Wednesday, June 27, 2018



Umno Sabah masih relevan, namun perlu diubah suai serta ditambah relevannya kepada ahli dan pengundi untuk menghadapi pilihan raya akan datang, kata calon presiden Umno Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata dakwaan pihak tertentu bahawa Umno di Sabah tidak lagi relevan adalah tidak tepat kerana masih ramai anggota parti yang menghadiri setiap mesyuarat perwakilan yang diadakan di Sabah serta terus setia bersama parti.
“Umno Sabah masih relevan, cuma kita kena tambah kerelevanan itu. Oleh itu sebagai calon presiden saya membawa satu manifesto khasnya untuk Umno Sabah.
“Saya akan mengguna pendekatan autonomi Umno Sabah agar tidak dilihat sebagai di bawah cengkaman Umno pusat. Kita mahu memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa Umno Sabah adalah untuk orang Sabah,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin dan anggota Umno Sabah di sini, malam tadi.
Bekas Ketua Pemuda Umno itu berkata autonomi Umno Sabah, yang dibentangkan kepada perwakilan Sabah, termasuk pemilihan pengerusi perhubungan Umno Sabah ditentukan oleh anggota parti di negeri ini tanpa campur tangan Umno pusat.
“Begitu juga dengan hal-hal berkaitan disiplin dan pemilihan calon yang akan bertanding pada pilihan raya nanti. Kita mahu ia ditentukan oleh peringkat bahagian masing-masing. Ini kerana hanya anggota parti di bahagian itu yang mengetahui siapa yang terbaik untuk mereka,” katanya.

0 ulasan :