Monday, July 30, 2018

Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 tidak dapat menentukan sebab sebenar yang mengakibatkan kehilangan penerbangan malang pesawat itu, kata ketua pasukan tersebut Datuk Kok Soo Chon.

Beliau berkata pasukan itu telah mempertimbangkan semua teori konspirasi, khabar angin dan gosip di media sosial dan akhirnya mengenal pasti tujuh teori mungkin untuk pertimbangan mereka.

"Dari tujuh bidang yang kami kenal pasti, tidak terdapat asas langsung tetapi hanya spekulasi termasuk teori bahawa bateri lithium telah menyebabkan kebakaran oleh kerana kami telah menjalankan ujian," katanya pada taklimat media oleh Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia di sini hari ini.

"Memang orang ramai tidak puas hati kerana kami tidak dapat membuat kesimpulan...tetapi kami tidak boleh berbuat demikian kerana bangkai pesawat belum ditemukan," katanya.

Beliau berkata laporan siasatan setebal 1,500 muka surat telah diperakui oleh tujuh negara yang menyertai siasatan iaitu United Kingdom, Australia, Perancis, China, Amerika Syarikat, Indonesia dan Singapura.

Beliau bagaimanapun menegaskan laporan hari ini belum muktamad, sehingga bangkai utama pesawat ditemukan.

Sementara itu, Kok berkata pasukan itu telah membuat tujuh perakuan untuk Jabatan Penerbangan Awam, Lembaga Penerbangan Awam Vietnam (tiga), Malaysia Airlines (lapan) dan satu perakuan masing-masing kepada Malaysia Airports dan ICAO.

Kok berkata Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan membentangkan laporan itu di Parlimen esok dan beliau (Kok) akan memberi taklimat kepada waris keluarga yang hilang di Beijing, China pada 3 Ogos.



Penerbangan MH370 lenyap pada 8 Mac 2014, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pesawat 777-200ER itu mempunyai 12 anggota kru dan 227 penumpang, dengan kebanyakan mereka adalah warga China.

Pada 29 Mei 2018, Ocean Infinity mengesahkan pencariannya ke atas bangkai MH370 dihentikan.

-- BERNAMA



0 ulasan :