Landskap politik di daerah Semporna sangat unik untuk dikaji. Perebutan jawatan dan pengaruh berlaku di mana-mana. Lebih-lebih lagi kalau perebutan itu melibatkan pertalian darah dan keturunan. Kalau di kota Belud, suatu ketika dulu menyaksikan 'pertembungan' idealisme dan perjuangan antara dua orang adik beradik dari keluarga Tun Said iaitu Datuk Salleh dengan Datin Saidatul Badru yang ketika itu menyertai PKR, di Tambunan juga menyaksikan dua tokoh politik KDM yang juga adik beradik iaitu Tan Sri Pairin Kitingan dengan adiknya yang kini mengetuai parti STAR iaitu Dr Jeffry Kitingan. Kedua mereka ini punya idealisme dan percaturan yang sungguh berlainan.
Di Semporna yang terkenal dengan nama lamanya "Tongtalun" juga tidak lari dari perbedaan politik di kalangan rumpun keluarga yang sama. Keluarga Tun Sakaran Dandai yang beraliran USNO kemudian UMNO suatu ketika menghadapi 'tentangan' daripada Keluarga Wahab Pg. Abdullah atas aliran idealisme PKR.Kedua-dua tokoh ini mempunyai pertalian kekeluargaan yang sangat rapat.
Menyusuri politik pasca kemasukan UMNO di Sabah, perebutan Jawatan Ketua pemuda UMNO Semporna juga menyaksikan Sdr Nixon Habi dengan sdr Aziz Jaman yang dikatakan mempunyai hubungan keluarga meletakkan kemudian sdr Nixon Habi dalam kelompok yang 'kalah' dan merelakan sdr Aziz mengepalai Pemuda UMNO Semporna. Banyak versi cerita pertembungan "sepupu" ini. Namun impak kepada situasi itu ialah kebangkitan salah seorang dari keluarga Haji Habi iaitu Dr Zamree yang diwar-warkan telah menyertai PKR dan 'bakal' mencoarkkan landskap politik daerah Semporna menjelang PRU13.
Malahan sejak kebelakangan ini sudah mula kedengaran Dr Zamree 'bakal' menentang Datuk Shafie Apdal di Parlimen P189 Semporna. Namun begitu isu ini belum dapat dipastikan kesahihannya kerana setakat ini belum ada kenyataan direkodkan daripada Dr Zamree ataupun keluarga terdekatnya. Sebagai rekod pada PRU 12 lepas, Datuk Shafie Apdal ditentang satu lawan satu calon PKR Ab. Azis Abd.Hamid iaitu abang ipar kepada adik Datuk Shafie Apdal iaitu Rosnah Apdal.Ini juga memberi makna bahawa pertembungan waktu itu adalah antara Datuk Shafie dengan ipar adiknya. Namun ternyata pengaruh Datuk Shafie begitu kental apabila memperolehi undi sebanyak 19,419 sekaligus mengalahkan Azis yang hanya memperolehi undi sebanyak 1,957 dengan majoriti besar 17,645.
PRU 2004 juga menyaksikan Parlimen Semporna terus dikuasai oleh Datuk Shafie Apdal dalam pertarungan 5 penjuru. Datuk Shafie Apdal memperolehi undi sebanyak 15,215 mengalahkan 4 calon lain dengan majoriti sebanyak 13,319.Sebelum itu PRU1999 juga menabalkan Datuk Shafie sebagai MP Parlimen Semporna dengan menewaskan mudah penentangnya Sdr Abdul Rahim dari calon BEBAS dengan kelebihan undi 13,325.PRU 1995 , datuk Shafie juga menang menewaskan Sabardin Ombrah dari PBS dengan kelebihan undi 12,218.
Rekod ini menujukkan bahawa reputasi politik dan sokongan rakyat di Parlimen Semporna terhadap Datuk Shafie Apdal sejak mengantikan Tun Sakaran Dandai sebagai MP Semporna pada PRU 2005 hinggalah sekarang ternyata sukar untuk digugat.
Justeru itu, sesetengah pemerhati politik meramalkan jika benar tindakan Dr Zamree 'menentang' Datuk Shafie Apdal tidak akan dapat mengalihkan sokongan rakyat Semporna kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah juga Naib Presiden UMNO itu. Walaupun sentimen kekeluargaan akan mengambil tempat, namun jika tidak punya isu kuat dan modal besar, maka belum tentu dapat menundukkan 'Budak harapan " Najib itu.
PRU 13 akan lebih 'meriah' di bumi Tongtalun kali ini! bersama kita nantikan!
6:17 AM
kelapa mawar
