Bank Islam dilaporkan terlebih dahulu memulakan tawaran supaya urusan hutang membabitkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama perbankan itu diselesaikan di luar mahkamah ekoran rundingan pertama tidak membuahkan hasil.
Bekas Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata dirinya terbabit secara langsung dalam rundingan penyelesaian itu selepas diarahkan bekas majikannya pada tahun 2008 iaitu sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) menang di Selangor.
Katanya, disebabkan rundingan itu tidak berjaya, maka kes itu dibawa sehingga ke Mahkamah Tinggi dan Persekutuan untuk dibicarakan.
“Sebab itu ia dibawa sehingga ke Mahkamah Tinggi dan Persekutuan selepas rundingan pertama untuk capai kesepakatan itu gagal.
“Sehingga awal tahun ini, kes berkenaan tidak lagi disebut di mahkamah disebabkan dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Ekonomi dan Kewangan Menteri Besar Selangor.
Beliau berkata demikian pada Forum Krisis Selangor : Khalid Ibrahim belot Pakatan? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, baru-baru ini.
Azrul berkata, selepas beberapa kali kes itu dibawah ke mahkamah, akhirnya Bank Islam bersetuju supaya kes berkenaan diselesaikan melalui tawaran skim perjanjian jual beli (BBA) yang dihidupkan kembali sebuah institut perbankan Islam dari Timur Tengah.
Katanya, kaedah yang dianggap sebagai kontroversi daripada sudut kontrak perbankan Islam itu hanya diterima di beberapa buah negara di rantau Asia iaitu Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
“Institusi ini cuba hidupkan BBA, jadi masing-masing setuju dan Tan Sri Abdul Khalid hanya perlu bayar sedikit sahaja nilai hutang itu,” katanya.
Azrul berkata, melalui kaedah itu kes hutang berkenaan selesai sepenuhnya pada 24 Julai lalu.
Mengulas dakwaan bahawa peguam kedua-dua pihak tidak dimaklumkan berkenaan penyelesaian luar mahkamah itu, beliau berkata, ia adalah normal bagi sebarang kes.
Katanya, adalah menjadi hak pihak terbabit untuk menyingkirkan peguam yang dilantik jika mereka berpendapat ia boleh diselesaikan secara baik di luar mahkamah.
“Ia adalah perkara normal bagi sebarang kes penyelesaian luar mahkamah tidak diketahui pihak peguam atau tidak dimaklumkan.
“Itu adalah hak kepada pihak berkenaan untuk singkirkan peguam mereka atau menggunakannya, jadi bukan sesuatu yang tidak normal untuk peguam tidak terbabit,” katanya.
9:14 PM
kelapa mawar
