Showing posts with label JPN beri penjelasan mengenai penamatan kontrak guru sementara di Sabah. Show all posts
Showing posts with label JPN beri penjelasan mengenai penamatan kontrak guru sementara di Sabah. Show all posts

Friday, March 23, 2012



Penamatan kontrak sebagai guru sementara seramai 80 orang di Sabah, seharusnya tidak dilakukan ketika negara menghadapi krisis kepercayaan dari rakyat. Justeru itu Jabatan Pelajaran negeri Sabah diminta mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai perkara itu. Walaupun sebelum iniJPN dikatakan telah menghantar permohonan ke Putrajaya mengenai penyambungan kontrak guru-guru terbabit, namun alasan dan jalan penyelesaian masih 'tergantung' setakat ini.

Dalam satu kenyataan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) merayu kepada kerajaan supaya menarik balik penamatan kontrak guru-guru terbabit.



Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS), merayu kepada pihak kerajaan agar menyambung semula perkhidmatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang ditamatkan kontrak awal bulan ini.

Presidennya, Hussin Basir, berkata memandangkan guru-guru terbabit pada waktu ini sudah mempunyai komitmen dan tanggungan dalam pelbagai aspek kerana mereka ini terdiri daripada mereka yang berkeluarga.

Katanya, guru-guru ini telah lama berkhidmat dan banyak berjasa kepada anak-anak bangsa dan negara sejak berkhidmat lebih 30 tahun yang lalu di sekolah-sekolah.

“Kebanyakan guru-guru terbabit telah berumur lebih dari 40 tahun dan berusia lanjut yang sewajarnya diberikan pertimbangan.

“Kita akan bertemu dengan pihak-pihak yang berkenaan bagi membincangkan masalah ini dan KGKS juga telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak bagi membantu guru-guru mengatasi masalah ini.

“Sumbangan mereka ini perlu dihargai dan diberikan perhatian oleh pihak kerajaan kerana ramai anak-anak didik mereka hari ini telah berjaya hasil dari didikan mereka suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita bagi mengulas lanjut keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia menamatkan kontrak perkhidmatan lebih 80 GSTT di seluruh Sabah baru-baru ini.

Hussin berkata, guru-guru terbabit seharusnya diberikan peluang untuk meneruskan perkhidmatan mereka kerana nasib dan masa depan mereka bergantung kepada pendapatan yang mereka perolehi selama ini sebagai seorang guru.

“Walau bagaimanapun, kita percaya akan keprihatinan pihak kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti pembatalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada 8 Mac lalu.

“Kita juga berterima kasih kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) yang berusaha mengemukakan permohonan bagi penyambungan semula GSTT di Sabah kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia,” katanya.

Sementara itu, salah seorang guru GSTT yang telah berkhidmat lebih daripada 30 tahun, Mangkah Tulali, 53 tahun, berkata berasa kesal dengan surat pemberhentian yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah pada 7 Mac lalu.

Katanya, walaupun kelulusan pendidikan kami tidaklah setinggi mana seperti guru-guru hari ini yang mempunyai kelulusan diploma dan ijazah tetapi sumbangan yang kami berikan kepada anak-anak murid yang terdahulu telah membuahkan hasil sehingga ada diantara mereka yang sampai ke universiti dan mendapat pekerjaan yang baik.

“Sepanjang perkhidmatan kami walau jauh di pedalaman, komitmen dan usaha yang kami lakukan untuk mendidik anak-anak murid kami juga mendapat pengiktirafan dan penghargaan dari pelbagai pihak dengan mendapat Sijil Kecemerlangan dalam perkhidmatan.

“Namun, apabila mendapat surat pemberhentian tersebut, kami hilang mata pencarian utama yang selama ini menyara hidup kami dan keluarga,” jelasnya.

Beliau merayu dan berharap kepada pihak kerajaan supaya dapat mempertimbangkan dan menyambung semula perkhidmatan mereka kerana mempunyai banyak tanggungan seperti keluarga, kenderaan, pinjaman, perbelanjaan persekolahan anak-anak dan sebagainya.

Bagi seorang guru GSTT Damus Langub, 49 tahun, berkata kami berharap pihak kerajaan iaitu dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menyambung semula perkhidmatan kami.

“Kami berhadapan dengan masalah kewangan terutamanya hutang yang terpaksa ditanggung selepas ditamatkan perkhidmatan dan gaji kami diberhentikan.

“Anak-anak kami yang masih lagi bersekolah dan menuntut di institut pengajian tinggi juga perlu kami tanggung perbelanjaan mereka,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak kerajaan dapat menyambung semula perkhidmatan mereka secepat mungkin agar segala jasa dan sumbangan yang diberikan selama ini mendapat perhatian yang sewajarnya dan dihargai oleh pihak kerajaan.

-New Sabah Times-