Saturday, April 27, 2013

Memang sudah dijangka, gelombang Tsunami politik 2008 tidak merebak di Sabah pada PRU 13 ini, hanya datang dalam gelombang sekerat-kerat, kerana rata-rata ketua-ketua cabang parti PKR yang tidak tercalon bertindak keluar parti.Di Semporna timbalan ketua cabang parti  itu juga keluar parti.



seramai 300 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Semporna bertindak keluar parti selepas hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan yang didakwa gagal memperjuangkan konsep keadilan.

Timbalan Ketua Cabang PKR Semporna, Mohd. Jakarah Asmad mengisytiharkan mereka keluar PKR dan menyertai UMNO dan menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

"Kami bertindak keluar kerana hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan yang tidak mendukung konsep keadilan yang kononnya menjadi asas perjuangan mereka sejak ia ditubuhkan.

"Saya tidak nampak bagaimana ia boleh berlaku adil kerana dalam soal pemilihan calon pilihan raya pun mereka tidak berlaku adil kepada ahlinya sendiri dengan mengenepikannya dan meletakkan calon luar yang tidak pernah buat apa-apa.

"Kami juga keluar kerana manifesto BN yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjurus ke arah kebaikan dan memberi banyak manfaat kepada rakyat. Tiada sebab untuk kami menolaknya," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman keluar parti di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan beberapa ranting PKR dalam cabang Semporna turut dibubarkan.

"Ranting yang dibubarkan ialah ranting saya sendiri iaitu Kubang Pinang, Pukas Atas, Bait, Umadal, Terusan dan ada lagi beberapa ranting yang memaklumkan pada saya bahawa mereka akan bubar," katanya.

0 ulasan :