Showing posts with label TSP DAN IRANUN. Show all posts
Showing posts with label TSP DAN IRANUN. Show all posts

Tuesday, August 24, 2010


Penulisan kali ini saya dahulukan dengan ungkapan bahawa "POLITIK ITU ADALAH KUASA DAN KUASA ITU ADALAH POLITIK" Ini membawa makna yang mendalam, sebab itulah kita lihat di serata dunia 'perebutan' KUASA' ini berlaku. Yang belum berkuasa akan mencari KUASA. Yang sudah berkuasa akan mempertahankan KUASA. Banyak pertumpahan darah, kerosakan harta benda hatta kehilangan nyawa berlaku lantaran kerana POLITIK dan KUASA. Negera-negara luar seperti Thailand, Filipina, Indonesia..malahan keseluruhan negara di dunia bergolak, kerana isu yang sama.

Apa yang saya cuba utarakan pada penulisan ini, ialah betapa POLITIK itu memecahbelahkan, betapa politik itu memudaratkan banyak pihak, betapa politik itu menindas sebilangan yang majoriti atau pun minoriti. Kerana itu juga politiklah ,maka sesuatu golongan minoriti dan majoriti itu dikenali. Selagi POLITIK itu dipelihara mengikut lunas-lunas kemanusiaan dan hukum ketuhanan, maka selagi itu penolakan akan berlaku kepada idea asal yang nyatakan bahawa POLITIK itu memusnahkan.

Apakah ada yang berani tampil menawarkan idea bahawa pecah dan belah suku Iranun itu adalah kerana POLITIK?. Mungkin boleh dihujahkan. tetapi berapa kerat yang menerima situasi dan kenyataan ini? Sejak dari zaman ayahanda Pinjaman Hassin sudah ada tanda-tanda menunjukkan ketidakserasian percaturan politik Tan Sri pandikar dengan beliau..? Mungkin disebabkan dengan pendidikan dan situasi..tetapi itupun sudah cukup 'melemaskan' politik Iranun.

Dan kini setelah 3 dekad TSP berada dalam persada politik negara, pelbagai kejayaan politik peribadi telah dapat dikecapi..tetapi yang cukup menghairankan ialah ramai daripada generasi yang lahir selepas perjuangan TSP memertabatkan Iranun dalam persada politik nasional yang menunjukkan sikap kontra kepada pemimpin Iranun ini. Sama ada mereka yang berwajah politik atau pejuangan sosial, mereka ada alasan yang tersendiri dalam hal ini. Antara pemikir Iranun yang bukan kecil sumbangannya dalam kelangsungan budaya Iranun ialah arwah Datu Bandira Datu Alang yang juga berjuang dalam landasan kepartian yang berbeza dari TSP. Selepas itu sdr Razak Rakunman juga menunjukkan pola perjuangan yang sama dengan berdiri sebagai calon BEBAS.

Seperti apa yang dikatakan oleh TSP bahawa ketika muda, hati ingin mengubah dunia..adakah boleh dijadikan sebagai penghujahan dalam senario ini?...Apakah benar bahawa ramai pemikir,pejuang, aristokrat Iranun yang tidak sealiran dengan TSP terlalu ingin cepat bergelar pemimpin? Atau Apakah perlu TSP sendir melihat kembali pendekatan dan strateginya dalam 'menyempurnakan' kelangsungan politik Iranun? Atau barangkali sudah sampai masanya idea-idea baru boleh disenyawakan dengan kepimpinan TSP sekarang supaya lebih utuh dan menyeluruh terutama dalam hal-hal berkaitan dengan Bangsa Iranun?

Seorang pejuang Iranun yang sama-sama memperjuangkan TSP ketika era politik USNO dan BERJAYA yang sempat saya dengar penjelasannya menyatakan bahawa kejayaan TSP adalah kejayan politik peribadi dan bukan kejayaan politik suku Iranun? Alasannya yang diberikan kerana hingga kini, katanya kepimpinan Iranun masih berpaksi kepada TSP tanpa ada pelapis yang boleh meneruskan legasi kepimpinan Iranun di masa depan. Katanya lagi, kerana adalah mustahil sehingga kini tidak ada tunas baru yang bol;eh digilap oleh TSP? Tetapi kenapa tidak ada? Atau belum bersediakah TSP secara peribadinya berganding dengan pimpinan baru Iranun?

Kalau menurut tulisan Sdr Milus Alu dalam blognya, menyatakan berdasarkan fakta sejarah, bahawa suku Iranun asalnya sudah berkerajaan awal di Tempasuk dengan beberapa nama di sebut antaranya Raja Ismail dan raja Sa Tebok. Saya tidak menceritakan kisah sejarah ini. tetapi apa yang benarnya bahawa suku Iranun mewarisi darah pemimpin dari sebuah kerajaan yang hebat di Tampasuk.

Kerana itu, biarpun suku Iranun adalah minoriti tetapi POLITIK telah mengangkat seorang tokoh Iranun menjadi antara pemimpin yang disegani di sabah dan di Malaysia. Tokoh yang saya maksudkan ialah Tan Sri Pandikar Amin Hj. Mulia. setakat artikel ini ditulis, tidak ada satupun anak Iranun rasanya pada pengamatan saya yang sebegitu berjaya dalam dunia kepolitikkan dan kerjaya sebagai politikus , selain daripada Tan Sri Pandikar. Saya harap kenyataan ini dipersetujui kebenarannya.

Tan Sri Pandikar diangkat sebagai PEMIMPIN IRANUN dengan linangan air mata dan tumpahan merah darah menyala moyang -moyang kita yang terdahulu. Tan Sri Pandikar "dimuliakan" oleh bangsanya kerana sedikit kelebihan yang dimiliki oleh beliau. Beliau adalah ibarat pelita yang menerangi bangsa Iranun setelah berdekad lamanya.Tanpa IRANUN, rasanya Tan Sri Pandikar Amin juga tidak akan kemana. Hakikat ini juga kita akui.

Lalu, bilamana berdengung isu penyatuan suku IRANUN, rasa saya, Manusia IRANUN yang pertama harus melaungkannya ialah Tan Sri Pandikar. Kemudiannya di susuli oleh laungan dari rakyat kebanyakkan dari suku Ini. Biar bergema, nusantara ini dengan laungan "HIDUP IRANUN", biar bergelora laut sepanjang Marampayan, Nanamun, Pintasan, Tamau dan Pantai Emas menyambut kegermersikan laungan itu. Asalkan apa yang dikatakan sebagai PENYATUAN itu akan termakbul.

Pengwujudan Wadah Baru Iranun, harus disegerakan dengan melalui beberapa sumpah bangsa. Menghadap Tan Sri Pandikar dalam suasana hiba menceritkan perihal keaiban bangsa, rasanya beradat dan bermaruah.Kunjungan perlu dilakukan supaya jalan semakin terang. Dan atas bangsa sekalian , Mohon agar Tan Sri Pandikar juga menyatakan pandangan dan pendirian..supaya yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.

Sunday, August 15, 2010


“Air yang di cincang tidak akan putus” Bagai isi dengan kuku” . Begitulah agaknya perumpaan yang boleh diberikan berkenaan kaitan Pemimpin dengan bangsanya. Seorang pemimpin yang diangkat, akan tidak dapat lari dari perjuangan dan dilema penyatuan bangsa kelahirannya. Malahan ketika ‘kuasa’ berada ditelapak kaki pemimpin, maka segala percaturan, pertimbangan, kehendak , keinginan dan buah fikirannya perlu ‘disenyawakan’ dengan bangsanya, supaya naluri kepimpinan akan dapat diterima. Dan bila sampai masanya, pemimpin akan pergi dan pengganti akan terus meneruskan agenda sebelumnya. Pemimpin yang pergi akan terus ‘hidup’ dengan ideanya ketika dia ‘berkuasa’.



Ketika saya menulis paparan ini, teringat saya Presiden Filipina, Marcos. Ketika pemimpin ini digulingkan oleh “people power” di Manila, pemimpin diktator ini telah menghubungi Presiden Amerika ketika itu Reagan untuk meminta bantuan. Dan antara lain yang diucapkan oleh Reagan ialah “Masa Mu telah tiba”. Kata-kata itu menggambarkan bahawa proses kepimpinan sebenarnya berperingkat dan berfasa. Bila tiba masanya, sama ada seorang pemimpin itu mahu atau tidak..”kuasa” yang dipegangnya terpaksa dilepaskan. Hanya situasi pelepasan kuasa itu yang berbeza. Misalnya Taksin Sinawat yang disinonimkan oleh sokongan akar umbi digulingkan oleh rakyat Thailand melalui kuasa tentera ekoran beberapa dasarnya di Selatan Thailand yang menerima kritikan hebat. Di Malaysia, Tun Mahathir melalui proses peralihan kepimpinan yang paling lancar di era pemerintahannya.



Isu-isu ini saya paparkan tatkala, saya membaca coretan pemimpin tunggal Iranun, Tan Sri Pandikar Amin yang memberi perumpamaan bahawa pemimpin lama ibarat pelita yangt bersinar dan diperlukan sangat-sangat pada zaman dahulu. Kata beliau lagi, zaman moden ini pelita telah banyak dan pelbagai warna dan ada yang menggunakan “janakuasa”. Sedangkan pelita kata beliau lagi bersinar tanpa bantuan ‘janagkuasa”.



Perumpaan ini bagi saya cukup besar maknanya.Terutama kepada pemimpin muda yang bakal mengambilalih kepimpinan suku Iranun ini. Apakah makna tersirat dari tulisan TSP ini dalam blognya? Apakah ada dikalangan suku Iranun yang berani tampil ke hadapan menyatakan dengan setulusnya kepada TSP bahawa “pelita” yang dimaksudkan itu adalah TSP sendiri? Atau adakah yang sanggup menyatakan kepada TSP bahawa “sudah sampai masanya”? Atau barangkali ada yang bersanggupan menyuarakan bahawa kesemua “pelita” sama ada baru atau yang lama adalah mempunyai tugas yang sama?



Idea dari seorang pemikir Iranun yang sempat saya tanya mengenai perumpaan TSP ini menyatakan bahawa pemimpin Iranun ini seakan mula merajuk dengan bangsanya. Memberi peringatan kepada pemimpin muda bahawa, tanpa sokongan dan keterlibatan mereka, maka TSP boleh berdiri sendirinya. (Pelita tidak perlukan janakuasa). Sekaligus ini juga memberi peringatan kepada pemimpin sedia ada bahawa kepimpinan Iranun adalah pelbagai variasi dan pendekatan.



Bagi Kelapa Mawar, pemimpin lama jangan dilupa. Angkat mereka di mana mereka harus berada. Jangan disisihkan dengan alasan “ sudah sampai masanya”. Alangkah baik dan ketikanya jika proses peralihan itu berlaku dengan sopan dan penuh kesantunan. Generasi yang ada dan akan datang ‘membesar’ dengan hati yang tiada lukanya.