
Walaupun kehadiran UMNO di bumi Sabah sejak sedekad yang lampau di anggap sebagai perpindahan perjuangan Bumiputera Islam dari “perahu kecil kepada Perahu Besar”. Namun ‘kebesaran’ yang dimiliki oleh UMNO telah menjadikan pemimpin USNO sebahagiannya mendapat “tulah’ Politik sehingga nama dan pengaruh mereka turut mendapat malapetaka. Mungkin kita masih mengingati beberapa tokoh seperti Datuk Askalani, Datuk Amir Kahar dan Dayang Mahani. Mereka ini adalah antara tokoh penting dalam USNO yang ‘lenyap’ politiknya apabila berlaku pengasimilasian kepimpinan USNO kepada UMNO di Sabah. Namun begitu, penulisan ini tidak berkisar kepada tokoh tersebut tetapi persoalan mengenai apakah benar UMNO telah ‘gagal’ melahirkan pemimpin berkarisma di Sabah seperti yang dilahirkan oleh USNO dengan aura Tun Mustapha, UPKO dengan kelincahan percaturan Datuk Donald Stepehens dan keberanian Datuk Pairin Kitingan yang diasuh oleh idelisme perjuangan PBS? Lalu, apakah juga benar bahawa kegagalan UMNO ini telah menjadi faktor penyebab kepada berlakunya kepincangan kepimpinan BN di Sabah?
Sejak UMNO memasuki era politik Sabah pada tahun 1991, sehingga sekarang, nyata UMNO tidak mempunyai sandaran kepimpinan yang boleh dijadikan sebagai benteng kepada kritikan para pemerhati politik di negeri bawah bayu ini. Seketika asuhan politik UMNO seperti Tun Sakaran Dandai yang diasimilasikan dari tarbiyah USNO, diharapkan menjadi sandaran kepada kepmimpin bumiputera Islam di Sabah, namun ia nampak tidak begitu menjadi, terutama apabila beliau meninggalkan kehidupan politik dan menjadi TYT. Begitu juga dengan Datuk Salleh Tun Said, yang pada mulanya menjadi pemimpin pelapis muda UMNO Sabah juga tidak kesampaian kerana tempoh waktu yang begitu terhad, ekoran sistem penggiliran Jawatan Ketua Menteri yang didukung oleh kepimpinan UMNO. Datuk Uso Sukam kemudiannya berjaya menambat hati para pemerhati politik tempatan apabila tidak banyak kes atau skandal yang membabitkan pemimpin ini sewaktu menjadi KM Sabah. Namun akhirnya isu “judi- enjoy” meranapkan kaerier politik Datuk Uso.
Kehadiran politik Datuk Musa Aman pula dilihat hanya sebagai “nasib’ atau “feng Sui” kerana ketika menjawat KM Sabah, sistem penggiliran itu ditamatkan, dan kelebihan nasib ini menjadikan Datuk Musa mengetuai sebuah parti yang tidak mempunyai ikatan kepimpinan yang benar-benar mantap. Justeru apabila UMNO menjadi “teras’ kepada BN Sabah, maka soal kualiti kepimpinan menjadi isu utama. Sejauhmana pendekatan kepimpinan sedia ada dalam menyelami ‘persaudaran’ politik antara Parti-parti komponen BN di Sabah? Juga, bagaimana UMNO menghadapi tuntutan dan kesangsian politik dalam kesetiakawanan BN, kerana dalam UMNO sendiri berlaku pelenyapan semangat USNO dan penghidupan semangat UMNO?
Justeru itu, UMNO Sabah dilihat sebagai mempunyai ‘kerapuhan’ kepimpinan, sebab itulah ramai pemimpin parti-parti komponen kurang yakin dengan ‘keikhlasan’ UMNO Sabah. Oleh yang demikian banyak isu peribadi dan isu kepentingan suku dicampuradukkan , menjadikan UMNO Sabah semakin tersepit. Kegagalan UMNO hari ini melahirkan pemipin yang dapat diterima oleh BN negeri adalah kerana sistem penggiliran Ketua Menteri yang menghadkan kepada hanya 2 tahun seorang pemimpin itu diberikan peluang. Dalam jangka masa yang begitu pendek, proses latihan dan proses pembelajaran tidak mungkin cukup untuk melahirkan pemimpin yang berkarisma. Justeru itu dilema penurunan sokongan kaum Cina di sabah yang dikatakan sebagai “king maker” akan terus berlaku.Selepas SAPP,kini LDP pula membuat onar.
PM, Datuk Seri Najib sewajarnya memikirkan bagaimana membaiki kerapuhan kepimpinan ini. Jika tidak paling kecil pun natijahnya ialah BN Sabah akan kehilangan anggota lagi, sama ada menjadi parti lawan ataupun pling besar Fixed Deposit akan cair pada PRU 13 akan datang.
7:12 AM
kelapa mawar