Friday, September 27, 2013



Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Rahman Dahlan terkejut apabila penyandang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Aliasgar Basri (gambar) mengumumkan menarik diri dari bertanding jawatan itu di masjid Likas baru-baru ini.

Menurut sumber, Aliasgar telah menunaikan solat jumaat di masjid tersebut dua minggu lepas.

Beliau bersalam dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman selepas menunaikan solat. Tiba-tiba beliau ternampak Rahman ada di belakang Ketua Menteri.

“Datuk, saya tak jadi mempertahankan jawatan. Saya beri laluan kepada Datuk,” kata Aliasgar kepada Rahman. Rahman terkejut dengan pengumuman spontan Aliasgar itu. Apatah lagi pengumuman tidak rasmi itu dibuat dalam masjid.



Pada pemilihan Umno 2009, Aliasgar mencabar ahli parlimen Kota Belud itu dalam pertandingan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tuaran di mana Aliasgar menang dengan majoriti 79 undi.

Sumber itu menambah, jika Aliasgar mempertahankan jawatannya itu beliau tetap dapat mengalahkan Rahman.

“Tetapi oleh kerana Rahman adalah menteri pusat, maka Aliasgar beri laluan kepada Rahman. Tambahan pula beliau mahu bertanding kerusi ahli majlis tertinggi Umno,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu ketika dihubungi FMT, Aliasgar mengesahkan bahawa beliau tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan 19 Oktober ini.

“Oleh kerana Rahman adalah menteri pusat, maka saya beri laluan kepada beliau supaya beliau menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Ketua Bahagian,” katanya.

Beliau menghormati Rahman yang ada jawatan dalam kerajaan dan beliau berharap Rahman dapat menggunakan peruntukan kementerian untuk membangunkan kawasan Tuaran.

0 ulasan :