Showing posts with label UMNO. Show all posts
Showing posts with label UMNO. Show all posts

Monday, July 2, 2018



Kemenangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno menunjukkan 2 perkara. Pertama, para perwakilan bahagian mahu kesinambungan kepimpinan, iaitu Zahid dipilih oleh presiden terdahulu, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara Najib dipilih oleh presiden terdahulu, bersambung-sambung hinggalah kepada ketua Umno ke-2, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra. Tetapi, Rahman tidak dipilih oleh Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar.

Perkara ke-2 ialah Zahid dipilih para perwakilan kerana keyakinan mereka terhadap cara beliau untuk mengembalikan Umno pada tampuk kekuasaan negara.



Khairy Jamaluddin dilihat terlalu radikal kerana mencadangkan keahlian Umno dibuka kepada bukan Bumiputera. Cadangan seumpama itu pernah dikemukakan Onn Jaafar yang menyebabkan beliau keluar parti.

Tengku Razaleigh Hamzah pula dianggap tokoh dari zaman yang sudah berlalu. Cadangan beliau untuk mengutamakan usaha membersihkan Umno tidak dapat diterima oleh para perwakilan bahagian.

Ini kerana sama ada mereka tidak menganggap Umno terlalu kotor untuk diutamakan supaya dibersihkan, tetapi juga kemungkinan mereka selesa dengan budaya wang dan enggan mengubah keadaan.

Namun, tidak ada kesungguhan untuk menentang Zahid. Kalau Razaleigh dan Khairy dapat menyatukan sokongan, salah seorang daripada mereka boleh mengalahkan Zahid dan menjadi presiden.

Tetapi, antara yang muda dan lama, kebanyakan perwakilan bahagian memilih yang tengah-tengah, iaitu Zahid. Presiden baharu Umno sudah memikir dengan mendalam mengenai ke mana beliau hendak membawa partinya itu.

Zahid telah menyatakannya dalam aku janji yang boleh dikatakan merupakan manifestonya sebagai calon presiden. Beliau juga menyatakan sebahagian butirannya dalam debat dengan Razaleigh dan Khairy melalui Astro Awani sehari sebelum pemilihan.

Bagi beliau, Umno berada di landasan betul. Apa yang perlu ialah memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dalam parti itu hingga membawa kepada kekalahannya dalam pilihan raya lalu.

Seperti mana apa yang banyak difikirkan oleh ramai penyokong Umno, parti ini tidak bersalah, yang bersalah adalah sebilangan orang tertentu dalam Umno.

Apa yang menyebabkan Umno kalah adalah kerana persepsi. Isunya ialah persepsi dan bukannya isi. Umno hanya dikalahkan dalam perang persepsi, khususnya melalui media siber, jadi jika perkara ini dibaiki, maka Umno mampu kembali menubuhkan kerajaan.

Zahid menyebut bukan saja kemampuan Umno untuk kembali menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum ke-15, malah sebelum itu. Untuk itu, antara perkara penting yang ditekankan aku janji beliau ialah memperkasakan jentera media Umno, termasuk pasukan laskar siber serta peranan penerangan di peringkat bahagian.

Ada satu kepercayaan di kalangan pendokong Umno tentang keperluan parti itu untuk kembali berkuasa demi agama, kaum dan negara.

Sebab itu mereka merasakan Umno akan terus relevan dan mendapat sokongan orang Melayu, malah selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH), mereka menyebut adanya kekesalan di kalangan pengundi. Mereka mengharapkan pengundi-pengundi kesal ini akan kembali memberikan sokongan pada masa akan datang.

Walaupun sudah lebih sebulan PH mentadbir negara, mereka masih menyebut Umno merupakan parti tunggal yang memperoleh paling banyak kerusi Parlimen.

Penyokong-penyokong Umno juga gemar mengungkit sokongan yang diperoleh pembangkang, iaitu Umno dan PAS adalah lebih besar berbanding PH.

Perasaan bahawa kepentingan Umno dalam mempertahankan agama Islam, orang Melayu dan Malaysia merupakan suatu pemikiran lama, iaitu sejak parti itu ditubuhkan pada 1946.

Walaupun dengan pemikiran ini ramai orang Melayu sanggup berkorban untuk parti, tetapi ketika berada di puncak kekuasaan, Umno dirasakan kebal dan tidak akan ditolak orang Melayu.

Rasa kebal inilah yang antara lain membawa kepada kelakuan tidak beretika orang Umno. Mereka melakukan apa saja kerana kebanyakan rakyat akan terus menyokong parti itu yang menyebabkan Umno kekal berkuasa.

Malah, walaupun mereka sudah kehilangan kuasa, apa yang dirasakan ialah ini adalah gejala sementara. Bagi mereka, rakyat bukan menolak Umno, tetapi hanya termakan dakyah PH mengenai presiden parti.

Dengan ketiadaan Najib dan skandal 1MDB, mereka berasakan kebanyakan orang Melayu akan kembali menyokong Umno.

Realitinya, masyarakat sedang berubah. Sebahagiannya menjadi lebih konservatif dan menyokong Umno atau PAS, sebahagian pula menjadi liberal dan menyokong DAP dan PKR. Tetapi yang memenangi pilihan raya adalah siapa yang dapat menampilkan diri di garis tengah.

Masyarakat berubah sedikit demi sedikit mengikut hayat generasi. Lain generasi, lain apa yang disifatkan sebagai tengah. Generasi pasti berganti. Mereka yang meninggal dunia membawa bersama pemikiran politik mereka.

Parti politik juga berubah, tetapi apabila ia tidak menepati hasrat rakyat, yang sedang berubah, maka ia kalah kepada parti lain.

Inilah yang berlaku pada 9 Mei lalu, apabila PH mengalahkan Barisan Nasional. Jadi, kini Zahid berusaha untuk mendapatkan garis tengah untuk partinya supaya dapat meraih sokongan.

Kalau ahli-ahli Umno terperangkap dengan pemikiran lama, sedangkan generasi baharu memiliki pemikiran baharu, Umno akan terus kecundang.

Tetapi, PH pun tidak duduk diam. Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu akan turut berusaha berada di garis tengah pemikiran orang ramai supaya mereka semua memperolehi sokongan.

Bagi setiap rakyat negara ini, apa yang bermakna adalah mereka mempunyai pemikiran dalam hal-hal politik. Pemikiran sendiri yang lahir daripada usaha menimbang fakta dan prinsip.

Tidak semestinya apa yang ditawarkan ahli politik itu perlu didengar dan diikuti. Majoriti rakyat tidak semestinya benar atau adil. Maka, individu rakyat perlu menimbangnya masing-masing.

Majoriti pengundi menentukan pada siapa kuasa patut diberikan. Ahli politik yang hanya memikirkan kemenangan dan kekuasaan tidak mengambil kira soal kebenaran dan keadilan.

Tetapi, ahli politik yang berfikir lebih daripada itu akan turut membincangkan mengenai prinsip. Mereka mungkin tidak dapat sokongan dan kalah dalam pilihan raya.

Tetapi, kebenaran dan keadilan tidak berubah pada apa jua ketika. Yang berubah adalah maklumat dan konteks.

Jadi, persaingan politik antara Umno, PH dan PAS tidak semestinya menampakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan.

Banyak faktor, fakta dan konteks perlu dipertimbangkan. Namun, ia mudah ditimbangkan dengan merujuk sesuatu isu dan tindak balas ahli-ahli politik serta parti mereka terhadap sesuatu perkara itu, umpamanya skandal 1MDB.

Bagi ramai orang Umno, mereka mahu melupakan saja isu 1MDB dan “move on”. Mereka mahu tinggalkan Najib dan ikuti Zahid dalam perjalanan baharu Umno. Namun begitu, mereka mahu “move on” dengan pemikiran lama seperti yang ditawarkan Zahid.

Dalam keadaan ini, tentulah Umno tidak dapat ke mana mana.

Sunday, July 4, 2010


Dalam dua hari, sebelum ini Datuk seri Najib membongkar " nanah" politik pemimpin Umno dengan menyatakan bahawa terlalu ramai pemimpin dalam UMNO yang bersifat "duri dalam daging'. Merosakkan parti dan enggan mendengar teguran yang diberikan. Sambil menyempurnakan perasmian perwakilan umno di Jerantut Pahang, Najib mengingatkan ahli-ahli Umno dan pemimpin di peringkat cawangan dan Bahagian supaya mengikis sikap itu jika ingin melihat UMNO menjadi parti yang kuat dan bermaruah.

Hari ini ketika berada di Pekan, sekali lagi Najib menyeru supaya jangan ada ahli dan pemimpin UMNO yang menjadi seolah-olah seperti "primadona". menjaga kepentingan kumpulan tertentu sehingga meninggalkan matlamat parti untuk berbakti kepada rakyat. walaupun Najib pada sidang berita selepas itu menafikan bahawa keadaan UMNO sedang nazak, namun ramai yang melihat ia bukan sahaja amaran dari Najib tetapi juga dikatakan bahawa PRU 13 semakin dekat. Pemantapan parti UMNO selaku tunjang kepada BN adalah perlu sebagai persiapan sebelum berlangsungnya PRU 13.

Peringatan ini juga dilihat sebagai satu proses pemulihan ahli-ahli parti UMNO setelah sekian lama pelbagai program menaikkan motivasi ahli UMNO berlaku. Namun jika peringatan ini, gagal diterjemahkan oleh pucuk pimpinan peringkat Bahagian, maka akan menyaksikan saranan dan peringatan itu akan menjadi sia-sia belaka. UMNO akan semakin dilupakan oleh orang Melayu.

Saturday, December 19, 2009


Jika kita amati tajuk penulisan ini, gambaran awal mungkin UMNO diambang kehancuran, mungkin juga UMNO berada di ruang sempit yang cukup terhad pergerakannya, atau berkemungkinan UMNO sangat-sangat tidak relevan pada dunia politik orang muda berpendidikan di negera ini. Jika itu sandaran awal kepada penulisan ini, maka tidak jauh sangat kalau dikatakan bahawa UMNO terdesak kepada tuntutan perubahannya.

Menjadi lazimnya, seorang bayi yang baru lahir akan mengalami pertumbuhan dan perkembangan pembesarannya, hingga kata orang bayi yang demam adalah kerana mengalami tumbesaran. Meningkat besar dan berubah perkembangannya. Bolehkah itu kita samakan dengan Parti UMNO, setelah sekian lama mewarnai landskap politik Negara seawal merdeka lagi..maka UMNO bukannya lagi “:bayi” yang menuntut risiko demam dan sakit, sebaliknya UMNO kena bersedia beranjak dari satu ruang ke satu ruang..maknanya mengalami perubahan prinsip dan sikap bukan struktur organisasi parti. Sikap sambil lewa kepada sikap prihatin kepada masa depan parti dan Negara. Dari sikap oppurtunis kepada sikap ikhlas dan jujur. Dari sikap mengaut untung harta benda kepada sikap bersyukur dan berterima kasih. Rasanya tuntutan perubahan sikap itu tidak kelihatan di mata rakyat.

Kerana itu barangkali, biarpun Pm Datuk Seri Najib bertindak mengubah beberapa fasal perlembagaan Parti sebagai ‘signal’ dan ‘semboyan’ kepada perubahan, namun perubahan itu terlalu perlahan untuk sampai di peringkat pimpinan kelas pertengahan dan akar umbi. Mustahil kata ahli Umno, tetapi itulah yang berlaku..sebab itu bila Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO Busuk hingga ke Ususnya, ramai yang tersengih kerana baru pula Tun Mahathir sedar keadaan ini..walhal di era Pak Lah, kritikan yang dilemparkan tidak pula menyentuh “usus” Umno itu.Sedangkan Usus Umno mula sakit pada zamannya, bila berlaku penyingkiran Datuk seri Anwar Ibrahim dari parti dan Kerajaan, begitu juga bila politik wang menjadi resepi pemilihan agung Umno.

Apabila gelombang perubahan itu, terkebelakang dari tuntutan golongan muda, maka UMNO Nampak sangat ketinggalan dari godaan golongan ini. Di tambah lagi bila proses peremajaan kepimpinan tidak sangat menarik minat orang muda menyertai parti UMNO. Maka ahli lamanya semakin terdesak antara tuntutan perubahan dan tuntutan sikap sedia ada mereka yang menjadi parti UMNO sebagai gedung mengaut keuntungan. Sikap prejudis ini meletakkan niat mereka pada landasan individulistik sehingga maruah parti dan kerajaan menjadi perkara kedua dalam perjuangan peribadi ahli umno.

Bukankah sesuatu yang pelik dan mengejutkan bilamana bajet 2010 yang dibentangkan oleh PM Datuk seri Najib telah menerima tamparan awal apabila diluluskan di Parlimen dalam situasi yang mengaibkan seluruh jentera Kerajaan. Perbezaan hanya satu undi antara parti pemerintah dengan parti pembangkang.Inilah natijah kepada sikap ahli parlimen Umno Dan BN yang masing-masing memikirkan kepentingan diri dan bukan parti dan kerajaan.sehingga ada ahli parlimen yang lebih mengutamakan kerja-kerja luar yang tidak signifikan dengan peranannya sebagai ahli parlimen daripada ikut serta meletakkan kepercayaan dan tanggapan rakyat mendahului diri dan proksi.

Bukankah nasib UMNO dan BN akan lebih tercalar akibat tragedy ini..? Mengapa di saat perubahan dilaungkan masih lagi wujud keadaan yang mencemar kepada tuntuan itu..? Di saat KPI dan NKRA para menteri diperdengarkan kepada rakyat seluruhnya, prestasi kehadiran ahli parlimen amat mendukacitakan.Ahli Umno jangan terlalu leka sehingga menganggap perubahan itu adalah agenda pimpinan dan bukannya kehendak rakyat. Ahli UMNO jangan meletakkan bahawa pindaan perlembagaan parti yang dibuat hanya memperkemaskan takwim parti dan bukan memenuhi aspirasi peringkat akar umbi. Kerana jika tanggapan itu masih dikekalkan dalam kotak fikir ahli UMNO.maka selagi itu UMNO AKAN TERDESAK KEPADA TUNTUTAN PERUBAHANNYA.