
Oleh kerana tarikh menentukan Pilihanraya berada di tangan PM, maka demokrasi di negara ini dilihat sentiasa "panas dan bergejolak".Setiap hari, setiap detik dan ketikanya, isu berkaitan dengan politik mewarnai kehidupan masyarakat di negara ini. Bukan sahaja di Semenanjung,bahkan di Sabah situasi sebegini, berlaku dan itu boleh kita sahkan apabila pelbagai isu dikemukakan sama ada dalam dunia media alternatif ataupun media massa lain. Pelbagai isu di sabah menjadi tumpuan para blogger dan wartawan terutama berkaitan dengan spekluasi politik pemimpin tertinggi melibatkan Ketua Menteri dan beberapa ahli kabinet negeri yang dikatakan banyak menimbulkan kontervasi.
Tentunya situasi sedemikian juga berlaku di Kota Belud. Daerah koboi yang disinonimkan oleh kebanyakan penganalisis politik tempatan sebagai "daerah pejuang" lantaran kerana daerah ini banyak mencatat lipatan sejarah politik sejak pasca merdeka lagi hinggalah sekarang, pelbagai spekulasi juga mula bertiup kencang. Isu pengguguran pemimpin tertentu pada PRU 12, nyata menjadi asam garam dalam penyebaran spekulasi ini. Kemudian dari itu, percaturan politik antara Datuk Salleh Tun Said serta Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia juga menjadi "buah mulut" politik dikalangan masyarakat Kota Belud. Ada yang 'berani" mengatakan , bagaimana dua ekor harimau politik Kota Belud ini, boleh 'hidup" dalam satu rimba? Sedangkan kedua-duanya pernah memperlihatkan ketangkasan pencak silat politik mereka di DUN Usukan, suatu ketika dulu yang menyaksikan TSP menjuarai 'pertandingan' itu. Sejak itu dan bermula sebelum itu sebenarnya...TSP dan DSSK dilihat mempunyai 'selera' politik yang cukup berbeza. Hanyasanya apabila berlaku pengguguran keatas mereka pada PRU 12 lepas, maka satu bentuk 'persefahaman" atas nama kepentingan politik peribadi di wujudkan. Dan yang menjadi isu besar dan panas sekarang di Kota Belud ialah, apabila kedua-dua tokoh ini dikatakan mewujudkan satu "pakatan" untuk terus mencorakkan landskap politik di daerah ini.
Walaupun sebelum ini, saya dan beberapa pemerhati politik tempatan meramalkan bahawa TSP akan ';dibersarakan' awal melalui perlantikannya sebagai TYT selepas PRU 13, namun ada tanggapan berbeza , bahawa dari perkembangan politik terkini, tokoh paling berjaya dalam suku Iranun itu dijangka tidak akan menghabiskan sisa-sia politiknya dengan mengorbankannya menerusi penerimaan Jawatan TYT. Lantas diramalkan bahawa TSP akan terus melakukan 'perlobian" menjadi wakil rakyat pada PRU 13 akan datang. desas-desus "pakatan" antara TSP dan DSSK akan menyaksikan TSP berkemungkinan menjadi calon Parlimen Kota Belud untuk membolehkan beliau aktif semula dan menjawat portfolio peringkat pusat sekaligus menyingkirkan penyandang asal Datuk Rahman Dahlan. Manakala menurut beberapa pemimpin masyarakat yang sempat saya temui, menyatakan kebarangkalian begitu tinggi buat DSSK menjadi calon di DUN TEMPASUK, sekaligus 'memusnahkan' harapan Datuk Musbah Jamli untuk di calonkan semula. Begitu juga di DUN USUKAN, yang diramalkan sebelum ini 'bakal' ditandingi oleh Datin Saidatul Badru, tidak lagi menjadi perhatian umum, sebaliknya Ketua Pemuda Umno Kota Belud iaitu Sdr Barur Sawi yang dikatakan ditaja oleh TSP dan DSSK untuk 'Menjahanamkan' politik Tadzul Radim bakal dicalonkan di Usukan, seterusnya 'melengkapkan' strategi dan pakatan kedua-dua tokoh paling berpengaruh di Kota Belud ini.
Percaturan TSP dan DSSK ini nyata tidak menyenangkan beberapa orang pemimpin dalam UMNO Bahagian Kota Belud, kerana bagi mereka seharusnya pemimpin muda diberikan ruang untuk terus menampilkan kualiti kepimpinan mereka. Percaturan DSSK yang dikatakan begitu 'licik',nyata menimbulkan banyak polemik dan spekulasi. Ramai pemimpin kelas pertengahan di daerah ini melihat gelagat DSSK penuh dengan kepentingan peribadi dan cita-cita politiknya. Misalnya keakraban antara beliau dengan YDP PERKASA SABAH, sdr Musli Oli suatu ketika dulu menjadi perhatian masyarakat Kota Belud. Sehinggakan MO dilantik menganggotai barisan kepimpinan BN peringkat daerah. Alasannya cukup mudah, kerana kata mereka pada waktu itu PERKASA dilihat sebagai satu NGO politik yang berpengaruh dan berkecenderungan kepada ideologi UMNO, maka bagi DSSK 'kehadiran" YDP PERKASA ini dalam barisan atau team percaturannya dilihat mempunyai signifikan yang cukup besar. Namun apabila PERKASA peringkat PUSAT mendapat banyak kritikan kerana dilabel sebagai "NGO ultra Melayu" , maka DSSK merasakan YDP PERKASA SABAH ini hanya menimbulkan 'ketegangan' dalam percaturan politiknya. Justeru sdr MO mula disisihkan. Inilah isu yang antara lain diperbincangkan oleh saya dengan seorang pemimpin bahagian UMNO KOTA BELUD beberapa hari yang lepas. sama ada benar atau tidak ianya adalah spekulasi politik yang bertiup kencang di daerah ini.
Jika benar bahawa hayat politik TSP tidak akan berakhir dalam waktu terdekat, maka masyarakat Iranun tentunya terbahagi kepda dua pola sokongan iaitu ada yang menyokong kepimpimpannya sama ada legasi politik TSP diteruskan oleh diri,atau anak dan keluarga terdekatnya dan satu pola pula akan menyaksikan "penentangan" akan berlaku seperti sebelum ini, dimana anak-anak Iranun yang berkecimpung dalam aliran politik pembangkang menunjukkan kontra jelas kepada kepimpinan TSP. Justeru itu jika ini berlaku lagi, perpecahan politik dalam suku minoriti ini tidak akan menemui jalan penyelesaiannya.
Itulah politik namanya, penuh dengan perpecahan, penuh dengan polemik, penuh dengan pertimbangan,penuh dengan ketidakwajaran dan tentunya penuh dengan spekulasi yang mendebarkan.
6:26 PM
kelapa mawar