih besar untuk kembali menjadi wakil rakyat sama ada kembali ke DUN TEMPASUK ataupun diberikan tugas besar menggalas PARLIMEN KOTA BELUD. Berdasarkan hujah juga bahawa ketika ini Datuk seri shafie Apdal yang dikatakan 'bakal' KM baru bagi sabah memerlukan 'regu' diperingkat negeri untuk membangunkan Sabah. Dan setelah 'penderhakaan" DSSK dalam hubungan batin politik mereka iaitu menyertai team MA, maka ada kemungkinan TSP akan menjadi pilihan utama DSA.

Jika yang demikian, maka politik sabah dan politik KB akan menyaksikan semula percaturan dan perhitungan terakhir TSP dalam persada politik Sabah. paling tidak pun, TSP akan kembali menjadi 'hero' KB untuk kesekian kalinya, selepas mentari PRU 13 melabuhkan tirainya.

Wednesday, July 14, 2010


Seketika apabila berlaku pengguguran keatas beberapa pemimpin Sabah pada PRU 12 yang lepas, menyaksikan dua tokoh besar dalam politik Sabah dan daerah Kota Belud iaitu Datuk Salleh Tun said (DSSK) dan Tan Sri Pandikar Amin (TSP) telah menjadi "orang kebanyakkan". Disinonimkan sebagai 'tokoh besar' kerana DSSK adalah mantan Ketua Menteri manakala TSP pula pejuang lama yang mengorbankan parti AKAR untuk memberi laluan mutlak kepada UMNO Sabah. Seketika itu juga DSSK,Datuk Amir Kahar (DAK) dan TSP telah mengambil keputusan 'mentransformasikan sebuah NGO dan menjadikannya sebagai USBO. Penasihat NGO itu diletakkan di bawah" jemala" Datuk Shafie Apdal. Sejak itu 'DSSK, TSP dan DAK telah menjadi "Tiga Abdul" dalam politik Sabah.

Ramai yang menjangkakan rumpun USBO berupaya merealisasikan keupayaan pimpinan rumpun bangsa itu untuk menerajui semula politik Sabah. Apabila TSP dilantik sebagai speaker Dewan rakyat, ramai yang mentakrifkannya sebagai jawatan 'pencen' politik. DSSK pula dilantik sebagai "penasihat" Sains kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman. Sejak itu 'tiga Abdul" ini dilihat berkucaran....penerimaan DSSK sebagai "penasihat" itu telah menjadikan ikatan USBO juga terputus. DSSK dilihat menjadi 'rakan sepermainan" dengan DMA. Pemimpin USBO lain makin terpinggir.

Apabila Datuk Shafie Apdal mellihat situasi ini, maka 'ruang' untuk mendapatkan sokongan dari kalangan pemimpin UMNO Sabah makin tipis, dikhabarkan bahawa hanya Datuk Rahim dan Datuk Hajiji setakat ini yang 'rapat' dengan DSA. sedangkan ramai yang menaruh harapan bahawa DSA 'bakal' menduduki kerusi KM Sabah selepas PRU 13. berdasarkan hujah bahawa DMA dilihat menimbulkan konflik antara pemimpin parti komponen BN di sabah, selain daripada tuntutan kerusi pada PRU yang akan datang. SAPP telah 'keluar ' dari BN. Datuk Chong Kah kiat juga dikatakan tidak ngam dengan DMA.

Oleh sebab yang demikian, ramai penganalisis politik mempersoalkan apakah 'muslihat' DMA melantik DSSK sebagai penasihat Sains. Tidak lain adalah untuk memecahkan ikatan politik dalam USBO antara DSA dengan DSSK. Kerana gabungan mereka ini bisa 'mengkucar kacirkan" pengaruh DMA di Sabah. Kerana itu apabila muslihat politik ini berjaya, maka kelihatan DSA seakan tidak berpeluang lagi untuk menduduki kerusi KM Sabah.

Namun jika berlaku sebaliknya, iaitu DSA menjadi KM, atas kapasitinya sebagai pemimpin yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin KL, terutama PM , datuk seri Najib, maka di manakah posisi DSSK ketika itu?. Dikatakan DSSK sekarang begitu mengagumi kepimpinan DMA. Justeru jika ramalan bahawa DSA 'tetap' menjadi KM baru bagi Sabah..maka penerimaan DSSK sebagai penasihat kepada DMA akan menjadi 'malapetaka' besar bagi politik beliau.

Sedangkan angin bertiup kencang menyatakan bahawa TSP masih berpeluang untuk menjadi calon tunggal UMNO di Parlimen Kota Belud. Sepeninggalan DSSK terhadap TSP dan Datuk Amir Kahar akan memberi ruang besar bagi kedua pemimpin ini menjadi 'tulang' kepada DSA andai mereka turut 'dijemput' untuk menyusun semula kepimpinan Umno Sabah. Berjayakah DSSK dengan percaturan politiknya? Dan mampukah TSP dan Datuk Amir Kahar meyakinkan Datuk Shafie Apdal untuk menjadi 'team' politik menjelang PRU 13? Hanya masa dan waktu yang menentukan semua itu.

Tuesday, July 13, 2010


Tahun ini,ramai yang bersetuju bahawa pemilihan G7 Umno KB ke Kuala Lumpur tidak seceriatahun-tahun sebelumnya. Tidak 'sepanas' ketika datin Saida 'menawarkan' diri untuk ke Persidangan Agung UMNO. Tidak 'selincah' ketika YDP PERKASA SABAH mengedarkan buku politiknya "Konspirasi Politik Melayu" dan juga tidak semeriah ketika medan blog menjadi begitu popular pada dua tahun yang lepas. Kini Facebook mengambil alih menjadi pilihan ramai pemimpin di daerah ini.

Mungkin ketidak meriahan pemilihan wakil G7 iniberkait rapat dengan status wakil berkenaan yang hanya bersifat 'pemerhati' sahaja setelah berlaku beberapa pindaan perlembagaan Umno. Walaupun beberapa nama seperti yang dijangka tetap menawarkan diri untuk 'melancong' ke Kuala Lumpur seperti Tn. Hj. Mayor, En. Marali Adim, En. serin Sudah, Dr Salisih Ukoh Dan tidak terkecuali sdr Musli Oli yang masih tidak 'serik' mencuba dan melihat 'populariti' politiknya di daerah koboi ini. Seperti ramalan sedia ada Sdr Serin 'tetap' menjadi pilihan perwakilanseperti sebelumnya.

Seperti yang dijangka politik Wang masih menjadi amalan beberapa calon wakil G7. Ada yang berlegar pada waktu malam mengedarkan sampul berkepala raja sekitar 10-30, bergantung kepada 'modal' sedia ada dan kesediaan untuk 'membeli belah' di PWTC.

Walau bagaimanapun, ada juga calon G7 yang 'bertaubat nasuha' dengan tidak mengedarkan "kepala raja' sama ada memang telah meninggalkan budaya kotor itu atau memangnya tidak ada 'modal', nyata telah memberikan satu persepsi baru bagi UMNO KB.

Beberapa nama yang sengaja tidak disebut disini yang telah 'meninggalkan' budaya 'kepala raja' ini telah didapati berjaya 'menawarkan' air liur para perwakilan sehingga mereka telah terpilih. ada juga yang masih 'berdegil' telah ditolak oleh perwakilan. Mungkinkah ini satu perubahan besar bagi Umno KB? Apakah minda perwakilan sudah mula melihat betapa 'kotor" nya natijah politik kepala Raja ini?Atau barangkali calon-calon yang bertanding begitu jauh dari standard sedia ada yang dikehendaki oleh Ketua Umno Bahagian?

Kita hanya mampu melihat bahawa arus perubahan ini boleh sahaja menjadi satu malapetaka bagi UMNO KB jika ia tidak didasari oleh keinsafan dan kebertanggungjawaban bahawa calon berkelayakan harus diberikan peluang.

Thursday, July 8, 2010


Sekalipun pada luarannya politik Sabah nampak tenang, namun pada dasarnya ia cukup bergelora, lantaran kerana barangkali 'gelora' itu diakibatkan oleh rasa ketidakpuasan hati parti=parti komponen BN di Sabah terutama bila menyentuh tentang pengagihan kawasan Pilihanraya kepada parti-parti tersebut. Setakat ini sebagai rekod Barisan Nasional (BN) Sabah terdiri daripada UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pasok Momogun Kebangsaan Sabah (PASOK), MCA, MIC, Gerakan, Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Ertinya dengan anggota seramai 8 buah parti ini, tentunya amat memeningkan kepala Pengerusi Perhubungan BN iaitu Datuk Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah.

Walaupun cuba disembunyikan, namun isu perebutan kawasan kerusi pilihanraya ini tetap menjadi perhatian media arus perdana. Malahan ketika melawat Sabah PM, Datuk Seri Najib enggan menjadikan isu ini sebagai isu pokok perpaduan BN di Sabah, sebaliknya meminta supaya semua pihak memberikan keyakinan kepadanya untuk membuat sesuatu yang terbaik buat Sabah.

Parti Umno yangh dikatakan sebagai tunjang bagi BN Sabah sudah sebegitu 'rakus' meminta dan mendesak beberapa kawasan yang diwakili oleh parti rakan dalam BN diberikan kepada mereka. Tentunya kita masih ingat apa yang berlaku di Parlimen Kota Marudu, bilamana Umno 'memohon' kawasan itu untuk diwakili oleh mereka. Sedangkan kawasan terbabit dibawah pengaruh politik PBS yang diwakili oleh Dr Maximus Onggkili. Terbaru pula dikhabarkan Datuk Gapur Salleh yang juga ketua Umno Kalabakan 'meminta' supaya kawasan DUN Merotai yang diwakili oleh LDP diserahkan kepada UMNO.

Di kawasan Pantai Barat juga menyaksikan hal yang sama apabila Datuk yahya Hussin yang juga timbalan ketua menteri meminta supaya kawasan parlimen yang diwakili oleh UPKO melalui wakil rakyatnya Datuk Marcus Makin supaya melepaskan kawasan itu dan diserahkan kembali kepada UMNO.

Pergolakkan yang berlaku ini seoilah-olah memberi gambaran bahawa pemimpin umno di sabah seakan terdesak dengan peranan parti komponen yang lain. Apakah sebenarnya motif kepada tuntutan politik ini? Apakah kerana kecurigaan telah mula melanda BN Sabah? Atau benarkah bahawa akan ada desas-desus yang menyatakan terdapat parti komponen BN di negeri ini yang tidak berpuas hati dengan UMNO SABAH?

Tabiat 'mendahului' keputusan pimpinan parti peringkat tertinggi bukan sahaja menimbulkan kerenggangan yang besar tetapi juga menimbulkan konflik dalaman yang dahsyat. Sebermula lagi prestasi kepimpinan politik KM begitu dicurigai oleh ramai pemimpin politik veteran di sabah apabila detik hitam melanda mereka menyaksikan penguguran beberapa personaliti politik Sabah yang berpengaruh pada PRU12 yang lepas.

Kini Umno Sabah terlontar pada satu dilema politik yang besar, antara tuntutan pemimpinnya sendiri dengan tuntutan pemimpin parti komponen Bn yang lain.Parti pembangkang pula sedang merangka strategi menewaskan mereka.

Sejak penubuhan PERKASA, Watak Datuk Ibrahim Ali dalam wayang politik negara terus mendapat box-office. Sambutan yang diberikan bukan sahaja mencecah puluhan ribu orang tetapi hingga kini YDP PERKASA itu mendakwa telah memperolehi keahlian mencecah 200,000 orang. Sekaligus memberi gambaran bahawa PERKASA boleh menjadi penentu undi kemenangan dalam beberapa kawasan Pilihanraya di negara ini. Datuk Ibrahim Ali bukan sahaja juga boleh mencabar pemerintahan Najib terutama berkaitan dengan soal ketuanan dan keistemewaan orang melayu tetapi juga dikatakan oleh ketua pemuda Umno sebagai 'gedeber' politik yang boleh mengancam aspirasi 1Malaysia. Kenyataan Datuk Ibrahim bahawa PERKASA belummembuat keputusan untuk menyokong MCA adalah satu lagi kontrovesi yang tidak wajar dipandang ringan.


Berlainan di Sabah, suatu ketika PERKASA SABAH telah menjadi sebutan ramai anak-anak muda..Namun ia hanya ibarat menjadi pisang goreng yang laku ketika panas. Kini, PERKASA sabah tidak ubah seperti NGO lain yang hanya berkokok ketika bertelur sebiji. YDP PERKASA Sabah juga begitu kontrovesi bilamana dikatakan telah gagal menujukkan pendirian dalam beberapa isu berkaitan dengan kepentingan peribumi di negeri ini. Malahan dalam blog KM ini terdapat pandangan dari pembaca yang mendesak agar Sdr Musli Oli melepaskan jawatan sebagai YDSP PERKASA kerana tidak memberikan penjelasan dan bantahan terbuka ketika MP Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan menyatakan sokongan kepada pemberian lesen judi bola sepak oleh kerajaan kepada kumpulan Berjaya yang akhirnya ditarik balik oleh Najib ekoran bantahan rakyat yang dibuat.


Tradisi politik di KB pula tidak berapa sangat melihat penglibatan dalam NGO...kerana orang KB lebih melihat kepada jawatan kepartian dan kerajaan. Oleh yang demikian YDP PERKASA Sabah tidak sangat mendapat tempat dalam politik KB walaupun orang KB tahu beliau adalah YDP NGO yang paling 'mengancam' di semenanjung. SDR MUSLI OLI hanya dikatakan sebagai penyeri politik KB , hatta sekalipun pernah membuat pengumuman menggemparkan secara terbuka bahawa beliau akan bertanding dalam parlimen KB pada PRU akan datang.

Kini apabila YDP PERKASA SABAH ini mencalonkan dirinya sebagai calon G7, maka tumpuan politik perwakilan kepada beliau agak kurang walaupun didakwa sebelum ini mempergunakan nama-nama tokoh besar dalam kad yang diedarkannya. Muslihat politik ini sudah di hidu dari awal lagi. Walaupun telah mencapai status sebagai salah seorang pejuang NGO politik yang berprestij tetapi kerana latarbelakang politik beliau yang di dakwa banyak pihak sebagai 'pernah' mempergunakan wang sebagai sogokan sokongan, maka peringkat anak-anak muda di KB merasakan adalah kewajaran yang sebaliknya untuk 'memenangkan' YDP PERKASA SABAH ini. Itupun terpulang kepada perwakilan , kerana politik semuanya adalah andaian dan andaian itu boleh berubah menjadi kenyataan pada bila-bila masa. SELAMAT BERJUANG UNTUK YDP PERKASA SABAH!




Wednesday, July 7, 2010


Sesuatu yang luarbiasa daripada kebiasaan masyarakat Kota Belud bila menyentuh tentang persidangan UMNO Bahagian memilih perwakilan ke Kuala Lumpur tahun ini ialah apabila banyak perwakilan yang 'lesu' dan tidak menunjukkan minat serta dan perangsang dalam penglibatan dalam persidangan berkenaan. Ramai golongan muda ketika persidangan Pemuda tempoh hari sudah serik, rimas bahkan mual dengan cara urus tadbir Umno Bahagian Kota Belud. Kritikan serta protes mereka sebaliknya tidak diluahkan melalui saluran parti tetapi dalam soal 'kehadiran' dan sembang-sembang ketika persidangan berjalan.

Ketika melihat gelagat itu, terdengar beberapa perbualan yang begitu panas mempersoalkan hala tuju Umno KB di bawah kepimpinan Datuk Salleh Tun said. Situasi hambar itu berleluasa dan berlarutan sehingga kepada persidangan memilih G7 yang akan ke Kuala Lumpur. Sudah menjadi tabiat orang KB apabila menyentuh hal politik maka segala-galanya begitu pantas, cepat dan panas. Hanya kali ini semuanya hambar, tawar dan tak terpeduli.

Ada perwakilan yang menyuarakan bahawa apakah perlunya, perwakilan 'menyingkir' ketua Pemuda KB yang dikatakan mereka 'terlalu' gagal merealisasikan matlamat parti di peringkat pimpinan pemuda? Ada yang mentafsirkan bahawa perkataan "menyingkir" itu boleh saja ditafsirkan dengan tidak memberikan sokongan dalam semua segi terutama bila politik 'mentakdirkan' Sdr Barur menjadi calon di DUN Tempasuk atau DUN Usukan pada PRU 13 akan datang.


Kemudiannya, ada juga yang melontarkan supaya satu bentuk 'pemulauan' politik dibuat keatas Ketua Umno KB, Datuk Salleh Tun Said yang juga dikatakan 'menimbulkan'banyak persepsi negatif keatas UMNO KB terutama kepada perwakilan. Sama ada kerana 'kegagalan' mengurus UMNO KB dengan baik ia juga berkaitan dengan sumbangan pemimpin itu berpuluh tahun kepada keutuhan dan kelangsungan pembangunan di daerah ini. walaupun pada hakikatnya bahawa DSSK ada juga menyumbang kepada pembangunan infrastruktur, namun ramai yang menyatakan bahawa itu tidak cukup kalau dibandingkan dengan kemudahan yang diperolehi DSK dan keluarganya ekoran daripada sokongan masyarakat KB kepada mereka.

Secara lebih terbuka, bagi KM, isu ini sepatutnya tidak timbul kerana yang lebih penting ialah usaha menganjak pemikiran perwakilan Umno KB supaya tidak sangat mengambilkira soal habuan berupa wang semata-mata. Kerana dengan berpendirian yang demikian,ia bukan sahaja akan menjadikan mereka tidak bermaruah dari segi sopan dan santunnya politik tetapi juga memberi kesan kepada penglibatan generasi anak cucu mereka dalam politik.

Bagi KM para perwakilan Umno KB seseungguhnya maha tahu akan apa yang sepatutnya dilakukan tetapi kerana faktor wang serta habuan maka segala-galanya menjadi kabur. lantas membuat keputusan yang tidak sewajarnya.

Apa yang lebih baik ialah dengan menolak sesiapa sahaja yang cuba menjadikan wang dan kesempatan sebagai keuntungan politik bagi diri mereka. Perwakilan UMNO KB seharusnya lebih berani membuat perhitungan dan mendasari keputusan mereka dengan penuh keinsafan dan keyakinan ia akan memberi ruang kepada generasi mereka, mengurus dan mentadbir daerah ini dengan lebih baik dari sebelumnya.

Sunday, July 4, 2010


Dalam dua hari, sebelum ini Datuk seri Najib membongkar " nanah" politik pemimpin Umno dengan menyatakan bahawa terlalu ramai pemimpin dalam UMNO yang bersifat "duri dalam daging'. Merosakkan parti dan enggan mendengar teguran yang diberikan. Sambil menyempurnakan perasmian perwakilan umno di Jerantut Pahang, Najib mengingatkan ahli-ahli Umno dan pemimpin di peringkat cawangan dan Bahagian supaya mengikis sikap itu jika ingin melihat UMNO menjadi parti yang kuat dan bermaruah.

Hari ini ketika berada di Pekan, sekali lagi Najib menyeru supaya jangan ada ahli dan pemimpin UMNO yang menjadi seolah-olah seperti "primadona". menjaga kepentingan kumpulan tertentu sehingga meninggalkan matlamat parti untuk berbakti kepada rakyat. walaupun Najib pada sidang berita selepas itu menafikan bahawa keadaan UMNO sedang nazak, namun ramai yang melihat ia bukan sahaja amaran dari Najib tetapi juga dikatakan bahawa PRU 13 semakin dekat. Pemantapan parti UMNO selaku tunjang kepada BN adalah perlu sebagai persiapan sebelum berlangsungnya PRU 13.

Peringatan ini juga dilihat sebagai satu proses pemulihan ahli-ahli parti UMNO setelah sekian lama pelbagai program menaikkan motivasi ahli UMNO berlaku. Namun jika peringatan ini, gagal diterjemahkan oleh pucuk pimpinan peringkat Bahagian, maka akan menyaksikan saranan dan peringatan itu akan menjadi sia-sia belaka. UMNO akan semakin dilupakan oleh orang Melayu.

Thursday, July 1, 2010


Saya cuba untuk mengelak membicarakan isu ini dalam suasana kehangatan persidangan Pemuda Kota Belud, kerana mungkin ada yang beranggapan artikel ini dikeluarkan oleh penulis upahan untuk menjatuhkan pemimpin tertentu..namun itu tidak benar . Saya cuba mengetengahkan idea ini kalau-kalau ia menjadi pedoman dan panduan kepada kita masyarakat Kota belud... itupun terpulang pada anda kerana yang membuat penilaian dan keputusan juga adalah sdr para pembaca.

Bila saya cuba menyelami hati dan hasrat beberapa perwakilan pemuda pada persidangan dua hari yang lepas..banyak yang saya perolahi termasuklah ketidakpuasan hati kepada pimpinan pemuda sekarang yang disifatkan sebagai lesu, tidak bermaya dan terkebelakang daripada menjadi juara di hati golongan muda di Kota Belud. Maka saya dan beberapa orang perwakilan pemuda yang menghubungi saya mula melihat kepada punca keadaan ini berlaku..Kehadiran perwakilan pemuda begitu menggusarkan kerana seperti yang didakwa kehadiran sekitar 300 orang jika dibandingkan dengan jumlah yang sepatutnya mencecah lebih 500 orang. Ketika membicarakan isu ini pada posting sebelumnya, ada yang berpendapat bahawa kelesuan pimpinan pemuda di KB ini berkait rapat dengan kelesuan pimpinan pemuda di peringkat pusat..Benarkah? Saya banyak kali berfikir tentang perkara ini...kalau Khairy Jamaluddin tidak diberikan portfolio dalam kabinet...apakah itu punca kepada 'kelesuan' yang dimaksudkan.? Apakah signifikannya dengan pemuda KB..? Apakah kerana tidak diberikan 'ranking' politik di sabah, atau di daerah ini ,maka 'kelesuan' itu timbul.?

Ada perwakilan pemuda yang menyalahkan kepimpinan ketua bahagian iaitu Datuk Salleh tun Said, kerana atas beberapa sebab yang sempat saya dengar dan catatkan. Pertama kerana pada peringkat pemilihan ketua Bahagian, dikatakan perwakilan sudah membuat keputusan menolak kepimpinan Datuk salleh berdasarkan undi pencalonan yang diperolehi berbanding dengan Datuk Musbah Jamli. Namun atas sebab lain yang saya rasa sebagai perwakilan KB kita sedia maklum, maka 'signal' awal perwakilan itu 'terbatal' bila keputusan diumumkan.

Selepas DSSK mennerajui kepimpinan Umno KB..tidak banyak yang boleh dibanggakan. Di peringkat akar umbi dan pemuda generasi profesional..natijah kepimpinan DSSK kerap dipersoalkan seawal menerajui USBO lagi...kegagalan menjelmakan semangat dan roh USBO menyebabkan reputasi kepimpinan DSSK di peringkat masyarakat merudum, terutama pada penerimaan orang muda.

Aktiviti DSSK yang masih 'menjauhkan' diri ketika masyarakat KB memerlukannya seperti beberapa malapetaka yang menimapa berupa banjir, kemarau, kebakaran dan tuntutan tanah rezab kuala pintasan sedikit sebanyak 'membenarkan' telaahan golongan muda bahawa DSSK hanya sekadar 'kembali' untuk diri dan bukan untuk masyarakat.

Pemilihan sdr Barur sebagai ketua pemuda, yang dikatakan menerima 'tajaan' dari dua gergasi politik yang mahsyur di Kb juga menimbulkan satu kesilapan yang sangat besar. Bukan tidak ada calon bertepatan tetapi kerana faktor lain yang boleh kita fikirkan. Dikatakan untuk menyelamatkan politik golongan tertentu.Malahan komen seorang perwakilan pemuda yang terlibat secara langsung dalam kempen, memberitahu kepada saya bahawa kekalahan calon pilihan mereka disebabkan oleh unsur 'sabotaj'.

Penglibatan beberapa golongan muda berpendidikan yang mengatururus serta mentelaah kembali semangat perjuangan Embo Ali, telah meresap dalam diri beberapa kerat pemimpin muda di peringkat kawanan dan sahabat karib. Malahan ada yang mula mencari apakah impak yang boleh dimanfaatkan dari kelangsungan politik keturunan "Arshad" di Kota Belud.

Maka berlalu isu itu, timbul pula ketidakseragaman agenda dan program peringkat Parlimen. Datuk Rahman dilihat banyak melakukan program bersendirian, tanpa 'link' dari pemuda dan Umno bahagian KB. Unsur-unsur ini dilihat sebagai satu lagi kesilapan yang wajar diperbetulkan. Kerana bagi saya dan masyarakat KB, pedewasaan sokongan golongan muda kepada kepimpinan Umno KB, harus bermula dari 'keyakinan' bahawa pimpinan sedia ada mampu menjiwai aspirasi mereka.