Showing posts with label TSP TIADA PILIHAN LAIN. Show all posts
Showing posts with label TSP TIADA PILIHAN LAIN. Show all posts

Saturday, December 4, 2010


Politik sememangnya sesuatu yang sukar dijangka, baik jangkaan pada masa depan ataupun jangkaan yang beralaskan imaginasi. Kerana itu bagi kebanyakkan pemerhati politik, segala ramalan awal bisa meleset apabila hakikat sebenar mula terserlah. Mungkin situasi ini bertepatan dengan apa yang berlaku kepada tokoh politik paling menyerlah di Kota Belud iaitu Tan sri Pandikar Amin. Sebelum ini, isu penggugurannya pada PRU 12 menjadi bual bicara di semua peringkat lapisan masyarakat di daerah ini. Ada yang melahirkan sikap pro dan ada juga yang kontra tidak kurang yang berada diatas pagar. Selepas perlantikkanya sebagai YDP dewan Rakyat, pemerhati politik mula berkira-kira bahawasanya Tan Sri pandikar Amin akan dipencenkan dengan tawaran jawatan TYT Sabah. Ramalan ini pernah disuarakan oleh penulis politik sdr Musli Oli. Namun kerana politik adalah ‘cecair’ yang terus mengalir, maka perlantikan Tan sri Hamid Egoh,bekas setiausaha kerajaan negeri yang dikhabarkan akan menduduki kerusi TYT itu menjadikan Tan Sri Pandikar Amin yang dikatakan turut tersenarai tetapi tidak terpilih, harus membuat tindakan berani dalam hidup politiknya , sama ada akan kembali aktif dalam politik setelah melepaskan jawatan ketua umno bahagian Kota Marudu selepas dilantik ke jawatan YDP dewan rakyat, atau Tan Sri Pandikar akan menjadi seperti nasib ratusan ahli politik yang ditinggalkan oleh kehendak rakyat dan akhirnya menjadi rakyat biasa setelah begitu lama ‘berkelana’ dalam poliitk kepartian.



Jika Tan Sri Pandikar masih ‘berselera’ untuk terjun dalam dunia politik semula, dan jika Tan sri Pandikar masih ‘mengidam’ jawatan eksekutif utama di negeri Sabah, maka adalah tidak janggal jika pemerhati politik mengandaikan bahawa harus ada keberanian bagi personaliti politik Iranun itu ‘melobi’ untuk menjadi wakil rakyat semula. Tidak timbul di posisi mana, baik di DUN tempasuk, Dun Usukan, hatta di kawasan parlimen sekalipun. Hanya yang menjadi taruhan politik Tan Sri Pandikar ialah ‘kebersediaan’ beliau untuk mentransformasikan pendekatan politik beliau terutama melibatkan golongan muda atas pagar di daerah ini.




Memang diakui bahawa ‘aura’ Tan sri Pandikar masih bergelojak di kebanyakkan jiwa pengikut setianya di daerah ini yang rata-rata telah mencecah usia 50 tahun setelah ditolak penglibatan Tan sri Pandikar dalam dunia politik sehampir 30 tahun yang lepas. Namun golongan ini tidak sebegitu ramai jika dibandingkan dengan golongan tunas baru yang mula mengenal politik seawal usia 21 tahun hingga 40 tahun. Oleh yang demikian pendekatan politik tan sri Pandikar harus berubah mengikut naluri golongan ini, itupun jika seperti yang saya katakan seawal tadi kalau Tan sri Pandikar masih “berselera” untuk menjadi wakil rakyat di Kota belud.




Dari pemerhatian dan perbincangan secara berkelompok, mendapati bahawa golongan muda non partisan ini masih terus menyembunyikan pegangan politik mereka. Sokongan golongan ini akan memberikan impak besar kepada keberjayaan tan sri Pandikar sekurang-kurangnya mencatat sokongan majoriti paling bergaya pada PRU 13 akan datang jika beliau dicalonkan. Namun harus disedari bahawa golongan muda non partisan ini bukanlah berupa pemuda Umno Kb, tetapi golongan ini adalah antara ratusan anak-anak muda yang masih merahsiakan sokongan mereka kepada mana-mana pihak atau pemimpin politik di daerah ini.




Kerana itu saya menjangkakan bahawa Tan Sri Pandikar Amin sudah tidak ada pilihan lain selain daripada kembali aktif dalam politik apabila pengumuman calon TYT Sabah diwartakan kelak. Maka bermula dari sekarang pada hemat saya Tan Sri Pandikar perlu ‘turun’ padang merasai denyut nadi golongan ini. Bukan sekadar membawa mereka mengunjungi kota Manila dan melawat Magindanao. Sedangkan yang masih tinggal di daerah ini begitu ramai menanti apakah bentuk program yang boleh mereka sertai sebagai tindakbalas kepada penagihan sokongan terhadap Tan Sri Pandikar. Misalnya pada waktu terdekat ada baiknya TSP menganjurkan program berbentuk riadah seperti pertandingan Futsal, Bola Sepak atau badminton merebut piala TSP.Sama ada suara kecil di blog ini mendapat perhatain TSP atau tidak hanya akan terjawab apabila PRU 13 ‘memberikan’ peluang kepada tokoh dari suku Iranun ini. Bersama kita nantikan!.