Pengumuman menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan Datuk Sabri Ismail beberapa hari yang lalu bahawa kerajaan memperuntukkan subsidi RM 1.3 Juta ke atas penjualan kerosine atau dikalangan masyarakat Sabah dikenali sebagai ‘minyak tanah’ di Sabah, dan di Sarawak sebanyak RM 1.7 Juta, menimbulkan banyak polemic social dan politik kepada masyarakat tentang kewajaran subsidi itu diberikan..Dan apakah subsidi itu benar-benar membantu golongan miskin luar Bandar dan kawasan pedalaman di Sabah..? Alasan memberikan subsidi ini ialah kononnya untuk meringankan beban kehidupan golongan masyarakat misikin yang dikatakan masih menggunakan ‘minyak tanah’ ini, meskipun, orang sekarang sudah mempunyai alternative kepada penggunaan elektrik dan gas..
Sebelum ini pun Kerajaan dilihat ingin sangat membantu rakyat dengan mengumumkan rebet tunai kepada pengguna kenderaan ketika harga minyak dunia melambung tinggi sehingga mencecah US $150 setong. Namun langkah pemberian subsidi itu tidak sampai ke sasarannya, kerana ternyata yang lebih mendapat untung ialah golongan berada yang mempunyai kereta yang banyak. Jika ada 5 buah kereta di darab dengan RM 630 bermakna mereka akan memperolehi lebih RM 3000 ringgit. Rakyat di pedalaman terus tidak mendapat manfaat disebalik pemberian rebet tunai itu. Sekarang Kerajaan mengumumkan subsidi kerosene pula…Apa rasionalnya..?
Jika bersandarkan kepada reality masyarakat pedalaman, Kerosine atau minyak tanah bukanlah satu keperluan asas yang mendesak kerana penggunaannya hanya melibatkan penggunaan lampu Pam minyak tanah atau juga untuk tujuan memasak. Sedangkan keperluan asas lain seperti pembinaan dan naik taraf jalanraya adalah satu keperluan mendesak… Kalaupun kerajaan memberikan hampir separuh harga minyak tanah, tetapi jalan raya yang menjadi nadi perhubungan tidak diperbaiki, maka rakyat pedalaman yang miskin juga akan tetap mengalami masalah… Begitu juga bekalan air bersih dan bekalan elektrik luar Bandar. Keputusan memberikan RM 1.3 juta subsidi adalah lebih baik jika digunakan untuk memberikan peruntukan pembelian Generator atau janakuasa berkapasiti rendah untuk kegunaan penduduk kampung, di samping mungkin dapat memberikan bantuan percuma berupa bekalan alat-alat memasak seperti dapur dan gas. Selain memastikan kawalan harga barangan keperluan sentiasa dipatuhi terutama di kawasan luar Bandar.
Kalau diukur kepada skala stesen menjual minyak tanah ini, kebanyakkannya ialah stesen Shell iaitu syarikat luar dan bukannya Petronas milik penuh dan di bawah pengawasan kerajaan. Daripada 21 buah stesen minyak yang menjual minyak tanah di Sabah sebanyak 19 buah darinya adalah stesen Shell.Ertinya kalau pun diberikan subsidi, yang mendapat untung ialah syarikat Shell, kerana semakin banyak jualan minyak tanah, semakin tinggi keuntungan subsidi yang diperolehi. Sebagai sebuah negeri yang juga mempunyai sumber pendapatannya daripada sumber minyak., Sabah seharusnya mendapat lebih ‘subsidi’ minyak tanah jika di bawah kendalian Petronas..? Kenapa Petronas tidak memainkan peranan social membantu rakyat Sabah di kawasan pedalaman, sedangkan royaliti 3% yang diperolehi rakyat Sabah melalui sumber minyak tidak pernah dinaikkan biarpun sudah puluhan tahun..Kita mengalu-alukan segala bantuan kerajaan kepada rakyat asalkan sampai kepada sasarannya. Jika tidak, yang untung adalah pihak yang tidak sepatutnya..dan rakyat akan tinggal miskin dan terbiar.
2:05 AM
kelapa mawar