
Selepas sahaja PRU 12 melabuhkan tirainya, Politik Sabah terus bergolak. Banyak sebab yang dapat diberikan. Antaranya ialah penyingkiran beberapa orang pemimpin di Sabah yang dikatakan 'berpengaruh', ketidakpuasan hati pemimpin parti-parti komponen dan juga "dasar' dan "stail" kepimpinan Musa Aman. Ramai ahli politik di Sabah,merasakan bahawa peluang dan ruang mereka untuk menyusun strategi politik musnah dengan beberapa tindakan Musa Aman termasuk beberapa skandal melibatkan pembalakan hutan simpan Yayasan Sabah, penggubahan wang haram di luar negera, isu kroni dan proksi dan banyak lagi yang sudah 'tidak larat' dilaporkan oleh media massa arus perdana, melainkan hanya melalui media ketiga yang mula mendominasi ruang penyebaran maklumat di negeri bawah bayu ini.
Isu yang paling menarik untuk dikedepankan ialah isu penyingkiran pemimpin pada PRU 12. Kerana bagi KM inilah yang menjadi asas kepada segala bentuk masalah yang dihadapi kini oleh BN Sabah di bawah kepimpinan Musa Aman. Antara pemimpin yang terlibat disingkirkan ialah Datuk Salleh dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta Datu Amir Kahar, yang kemudiannya bergabung dalam satu wadah sosial iaitu USBO.
Walaupun USBO diberikan nafas baru kononnya bukan untuk tujuan politik, tetapi ia sebagai signal kepada Musa Aman pada waktu itu bahawa pemimpin yang disingkirkan itu adalah dari rumpun bangsa majoriti. Bahawa mereka ada upaya untuk mencorakkan landskap politik di Sabah. Sekaligus kononnya pemimpin ini sewajaranya diberikan ruang untuk turut sama dalam mengharungi badai politik Sabah.
USBO akhirnya, tidak kemana, lebih-lebih lagi apabila DSSK dan TSPAM mendapat tempat dalam kabinet dan juga status politik yang baik. DSSK dilantik sebagai penasihat Sains kepada Ketua Menteri bertaraf menteri, manakala TSPAM dilantik sebagai YDP Dewan Rakyat, jawatan bukan politik tetapi jawatan atas sebab pengiktirafan politik.
Sejak kes PRU 12 ini, pelbagai 'virus' mula merebak dalam politik Sabah. Rasa tidak puas hati sentiasa hinggap dalam benak pemimpin parti komponen. Rasa sentiasa "terancam' sehingga segala tindak tanduk Musa Aman adalah 'ibarat hempedu" politik yang sangat pahit bagi mereka. Kes pembahagian kerusi PRU adalah antara yang menjadi agenda parti-parti komponen BN di Sabah beberapa bulan mendatang ini .Mereka takut kalau-kalau parti dan pemimpin mereka disingkirkan. Sedangkan pemimpin UMNO yang begitu 'advance' di peringkat negeri dan nasional bisa disingkirkan oleh Musa Aman pada PRU yang lepas, apatah lagi pemimpin Parti Komponen BN ini yang rata-rata mula kehilangan taring setelah mereka berpecah dalam beberapa aliran parti politik yang berbeza.
"Rampasan 'kuasa oleh Datuk Shafie Apdal sengaja diperbesarkan, supaya memberi tekanan kepada Musa Aman, apatah lagi DSA adalah 'anak' emas Datuk Najib diperingkat persekutuan. Kini apabila isu itu berlalu, Presiden UPKO pula membidas kepimpinan UMNO di sabah, kononnya tidak membawa semangat 1Malaysia. DSSK yang kini menjadi 'penasihat ' kepada Musa Aman, melenting dan membidas kenyataan itu dalam blognya. Sebelum inipun beberapa pemimpin parti komponen BN membuat desakan dan tuntutan supaya beberapa isu tertunggak seperti PATI dan pengundi Hantu diselesaikan.
Apa yang menjadi tumpuan pemerhati politik sejak seminggu yang lalu ialah tindakan LDP membuat kenyataan terbuka enggan berkompromi dengan Musa Aman tetapi menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib. Beberapa isu seperti pembinaan patung Mazu di Kudat hanya dijadikan 'topeng' kepada ketidakpuasan hati itu. Kerana selang sehari selepas itu, DSSK mengeluarkan kenyataan pula kononnya ada komplot menjatuhkan dan mneyingkirkan Datuk Musa Aman. Yang peliknya DSSK lebih duluan mengetahui perkara ini daripada setiausaha Bn sabah, Datuk Rahman Dahlan. Ramai yang mempertikaikan kenyataan DSSK ini kerana kata mereka, sebelum inipun DSSK bukanlah politikus yang setia kepada ketua. Bukankah ketika dalam USBO, DSSK turut memberi 'tekanan'kepada Musa Aman. ?
Ramai pemerhati politik, ingin mencari jawapan , kepada persoalan, apakah sebenarnya Motif DSSK mengeluarkan kenyataan itu? Apakah sebagai 'pembersihan' noda politiknya kepada Musa Aman, kononnya dia adalah pelindung kepada politik Musa Aman di Sabah? Apakah benar ada konspirasi menjatuhkan Musa Aman..atau sekadar propaganda untuk 'mengurangkan'perhatian media dan orang awam kepada isu skandal dan tuntutan pembahagian kerusi parti-parti komponen. Apakah nilai 'kesetiaan' yang ditunjukkan oleh DSSK ini?
Apa yang nyata ialah, Musa Aman di sabah sudah kehilangan kepercayaan dikalangan pemimpin rakan dalam BN Sabah. Dan jika itu benar tentunya DSSK akan kehilangan tempat berteduh . Justeru itu segala macam strategi politik akan dilaksanakan untuk memastikan kepercayaan keatas Musa Aman oleh pucuk pimpinan pusat tidak akan surut. Sekaligus 'kesetiaan' DSSK yang baru "menetas" kepada Musa Aman akan terbukti.
Bagi Najib perkembangan terbaru ini akan menjadi satu lagi isu yang bakal dipertimbangkan untuk membuat sesuatu yang terbaik buat Sabah. Jika tidak"tekanan' politik akan mencairkan Fixed Deposit BN ini pada PRU 13 akan datang. Dan jika benar bahawa adanya komplot tentunya ia hanya akan berakhir bila KETUA MENTERI Sabah yang baru akan mengangkat sumpah.
11:06 PM
kelapa mawar