Tuesday, May 16, 2017



Sejak Tan Sri Pandikar Amin mengumumkan akan aktif dalam politik menjelang PRU14 dan kemudiannya disusuli dengan beberapa program jelajah USBO merata tempat di Sabah, politik negeri ini mula ‘gempar’ seketika, laksana diserang Garuda dalam filem-filem Melayu Dahulukala. “Gempar’ kerana pada waktu yang sama, program jelajah USBO ini banyak menimbulkan tandatanya walaupun PRESIDENNYA TAN SRI PANDIKAR AMIN bertungkus lumus menerangkan beberapa kali objektif dan tujuan jelajah USBO ini. Jelajah USBO dikatakan membantu UMNO-BN menjelaskan isu-isu semasa kepada rumpun BUMIS ( Bajau, Bugis, Melayu, Iranun dan Suluk) berkenaan perlunya mempertahankan kerajaan BN Sedia ada.

Apa yang merungsingkan banyak pihak ialah, jelajah USBO ini dilihat sebagai platform Tan Sri Pandikar Amin untuk ‘mengembalikan’ aura politiknya di Sabah. “Merungsingkan” kerana ia memberi gambaran seolah-olah UMNO-BN di Sabah tidak bersedia menjadi platform kepada Speaker Dewan Rakyat ini untuk kembali cergas dalam politik? Apakah benar bahawa UMNO Sabah ini bergolak dalamannya sehingga NGO dipergunakan untuk menjelaskan isu-isu negara dan negeri Sabah? Bukankah TSP adalah ahli UMNO dan pernah menjawat Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu sebelum melepaskannya sejurus dilantik YDP Dewan Rakyat? Jadi kenapa perlunya ‘melangkahi’ kepimpinan sedia ada di Sabah terutamanya KETUA MENTERI yang juga PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO NEGERI? Benarkah program besar-besaran USBO ini tidak mendapat ‘restu’ dari KM Sabah? Sedangkan dalam media beberapa tahun lepas dilaporkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman dilaporkan berkata bahawa USBO TIDAK ADA KAITAN DENGAN UMNO?

Apa rasionalnya mengangkat USBO dalam politik Sabah jika tidak berkaitan dengan UMNO walaupun USBO adalah NGO pro BN?. Lihat bagaimana TSP kelihatan berseorangan dari segi gerak kerja USBO ini? Mana pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang lain? Apa pendirian mereka?Setakat artikel ini ditulis hanya MP Kinabatangan , Datuk Bung  Moktar Radin yang menunjukkan response positif kepada ‘hajat’ TSP untuk kembali kepada dunia politik, itupun tidak langsung menyentuh peranan USBO dalam ‘mengumpul’ rumpun BUMIS untuk menyokong UMNO-BN di Sabah? Apa sebenarnya yang berlaku dalam politik Sabah sekian lamanya ini?

Setakat ini, TSP hanya kelihatan”syok sendiri’ dengan USBONYA tanpa apa-apa ‘jaminan’ dari kepimpinan UMNO Sabah. Harus diingat bahawa TSP adalah antara tokoh politik yang digugurkan menjadi calon pada PRU12 bersama Datuk Salleh Tun Said, yang kedua-duanya adalah pimpinan USBO  pada waktu itu. “keberanian’ Musa Aman melakukan “pengguguran” keatas kedua pemimpin USBO ini telah menjadi pengajaran kepada TSP pada masa kini untuk ‘memperkuatkan’ USBO dan melakukan jelajah habis-habisan sebelum PRU14.
Kita tidak dapat menjangkakan apakah USBO hanya akan terus sebagai NGO PRO BN atau akan menjadi parti Politik baru di Sabah? Kerana pada sejarah politik TSP, beliau pernah sebelum ini mengetuai beberapa parti politik di Sabah seperti BERSIH dan yang terakhir sebagai PRESIDEN AKAR yang dibubarkan kemudiannya sebagai tanda sokongan politik kepada UMNO SABAH? Jika sebegitu besar pengorbanan TSP. Maka apa perlunya ‘madu dibalas Tuba? Sehingga kelihatannya TSP masih teraba-raba mencari tapak dalam politik di sabah? Bukankah juga sebegitu kejadiannya, apabila YDP Dewan Rakyat atau timbalannya ‘kembali’ dalam politik maka akan balik secara’ senyap’ ke kawasan masing-masing dan dicalonkan kemudian jika menang dan dilantik dalam exco negeri. Lihat apa yang berlaku kepada Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi anak Tunku Jaafar timbalan YDP Dewan rakyat, bukankah beliau sekarang dalam kabinet ? Jadi, kenapa TSP tidak berbuat demikian? Tentunya ada yang tidak kena dengan pimpinan UMNO di Sabah? Atau apakah ia sudah menjadi ‘darah daging’ TSP untuk bergerak sendirian dan kemudiannya memberikan ‘tekanan’ kepada pihak-pihak berkenaan untuk ‘mencalonkannya’ pada PRU14 nanti? Apakah pemimpin berbangsa Iranun berusia 61 tahun ini masih ‘releven’ dengan politik Sabah? Apakah ‘pengalaman’ beliau sangat-sangat diidamkan oleh pimpinan di Sabah sebagai membantu dan menguatkan kepimpinan sedia ada? Atau pertanyaan yang lebih jujur, barangkali, apakah ‘kehadiran’ TSP dan pengumumannya untuk aktif dalam politik dilihat ebagai ‘ancaman’ luar biasa kepada pimpinan di Sabah? Sehingga lahir istilah’ kacau daun’, apa lagi orang tua ini mahu?...


Pada akhirnya TSP harus memikirkan semula langkah politiknya ini sebelum ‘ terlanjur’ jauh, kerana tindakannya ‘mempopularkan’ USBO di Sabah masih diterima secara ‘dingin’ oleh pimpinan sedia ada. Budaya menggerakkan NGO sebagai ‘Support politik peribadi’ masih baru di Sabah. Malah ia tidaklah sepopular di Semenanjung. Kalau di Malaya, banyak NGO-NGO yang ditubuhkan berselindung atas nama NGO dan BERKECUALI walaupun hakikatnya ditaja dan dipengaruhi oleh isme-isme politik kepartian. Dalam PKR bukan 2 atau 3 NGO bergerak atasa nama NGO tetapi mendukung isme PKR. Rafizi Ramli sahaja secara nyata mengepalai NOW dan INVOKE MALAYSIA. Itu yang kelihatan, yang masih terselindung mungkin puluhan NGO lagi, begitu juga PAS dengan GERAK suatu ketika dulu dan belum lagi cerita bab BERSIH.
Maka secara puratanya sokongan dan kehadiran rumpun BUMIS dalam jelajah USBO sekurang-kurangnya memberi gambaran bahawa rumpun itu masih menyokong UMNO-BN, tidak seperti gambaran bahawa parti WARISAN mendapat sokongan rumpun ini. Setidaknya ia akan menangkis dakyah WARISAN dan mengukuhkan politik BN dan UMNO di Sabah.


Sejauhmanakah berkesannya USBO menjadi wadah politik kepada TSP? Hanya masa dan keadaan yang menentukan . Kerana pada lagaknya TSP sudah ‘berpatah arang’ pada pimpinan UMNO-BN di Sabah. Barangkali pada hemat TSP, ‘kalah tidak akan jadi Abu, dan menang tidak akan jadi arang”. Hanya yang berfikir ligat dalam fikiran penulis ialah apakah ‘percaturan’ TSP ini akan menentukan ‘mati dan hidup’ politiknya? Mari kita fikirkan.

1 ulasan :

MASBAK RUMASHID ABD RAHMAN said...

Komen kelapa mawar sekadar mnyerang peribadi Tan Srisndiri.

Kelapa mawar tidk tahu bhwa usbo adalh krabat BN.

Komen kelapa mawar skadar melepas batuk dtangga saja.