Showing posts with label Kalakau Untol. Show all posts
Showing posts with label Kalakau Untol. Show all posts

Thursday, March 11, 2010


Dalam apa jua perkara, yang pasti kekal berterusan berlaku ialah suatu perubahan. Dan perubahan itu akan terjelma dalam pelbagai bentuk; termasuklah pemikiran dan pentafsiran. Begitulah juga mengenai kaedah untuk membuat sebarang keputusan. Demikianlah juga dengan kedinamikan politik. Semuanya serba berkemungkinan.



Ketika ini, Negeri Sabah dan Sarawak diperkatakan sebagai kubu kuat BN. Ini bukan lagi suatu andaian malah kebenaran kerana sekiranya Sabah dan Sarawak mengalih sokongan kepada PR, kerajaan BN akan pasti tumbang.


Negeri Sarawak adalah sebaris dengan Selangor. Kukuh dan setia kepada BN dari dulu lagi sejak kewujudan BN. Kesetiaanya tidak pernah pudar yang memudaratkan BN. Tinggal lagi Selangor sudah melakar perubahan lanskap politik baru.


Nampaknya,ia akan menerajui suatu perubahan besar dan drastik, dasar-dasar yang terbaru seperti pemberian air secara percuma, bantuan kepada setiap keluarga bagi setiap kelahiran bayi, pemberian wang ehsan bagi urusan pengebumian jenazah dan juga setiap kemasukan pelajar ke dalam institusi pengajian tinggi.


Status negeri Sabah berbeza sedikit dan tidaklah sama dengan Sarawak. Sebabnya ialah kerajaan negeri Sabah pernah keluar daripada BN sebanyak dua kali. Sekali semasa kerajaan USNO dan sekali semasa kerajaan PBS. Apa pun kedua-duanya mempunyai alasan yang kukuh. Ia keluar bukanya sembarangan tetapi berperhitungan dan berprinsip. Persoalannya sekarang ialah apakah kesetiaan dan kekuatan kedua-dua Negeri itu ini dapat diterjemahkan dalam PRU-13 nanti?


Justeru itu penulis ingin menyingkap sejenak apakah kebangkarangkalian yang menjadi perhitungan penting kepada rakyat Sabah dan Sarawak pada masa itu kelak.


Perubahan lanskap politik Asia

Negara matahari terbit Jepun dilanda perubahan politik. Parti LDP yang memerintah selama 50 tahun telah tumbang. Sekarang Jepun mempunyai sebuah kerajaan baru yang kebanyakannya dianggotai oleh generasi baru.

Negara jiran, Indonesia yang terpimpin sistem demokrasinya berubah menjadi lebih bebas lantas kerajaan yang diktaktor ditolak rakyat dan kepimpinan kerajaan bertukar tangan. Dasar pemerintah telah digubal dan Negara Indonesia terus berubah. Suatu masa dulu, Filipina juga melalui proses perubahan daripada kediktaktoran berubah kepada sistem pendemokrasian sebenar. Penggal dan tempoh seseorang presiden untuk memegang kuasa dihadkan.


Thailand juga mendepani perubahan. Malaysia dan Singapura sahaja yang masih dapat bertahan dengan kerajaan asal mereka setakat ini. Suatu perubahan itu jikalau tidak ditangani secara berhemah akan mendepani tekanan dan kekangan sehingga terbentuknya sebuah kerajaan baru. Demikianlah skesta politik Asia. Ia terus mengamit perubahan.


Aspirasi dan harapan baru

Pertukaran sesebuah kerajaan itu bersebab. Rakyat mengidamkan sesuatu pembaharuan sistem pentadbiran. Rakyat mahu sesuatu transformasi dan reformasi terhadap berberapa perkara seperti sistem kehakiman yang adil. Rakyat mahukan perubahan sistem pendidikan, Rakyat juga mahukan dasar menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) yang lebih baik.


Rakyat sudah bosan dengan kegiatan rasuah. Rakyat mahukan pengurusan ekonomi yang lebih mampan. Rakyat mahukan sebuah dasar yang adil kepada semua kumpulan masyarakat. Bermacam-macam kemahuan dan pembaharuan yang diidami oleh rakyat jelata. Demikianlah aspirasi dan harapan baru rakyat Malaysia.


Kerajaan juga akan menjanjikan dan melaksanakan pelbagai kemudahan, dasar dan juga menggariskan halatuju Negara yang terbaik. Tetapi yang terpenting ialah tanggungjawab kearah sebarang pembaharuan dasar serta perlaksanaanya mestilah berintegriti. Sekiranya tidak, sekiranya tidak maka ia akan menjadi sia-sia sahaja kerana rakyat akan terus memburu pembaharuan serta sentiasa mempertikaikan dasar-dasar reformasi yang dilaksanakan. Pendek kata kerajaan berdepan dengan krisis keyakinan.


Integriti tercemar

Persoalannya sekarang ialah bagaimana mampukah kerajaan memulihkan integritinya terhadap semua perlaksanaan dasar-dasarnya? Selama 550 hari berlalu sejak PRU-12, sudah banyak perkara yang terbongkar dan mendapati terdapat banyak perkara-perkara yang tidak betul dan menjijikkan.


Perlakuan rasuah dan penyelewengan didalam PKFZ yang berbillion ringgit. Penyalahgunaan kuasa dan kesilapan pendekatan kaedah-kaedah penyiasatan SPRM, sehingga mengakibatkan kematian seseorang saksi seperti Teoh Beng Hock semasa penyiasatan SPRM. Krisis politik Perak telah menjadi bahan lawak di media-media antarabangsa daripada sistem demokrasi ke ‘democrazy’.


Ia juga mempamerkan krisis didalam sistem kehakiman. Krisis kehakiman ini berlarutan sejak kes V.K. Lingam. Pemalsuan kerakyatan oleh jabatan pendaftaran dan pemberian Mykad di Sabah masih tidak ada penghujungnya. Ini adalah satu manifestasi penderhakaan kepada perlembagaan Malaysia.


Sekarang rakyat Malaysia di Sabah dan dan Sarawak tidak hanya mengundi berpaksi kepada isu-isu tempatan sahaja tetapi ia akan melihat dan membuat perhitungan kepada isu-isu nasional serta perkembangan politik semasa. Jikalau rakyat di Sabah misalnya hanya mahu mengundi BN berdasarkan kepada jumlah pemberian projek yang berjuta atau berbilion ringgit tetapi isu PTI tidak terkawal maka ia sekali-kali tidak menyelesaikan permasalahan di Sabah.


Rakyat merasa tertipu. Justeru itu, rakyat sudah mula mempersoalkan dan berfikiran kritis bahawa kerajaan BN tidak komited didalam menyelesaikan PTI di Sabah. Krisis keyakinan seperti inilah yang menjadi paksi bermulanya pertikaian dasar kerajaan dan ahkirnya menjuruskan kepada krisis keyakinan. Sudahlah BN menghadapi berbagai krisis di Semenanjung yang bersabit dengan dasar, krisis politik parti-parti kompenen BN, masalah di Sabah pula terus terabai. Sabah sudah lama memperjuangkan haknya seperti yang termaktub didalam “Perjanjian Malaysia” tetapi semuanya itu terlepas pandang atau apakah mungkin kepemimpinan tidak merasakan tidak ada keperluan untuk menunaikanya.


Maka bayangkan dengan perubahan dan kematangan rakyat Sabah dan Sarawak berpolitik sekarang, betapa besar dan rumitnya cabaran yang didepani oleh BN dalam PRU-13 nanti!. Sudah pasti rakyat Sabah akan membulat tekad mencari alternatif terbaik.


Sifir politik lama bergema

Mengikut ilustrasi sejarah, Sarawak belum pernah menubuhkan sebuah kerajaan baru sejak penggulingan kerajaan pimpinan mendiang Dato Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua Menteri atas bantuan kerajaan pusat ketika itu. Masyarakat Dayak di Sarawak telah mengalami gelombang kebangkitan di bawah pimpinan Leo Moggie dan Daniel Tajem namun kesepaduan politik Dayak itu terpecah. Apa pun generasi baru mula berubah dan lebih condong kepada perubahan baru. Politik Sarawak kini sedang berubah kearah suatu keterbukaan kepada parti-parti nasional. Bukan senang kita melihat masyarakat Iban dan Dayak menyertai parti dari Semenanjung tetapi kini perubahan sudah bermula.


Ramai Dayak dan Iban sudah menyertai PKR. Suatu ketika dulu Umno beria-ia tetapi segan serta menghormati Mohd Taib. Mungkin kerana tertarik dengan politik balak dan tanah. Tetapi Sarawak memang tangkas politiknya untuk memintas. Gelombang kebangkitan penduduk bumi Kenyalang yang majority rakyatnya terdiri daripada suku kaum Dayak sudah bergema semula. Sentimen ‘agi hidup agi ngalaban’ sudah berkumandang dengan tiupan angin perubahan menjejaki keadilan.


Teka-teki politik di Sabah

Umno Sabah tetap utuh dan ramai yang menjangkakan ia boleh menubuhkan kerajaan negeri secara bersendirian. Kekuatan Umno adalah dikalangan masyarakat Bumiputra Islam. Sebenarnya tidak ada Melayu tulen di Sabah. Melayu celup dan sadoran memang terlalu ramai. Tetapi apa pun Sabah ini unik.


Pola integrasinya sejak dulu memang terunggul diseluruh Negara. Yang mengkucar-kacirkannya ialah politik dan orang politik. Tetapi berdasarkan keputusan pilihanraya yang lalu, terdapat ramai juga bilangan pengundi Islam yang mengundi pembangkang cuma tidak mencukupi untuk memenangi sesuatu kawasan. Samalah dengan sesetengah kawasan di Semenanjung apabila berlaku pertembungan Umno dan PAS.


Tetapi masyarakat Islam di Sabah juga bukan bacul, ia sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa. Mereka juga mengikuti perkembangan politik di Semenanjung. Tinggal lagi dapatkah mereka melepaskan diri dengan ikatan politik pembangunan dan lumayan dalam nilai ratusan ribu ringgit kepada kader-kader politik cawangan dan bahagian khususnya di dalam Bajet 2010.


Apakah mungkin Bumiputra Islam di Sabah akan terus bergayut dalam kapal yang sedang menghadapi suasana kebocoran yang tidak mungkin dapat ditampal dalam masa yang singkat dan berkemungkinan karam. Begitulah persepsi umum. Apakah perkiraan dan sifir politik dalam situasi begini. Sewajarnya kematangan mengatasi emosi.


Politik KDM

Masyarakat KDM kini berada dalam kebingungan dan lebih condong kepada pembangkang. Ini bukan kerana pemimpin KDM tidak baik atau tidak bersungguh–sungguh melayani masyarakat dan pengundi mereka tetapi sekarang mereka mempunyai pilihan dan peluang memilih kearah pembetulan dasar-dasar yang mereka inginkan. Seperti penyelesaian isu-isu pendatang tanpa izin. Perjanjian Malaysia.


Perkara yang bersabit dengan skim perjawatan atau Borneonisasi. Dasar pelayanan yang adil kepada semua kaum dan agama dalam pelbagai perkara. Apapun khususnya dikalangan generasi muda KDM sudah menunjukkan minat kearah perubahan kepada sesebuah dasar kerajaan. Bagi mereka,perubahan dasar sesebuah Negara itu hanya dapat dicapai secara efektif dan dinamik melalui sebuah kerajaan baru di peringkat persekutuan. Tidak ada jaminan ia dapat dilakukan sekiranya BN masih berkuasa di pihak persekutuan. Begitulah persepsi ketika ini.


Parti-parti politik KDM ialah PBS, Upko dan PBRS. Parti kompenen BN ini begitu berhati-hati. Mereka semua tahu kedudukan BN di KL. Cuma mereka mahu melihat pada ‘timing’ yang betul dan tepat. Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin tidak mahu kelihatan menjadi membelakangi BN buat kali kedua. Upko juga tidak mahu sembarangan keluar kerana jika tidak menentu nanti tempatnya kelak diperlekehkan oleh seteru lama PBS, kerana BN Pusat akan memperkukuhkan kedudukan yang satu pihak dan situasi itu merugikan pihak Upko.


Bayangkan jikalau Upko keluar dan tempatnya diambil alih oleh PBS didalam apa jua kapasiti baik di persekutuan,negeri atau badan-badan berkanun bukan mudah baginya menyaingi PBS. Tetapi jikalau kedua-duanya berada didalam BN, sudah tentu sama-sama berpeluang memperkukuhkan kedudukan masing-masing. Kalau pun ada frustrasi maka kedua-duanya merasa sama.


Pembahagian kerusi

Jikalau dahulu, formula pembahagian kerusi inilah yang boleh membawa kedua-dua parti ini sujud kepada Umno Sabah, khususnya Ketua Menteri selaku ketua perhubungan BN Sabah dan formula ini jugalah yang boleh memecah dan membelah-bahagikan politik masyarakat KDM dimana suasana melobi pembahagian kerusi ini yang boleh memaksakan kepimpinan parti KDM berlembut, berkompromi, bertolak ansur dan ahkirnya berkesudahan dengan keakuran kearah kesetiaan yang membuta dan kelibat politik membisu begitu mujarab, tetapi, kini iklim politik negara tidak lagi begitu mengizinkan suasana sedemikian.


Kerana, jangkar dan sauh politik BN khususnya Umno di Semenanjung tidak lagi kukuh. Apa yang kemungkinan boleh berlaku pada pasca countdown PRU-13 nanti ialah salah satu daripada parti KDM itu akan mengambil tindakan keluar daripada BN. Banyak persepsi dan reaksi yang memberangsangkan terhadap teori dan aspirasi sebegini. PBRS itu hanya mengharap ehsan semata-mata. Tokoh politik KDM yang sedang menyinar semula didalam PR ialah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari parti PKR.


Seni politik kungfu dan tai chi masyarakat Cina

Masyarakat Cina di Sabah akan terus berkungfu dan bertaichi berulang alik ke KL mengadap Najib untuk memohan ehsan darinya bagi mengemukakan pendirian masing-masing keatas beberapa kawasan Cina untuk ditandingi dalam PRU-13. MCA, Gerakan dan LDP akan berunding dan berebut kerusi di kawasan bandar dimana terdapat majoriti masyarakat Cina. MCA tentu minta tambah kawasan. ketika ini, LDP adalah taiko besar kerana SAPP sudah keluar dari BN. Tetapi jangan lupa kedua-dua taiko politik Cina di Sabah iaitu Tan Sri Chong Kah Kiat dan Datuk Yong Teck Lee sudah mengintai dan berkemungkinan untuk melakukan suatu kejutan dalam melakarkan sejarah politik Cina dalam perubahan lanskap politik Negara. Masyarakat Cina mengikut tinjauan penulis telah pun membuat keputusan dihati. BN juga sedia maklum. Suka hatilah parti-parti Cina dari Semenanjung yang berada dalam BN berebut kerusi. MIC pun boleh tuntut kerusi atas nama BN dan kongsi kuasa. Dalam BN semua ini bisa dan biasa.


Kegerhanaan BN

Perkembangan dan perubahan lanskap politik Negara masa kini merupakan suatu penanda arah dan arus kebiteraan politik Negara. BN sungguhpun kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen, namun ia mencuba melangkah kehadapan dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bahtera BN. Harapan orang muda mahu melihat suatu dasar baru dan falasafah baru Negara sudah ada.


Mereka merasakan suatu gerakan permuafakatan politik di Sabah perlu diterjemahkan seperti apa yang dilakarkan di Semenanjung dalam PRU-12. Dari masa recana ini ditulis hanya tinggal 1225 hari lagi PRU-13 paling lewat akan diadakan. Namun PM pada bila-bila masa boleh membubarkan Parlimen. Sesungguhnya kedinamikan Umno sebagai tunggak BN sudah tercalar kerana ia sudah tewas kepada PAS di peringkat DUN di beberapa buah negeri di mana pengundinya majorti adalah orang Melayu. Pengundi Melayu terbahagi kepada 3 parti.Umno, PAS dan PKR. Generasi muda Melayu sudah bosan dengan politik kronisme dan sifat feudal.


Rakyat sudah bosan dan jijik dengan slogan ‘Ketuanan Melayu’ dan lebih berminat kepada ‘Ketuanan Rakyat’ yang diperkenalkan oleh PR. Kegerhanaan politik BN di KL sudah tentu membawa musibah politik BN ke Sabah. Dahulu, jikalau seorang pemimpin dari Semenanjung mengatakan BN itu kuat dan boleh terus memerintah, rakyat di Sabah dan Sarawak akan percaya bulat-bulat tetapi tidak lagi pada masa ini, sekali pun PM atau Tun Dr. Mahathir yang bercakap mengenai kekuatan BN. Rakyat tidak lagi berkeyakinan kepada BN sepenuhnya.


Pakatan Rakyat pula berada dalam suasana yang bersinar dan bertenaga kerana perjuangannya diminati dan didekapi oleh semua golongan dari pelbagai kaum khususnya generasi muda. Rakyat tidak lagi perlu bertegang leher, tidak perlu meninggi nada suara, tidak perlu berdemonstrasi. Cuma perlu menjaga kesihatan agar dapat melaksakan tugas harian seperti biasa serta tahan kepada apa juga bentuk tekanan, sendiran, gertak, taburan fitnah dan sebagainya sementara terus menguruskan ekonomi masing-masing sebelum ‘countdown’ PRU-13. Kebarangkalian ini mungkin menjadi perhitungan dan realiti politik.

Perhitungan penulis ialah masyarakat KDM, Cina, gologan profesional, guru-guru dan para akademik sudah faham perkara ini. Patriotisme generasi muda boleh mengatasi semua bentuk suapan dan pujukan dan jika patriot bangsa bangun melakukan yang terbaik demi masa depan anak-anak bangsa agar kita dapat merakyatkan fakta-fakta sebenar serta mewujukan dasar-dasar sesuai demi pembinaan Negara bangsa menuju kecemerlangan dan kebiteraan politik Negara. PRU-13 adalah satu detik penentuan halatuju Negara!


Oleh : Kalakau Untol

Proses pendewasaan politik di Sabah mungkin agak perlahan disebabkan oleh beberapa faktor seperti perebutan 'kuasa dan kerajaan' di kalangan suku dan pemimpin selain daripada terlalu 'mengharap' resolusi politik dari Kuala Lumpur memihak kepada suku dan pemimpin mereka. Berapa parti yang telah melalui DAN MELANGGAR pantang larang Kuala Lumpur di sabah yang akhirnya kecundang termasuk USNO, BERJAYA dan PBS. Hinggakan ada suara sumbang menyatakan bahawa bila agaknya sabah "BEBAS" dari percaturan Kuala Lumpur seperti di Sarawak?



Mungkin ini yang dikatakan oleh Datuk kalakau Untol baru-baru ini, bahawa Rakyat Sabah harus bertindak menamatkan 'fixed deposit" BN.Biarpun kerajaan sudah bertukar sebanyak 4 kali, namun Sabah masih belum memperolehi hak-hak yang sepatutnya termaktub dalam perjanjian 20 perkara tatkala sabah menyertai Malaysia. Begitu antara isi pati ucapan Datuk Kalakau Untol dalam Syarahan Perdana Sempena Ulang Tahun Ke-2 Kemenangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor, di Stadium Malawati Shah Alam.



“Keputusan saya berbuat demikian ialah, saya terpanggil dengan keputusan konvensyen PR yang lepas. Untuk kali pertama dalam 46 tahun kita menubuhkan negara Malaysia, menyatakan bahawa PR bersedia untuk mengkaji semula (review) perjanjian Malaysia, khususnya, Sabah, Sarawak,” jelas beliau.



Isu 20 perkara selalu dijadikan asas kepada penuntutan keadilan politik di Sabah, malahan penyingkiran kepada beberapa tokoh politik sebelum ini seperti Tun Mustapha dan Stephen Kalong adalah berkaitan dengan pencetusan idea supaya penilaian perjanjian itu dibuat. Kerana itu bagi PKR dan sekutunya di Sabah, harus segera mengembalikan hak dan perundangan yang termaktub dalam perlembagaan. Apakah isu 20 perkara yang sudah dianggap 'basi' oleh sesetengah pemimpin politik BN di Sabah akan mampu mewujudkan lonjakan sokongan kepada PR..?



Dengan tegas dan sinis Datuk Kalakau untol menyatakan bahawa pada PRU 13 akan datang , BN akan kehilangan fixed deposit nya setelah sekian lama Sabah bergelora dengan percaturan politik berkepentingan yang di wujudkan oleh beberapa genarsi pemimpin BN dari Kuala Lumpur. Apakah asas kepada kenyataan Datuk Kalakau Untol ini..? Jika dianalisa kepada keputusan PRU 12 yang lepas secara timbang tara kita harus mengakui bahawa ada peningkatan kepada sokongan pembangkang. Walaupun Sabah masih mengekalkan sokongan padu kepada BN,Namun banyak faktor kepada kemenangan itu . Antara lain kerana pengundi hantu yang masih bergentayangan dan juga isu pemberian RM 50- RM 100 yang begitu memukau rakyat sehingga alpa kepada menuntut perubahan berkerajaan.




Di kebanyakkan kawasan di Sabah jelas menunjukkan pembangkang seperti DAP dan SAPP bakal mencuri beberapa kerusi Parlimen dan DUN terutama kepada kawasan yang majoritinya adalah kaum Cina. Di kawasan bumiputera Islam juga berlaku peningkatan sokongan kepada pembangkang yang boleh dikatakan sokongan itu datangnya dari golongan muda. Jika diperhalusi senario politik PRU 12 ini, ada kebenarnya BN akan kehilangan Fixed Deposit pada PRU 13 ?



Antara yang menarik perhatian golongan muda ini, bukanlah kepada pembangunan dan peruntukkan semata-mata tetapi lebih melihat kepada isu ketelusan dan keamanahan yang ada pada kerajaan yang dipilih. masyarakat kini sudah banyak bercakap mengenai rasuah dan penyelewengan dan jarang bercakap mengenai isu pembangunan kebendaan.



Sejauhmana kebenaran atas dakwaan Datuk kalakau Untol bahawa di sabah gejala rasuah berlaku secara berleluasa akan menarik minat golongan muda dan kelas pertengahan dalam pemilihan kerajaan pada PRU 13. walau bagaimana pun kita berpandangan jika PR dan pembangkang di Sabah mampu menjadi seperti pembangkang di Semenanjung yang 'menjaga' ketika sesi pengundian berlaku, serta proaktif mengintai isu gejala rasuah dan politik wang dengan persediaan yang rapi termasuk laporan kepada pihak berkenaan. ada kebarangkalian isu yang mendominasi PR di Sabah sebagai pengembalian hak Sabah dalam perjanjian 20 perkara itu akan menjadi kenyataan.



Masih menjadi misteri kepada rakyat Sabah apakah kata-kata Kalakau Untol ini menjadi realiti..
“If we want to change the policy of the nation, it can only be changed if you change and form a new government, Pakatan Rakyat! (Kalau kita hendak tukar dasar nasional, ia hanya boleh ditukar kalau kamu menukar dan menubuhkan satu kerajaan baru, iaitu Pakatan Rakyat!)”




Sunday, February 28, 2010




Keputusan Datuk kalakau Untol (DKU) menyertai PKR, begitu besar bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerana sejurus selepas pengumuman Datuk Kalakau Untol untuk meninggalkan UPKO dan BN, DSAI memaparkannya dalam blognya . Memberikan imej kepada Datuk Kalakau Untol sebagai mantan menteri Persekutuan kononnya. Namun bagi ramai orang yang mengenali DKU, siapa beliau dan bagaimana prestasi politik dalam PBS, AKAR,dan UPKO, tidak banyak ‘kelebihan’ yang boleh dibawa oleh tokoh politik daerah Tuaran dan Tamparuli ini.



Kunjungan Datin Wan Azizah ke Sabah awal beberapa hari sebelum DSAI dilihat sebagai ‘penyiasatan’awal kepada kesahihan berita PKR dari Sabah selain daripada meraih simpati kepada kes Liwat DSAI.Pendirian para pemimpin PKR Sabah ditagih untuk memastikan keyakinan dan ketelusan kes berkenaan terus bergoyah. DSAI yang mengadakan lawatan pada 28 Feb iaitu (kelmarin ) dilaporkan mendapat sambutan yang menggalakkan, walaupun ada yang menyatakan kunjungan DSAI itu hambar dan terasing kerana diadakan di perkarangan tempat kediaman DKU.



Apa yang menarik minat kita ialah ‘umpan’ DSAI yang begitu mengena kepada para pemimpin politik di Sabah. Kajian kembali kepada perkara 20 menjadi asas kepada mengaut sokongan dari pemimpin KDM di negeri ini.Pengiktirafan Deklarasi Tambunan, menjadikan Dr. Jefrry terus berminat dengan PKR. Masalah PATI, kelonggaran Imgiresen, Royalti 5% minyak dan beberapa isu lain termasuk keterbukaan dan keutamaan penduduk Sabah dalam sector awam menjadi antara alasan SAPP dan DKU untuk menyertai PKR. Keyakinan mereka begitu ,memuncak bahawa PR akan dapat menawan Putrajaya pada PRU 13 akan datang.



Namun kenyataan DKU bahawa apabila PR memerintah Negara ini, akan mengkaji semula peruntukan undang-undang mengenai agama rasmi di Negara ini dianggap cukup membahayakan bagi PKR. Isu sensitive ini seharusnya tidak menjadi inti kepada ucapan DKU yang dihadiri bersama oleh DSAI. Kerana ini akan membuatkan ramai di kalangan kita berfikir kembali untuk memberi sokongan kepada PKR Sabah.




Walaupun begitu, bagi sesetengah pemerhati politik Sabah,kenyataan DKU itu tidak kurang bezanya dengan sejarah lampau beliau yang dikatakan pernah kontravesi apabila adiknya mengambil keputusan memeluk Islam. Apakah kerana mengambil kira kepada masyarakat di Tuaran yang pelbagai suku dan majority adalah Dusun/Kadazan ,maka isu ini ditiupkan kembali..? Apakah DKU berkeyakinan bahawa sebagai hadiah balasan kepada kemasukkannya dalam PKR, maka beliau ditawarkan tempat untuk menjadi calon PKR dalam MP Tuaran akan datang?




Sesungguhnya di saat PKR Nampak begitu porak pranda,dengan menyaksikan ramai ahli dan pemimpinnya bertindak meninggalkan parti itu dan ketika PR semakin hilang kepercayaan rakyat , adakah wajar PKR Sabah meniupkan sentiment agama dan isu perlembagaan Negara? Amat bahaya pada hemat kita jika PR dapat memerintah Negara ini.

Friday, February 19, 2010


Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada tahun 1986 hingga 1990 dan merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) negeri selama 12 tahun sejak 1985.


Bukan sedikit yang mempersendakan keputusan Kalakau Untol yang mengisytiharkan keluar dari BN dan memberi bayangan akan menyertai PKR. Kerana kata mereka di saat PKR bergelumang dengan 'najis' politik yang maha kotor iaitu 'perpecahan' sehingga membawa kepada tidak kurang dari 5 orang MP nya meninggalkan parti itu, dan ketika BN kata mereka hampir kebah dari 'demam' kurang 2/3 di Parlimen..maka ramai yang mempertikaikan bahawa 'keputusan' Kalakau Untol itu satu percaturan politik yang menguntungkan.


Malahan bagi BN di Sabah, Kalakau Untol bukanlah "policital performens" yang wajar dikesali keputusannya meninggalkan BN. Kerana dari rekod sedia ada politik di Sabah,Kalakau Untol hanyalah nama yang sudah lama dilupakan kerana dalam sejarahnya,hanya PBS sahaja yang memberikannya gelaran 'wakil rakyat' itu pun sekali dan selepas itu, sama ada dalam AKAR dan kini UPKO, personaliti politik ini nyata 'gagal' menyerlah, terutama di Tuaran dan sekitarnya. Oleh yang demikian, apalah sangat jika kalakau Untol meninggalkan UPKO dan BN.


Keputusan Datuk kalakau Untol ini, harus dilihat dari persepsi yang seimbang, iaitu tidak terkongkong oleh minda politik berat sebelah yang kebanyakkan dimiliki oleh pemerhati sedia ada. Kerana bagi PKR Sabah, Datuk Kalakau Untol adalah 'aset' yang bernilai dalam usaha memantapkan penyatuan PKR Sabah.


Mungkin Datuk Kalakau Untol, selain Dr. Jeffry yang dari suku KDM dalam PKR Sabah yang memberikan kelebihan sokongan puak itu kepada pembangkang. walaupun seawalnya dikatakan Datuk Kalakau Untol bukan 'pemain' politik yang baik,namun pengalaman dan keterlibatannya dalam PBS, AKAR dan UPKO akan memberikan satu 'alternatif' kepada puak KDM di Sabah. Aura Dr. Jeffry yang mula menurun dengan tindakannya cuba-cuba meninggalkan PKR dan berbalah dengan team Datuk Ansari akan menjadikan Datuk Kalakau Untol sebagai 'penenang' kepada kemelut itu.


Walaupun di sandarkan bahawa Datuk Kalakau Untol akan bertanding atas tiket PKR pada PRU 13 akan datang di kawasan Tuaran, sama ada kerusi Adun atau Parlimen, seharusnya keadaan ini akan menjadi lebih menarik, kerana di Tuaran Datuk Ansari akan lebih 'bertenaga' dengan kehadiran Datuk Kalakau Untol ini.


Persoalan sama ada PKR akan berjaya memenangi 1 atau keseluruhan 3 Adun atau MP Tuaran adalah masih terlalu awal kerana jalan PKR masih berliku. Di peringkat Pusat bercakaran, di Sabah berbalahan. Namun dari sudut politik PKR, 'kehadiran' Datuk kalakau Untol adalah amat berharga untuk 'menggertak' Dr Jeffry dan membuatkan MP Tuaran, mula kepanasan.


Sudah sampai masanya, puak KDM melihat bukan satu bahkan dua atau lebih kredibiliti pemimpin puak ini dalam PKR . Bukan hanya kata orang Sabah "sumur-umur" Dr. Jefry !. Maka disinilah letakkan pengukuhan sokongan mereka kepada PKR. Biarpun ada parti alternatif seperti UpKO dan PBS, namun jangan lupa bahawa Dr Jefrry masih dilihat sebagai pejuang Sabahan yang harus diberikan sokongan. Kelantangannya memperjuangkan 'hak-hak" Sabah dalam 20 Perkara masih dijadikan asas kepada sokongan itu.


Dan inilah juga yang dikatakan oleh Kalakau Untol ketika menjawab pertanyaan Pemberita bahawa beliau telah kehilangan kepercayaan kepada kerajaaan BN dalam mengembalikan hak dan kedaulatan negeri Sabah terutama dalam isu Pendatang Tanpa Izin. Walaupun ia hanyalah premis politik semata-mata, namun bagi golongan atas pagar dalam puak KDM, ia adalah antara penerus perjuangan Dr. Jefrry.


Jika menjadi kenyataan, bahawa Datuk kalakau Untol akan bertanding di Parlimen Tuaran pada PRU 13 akan datang maka ia akan nampak lebih menarik apatah lagi sebagai ujian kepada perjuangannya menggunakan pentas politik yang berbeza. Sama ada'untung' atau 'rugi' kepada PKR akan terjawab sejurus selepas PRU 13 .

Dari sudut lain, kata-kata Kalakau Untol ini harus difikirkan:


“Saya yakin dengan kesepakatan pimpinan Pakatan Rakyat dalam konvensyen yang pertama yang diadakan tahun lalu, di mana mereka bersetuju menyemak semula kepentingan negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam 20 Perkara untuk Sabah dan 18 Perkara untuk Sarawak, seperti yang telah dipersetujui dalam rundingan pelbagai pihak semasa penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963.

“Perkara dan agenda ini hanya akan dapat direalisasikan dengan pembentukan sebuah kerajaan persekutuan yang baru di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan isu pendatang tanpa izin (Pati), perkara ini yang telah berlarutan sekian lama tidak akan dapat diatasi oleh pemerintahan kerajaan BN,”