Wednesday, February 10, 2010

politik adalah kuasa rakyat dan rakyat pula ada penentu kepada kuasa politik


Sudah seakan menjadi trend PKR, setiapkali menceritakan halatuju perjuangan politik mereka, maka ‘Rakyat’ dikaitkan. Atas semangat ‘kebangkitan’ yakni rakyat inginkan perubahan, inginkan ketelusan, inginkan keamanahan dalam berkerajaan. Seolah-olahnya gambaran buruk terus dipalitkan kepada kerajaan BN. Seolah-olahnya, PKR dan sekutunya dalam PR, bersih dan suci dari lambakan dosa dan penyelewengan dalam profil berkerajaan. Rakyat dijadikan sebagai ‘aset’ politik, meskipun ia amat berpatutan, tetapi kerana berselindung dari apa yang dikatakan ‘kebangkitan’ rakyat ,maka sebarang isu yang melanda PKR dan PR, semuanya bisa ‘diampunkan’ kerana mereka berada dikalangan rakyat, kononnya. Benarkah atau ia adalah startegi politik berulang lewat 1998, ketika DSAI ‘diturunkan’ dari kerajaan dan parti.



Apabila DSAI dihadapkan di mahkamah atas tuduhan liwat siri II yang dihadapinya, maka ‘rakyat’ juga dipergunakan. Entahkah benar atau tidak ‘rakyat’ berada di belakang mereka. Kerana yang Nampak hanyalah beberapa kerat penyokong setia DSAI. Slogan bahawa rakyat sudah muak dengan kezaliman,penindasan dan pakatan politik jahat, Nampak begitu selekeh untuk diangkat,kerana kalau berdasarkan kepada itu,bukankah Saiful juga adalah “rakyat” yang wajar diberikan hak dan peluang untuk menuntut keadilan dan kebenaran. Dimanakah pendirian PKR dalam soal ini ..?



Ketika mahkamah persekutuan mengumumkan keputusan mengekalkan Dr. Zamry sebagai MB Perak yang sah…reaksi DSAI juga terus mengaitkan dengan isu ‘kebangkitan rakyat’ . Lihat ulasan DSAI seperti dalam blognya :


Kepada mereka yang mahu terus hidup mengabdi kepada kekuasaan, silakan, nikmatilah segala laba yang dihamburkan selagi masih berpeluang. Tunggulah saatnya nanti apabila laungan Rakyat Hakim Negara bergema menggegar bongkah-bongkah keangkuhan yang dibina dari darah dan air mata rakyat!



Bukan setakat itu sahaja,malahan Pendapat KU LI juga dijadikan sebagai penguat kepada hujah politik PKR bahawa rakyat memang inginkan perubahan dan perubahan itu ada bersama dengan PKR.


Beliau juga berkata, sebuah kerajaan yang sah daripada segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat dan hanya mandat itu yang menentukannya. Mandat rakyat kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah berasaskan perlembagaan, yang mana ia dipilih melalui pilihan raya yang adil dan saksama.


Apa yang menjadi tanda tanya kita ialah apakah benar berlakunya ‘kebangkitan’ rakyat seperti yang didakwa oleh PKR itu..? Apakah keberjayaan PR menawan 4 negeri pada PRU 12 yang lepas adalah bukti kepada ‘kebangkitan’ yang dikatakan.? Atau krisis yang mula dihadapi PR yang berselang tubi itu juga adalah signal kepada ‘kebangkitan’ rakyat yang mula sedar kerana terpedaya dan terpesona dengan permainan politik DSAI..? Fikirkanlah.

Saturday, February 6, 2010


Saya melihat PRU13 begitu genting kerana seseorang calon pilihan raya tidak lagi "menumpang" kepada pengaruh parti politik. Tetapi kehebatan calon itu sendiri. kebolehannya berpidato, berdebat dan berhujah untuk menawan hati rakyat.: Komen sdr MO dalam blog KM


Sekilas pandang tajuk penulisan ini begitu ‘besar’ dan ‘berat’ untuk diperbincangkan. Ia memerlukan satu ruang vakum pemikiran yang terlatih dan diteraskan atas prinsip ilmiah. Membuka satu “keteruangan” majlis seumpama pentas perdebatan, mahkamah keilmuan dan juga boleh sampai kepada tahap pembentangan tinta fikir oleh segerombolan ilmuan di daerah ini. Namun penulisan KM kali ini hanya luaran, tidak sampai ke tahap itu. Ia sedikit membuka ruang fikir kita, atas desakan naluri kemanusiaan, bahawa masyarakat kita di daerah ini harus dianjak sedikit daya fikir mereka dalam soal pematuhan dan pemilihan pemimpin.



Sejak kebelakangan ini, agak kerap KM mengeluarkan posting berkaitan dengan Sdr MUsli Oli (MO ), terutama apabila blogger KB ini begitu ‘terangkat’ bersama NGO PERKASA-nya. Ini bukanlah bertujuan untuk ‘melariskan’ Sdr MO, bukan juga sengaja memperbesarkan idea YDP PERKASA SABAH ini..kerana sepintas lalu, ia seakan idea biasa yang menjadi ‘kebiasaannya’ dikeluarkan oleh pemimpin NGO lain. Ini juga bukan bermakna pujian melalu bagi sdr MO, kerana sebelum inipun KM pernah mengkritik “Kewajaran pengedaran Buku Konspirasi Melayu” tulisan sdr MO,tatkala persidangan pemilihan G7 di Kota Belud.



Namun kali ini kewajaran idea Sdr MO, saya hargai, guna ‘Memperkasa’ pemikiran pengundi kita di daerah ini.Kerana selama ini, para pengundi dikaitkan dengan pertimbangan yang di dorong oleh factor kebendaan dan kepartian semata-mata.



Kata-kata seperti letak "tunggul kayu pun menang" jika mewakili parti-parti politik tertentu sudah berakhir. Rakyat sudah terlalu bijak membuat penilaian. Mereka tidak mudah dipengaruhi kempen, wang ringgit, provokasi, psy war, dan bermacam-macam teknik perang saraf! Mereka mempunyai "value judgement" tersendiri terutama golongan muda yg terdidik! : Apakah kata-kata sdr MO ini ada kebenarannya..?


Idea ini mungkin ada kebenarannya, ketika golongan muda terdidik mula mengambilalih peranan masyarakat pengundi di Kota Belud. Walaupun tidak keseluruhannya, namun ada sudah ke arah itu. Termasuk apa yang diistilahkan sebagai ‘Pengundi Atas Pagar’. Biarpun skop pengertian PAP ini, luas, tetapi sesiapapun termasuk orang perseorangan, golongan minoriti, golongan anak muda dan golongan terbiar hatta golongan majoriti juga punya pengundi atas pagar. Kerana itu, golongan muda harus memperbetulkan apa yang silap dengan membuat beberapa siri peranan yang boleh dimainkan diperingkat cawangan atau kampung, supaya mentaliti pengundi tatkala memangkah calon PRU akan terpimpin. Memilih calon yang bukan sekadar atas nama parti tertentu, tetapi juga atas kemampuan calon tersebut dari segi daya fikir,pendekatan, pemerolehan peluang membawa pembangunan, penekanan kepada modal insan dan sentiasa mendekati rakyat. Menolak prinsip mengaut kepentingan dan keberuntungan peribadi, mempersenda mandat rakyat, memperolok sokongan sehingga membiarkan rakyat terbiar, memohon ehsan bila menghadapi masalah kehidupan.



Kerana penglibatan golongan terpelajar dalam membuat pengubahan sokongan Atas Pagar kepada pemimpin tertentu, maka sudah sampai masanya, para pemimpin melihat bahawa ada kewajaran atas membawa bersama pemikiran golongan muda ini dalam penggubalan kepimpinan mereka. Aspirasi rakyat dan golongan muda juga harus diambil kira termasuk membasmi penggangguran dan ketidapedulian pemimpin kepada golongan ini. Aspirasi mereka adalah apa yang ada di depan mata. Penilaian mereka atas apa yang dilihat dan keputusan mereka atas apa yang dirasai. Maka benarlah apa yang dikatakan oleh PM bahawa ,rakyat akan hanya berhanti mempertikaikan kebertanggungjawaban kerajaan dan parti apabila mereka sudah melihat, menyentuh dan mengalaminya sendiri.

Thursday, February 4, 2010




Mungkin antara kesilapan besar pimpinan USNO ketika mengizinkan parti itu ‘dikorbankan’ untuk memberi laluan kepada parti UMNO, ialah kegagalan “mengrekrut” penyokongnya supaya memberikan tumpah taat setia kepada parti UMNO yang baru dilahirkan itu. Sehingga ketika membayangkan kemasukan UMNO dan Pembubaran USNO, TUN Mustapha ketika itu menyifatkan bahawa berlaku satu perpindahan dari “perahu kecil kepada kapal besar”.Satu bayangan bahawa, pengikut USNO akan menerima perjuangan baru sebagai landasan kepada penuntutan hak dan outonomi politik di negeri Sabah. Akhirnya setelah UMNO ‘hidup’ di Sabah,maka sudah kedengaran beberapa pemimpin USNO gagal mengikuti pelayaran kapal UMNO itu. Rakyat dan penyokong tegar USNO masih bergelimpangan dalam medan tempur politik di Sabah.Dan itu juga berlaku di daerah Kota Belud. Darah pejuang USNO masih segar dan harum meskipun parti itu sudah menjalani upacara pengorbanan yang sangat menyayat hati.


Menyedari hakikat bahawa sokongan ke atas UMNO KB mula menurun ekoran daripada beberapa insiden pemimpin bahagian ini yang susah dikemudikan rakyat, maka PKR Kota Belud mengambil jalan lurus untuk mengintai kembali sokongan pengundi yang beraliran fahaman politik USNO di daerah ini.bahkan pimpinan PKR kota Belud, jelas merasakan bahawa sokongan yang diperolehi ketika PRU12 yang lepas adalah datangnya dari pengundi USNO yang menunjukkan protes kepada UMNO, selain daripada beberapa factor yang masih menjadi ‘rahsia’ PKR kota Belud.



Datuk Musbah sudah terlalu sibuk dengan Jelapang Padi, sehingga melupakan bahawa musuh sudah semakin dekat.


Strategi PKR Kota Belud ini, harus segera dirumus oleh pimpinan UMNO Bahagian, kerana jika tidak harus akan berlaku sekali lagi isu penurunan undi ke atas calon UMNO KB pada PRU 13 akan datang. Ketegasan PKR untuk menawan dua kerusi DUN di Kota Belud, bukan sesuatu yang perlu di pandang ringan. Sekarang inipun sudah ada gerakan mendekati masyarakat kampung sekitar DUN TEMPASUK dan DUN USUKAN. Malahan gerakan itu termasuk meninjau kekuatan parti UMNO di beberapa kampung terbabit sehingga ada ahli dan pemimpin PKR yang telah mula mencatat senarai permasalahan rakyat atau masyarakat di kampung itu.

Datuk Japlin juga akan ditentang habis-habisan oleh PKR di Dun Usukan.


Walaupun penasihat umum PKR DSAI tengah bergelomang dengan kes Liwatnya siri ke dua, namun bagi pemimpin PKR Kota Belud dan konco-konconya, ia langsung tidak mematikan hasrat mereka untuk menawan dua DUN itu, termasuk berusaha menurunkan majority peringkat Parlimen KB.Sama ada kita berkeyakinan PKR Kota Belud akan Berjaya atau tidak, adalah tidak penting kerana jangan di sangka air yang tenang tiada buaya. Bukankah sungai di Kg. Merabau telah menggemparkan penduduk dengan penemuan seekor Buaya..setelah sekian lama hanya tinggal sebagai cerita dongeng.




Wednesday, February 3, 2010


Tidak ramai yang mengetahui bahawa pekan Kota Belud selain daripada pernah mengeluarkan variasi kepimpinan politik yang dominan, pekan tanah tumpah darah pejuang ini nyata mempunyai keunikan tersendiri dari segi politik berbanding dari pekan atau daerah lain di sabah. Kerana masyarakat yang mendiami pekan koboi ini, saban waktu sepanjang tahun, disensaiskan dengan cerita-cerita politik yang sentiasa panas dan bercelaru.



Apakah tidak, kalau dulunya kedai-kedai kopi atau restoran di pekan ini sentiasa sesak dengan pengunjung yang hanya menghirup secawan kopi atau teh panas tetapi duduk berjam-jam untuk mendengar tukang karut dan penglipurlara politik yang sentiasa menyajikan dengan isu dan perkembangan terkini ahli-ahli politik dan pemimpin di daerah ini.



Nampak gayanya, budaya bercerita di kedai kopi ini terus diwarisi oleh generasi baru masa kini yang turut mengatur skrip lakonan politik di daerah ini. Bermula dengan cerita-cerita bahawa akan bakal berlaku perubahan di daerah ini lewat PRU 13 akan datang, dengan andaian bahawa jika pun tidak ada calon pembangkang terutama PKR dan PAS dapat merebut kerusi Dun , namun kata mereka akan berlaku penurunan undi yang paling mengaibkan. Kerana mereka kata, pemimpin politik yang ada di KB sekarang, Nampak luarnya berkebolehan tetapi kusut dengan kemelut persefahaman antara mereka.


Apabila saya berkesempatan mendengar celoteh politik yang mendebarkan itu , rasanya ada berangkalian cerita itu menjadi mitos dan ada juga kebarangkalian ia akan menjadi reality. Itulah dunia politik di KB terus diulit seribu macam perkiraan dan cerita sensasi yang mengasyikkan.

Golongan muda di KB, dikatakan oleh segolongan daripada tukang cerita di kedai kopi ini, bukannya tidak berminat dengan parti UMNO, tetapi muak dengan kepimpinan sedia ada yang dilihat terlalu bersengketa. Datuk Salleh dan datuk haji Musbah dikatakan tidak mempunyai kesepakatan politik yang boleh dicontohi. Dari satu segi mereka mempertikaikan kewajaran datuk salleh menjadi penasihat sains kepada CM. Kerana kata mereka DSSK hanya mempergunakan USBO sebagai loncatan untuk kepentingan politik peribadinya.

Selama ini kata mereka USBO tidak ada program berkesan untuk membela sekumpulan suku yang bernaung di bawahnya. Apakah benar atau mungkin boleh diperbahaskan secara lebih terperinci. Kewibawan DSSK juga terus dipersoalkan sejurus selepas berlakunya banjir besar yang melanda Kota Belud beberapa bulan yang lepas. Bukan sahaja Ketua UMNO KB ini gagal melaksanakan tanggungjawab secara peribadinya, sebagai mantan pemimpin terulung di Kb dengan rekod pernah menyandang sebagai ADUN Usukan dan MP Kota Belud,malahan peranan sebagai ketua UMNO bahagian juga gagal dipelihara dengan baik dan berkesan. Malahan kata seorang AJK UMNO Bahagian Kota Belud yang sempat saya temui dan dengar penjelasannya juga mempertikaikan peranan DSSK yang hanya mengadakan mesyuarat Umno Bahagian secara alah kadar, sedangkan resolusi mesyuarat tidak pernah dilaksanakan.



Jika bersandarkan kepada ucapan Datuk seri Najib Tun razak beberapa minggu lepas bahawa wujud sekelompok pemimpin dalam parti yang tidak diterima oleh masyarakat, maka ia menjadi satu cabaran kepada UMNO terutama dalam pemilihan calon PRU akan datang. Justeru adakah kelompok itu sudah ada dalam UMNO Bahian KB..?



Kecelaruan politik KB juga tidak sunyi daripada cerita-cerita panas terutama MP Kota Belud Datuk Rahman Dahlan. Biarpun pemimpin muda ini begitu bersemangat membuat perubahan dan merealisasikan pembangunan di daerah ini, namun kata mereka ada juga terdapat beberapa isu yang menyemarakkan ketidak puasan hati kepada MP kota Belud ini. Selain daripada lawatannya ke kampung-kampung yang mengusung para wartawan dan pemberita, ia juga menjadi bahan lawak jenaka di kalangan peminat Sarapan pagi di restoran di KB ini. Ketika banjir besar yang lepas Datuk Rahman dengan tabiatnya membawa pemberita dan wartawan termasuk TV 3 menaiki helicopter meninjau keadaan banjir yang berlaku di daerah ini. Dari satu segi ada baiknya kata mereka kerana ia memberikan info sebenar keadaan malapetaka itu, namun ia sewajarnya di buat dengan niat yang ikhlas terutama ketika mengagih-agihkan bantuan kepada mangsa banjir.


Dan terbaru ialah apabila MP Kota Belud itu menubuhkan satu skuad yang bertujuan untuk menerangkan isu pembangunan di perkampungan di daerah ini.Termasuk kata mereka membantu dan menolong serta mengenalpasti keadaan kampung yang harus diberikan keutamaan. Namun kata mereka skuad ini, hanya luaran sahaja kerana data E-kasih pun di Kota Belud bercelaru dan bercampur aduk dengan senarai nama yang sepatutnya tidak layak memperolehi bantuan. Sewajarnya kes seumpama itu diberikan perhatian den keutamaan.

Tuesday, February 2, 2010


Blogger Katakamu, adalah antara pengunjung setia blog Kelapa Mawar.


Awalnya Kelapa Mawar, tindak ingin sangat melayan apa-apapun isu berbangkit mengenai Jajarkan ke Tengahrakan-rakan blogger di KB. Dan penulisan inipun bukan bermakna sebagai 'layanan istimewa' tetapi ia sekadar memperjelaskan hakikat sebenar apa yang ada di hati sanubari Kelapa Mawar.


Buat pengetahuan Kekanda semua, sejak kehadiran blog Kelapa Mawar dalam dunia cyber di daerah pejuang ini, memang tersemat dalam kalbu, bahawa setiap penulisan yang disajikan buat para pengunjung dan pembaca yang budiman, adalah penulisan yang bebas dari "SERANGAN PERIBADI' Dan juga CERCAAN kepada individu. Atas prinsip 'keintelektual' maka KELAPA MAWAR mendendangkan pelbagi isu politik dan masyarakat yang berkaitan dengan daerah kita. Jarang ada isu menyentuh diluar kotak daerah Kota Belud.

Keputusan menceritakan prihal pemimpin di KB, bukan bertujuan untuk MEMALUKAN Dan MENGAIBKAN mereka. Kerana itu, KELAPA MAWAR tidak pernah berbuat sesuatu untuk menyerang peribadi pemimpin ini. Mana yang wajar dilakukan, maka Kelapa Mawar akan paparkan sebagai satu 'kredit" bagi pemimpin ini. Mana yang diluar kewajaran , juga KELAPA MAWAR paparkan untuk renungan kita masyarakat di KB dengan andaian supaya isu-isu ini akan mendapat response dari pihak yang berkenaan, seterusnya ada daya dan usaha untuk mengubah kaedah pendekatan YANG DILAKUKAN itu. termasuk sebagai apa yang kita katakan sebagai 'kegagalan' bermusim yang dilakukan oleh pemimpin di kala mereka berada dalam zon selesa.

Tidak ada lain tujuan KELAPA MAWAR hanyalah untuk keharmonian masyarakat sejagat terutama GENERASI MENDATANG yang mahu supaya maklumat diperolehi tanpa berat sebelah. Walaupun ada beberapa posting KELAPA MAWAR yang dikatakan menyebelahi para pemimpin tertentu, namun percayalah dan yakinlah bahawa KELAPA MAWAR bukan diwujudkan untuk kepentingan dan agenda politik pemimpin tertentu. Semua yang dipaparkan itu secara kebetulan, menyebelahi pemimpin berkenaan di KB, kerana itupun adalah hakikat yang benar-benar berlaku.


KELAPA MAWAR bukan agen sesiapa,bukan mencetuskan isu suku dan bangsa, jauh sekali memperlekehkan ketuanan kaum tertentu, tetapi kerana itulah yang sebenarnya yang berlaku kepada suku tertentu di KB, maka KELAPA MAWAR dedahkan dengan tujuan supaya isu itu dapat dicerna secara ilmiah dan dewasa sifatnya. Mengenepikan api perkauman, sebaliknya membincangkan isu dengan ruang lingkup ilmiah dan keilmuan. KELAPA MAWAR mempunyai darah keturunan dari 3 bangsa di KB, Iranunya, Bajaunya juga Dusunnya. Apalah sangat jika memperkatakan sesuatu mengenai kelemahan suku ini untuk diperjelaskan secara lebih terbuka dan matang.

Suatu ketika Blog KELAPA MAWAR dipergunakan oleh seseorang untuk ';menyerang' peribadi seseorang, maka saya mengambil jalan mudah dengan tidak menyiarkan ulasan yang berupa serangan peribadi itu, dan KELAPA MAWAR secara terbuka memohon maaf atas kesalahan yang tidak dilakukan oleh KELAPA MAWAR, tetapi atas dasar mengutamakan perbincangan secara matang, maka KELAPA MAWAR harus bertindak sedemikian.

Selepas itu, ada pula yang mengaitkan KELAPA MAWAR sebagai sdr Musram Rakunman, walaupun sudah dinafikan oleh blogger ini. Seketika kemudian, wujud pula blogger SENYUM KAMBING yang mengaitkan KELAPA MAWAR dengan individu bernama ROSLAN HJ. MANSHOR. Blogger abu Nawas pula diwujudkan untuk mengeruhkan suasana.Dengan pelbagai tuduhan liar. Namun itu juga dinafikan sekeras-kerasnya oleh KELAPA MAWAR, bahawa individu yang disebutkan itu, BUKAN lah KELAPA MAWAR yang sebenarnya.

Apabila blogger Katakamu, mula 'mencarut' dengan pendedahan yang tidak berkaitan dengan posting KELAPA MAWAR, maka saya juga mengambil keputusan untuk tidak terlibat sama dengan tidak menyiarkan ulasan blogger ini. Tuduhan ke atas Kekandaku Seliu-liu, bagaikan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Saya hanya inginkan ulasan yang membina supaya dunia keterbukaan kita dalam cyber ini lebih bermanfaat.

Kegelisahan sdr Pipit Pekepa tentang penulisan KELAPA MAWAR, saya layan dengan penuh ilmiah dan terbuka. Atas kebertanggungjawaban saya dalam penulisan, maka KELAPA MAWAR cuba menjelaskan apa sebenarnya maksud di sebalik penulisan saya itu, biarpun KELAPA MAWAR dituduh sebagai mencetuskan isu perkauman dan menghina kaum tertentu. Namun begitu dalam soal mewujudkan 'kefahaman' ,maka itu diluar kemampuan KELAPA MAWAR. Terpulang kepada blogger berkenaan untuk memperhalusi penerangan Kelapa Mawar itu.

Maka sebagai, akhirnya, ingin KELAPA MAWAR, menyatakan dengan seseungguh dan seikhlasnya,bahawa kehadiran para blogger ini, saya amat hargai, atas keterbukaan mereka memberikan komen dan ulasan. Namun begitu harap agar, tidak ada usaha-usaha tertentu untuk mengaibkan orang lain dengan ulasan yang sangat menyimpang dari isu yang diperbincangkan.

Salam hormat dan sukses buat semua.

KELAPA MAWAR.

Monday, February 1, 2010

Imbang PenuhPenjaja di tepi jalan raya Bypass KB-Kudat ini turut diminta merobohkan gerai sementara mereka.

"Mempolitikkan". Perkataan yang selalunya dikeluarkan apabila sesuatu cerita atau isu ditimbang, dilihat dan dikupas dari sudut politik, yakni melibatkan kuasa,pengaruh, dan pemimpin serta rakyat, termasuk juga menyinggah aspek keberuntungan dan impak isu atau cerita itu kepada golongan yang terlibat. Ini sekaligus membawa andaian bahawa, sesuatu isu yang dipolitikkan akan mengundang pelbagai spekulasi dan tanggapan berdasarkan kroniknya isu itu dan hubungannya dengan oreang politik.

Begitu nyata sukarnya isu Jalan Raya Bypass Kota Belud-Kudat yang 'dipolitikkan' atas dasar kerana diusahakan oleh seorang pemimpin politik. Khabarnya mantan CM iaitu Datuk salleh Tun said. Walaupun pada asasnya dan pada prinsip pembangunan, bahawa setiap perubahan itu menuntut pengorbanan, dan setiap pembangunan itu mempunyai kesan baik dan buruknya..namun adalah lebih baik jika kesan buruk itu dapat diminimumkan sebolehnya.

Ketika Pembinaan Jalan Raya ini,matlamatnya antara lain ialah untuk mengurangkan kesesakan yang berlaku di daerah Kota Belud. Dengan andaian bahawa kesesakan itu disumbangkan oleh kereta dari luar yang melintasi daerah Kota Belud untuk menuju ke daerah Kota Marudu dan Kudat. Biarpun pada awalnya juga, para pemimpin di Kota Belud juga merasakan bahawa kesesakan itu juga disumbangkan oleh kereta orang kota belud sendiri.

Maka seperti yang diwar-warkan pembinaan Jalan raya ini bukan sahaja, memendekkan perjalanan ke Kudat dan sekitarnya dan juga dikatakan bisa melonjakkan ekonomi dan status daerah kota belud sebagai daerah pelancongan, namun itu tidak sangat membenarkan kenyataannya apabila Jalan raya ini terlaksana siapnya pembinaan sekitar 2004 lagi.

Rakyat dan masyarakat di Kota Belud, melihat projek ini sebagai 'gajah putih' yang tersasar tujuan pembinaannya. "gajah Putih" atas prinsip kerana gagal memberikan kesan baik dan lumayan kepada masyarakat yang terlibat.

Malahan jika kita melaluinya jelas bermula dari kg Sembirai, kita akan melihat bagaimana, bendang-bendang sawah padi suatu ketika yang menguning, kelihatan kontang dan terbiar sehingga ke jalan raya menuju kg Labuan, Wakap dan Jawi-Jawi. Maka ada benarnya projek ini 'memusnahkan' mata pencarian masyarakat, walaupun itu mungkin pengorbanan yang harus dilakukan ke atas sesuatu pembangunan.

Namun apa yang agak mendukacitakan kita ialah apabila, dilaporkan bahawa, ramai masyarakat sekitar Kg Sembirai, Labuan dan wakap yang tidak mendapat pampasan sewajarnya ke atas pengambilan tanah untuk pembinaan jalan raya kontrovesi ini. Peranan orang tengah dan kontraktor yang mengaut keuntungan berlebihan dengan memberikan pampasan yang sedikit juga dipertikaikan. malahan ada juga yang mempertikaikan kualiti pembinaannya yang tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya.

Maka atas ketidakpuasan hati ini, projek itu menjadi isu politik yang paling panas, melebihi kepanasan isu politik kesukuan di KB. Ia bukan sahaja dikaitkan dengan kredibiliti Datuk salleh Tun Said yang pada waktu itu mengusahakan projek ini sehingga berjaya dilaksanakan, tetapi juga ia melibatkan kepercayaan masyarakat yang terlibat ke atas mantan Ketua Menteri itu, apabila dikatakan 'enggan' berkompromi menyelesaikan permasalahan ini. Rintihan masyarakat Kg Labuan dan Wakap dilaporkan sebagai tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pemimpin di daerah ini.

Lantas dengan fenomen ini, terfikir pada benak kita, apakah ahli Parlimen kota Belud sekarang Datuk Rahman Dahlan juga tidak mengambil tahu akan perkara ini..? Apakah kerana takut terpalit atau kerana merasa itu bukan masalah yang tercetus pada era beliau menjadi ahli Parlimen di daerah ini,kerana itu perkara ini tidak ada dalam dairi penyelesaiannya..?

Begitu juga dengan ahli dewan Undangan Usukan, datuk Japlin Akim, bukankah itu termasuk dalam DUN IUSUKAN..? bagaimanakah tindakan Datuk Japlin 'mencampuri' dan menyelesaikan permasalahan rakyat yang mengundi beliau ?

Datuk Musbah Hj.Jamli yang dilihat selalu turun padang juga sewajarnya mengusahakan jalan penyelesaian dengan tidak membiarkan isu ini 'menikam ' UMNO dari belakang..?

Adalah agak menghairankan kita, bahawa orang luar sekalipun turut memperkatakan, perihal pemimpin politik Di Kota Belud, yang dilihat tidak bersepakat dan tidak mempedulikan nasib rakyat kg Labuan dan Wakap. Permusuhan politik dan juga pertelingkahan kecil yang berlaku antara pemimpin di Kota Belud, telah menjadikan 'rakyat'; menjadi sasaran penderitaan.

Apakah mereka kesemua ini sudah tidak mampu menyelesaikan isu pampasan ini, sehingga PERKASA SABAH mula menaruh 'minat' untuk mencari tingkah dan langkah penyelesaian..?
Sekali lagi mohon agar adanya 'campurtangan' dari YB supaya isu ini tidak terus dipolitikkan.