Sunday, December 19, 2010
Thursday, November 18, 2010
5:40 AM
kelapa mawar

Tuesday, June 22, 2010
7:25 AM
kelapa mawar

Kalau dulu di tahun 80-an dan 90-an, naluri politik masyarakat Kota Belud hanya berkisar dalam ruang lingkup yang sempit ditiup dengan dongengan politik kesukuan yang menebal, sekali sekala diselang-seli dengan beberapa isu anutan dan agama pada zaman PBS, namun sekarang dengan 'rahmat' kemasukan UMNO di daerah ini, ruang bicara politik masyarakat Kota belud sudah jauh lebih terbuka. Barangkali 'rahmat' politik UMNO ini telah memberikan satu bentuk 'penyatuan' keinginan dan naluri masyarakat di daerah Koboi yang semakin membangun. Isu politik setiap kali PRU bukan lagi ada cerita suku dan ketuanan bangsa tetapi merangkumi persoalan nasional dan antarabangsa.
Wakil-wakil rakyat diteropong saban hari oleh rakyat, kemana mereka? apa kerja mereka? Apa pencapaian mereka? Wajarkah tindakan mereka? dan tertunaikah sudah janji PRU mereka?...Perkembangan ini seakan memberikan situasi 'rimas' kepada wakil-wakil rakyat di KB. Ada yang sekali sekala 'turun' menemui rakyat, bercerita dan minum di kedai-kedai kopi, selebihnya menghilangkan diri, entah tidak diketahui kemana perginya.
Perkembangan ICT juga memberikan satu kelebihan kepada rakyat. pelbagai permasalahan rakyat diutarakan dan dipamerkan. terpulang kepada wakil rakyat memberikan response? Seluruh isi alam yang celik ICT akan berupaya membaca pendirian, dan pemikiran mereka.
Kerana yang demikian, Wakil rakyat di KB yang terdiri daripada ADUN TEMPASUK, ADUN USUKAN, ADUN KADAMAIAN dan MP KOTA BELUD, harus sentiasa peka kepada masalah rakyat di kawasan mereka. isu-isu berkaitan dengan kehendak mereka sewajarnya diberikan perhatian.
Walaupun pelbagai doktrin penyelesaian diberikan berkaitan dengan isu pampasan jalan raya Bypass Kudat-Kota Belud, namun ia masih "gagal' memuaskan hati para penduduk yang terlibat. Bahkan ada laporan menyatakan bahawa ada 'orang tengah' yang mendapat habuan besar dari kesengsaraan penduduk yang diambil tanah mereka. Isu ini tinggal jadi isu, tidak ada minat l;angsung para wakil rakyat untuk mencari jalan penyelesaian yang berkesan.
Terbaru pula ialah berkaitan dengan isu pembinaan empangan di sungai Kadamaian di kampung Tambatuan. Kedengaran sudah ada seramai 36 orang ketua kampung yang dipecat kerana membantah cadangan pembinaan empangan itu di kawasan mereka. Rakyat dikhabarkan begitu tidak berpuas hati sehingga 'memaksa" Datuk Dr. Jeffry Kitingan turun padang dan mewakili serta mendengar kehendak rakyat di kawasan itu. Sedangkan pada waktu yang sama wakil rakyat DUN KADAMAIAN juga membisu seribu bahasa.
Saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya peranan wakil rakyat yang demikian? Apakah mereka yakin bahawa sokongan rakyat tidak akan berubah arah dan hanya kepada mereka? Kerana apa? apakah kerana mereka mempunyai 'pulus' yang boleh mencairkan hati dan nurani masyarakat KB?
Tuesday, June 8, 2010
7:04 PM
kelapa mawar

Wednesday, June 2, 2010
10:00 PM
kelapa mawar

Wednesday, March 24, 2010
4:44 PM
kelapa mawar
Membicarakan tentang ‘kelahiran’ seorang pemimpin yang diterima kepimpinannya dalam daerah Kota belud, mungkin sensitive kepada sebilangan orang . Namun begitu ‘pembukaan’ cakrawala pemikiran, dengan ledakan maklumat yang begitu cepat, memungkinkan isu ini boleh diperbincangkan seadanya,mengikut lunas-lunas kewarasan politik yang menyakinkan. Kali ini, KM cuba mengajak kita berfikir dan terus berfikir, apa yang telah berlaku di daerah yang digelar oleh ramai orang ini sebagai ‘daerah pejuang’ namun pada realitinya daerah Kota Belud hanya gah pada nama dan gelaran tetapi telah ‘gagal’ menyempurnakan pewarisan kepimpinan biarpun telah lebih 30-40 tahun berlalu.
Anak-anak muda yang kini mewarisi cerita-cerita mitos dan lagenda dari datuk moyang mereka, pastinya disajikan dengan beberapa nama pejuang yang diabadikan dalam cerita petualang seorang murid kepada gurunya dalam Perang Pandasan. Namun kepimpinan itu berakar subur di kota belud apabila daerah ini begitu banyak melahirkan pemimpin kelas pertama dalam kancah politik Negara. Biarpun bukan anak jati Kota Belud, rasanya ramai bersetuju bahawa Tun Mustapha telah ‘mencipta’ kegemilangan dan separuh dari hayat politiknya di Kota Belud. Membina dan mengasaskan pemikiran politik kepada segelintar generasi selepas itu, telah melahirkan pemimpin nasional yang Berjaya menempa nama seperti Tan Sri Pandikar Amin dan juga Datuk salleh Tun said yang mewarisi daripada Ayahandanya Tun Said yang juga pernah menduduki kerusi TYT Sabah.
Bagi yang mengikuti liku-liku politik di daerah ini, sayugia diingatkan bahawa ketrampilan dua tokoh politik yang saya sebutkan itu iaitu TSP dan DSSK, menimbulkan banyak polemic pemikiran di peringkat masyarakat anak-anak muda. Bukannya kerana pendewasaan politik yang mereka lakukan..tetapi kerana kebimbangan yang mengunung, bahawa Kota belud benar-benar ketandusan pemimpin seligat dan selincah mereka. Misalnya TSP bukan sahaja, berupaya ‘mendamaikan’ ahli-ahli parlimen yang bertelagah di dewan Rakyat, tetapi juga seingat kita telah mendapat kepercayaan penuh dalam pengendalian isu-isu Negara sebelum itu. Rasanya kalian masih ingat, bahawa TSP sendiri pernah diutus ke Mindanao, menyelesaikan beberapa isu melibatkan kepentingan Negara.
Kehebatan mereka inilah yang amat merunsingkan anak-anak muda di daerah ini…Siapakah agaknya yang boleh mencontohi mereka..? Seperti kata Sdr Belum Pendekar…sejujurnya kita akui …..setelah lebih tiga dekad Kota Belud sebenarnya telah ‘gagal’ melahirkan pemimpin sekelas TSP dan DSSK..? Benarkah ? atau sebaliknya?
Nama-nama seperti Serin Hj. Sudah,Musli Oli, Jeniar Subeh, Anifah Hj Rajak, Rosmin Kasan, Roslan Hj. Manshor, Baghdad Turogan, Ideris nanti,Roslan Akik,Naumul Hj. Mulud,Matlee Hj Johari,Barul@baharul Sawi,Norjam Endingan, manakala wanitanya seperti Eyong @ Ejungmah dan Aminah Hj Menjan..serta ramai lagi yang tidak sempat disebutkan di sini…berupayakah mereka merangka keperibadian kepimpinan kelas pertama..? Jika berkesempatan..bila ruang dan peluang mereka..?
Persoalan ini, saya lontarkan pada anda yang membaca artikel ini. Saya pulangkan kepada pemikiran anda mencerna isu ini..kerana, selayaknya kita membicarakannya kerana sudah ramai pemimpin yang dilahirkan..tetapi tewas dipersimpangan jalan. Dimana silapnya ..?Berikan saya 3 sebab mengapa situasi ini berlaku..?
Monday, February 22, 2010
7:53 PM
kelapa mawar
Isu Umno dan pimpinan di Kota Belud yang berkelompok dan 'nafsi-nafsi' bukanlah satu cerita baru. Bahkan telah lama berakar umbi dalam parti itu, seingat kita sejak UMNO mula memuntahkan inti perjuangannya di Usukan belasan tahun yang lampau. Sejak itu UMNO KB tidak sunyi dari isu perbalahan pemimpin yang membawa kepada beberapa insiden "kekufuran" politik berlaku, yakni taksub kepada pemimpin tertentu, sehingga tidak boleh ditegur, tidak boleh di kritik dan tidak boleh dipersoalkan tindak dan tanduk apatah lagi keputusan dan pendekatan kepada Rakyat.
Isu ketidak sepakatan pemimpin ini jelas berlaku apabila UMNO KB di bawah pimpinan Datuk Salleh Tun said, mengadakan program "juara Rakyat" pada dua tiga hari yang lepas. Paling mendukacitakan kerana ia bukan sahaja berkaitan dengan kehadiran rakyat jelata, tetapi juga turut membuatkan segelintir rakyat neutral di daerah ini membisikkan rasa pelik dan terkilan dengan kehadiran pemimpin dan wakil rakyat di daerah ini.
Bayangkanlah namanya sudah membawa kepada satu program yang disasarkan kepada 'rakyat" program "juara rakyat" namun langsung tidak menampakkan bahawa ia membawa kepada satu pengertian akan berlaku penerimaan rakyat kepada UMNO KB. Para pemimpin yang lain seperti Datuk Rahman Dahlan, Datuk Haji Musbah dan juga Datuk Japlin Akim langsung tidak 'memunculkan' diri turut menyertai program itu. Protes dan ketidaksetujuan mereka terhadap Ketua Umno Bahagian KB ditunjukkan dengan tidak menghadiri program berkenaan. Malahan banyak program yang dilaksanakan oleh pemimpin ini juga seakan dipulau oleh DSSK dan lainnya.
Barangkali bagi Datuk Rahman Dahlan, ketidakpeduliannya terhadap program rakyat Umno KB ini kerana disandarkan bahawa beliau bukannya ahli Umno KB, tambahan lagi, ketidaktentuan statusnya sebagai MP KB pada PRU 13 akan datang, membuatkan beliau tidak sangat mempedulikan natijah program itu dalam kerjaya politiknya. Lantas menjawab persoalan kenapa selama ini DARD hanya mendiamkan diri tatkala di minta untuk campurtangan menyelesaikan konflik jalanraya bypass KB-Kudat yang dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dibeberapa perkampungan terlibat. Begitu juga dengan program Songom setemu-temu, anjuran Persatuan sama Sabah (PSS) yang dirasmikan oleh DARD turut tidak ternampak kelibat pemimpin lainnya.
Begitu juga dengan Datuk Musbah Jamli, kegagalan beliau mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian pada pemilihan yang lalu,bukan sahaja meletakkan pemimpin ini dalam dilema perjuangan yang berpanjangan tetapi juga dilihat 'enggan' memberikan kerjasama dan seakan 'memulau' segala programyang dirancang oleh UMNO KB. Datuk Musbah bukan sahaja disibukkan oleh pelbagai program persendirian yang dirancang oleh beliau, termasuk program turun padang dan projek Jelapang Padi nya, tetapi juga dikhabarkan beliau turut 'gagal'; memberikan dan mencarai jalan penyelasaian terhadap kemelut Projek Jalan raya Bypass KB- Kudat.? Walaupun isu ini berlaku bukan melibatkan kawasan DUN Tempasuk, tetapi sekurang-kurangnya Datuk Musbah berusaha mencari jalan penyelesaian.
Bagi Datuk Japlin Akim, kehadirannya dalam mesyuarat Umno beberapa bulan yang lepas, seakan membawa satu cahaya penyatuan UMNO KB apabila selama ini beliau dikatakan turut membiokot setiap perancangan dan mesyuarat Umno KB. Mungkin disebabkan kerana faktor kes yang dihadapinya.
Dari kaca mata rakyat, turut mempersoalkan kesepakatan para pemimpin ini. Malahan ketika rakyat menghadapi bencana alam seperti banjir baru-baru ini, rakyat dikejutkan dengan tembelang pemimpin tertentu yang asyik bercakap dengan perlunya mendekati rakyat, melakukan tranformasi, merealisasikan kejuaran kepada rakyat tetapi pada yang waktu yang sama, apabila rakyat menghadapi masalah, pemimpin ini 'hilang' kelibat' nya.
Jika secara sinisnya bahawa perkara ketidaksepakatan pemimpin ini berlarutan, maka ia akan menjadi perhatian rakyat. Sayugia diingatkan bahawa rakyat bukan lagi seperti beberapa musim pilihanraya yang lepas, kini rakyat sudah celik , rakyat tidak segan mengkritik, rakyat juga 'mendahului'gagasan pemimpin terutama berkaitan dengan program kehendak dan aspirasi mereka.
Golongan muda yang mewakili 30% daripada jumlah pengundi di daerah ini, mempunyai silent killer politik yang boleh dipergunakan untuk "melaknat" pemimpin tertentu.Ia membawa persepsi bahawa 'perlaknatan' itu adalah manifestasi daripada penolakkan secara total pemimpin tersebut. Bila sudah 'dilaknat" yakni di tolak secara jelas oleh rakyat pada PRU akan datang, maka apakah 'jadahnya' Pemimpin ketika itu memperkatakan lagi tentang isu penyatuan dan pembangunan.
Friday, January 1, 2010
2:09 AM
kelapa mawar


WARKAH TAHUN BARU BUAT PEMIMPIN KOTA BELUD..
Yang Berhormat Datuk-Datuk Dan Tan Sri,
Pertama sekali izinkan Kelapa Mawar memohon ribuaan kemaafan atas warkah terbuka yang saya dedikasikan buat Datuk-Datuk Dan Tan Sri yang budiman sebagai mewakili puluhan ribu suara rakyat yang jauh di bawah sana, yang masih terkedu, masih terharu, masih berlagu dengan lagu derita yang perlukan pembelaan berterusan dari Datuk-Datuk Sekalian. Kami rakyat di serta ceruk kampung masih berada di pondok usang yang terbiar. Longgarkanlah lutut-lutut Datuk-Datuk sekalian menjenguk kami di hujung persempadanan daerah jajahan Kota Belud dan Kota Marudu, dipersempadanan daerah Kota Belud dan Ranau, di pinggir Bandar Kota Belud dengan Tuaran. Lihatlah keadaan kami, kalau perlu pembelaan dari Datuk-Datuk sekalian, bantulah janganlah kami digula-gulakan dengan janji yang kapan bila terlaksana.
Yang Berhormat Datuk-Datuk Dan Tan Sri,
Tidak ada apa yang dapat kami berikan sebagai imbalan buat Datuk Sekalian, kerana sudah menjadi dasar kerajaan, kami rakyat hanya dapat membantu 5 tahun sekali, itupun hanya berbekalkan sebatang pensel dengan memangkah dua garisan bersilang. Sekadar itu. Kalaupun kami bergotong-royong mengumpul hasil tanaman buat ‘buah tangan’ kepada Datuk-Datuk untuk di bawa pulang, apalah sangat, kerana Orang Gaji Datuk tak cukup tangan dan kaki ke pasar membawa bekalan makanan buat santapan datuk dan keluarga. Jikapun kami bersengkang mata dilaut dalam menangkap ikan segar berupa ikan Kayu, Ikan Tamban, Ikan Tenggiri buat pemberian kepada Datuk untuk dijamah, apalah sangat jika dibanding dengan daging Payau, seladang, lembu dan ayam yang Datuk hampir mual menjamah hampir setiap malam. Kalaupun kami, mengumpul hasil padi untuk dijadikan hidangan malam, apalah sangat kerana padi kami tidak seharum padi Malinja,Beras Bario, apatah lagi beras Taj mahal yang dikatakan kurang kolestrol buat kesihatan Datuk-Datuk sekalian.
Yang Berhormat Datuk..
Hidup kami berubah agak perlahan, keperluan asas kami begitu mendesak, terutama jalan raya buat perhubungan membeli barang keperluan di pekan Kota Belud,kepayahan ini tidak seperti Datuk-Datuk dalam pejabat yang berhawa dingin…kaki kami lenguh berjalan atas batu kelikir atas salut lumpur tanah merah, tangan kami kebas mengangkat beban buat penyambung kehidupan yang lepas.
Buat Datuk Rahman,
Janganlah impikan pembangunan mengunung langit buat Kota Belud, merancang koridor rakyat yang berjuta ringgit. Pelabuhan, pembangunan gas dan kemudahan sukan. Hanya kotakanlah janji dan tekad Datuk, selesaikan bekalan air bersih yang kami minum saban hari. Masyarakat kami di kg. Kesapang masih minum air berlumpur berwarna kecoklatan. Sudah hampir 50 tahun kami mengalami keadaan yang sama..malahan lebih kerana hanya ‘hak’ sekecil kami gunakan 5 tahun sekali. Masih banyak lagi kampung-kampun kami yang jalanrayanya teruk. Kg, Dudar, Sarang, Pandasan dan hampir ke ulu kukut, kami hanya merasa dingin embun pagi di perbukitan. Jenguk-jenguklah kami Datuk!.

Buat Datuk Musbah,
Projek Jelapang Padi sudah di mula..bangga kami atas bangga dengan kesudahannya. Namun janganlah alpa Datuk dengan keperluan yang lain. Jalan raya ke kampung kami, bekalan air bersih, juga elektrik. Tak ada gunanya datuk puluhan juta projek jelapang padi, tapi kampung kami masih ditakuk lama. Bekalan air Di DUN Tempasuk di kawasan Datuk juga teruk dan beracun. Datuk jenguklah ketika lapang di kampung Tamau dan Pintasan, Datuk lawatlah kami sekerap mungkin..

Buat Datuk Salleh Tun said..
Datuk,
Sudah-sudahlah memikir yang bukan-bukan, fikir di mana Datuk diletakkan, sudah kami berikan kemenangan buat Datuk selaku ketua bahagian, kenapa datuk masih cuba melupakan itu. Datuk Jalan raya Byass yang Datuk Ilhamkan telah menimbulkan kebencian yang mendalam kepada rakyat yang tidak terpeduli. Ramai yang masih belum mendapatkan pampasan atas tanah yang diambil untuk dibuat Jalan. Datuk harus gentleman menghadapinya. Turunlah seketika dari kasta politikmu datuk, temui mereka, dengar keluhan dan harapan mereka, kerana ‘hak’ yang ada pada mereka mungkin tidak akan diberikan kepada Datuk buat penyambung hidup politik Datuk di masa hadapan.
Buat Datuk Japlin..
Peluang telahpun kami berikan..Datuk dari seorang biasa kini bergelar “Datuk” oleh rakyat di Usukan. Selesaikanlah pelbagai kemelut sebelum kami ditinggalkan. Jalan raya menuju ke Kg Pantai Emas masih berhabuk waktu kemarau, masih berlumpur tatkala musim tengkujuh. Bekalan air juga elektrik masih seperti dulu. Berbaktilah kepada rakyat kerana rakyat adalah Datuk dan Datuk asalanya adalah rakyat biasa.
Tan Sri Pandikar Amin..
Suku Iranun sering mendambakan akan lahir pemimpin seperti Tan Sri..kata mereka kerana darah yang mengalir dalam tubuh Tan Sri adalah darah pahlawan berani,pantang berundur di medan tempur. Tapi kata mereka janganlah pula anak mereka menjadi seperti Tan Sri yang sering melupakan keperitan bangsanya. Ramai yang masih derita, biarpun Tan Sri sudah bertimbun aset di masa depan. Janganlah ditagih lagi janji kami pada Tan Sri kerana rasanya sudah cukup kami ikut sama merasa ngeri. Cukup-cukuplah Tan Sri..andai kami mahukan lebih dari apa yang ada, kami sudah tidak berdaya..restuilah niat kami, mahukan lebih baik dari Tan Sri.
Salam hormat
Kelapa Mawar.
Friday, September 25, 2009
3:58 AM
kelapa mawar
Jika bersandarkan kepada paparan dalam blog DARD bertarikh 12.sept. yang lepas," SEMUANYA UJIAN ALLAH SWT". menceritakan bagaimana sebuah keluarga di Kg.Taun Gusi, di timpa musibah ,apabila rumah mereka terbakar dalam satu kejadian selepas solat Maghrib. Dan Kebetulan berada di lokasi kejadian ahli parlimen ini, berkesempatan menjenguk mangsa yang terlibat. Sebagai rekod kawasan Taun Gusi adalah dalam kawasan DUN TEMPASUK yang diwakili oleh DATUK MUSBAH JAMLI yang juga 'orang ' di kampung itu. Dan sebagai rakyat biasa, kita merasakan keperhatinan DARD sangat kita sanjungi.
Dan pagi tadi ketika saya, minum pagi bersama-sama dengan beberapa orang "penyokong kuat" DARD dari Pantai Emas...saya juga diberitahu bahawa ada lagi satu 'kebakaran' berlaku di Kg. Tamau, juga dalam DUN TEMPASUK, pada dua hari yang lepas. Daripada maklumat yang saya perolehi..tuan punya rumah yang terbakar itu di miliki oleh seorang penyokong tegar DATUK MUSBAH HJ. JAMLI... sama ada hal ini sudah dimaklumkan kepada DATUK MUSBAH, saya masih belum dapat memastikannya.
Namun sebagai rakyat biasa, saya berpandangan, pemimpin di Kota Belud..perlu lebih peka kepada hal-hal sebegini..kerana mangsa yang terlibat memerlukan bantuan segera untuk meneruskan kehidupan mereka. bayangkan jika kebakaran itu memusnahkan kesemua keperluan harian mereka. Tentunya sumbangan dan perhatian pemimpin akan mengurangkan beban rakyat yang dilanda musibah itu.
Pada waktu yang sama...daripada sembang-sembang pagi itu, ada juga yang merasa kurang senang dengan 'ketangkasan' pihak Bomba Dan Penyelamat Kota Belud dalam mengenai kes kebakaran yang berlaku itu. Pihak Bomba bukan sahaja lambat sampai, tetapi juga dikatakan menghadapi masalah mendapatkan bekalan air untuk memadamkan kebakaran . Mereka terpaksa mengepam air sungai yang berdekatan dan ini melambatkan proses memadamkan kebakaran . Barangkali inilah natijah awal kepada masalah bekalan air di daerah Kota Belud. Bukan sahaja memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat tetapi juga menyukarkan tindakan menyelamat jika sesuatu musibah kebakaran berlaku.
Rasanya sudah perlu ada kesepakatan ikhlas di kalangan pemimpin Kota Belud untuk melihat hal ini dengan lebih serius. Mengusahakan apa yang perlu dilakukan segera. menyelesaikan bekalan air di daerah ini, mengadakan beberapa aktiviti kemasyarakatan, yang berkaitan dengan agensi bomba dan penyelamat, selain menggerakkan jentera parti dan 'peribadi' untuk memantau hal-hal sedemikian.Dan apalah salahnya di saat rakyat di timpa malang tidak berbau ini..pemimpin turun padang melawat mangsa sebagai tanda keperhatinan mereka kepada rakyat. Kerana rakyat inilah yang mendukung mereka sehingga diangkat sebagai YANG BERHORMAT. Setidak-tidaknya, DSSK dan TSP juga boleh turun padang..kerana 'kemalangan' sebegini berlaku tidak bersandarkan kepada fahaman politik dan pendirian peribadi. Alangkah janggalnya di mata rakyat..jika pemimpin sibuk dengan kemeriahan sambutan Hari Raya dengan mengadakan "Rumah terbuka" sedangkan, rakyat sudah tidak punya rumah untuk dibuka.
Monday, September 14, 2009
7:56 AM
kelapa mawar
“rakyat sekarang bukan lagi sekadar berbicara soal pembangunan semata-mata.rakyat berbicara mengenai pelbagai hal,daripada soal peluang pekerjaan, kos sara hidup dan hak-hak mereka sehinggalah kepada soal ketelusan dan kredibiliti pemimpin. Rakyat juga mahu melihat pengumuman dan janji-janji yang diwar-warkan itu, dilaksanakan dengan sempurna…”
Itulah antara petikan ucapan Datuk Salleh Tun Said (DSSK), Ketua bahagian UMNO kota Belud juga mantan KM Sabah, dalam persidangan UMNO bahagian itu 1 Ogos yang lalu. Menggambarkan bahawa pemimpin seperti DSSK telah tahu dan sesungguhnya percaya bahawa rakyat sudah semakin matang akan minda dan pemikiran mereka dalam membuat sebarang pertimbangan politik dan dalam soal bersangkut dengan akauntibiliti dan kredibiliti seorang pemimpin. Citra Perjuangan inilah yang antara lain terkandung dalam piagam seorang pemimpin. Namun tidak pasti sama ada citra itu hanya tersurat atas kertas atau sebaliknya kerana apabila saya secara ikhlas dan jujurnya mengetengahkan apa yang saya katakan sebagai “kegagalan” pemimpin di Kota Belud..bermacam-macam anggapan yang diberikan..melabelkan saya sebagai penulisan upahan golongan tertentu..
Sedangkan atas nama bahawa kita sebagai rakyat sentiasa memerhatikan gelagat dan pencapaian pemimpin kita di daerah ini, justeru saya membuka pemikiran bersama menyelami citra perjuangan pemimpin kita. Ketika saya katakan dalam beberapa penulisan sebelum ini yang menyifatkan bahawa DSSK dan TSP ‘gagal’ membangunkan kawasan yang pernah mereka wakili iaitu USUKAN dan TEMPASUK, maka ada pihak yang mempertikaikan dengan memberi alasan dengan membandingkan pembangunan di tempat lain, hingga KUBANG PASU yang menjadi tempat mantan PM, juga dicanang kononnya tidak setanding dengan tempat lain yang lebih membangun di Selangor. Sedangkan konteks keperluan tidak diperjelaskan. Ertinya keperluan masyarakat di Kubang pasu tidak sama dengan apa yang diperlukan oleh masayarakat di USUKAN dan TEMPASUK. Bahawa pembangunan fizikal yang amat mendesak ialah keperluan asas kehidupan berupa bekalan air bersih, jalanraya, juga bekalan elektrik. Hanya dengan melihat satu aspek Bekalan air bersih di daerah KB, kita bisa melihat ‘kegagalan’ pemimpin sehingga masyarakat menghadapi kerumitan dalam hidup. Maka nya, bila ada rakyat yang mengkritik dan menegur..seharusnya dipandang dengan lebih adil dan saksama. Sebagaimana yang dikatakan oleh DSSK dalam ucapannya itu..
“ Ahli kita kini sudah matang dan dewasa, lantang bersuara dan berani mengkritik. Mereka mengintai setiap perilaku, tindak tanduk dan pergerakan pemimpin mereka. Jika tidak disenangi, mereka meluahkannya tanpa segan. Mereka menggunakan pelbagai wadah dan saluran media, termasuk internet, untuk menyampaikan pandangan mereka..”
Mengambil kira kepada kesediaan pemimpin inilah , maka saya menyuarakan apa yang sepatutnya diambil perhatian…Suatu ketika apabila TSP mengutarakan gagasan penyatuan rumpun sebangsa dalam beberapa siri ulasan yang dibuat oleh pemimpin berpengalaman ini dalam penulisan saya….saya, juga turut memberikan pandangan akan natijah dan kesan kepada politik daerah KB dan Sabah jika gagasan ini disedari dan dijadikan sebagai klimaks politik mereka. Pandangan saya melihat kepada kesan keseluruhan terutama dalam proses pembentukan Negara bangsa. Juga saya turut memberikan cadangan bahawa apa yang penting kepada seseorang pemimpin ialah KEPERIBADIAN dan IDELISME sehingga mampu dibaca dan di ikuti oleh generasi baru dan lama. Maka ada pandangan serong yang turut mengatakan bahawa saya hanya mencari kesalahan dan kesilapan DSSK dan TSP, sedangkan DARD juga tidak terkecuali..dari pemerhatian saya….Kes orang kanannya ‘mengamuk’ gara-gara parking lot turut menerima post istimewa daripada saya…”SPEKULASI DI USUKAN’ juga membawa permasalahan politik yang ditinggalkan oleh YB JAPLIN..manakala YB Haji MUSBAH juga saya pertikaikan mengenai kelancaran Projek Jelapang Padi yang dirancang.
Dan di sepanjang saya melakarkan pelbagai bentuk penulisan , antara harapan terbesar saya ialah supaya apa yang saya paparkan dapat dibaca oleh para pemimpin di daerah KB..dengan satu niat suci…menegur kepimpinan mereka atas apa yang dikatakan sebagai “kegagalan” dalam tempoh kepimpinan mereka. Mengharapkan supaya diketahui dan diusahakan memperbaiki kesilapan itu. Justeru dalam semua penulisan saya..tidak pernah saya melemparkan tohmahan dari sudut peribadi..kerana yang menjadi focus kepada saya ialah PERANAN mereka sebagai pemimpin…sama ada anggapan atau fakta penulisan saya itu tersasar..maka ia hanyalah pandangan peribadi saya sebagai seorang anak watan Kota Belud yang berhak memberikan pandangan.
Justeru dalam penulisan saya kali ini..merakamkan kekaguman yang amat sangat kepada TAN SRI PANDIKAR AMIN yang hati kecil saya melabelkan Beliau sebagai Pemimpin yang cukup terbuka..kerana memperjelaskan beberapa isu sebenar…Keterbukaan ini membuatkan saya percaya bahawa inilah antara resepi utama pemimpin ini sehingga melakarkan kejayaan gemilang dalam kerjayanya sebagai ahli politik yang disegani. Begitu juga pemimpin muda YB DARD turut mengambil beberapa tindakan, sehingga sanggup memohon maaf secara terbuka atas kesilapan yang dilakukan oleh orang kanannya itu. Saya turut mengkagumi keperibadian beliau. Terkecuali DSSK yang belum memberikan response secara lebih terbuka..tetapi saya berkeyakinan bahawa isu yang saya paparkan sudah sampai kepengetahuannya. Bagi YB MUSBAH dan YB JAPLIN..kita masih meragui sama ada mereka menyertai kita dalam beberapa siri perbincangan cyber ini.
Apa-apa pun sebagai rakyat biasa dan tentunya manusia biasa jua, saya mungkin tidak terlepas dengan kesilapan dan kesalahan dalam fakta sebenar ketika dalam penulisan. Maka saya dengan rendah diri MEMOHON MAAF SECARA TERBUKA kepada para pemimpin ini terutama yang amat di sayangi TAN SRI PANDIKAR AMIN, Dan DATUK SALLEH SAID KERUAK jika “hak’ sekecil ini yang saya gunakan memberikan kesan peribadi kepada mereka. Saya hanyalah warga kota Belud yang jauh dari apa yang disangkakan, tidak ada agenda mahupun kepentingan, apatah lagi menjadi upahan kepada golongan tertentu. Mohon maaf juga kepada para rakan blogger yang lain atas sebarang kesilapan selama bersama KELAPA MAWAR memikirkan bersama isu-isu yang diketengahkan.Terima kasih atas pandangan kalian semua.Dan atas pertimbangan inilah, saya mengambil keputusan untuk mengakhiri Citra perjuangan penulisan ini.





