Monday, August 26, 2013

Pelantikan Ketua Pembangkang Sabah Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat Sabah oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak disenangi oleh beberapa anggota lain khususnya empat ADUN PKR Sabah.


Adun Matunggong Jelani Hamdan berkata, walaupun mereka menghormati keputusan Anwar melantik Lajim, yang dipercayai baru sahaja menyertai PKR baru-baru ini, mereka tidak berpuas hati kerana mereka tidak dibawa berunding atau mendapatkan pandangan mereka.


Menurutnya, beliau dan tiga lagi wakil rakyat PKR, Terrence Siambun (Moyog), Jeremy Malajad (Kadamaian) dan Christina Liew (Api-api), telah menyerahkan usul kepada kedua-dua Anwar dan Lajim berhubung isu-isu tertentu.


"Jika cadangan ini tidak diberi pertimbangan, kami tidak akan menerima mana-mana jawatan dalam sebarang jawatankuasa atau dalam parti," katanya pada Ahad.


Beliau juga berkata, mereka mungkin akan mencontohi pendekatan oleh rakan sejawat Adun Luyang (DAP), Hiew King Cheu dengan melepaskan semua jawatan mereka dalam parti ketika ini.


Walaupun mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan drastik seperti meninggalkan parti, katanya, mereka tidak akan terlibat dalam mana-mana aktiviti parti jika Anwar dan Lajim tidak menimbangkan usul mereka.


Usul berkenaan katanya, yang telah dipersetujui oleh Adun PKR Sabah, diberikan kepada Anwar semasa Rumah Terbuka Hari Raya yang diadakan oleh PKR di sebuah hotel, bulan lepas.


"Datuk Lajim tahu tentang usul ini kerana kami juga memberikannya satu salinan," katanya.


Bagaimanapun, empat wakil rakyat itu akan menunggu pelantikan Majlis Pemimpin PKR Sabah sebelum melakukan tindakan seterusnya.


"Kami akan menunggu siapa yang dilantik oleh Lajim ke dalam majlis itu nanti dan juga sama ada beliau akan menimbang dan menghormati usul kami," kata Jelani.


Katanya, Lajim menggantikan bekas Ketua PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini, ekoran petisyen oleh kira-kira 16 atau 17 Ketua atau pemangku Ketua Bahagian agar Thamrin berundur.


"Mungkin mereka mahu muka baharu (untuk mengetuai PKR Sabah)," katanya.


Beliau menyuarakan kebimbangan akan berlaku "kecederaan" dalam PKR Sabah sama seperti apabila Lajim dilantik sebagai Ketua Pembangkang Sabah.


Beliau merujuk Hiew sebagai "kecederaan" itu kerana menyokong Adun Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Bumburing sebagai Ketua Pembangkang negeri.


Anwar berkata pelantikan Lajim sebagai Ketua PKR Sabah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi parti.

0 ulasan :