Showing posts with label MUSA AMAN DAN RCI. Show all posts
Showing posts with label MUSA AMAN DAN RCI. Show all posts

Tuesday, July 23, 2013



Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, telah mengarahkan peguamnya yang juga bekas Peguam Besar Negeri untuk mendapatkan kertas keterangan bekas senator Dr Chong Eng Leong pada siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah.

Roderick Fernandez yang baru saja bersara sebagai peguam besar Sabah muncul di sidang RCI di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini membuat permohonan bagi pihak anak guamnya.

Musa yang kini juga Ketua Perhubungan Umno Sabah meminta diberi nota keterangan Dr Chong yang antara lain telah menamakannya terlibat dalam isu kad pengenalan palsu atas peranannya sebagai ketua satu Pasukan Khas Umno Sabah untuk mencari pendatang haram dijadikan ahli Umno dan seterusnya pengundi pada tahun 1990-an.

Dr Chong yang dulunya bersama PBS tetapi kini PKR, minggu lalu memberi penjelasan di depan RCI yang beliau mendapat tahu hal itu dari bekas setiausaha pasukan khas Umno itu sendiri iaitu Jabarkan Napi.

Jabarkan sendiri dalam banyak forum dan dokumentasi juga telah membuat dakwaan keterlibatan Musa dalam hal tersebut. Bahkan beliau pernah muncul dalam satu siasatan jawatankuasa Parlimen mengenai hal yang berkaitan.

Pengerusi RCI yang dianggotai lima orang itu, Steve Shim, juga seorang peguam dan bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, kemudian membenarkan permintaan Fernandez hari ini.

Menurut Fernandez hari ini, anak guamnya akan membuat tindakan selanjutnya termasuk menimbang sama ada muncul memberi kesaksian sendiri atau tidak di hadapan RCI yang kini berada di penghujung pendengaran.

Banyak pihak di Sabah telah menyuarakan gesaan agar bukan sahaja Musa tetapi bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Anwar Ibrahim memberi kesaksian pada siasatan RCI itu.

Musa mungkin ingin membersihkan dirinya

Sementara itu para pemerhati di sini berpendapat Musa mungkin ingin membersihkan dirinya daripada pelbagai kaitan berhubung isu pemberian dokumen Malaysia yang menyangsikan kepada ramai pendatang haram di Sabah terutama pelarian Islam dari selatan Filipina, kepulauan Indonesia dan juga Pakistan.

Mereka berpendapat sebarang kesaksian di depan RCI yang bersidang seperti sebuah mahkamah tinggi adalah dilindungi undang-undang, oleh itu tidak muncul kemungkinan Musa memfailkan saman malu terhadap keterangan Dr Chong atau keterangan orang lain pada siasatan diraja itu.

Kini para penganalisis berpendapat sebarang keterangan Musa di RCI mungkin akan membuka beberapa “rahsia” termasuk pihak-pihak yang selama ini berselindung di sebalik pengaruh para pemimpin kanan Umno.

“Kami tak fikir Musa akan memberi keterangan di RCI. Dia mungkin ditanya banyak soalan yang rumit dan menjelaskan banyak perkara rahsia,” kata seorang pemerhati menambah jika Musa muncul, mungkin ada pihak dalam Umno tidak menyukainya.
sUMBER: FMT