Wednesday, January 20, 2010

Apakah benar, tahun 'harimau' adalah tuah kepada DSSK ?

"Saya akan cuba memenuhi harapan dan ekspetasi rakyat yang pastinya meletakkan harapan tinggi terhadap gandingan kepemimpinan kami berdua."-Apakah makna tersirat dari kata-kata DSSK ini ?



Menyingkap kepada apa yang disifatkan sebagai 'rahsia politik' memungkinkan kebenaran kepada apa yang dikatakan oleh kebanyakkan ahli politik bahawa "dunia politik adalah mungkin" semakin jelas kewajarannya. Kerana 'hukum' politik itu termaktub kepada 'tindakan' yang dibuat. Begitu rasanya gambaran kepada 'tindakan' Ketua Menteri, Datuk Musa Aman, melantik Datuk salleh Tun said sebagai penasihat Sains kepada Ketua Menteri dan jawatan itu bertaraf "menteri".

Bagaimanakah seorang yang bukan 'wakil rakyat' dan tidak berpeluang menyuarakan kehendak dan aspirasi penyokong akar umbi boleh dilantik ke jawatan itu..? Inilah antara 'tindakan mungkin' ahli politik yang membenarkan kerahsiaan mereka. Bukankah masih ramai, 'wakil rakyat' yang belum mempunyai Jawatan dalam kerajaan..? dari segi 'kerakyataannya' bukankah 'manis; jika melantik 'wakil rakyat' sebagai penasihat?, walaupun juga pada asasnya perkara itu bukan semestinya, namun perlantikan seorang ahli politik yang digugurkan mengundang pelbagai spekulasi dan khabar angin dalam dunia politik di Sabah.

Bagi penyokong DSSK, perlantikan itu membawa khabar yang gembira, kononnya, ramalan bahawa DSSK akan menduduki kerusi "ketua Menteri' semakin menjadi kenyataan. Apakah sebenarnya yang tersirat dari perlantikan dan penerimaan semula DSSK ke dalam kerajaan dan parti...? walaupun ada yang mengaitkan dengan keutuhan USBO yang DSSK menjadi presidennya, namun ramai penganalisis melihat itu bukan faktor utamanya.

Selain daripada mendapat 'arahan' dari Pusat, Datuk Musa Aman, dilihat sebagai menundukkan pengaruh Datuk Shafie Afdal yang kebanyakkan pemerhati politik tempatan meramalkan bahawa Datuk Shafie bakal menjadi ketua menteri. Dengan perlantikan DSSK ke kabinet negeri, maka ia akan memperlahankan proses 'rampasan kuasa politik' itu. Kerana Musa Aman tahu bahawa selain DSSK dan datuk Shafie, masih ramai lagi yang bercita-cita ingin menduduki kerusi empuk itu. Maka Datuk Musa Aman, nampak keseorangan, apatah lagi apabila datuk Shafie dilihat 'cenderung' kepada USBO, walaupun hanya sebagai 'penasihat' sahaja. Maka dengan 'meletakkan ' DSSK sebagai 'musuh yang dimaafkan", justeru ia menjadi 'ancaman' baru bagi Datuk shafie Afdal.

Pertimbangan Musa Aman ini, bukan sahaja melayakkan beliau 'menduduki' semula kerusi Ketua Menteri, tetapi juga dilihat sebagai satu kejayaan besar yang harus diakui oleh Kuala Lumpur, bahawa Musa Aman telah berjaya menundukkan 'harimau jadian' yang menjadi 'petualang' kepada penyatuan UMNO Sabah.

Apabila DSSK telah berjaya menyakinkan PM, bahawa beliau dengan 'kesetiaan' yang utuh kepada UMNO Sabah, dimana walaupun digugurkan , walaupun di tawarkan oleh DSAI dengan pelbagai tawaran lumayan, ketika PRU-12, dengan mengambil kira bahawa DSAI adalah "mentor' politik DSSK sebelum di pecat dari UMNO dan Kerajaan, namun semua insiden itu tidak membuatkan DSSK berpaling tadah, sebaliknya mempergunakan USBO sebagai lampu isyarat kepada Kuala Lumpur, bahawa beliau sebenarnya adalah pemimpin rumpun majoriti di Sabah. Maka itu DSSK dilantik sebagai Tim. pengerusi perhubungan UMNO negeri. Mana mungkin juga seorang yang 'digugurkan' oleh parti, kemudiannya diperlukan 'khidmat' dan 'bakti' nya untuk UMNO sabah.. namun kerana Politik itu mungkin, maka ia menjadi satu tindakan yang 'popular'.

setelah "gagal' menjadikan USBO sebagai 'gertakkan' kepada Musa Aman, DSSK telah mengubah strategi kepada 'mengeratkan hubungan' yang sudah keruh dan berkocak itu, dengan berbekalkan Jawatan sebagai timb. Per. Umno negeri, akhirnya DSSK sebegitu licik mendekati Musa Aman dengan menjadikan USBO semakin terpinggir. TSP dan datuk Amir Kahar, terus tertinggal kebelakang dengan kemahiran DSSK membaca naluri politik Musa Aman.

Jika bersandarkan kepada perkembangan terkini, maka adalah tidak mustahil DSSK akan dicalonkan semula dalam PRU-13 akan datang. walaupun samar kedudukannya sama ada wakil rakyat bertaraf DUN atau MP, namun itu semua bergantung kepada kecekapan DSSK menyakinkan MUsa Aman, bahawa mereka boleh menjadi 'rakan kongsi politik " di sabah. Jika berjaya, maka DSSK akan diturunkan sebagai ADUN, namun jika tidak maka 'terdekat' ialah sebagai MP.

walaupun sedemikian, kesemua faktor dan situasi itu, akan 'musnah dan binasa' dengan kuasa veto politik yang ada di Kuala Lumpur. Kerana kata pemutus adalah di sana. Bukankah juga perlantikan DSSK sebagai penasihat Sains kepada Ketua Menteri ini adalah 'arahan' dari suara ghaib di Kuala Lumpur.?

Berdasarkan kepada maklumat yang disampaikan oleh Sdr Musli dalam Blog Kelapa Mawar, dan kemudian maklumat susulan daripada beberapa orang yang telah melawat Tan Sri Pandikar Amin di SMC, maka KELAPA MAWAR memohon jasa baik kepada semua blogger Kota Belud supaya dapat memaparkan bahawa TSP sedang sakit dan kemungkinan akan dipindahkan ke IJN.


OLEH YANG DEMIKIAN KELAPA MAWAR MEMOHON SELURUH MASYARAKAT KOTA BELUD TANPA MENGIRA FAHAMAN POLITIK DAN JUGA SUKU BANGSA DAN KETURUNAN AGAR DAPAT MENGADAKAN SOLAT HAJAT DAN BACAAN YASSIN SAMA ADA SECARA BERJEMAAH ATAU BERSENDIRIAN UNTUK MEMOHON KEPADA ALLAH SWT AGAR SPEAKER DEWAN RAKYAT ITU DIKURNIAKAN KESEMBUHAN DAN DAPAT MENJALANI KEHIDUPAN SEPERTI BIASA.

DAN MOHON AGAR BERITA INI DAPAT DISAMPAIKAN KEPADA SELURUH MASYARAKAT KOTA BELUD.

Tuesday, January 19, 2010

Ahli Jawatankuasa bencana Alam Kota Belud dikatakan lambat memberikan bantuan kepada mangsa banjir.




Banjir di Kota Belud, benar-benar menginsafkan penduduk dalam soal memilih pemimpin.

Setelah hampir 48 jam perkampungan di sekitar Kota Belud di landa banjir sehingga menyaksikan beberapa insiden menyayat hati telah berlaku..antaranya ialah apabila ramai Imbang Penuhkeluarga terpaksa merendah hujan dan banjir untuk menyelamatkan diri dengan sedikit barang keperluan...maka sehingga itu, bantuan dari pihak berwajib tidak kunjung tiba. Peristiwa yang berlaku di kg. Tawadakan dan sekitar "jiran" kampung itu, membuatkan kita terfikir, apakah Jawatankuasa Bencana Alam Kota Belud yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah lambat untuk mengambil tindakan sewajarnya..?

Agak menghairankan kerana sepatutnya Badan Bertindak Bencana Alam di Kota Belud, seharusnya sentiasa berwaspada apatah lagi "signal" awal iaitu hujan turun tidak henti-henti selama lebih 48 Jam, wajar dijadikan panduan untuk menggerakkan 'jentera' mengawasi, mengamati serta memantau keseluruhan perkampungan yang terlibat. Amaran seharusnya diberikan melalui ketua-ketua kampung atau JKKK untuk menghindarkan perkara yang tidak diingini berlaku. Walaupun tidak ada kehilangan nyawa dilaporkan, namun kerosakkan harta benda dan tanam-tanaman serta kematian binatang ternakan mencecah Ratusan Ribu Ringgit.

Apakah Jawatankuasa kuasa bencana Alam Kota belud, tidak mempunyai data serta rekod kampung-kampung yang berisiko di landa banjir..? Sepatutnya, bukan sahaja nama ketua kampung wajar diketahui tetapi juga termasuk nombor Handphone mereka supaya maklumat bencana banjir ini dapat diminimumkan kesannya kepada masyarakat di kampung terbabit.




Birapun begitu, rakyat seharusnya begitu berterima kasih atas Daya usaha Wakil Rakyat Tempasuk, Datuk Musbah Hj. Jamli yang begitu mengambil berat serta sanggup turun padang melawat mangsa-mangsa banjir dan apa yang membanggakan kita ialah beliau telah menunjukkan sikap 'kerakyatan' dengan memberikan bantuan berupa barang keperluan seperti selimut dan bahan makanan. Malahan beliau adalah satu-satunya YB yang paling sibuk memantau perjalanan bencana banjir itu..Seharusnya sekalung tahniah buat YB berjiwa rakyat ini atas keperhatinan beliau dalam keadaan yang sungguh terdesak itu.




Begitu juga dengan ahli parlimen KB, Datuk Rahman Dahlan juga turut turun padang meninjau kedaan banjir serta mengedarkan barang-barang keperluan kepada penduduk yang terlibat. sekalung tahniah untuk beliau juga.

Namun yang mendukacitakan kita ialah di mana Ketua Umno Bahagian Kota Belud, yang juga mantan Ketua Menteri, mantan timbalan ketua menteri, mantan manteri kewangan, serta sekarang adalah penasihat Sains kepada Ketua Menteri..? Di Mana Datuk salleh Tun Said, ketika banjir melanda KB? Ketika rakyat memerlukan pembelaan dan bantuan? Di Mana Datuk Salleh ini?.. Barangkali beliau sibuk meraikan kegembiraannya dilantik ke jawatan bertaraf menteri itu?

Apakah peranan sebagai Presiden "USBO" di war-warkan oleh beliau ini sebagai menjaga kepentingan rumpun bangsanya.. Bukankah masyarakat yang dilanda bencana ini adalah orang-orang Iranun dan Bajau yang tergolong dari rumpun USBO..? Mana agenda USBO membela rumpunnya..?

Wakil Rakyat Usukan juga dikhabarkan juga tidak kelihatan ketika musim banjir ini,,? Apakah keputusan rakyat Usukan memilih Datuk Japlin Akim sebagai wakil mereka adalah merupakan satu kesilapan yang sangat besar?

Apa yang diharapkan agar, selepas tragedi banjir ini, arus deras yang membawa segala bahan buangan yang sarat dengan segala-galanya akan menghanyutkan juga pemikiran rakyat Kota belud, supaya lebih bijak serta berani membuat perubahan dalam memilih pemimpin yang berjiwa rakyat..? Sedarlah wahai masyarakat Ku..!!!!


Friday, January 15, 2010


Apakah keakraban dengan masyarakat akar umbi seperti ini ,memerlukan modal yang besar bagi seorang pemimpin politik di Kota Belud..?

Mencari sebab utama kepada perlunya pengekalan seorang pemimpin muda, bukan perkara mudah,bahkan bisa dilamper dengan tohmahan kononnya idea itu datangnya daripada seorang blogger yang 'beragenda' dan 'berkepentingan'. Namun harus dipastikan tanggapan 'nakal' itu, kerana kalau Sdr Gawis begitu mengenali Datuk Rahman Dahlan, ahli Parlimen Kota Belud, sehingga sempat mengikuti rombongan lawatan ahli Parlimen itu ke kampung-kampung berdekatan..seperti yang dilaporkan dalam blog beliau, namun Bagi KELAPA MAWAR.. langsung tidak pernah bersemuka dengan Datuk Rahman atau nama singkatnya sebagai DARD ini. Dan DARD juga tidak mengenali personaliti KELAPA MAWAR yang sebenarnya.

Namun demi kemashalatan dan hidup kerukunan masyarakat di KB, KELAPA MAWAR sentiasa mengikuti wawasan dan perancangan ahli parlimen kota belud yang berasal dari Tuaran ini. Tujuannya ialah melihat dan memantau sejauh mana, "orang luar" berperanan penting dalam memajukan tempat orang dengan sesungguhnya.

Penulisan ini tidak ada apa-apa niat disebaliknya. Jauh sekali untuk survive politik pemimpin tertentu. tetapi atas dasar 'keterbukaan minda' kita menilai apa yang sepatutnya dari dulu kita sedari. Juga bukanlah bertujuan untuk menidakkan peranan pemimpin yang lain. Namun buat masa ini, DARD akan kita perkatakan..KENAPA PERLUNYA BELIAU TERUS DI KOTA BELUD..? Jika penulisan ini menimbulkan rasa tanda tanya dan kepingin menyatakan kebenaran...pandangan anda amat diperlukan.

Permulaan penulisan ini harus bermula apabila tahun 2008 selepas Pru-12, cakap-cakap kedai kopi membisikkan, anak Datuk haji Dahlan menang dengan majoriti selesa sebagai ahli parlimen Kota Belud, menolak tanggapan bahawa akan berlaku kemenangan tipis ekoran pengguguran DSSK. Walaupun banyak faktor atas kemenangan ini, namun itu bukan persoalannya kerana DARD telah mula menunjukkan bahawa beliau masih diperlukan di daerah Kota Belud.

Kepetahan beliau mengupas persoalan dan mengajukan beberapa soalan di dewan rakyat, sedikit sebanyak menimbulkan rasa bangga di kalangan masyarakat Kota Belud, apatah lagi terpampang pada skrin TV "AHLI PERLIMEN KOTA BELUD". Pelbagai isu dan keadaan diperhalusi oleh tokoh berusia lingkungan 40-an ini.

Mungkin dengan pengalaman sebagai mantan S/U pemuda BN dan juga SUPOL ( S/u politik) kepada KM Sabah, memberikan kelebihan kepada DARD dalam usaha melobi peruntukan untuk membangunkan daerah Kota Belud. Dan 'keakraban' beliau dengan Khairy jamaludin, ketua pemuda UMNO Malaysia, setidak-tidaknya juga mampu 'menambahkan' peruntukan untuk tujuan pembangunan. Namun yang agak memeranjatkan kita ialah apabila DARD sendiri ditolak oleh perwakilan di daerah Tuaran, sehingga gagal menduduki kerusi Timbalan ketua Bahagian UMNO Tuaran. Dalam blognya, DARD menyifatkan bahawa kekalahannya itu adalah atas faktor terhakisnya "policital Gentelmen" dalam diri sesetengah pemimpin UMNO Bahagian Tuaran. Persepsi ini perlu dikongsi kerana sama ada benar atau tidak, nyata penolakkan itu satu rahmat bagi daerah Kota Belud, kerana DARD dapat menumpukan perhatian tanpa berbelah bahagi untuk daerah pejuang ini.

Aliran kepimpinan yang terbuka, berdedikasi, serta usaha menerapkan ketelusan, mungkin pada awalnya boleh diberikan 3 bintang buat DARD. Sikap turun padang, melawat kawasan parlimen sama ada terancang atau tidak, mengutamakan kepentingan keperluan asas seperti bekalan air bersih, dan kesesakan di pekan Kota Belud, biarpun kecil kedengarannya tetapi besar fadilat kepada masyarakat Kota Belud, apatah lagi setelah sekian lama kesemuanya itu indah khabar dari rupa.

dan terbaru apabila cetusan idea jangka panjang DARD ialah merealisasikan kewujudan industri petroleum, gas dan pembangunan sektor pelancongan. tentunya idea murni ini memerlukan tempoh masa yang panjang..sedangkan PRU-13 semakin menghampiri. Apakah yang akan terjadi jika DARD tidak lagi dicalonkan di Kota Belud?..Apakah gagasan dan perancangan ini akan tergendala..? Atau apakah kesungguhan pemimpin pengganti beliau akan terus terbantut..?
Kerana itu , tidak ada salahnya jika kita secara tulus mengakui bahawa pemimpin muda ini, betapa perlunya beliau berada di kota Belud.

Wednesday, January 13, 2010


Isu kenaikan dan subsidi minyak dan kekurangan gula di pasaran adalah antara masalah berantai yang sentiasa membayangi dalam 2 tahun tempoh tertegaknya kerajaan BN di bawah 'simple majoriti'. Rakyat masih tertunggu-tunggu langkah dan mekanisme berkesan untuk menyelesaikan permasalahan ini. Namun segala usaha dan daya Kerajaan BN ,nampak semacam tidak mendatangkan hasil. Malahan rakyat makin terbeban. Kesungguhan kerajaan BN mencari penyelesaian tidak juga dapat meredakan kebimbangan rakyat. Dari Sabah hingga ke Perlis, rakyat masih menghadapi tekanan dari peniaga yang mengaut keuntungan atas dasar pasaran bebas kononnya.

Di Sabah isu kekurangan bekalan gula bukan lagi cerita basi tetapi sudah lama berlaku di sepanjang tahun 2008 dan sebelumnya. Pasaran gula yang dimonopoli oleh pengusaha tertentu, menyaksikan bekalan gula disorok daripada pasaran. Akibatnya gula sukar didapati dan ini menyebabkan harga gula meningkat dengan mendadak. Langkah kerajaan BN menaikkan harga gula sebanyak 20 sen daripada harga pasaran sebelum ini, tidak banyak menyelesaikan Imbang Penuhpermasalahan rakyat. Pasaraya di bandar-bandar di Sabah seperti di kota Kinabalu, Tawau, dan sandakan dilaporkan sebagai menghadapi masalah kekurangan bekalan gula. Malahan di Kota Belud sendiri, pada awalnya gula dijual dengan terhad. satu keluarga hanya dibenarkan membeli untuk 1 kilo sahaja. Namun lama-kelamaan bekalan gula kehabisan, sehingga sukar untuk memperolehinya.

Kegagalan kerajaan mengadakan satu mekanisme berkesan sejak 2 tahun ini, membuatkan rakyat terutama di luar bandar begitu menghadapi masalah dalam kehidupan mereka seharian. Jika masalah gula pun gagal diberikan perhatian, apakah jaminan untuk mengotakan slogan "RAKYAT DIDAHULUKAN". dapat direalisasikan dengan baik dan berkesan. Pengurangan subsidi ke atas gula sebanyak 20 sen menyaksikan kenaikan bahan keperluan itu pada kadar yang sama iaitu kenaikan 20 sen.Mengikut kenyataan dari pihak kerajaan, dengan pengurangan subsidi itu kerajaan telah mengurangkan beban tangungan defisit yang dijangka meningkat sehingga RM1.26 bilion. Setelah mengurangkan kadar subsidi itu, kerajaan masih menangung sebanyak RM 1.0 bilion. Selain daripada kerajaan sibuk menyemak angka kepada pengurangan perbelanjaan itu apakah tidak wajar jika di semak 'bebanan ' rakyat berpendapatan rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman terutama di Sabah..?

Isu minyak yang selalu dikaitkan dengan konsep "subsidi" juga sering mengalami kekalutan. Ada pihak di sebelah kerajaan yang menyatakan bahawa rakyat di negara harus akur bahawa sudah sampai masanya kerajaan mengurangkan dan hatta menghapuskan 'subsidi' minyak kepada rakyat yang dikatakan diperolehi oleh golongan kaya dan berpendapatan tinggi. Kononya dengan penghapuskan subsidi itu kerajaan boleh membuat penjimatan berbilion ringgit. Namun apa yang menjadi kemusykilan rakyat ialah subsidi minyak mahu dihapuskan tetapi subsidi lain termasuk subsidi padi, dan barangan lain terus diberikan. Bukankah kenaikan harga minyak ini juga berkait dengan kenaikan harga barangan keperluan dalam pasaran.

Terbaru ialah langkah kerajaan memperkenalkan harga petrol dalam dua keadaan yang berbeza. bagi pengguna kenderaan yang berkapasiti rendah, mereka berpeluang menggunakan minyak pada harga yang rendah berbanding dengan pengguna atau rakyat yang menggunakan kenderaan berenjin lebih 2.0. Langkah ini juga menyaksikan penggunaan mykad sebagai medium utama dalam pembelian minyak . Khabarnya langkah kerajaan ini akan berkuat kuasa pada mei tahun ini.

Jika dua keadaan ini ditinjau dari kaca mata rakyat Kota Belud, maka ia satu fenomena yang sungguh menyedihkan. Masyarakat Kota Belud yang rata-ratanya adalah berpendapatan rendah dan berkerja dalam sektor pertanian dan perikanan, tentunya menghadapi kerumitan mendapatkan dua bahan penting itu. Bayangkanlah jika gula yang menyaksikan harga sekitar RM 2.00 ke atas itupun bergantung kepada kejujuran peniaga bagaimanakah agaknya bahan keperluan itu diperolehi dengan pendapatan antara RM 500-Rm 800 sebulan. Kerana itu biarpun kerajaan mampu berjimat sehingga RM 260 juta, namun adakah penjimatan itu 'dikembalikan' semula kepada rakyat di Luar bandar dan Pedalaman. Sedangkan tahap kemudahan kesihatan yang sepatutnya rendah di kawasan luar bandar, nyata tidak menarik perhatian kerajaan. KLINIK 1 MALAYSIA yang dilancarkan baru-baru ini oleh PM..di kawasan mana ia beroperasi? Kawasan perkampungan di Dudar, Sarang dan sehingga di Ulu Kukut..bagaimana perkhidmatan kesihatannya, dan apakah impak kenaikan harga gula ini turut di rasai di kawasan tersebut?

Walaupun Kota Belud seperti yang dilaporkan mempunyai kelebihan dari segi penemuan gas dan petroleum, namun ia tidak menjamin bahawa daerah ini diberatkan dengan pembangunan yang melimpah. Stesen minyak yang terdapat di daerah ini, dalam 4 buah, termasuk Shell dan Esso, selebihnya adalah milik Petronas. Namun yang menjadi isunya ialah, apakah kadar penstrukturan petrol ini akan menyebabkan kesesakan di daerah ini akan bertambah teruk..? Bayangkanlah jika dua pam yang akan diwujudkan dengan harga yang berlainan. Apakah kenderaan mewah berkuasa lebih 2.00 CC itu membanjiri pekan koboi ini..? Hanya yang rata-ratanya ialah kenderaan Pic up yang dijadikan pengangkutan awam. Bagimanakah dengan penggunaan Mykad yang terdedah kepada kerosakan cip..? Selain adalah tidak adil mengukur kekayaan dan pendapatan seseorang berdasarkan kapasiti enjin kenderaannya. Ada kenderaan yang berenjin tinggi tetapi bukannya dalam kategori 'mahal' dan 'mewah'.

Terdapat runggutan dari rakyat supaya isu kekurangan gula dalam pasaran dan penstrukturan semula subsidi petrol dibuat dengan mengambilkira keadaan masyarakat luar bandar dan pedalaman. Supaya hajat kerajaan menjadi "juara rakyat"akan terlaksana. Saat itulah barangkali idea "Rakyat di dahulukan" akan menjadi kenyataan.

Monday, January 11, 2010


Apabila soal-soal Tauhid ketuhanan diheret dalam kekotoran politik , maka kacau bilau akan meletus. Kerana itu apabila isu penggunaan kalimah Allah diputuskan oleh mahkamah dunia dengan seluruhnya bersandarkan kepada hukum selain hukum Allah, maka ia akan menimbulkan susana anarki yang berlarutan. Pergolakan penggunaan kalimah Allah ini membuatkan golongan opportunist bersenang hati, lalu berlakulah pembakaran beberapa gereja tempat ibadah penganut kristian. Bukankah ini akan menimbulkan suasana panik kepada masyarakat. Sehinggakan kerajaan bertindak memberikan taklimat kepada perwakilan negara-negara asing sebagai usaha 'menjernihkan' suasana cemas itu. Politik di tanah besar sejak kebelakangan ini. benar-benar membuatkan kita resah dan gelisah yang amat dalam.

Di Sabah isu 'agama' juga sering ditimbulkan terutama dalam menjamin ketuanan politik golongan tertentu. Misalnya tindakan Tun Mustapha mengadakan pengislaman secara beramai-ramai melalui pertubuhan USIA, Sedikit sebanyak menggambarkan bahawa 'agama' dilihat menjamin kedudukan politik pemimpin tertentu di Sabah. Malahan , apabila PBS dapat menumbangkan BERJAYA dan dapat mendirikan kerajaan, maka isu yang bertiup juga adalah sentiment agama, sehingga khabar angin menyatakan bahawa parti PBS adalah parti kristian.

walaupun sabah mempunyai lebih 30 etnik dan suku serta pelbagai anutan budaya dan agama, ternyata penggunaan kalimah "Allah" ini tidak sangat menjadi pendorong kepada ketegangan agama di negeri di bawah bayu ini. Malahan sentimen suku di sabah, lebih besar impaknya dalam dunia politik kerana mungkin faktor kepelbagaian suku ini. Keadaan hidup aman dan damai serta saling bertolak ansur telah mewujudkan keharmonian hidup antara para penganut Islam dan Kristian di Sabah.

Bukan sekadar cerita ,bahawa ramai dikalangan bukan Islam di sabah menggunakan beberapa perkataan seperti Subahanallah, Alhamdulillah, Astagfirullah dan macam-macam lagi..perkataan-perkatan itu tidak menjadi ekslusif kepada orang Islam di Sabah, bahkan dalam kehidupan seharian, penganut lain menuturkannya. Namun begitu, ia tidak menjadi isu besar sehingga membawa kepada pembabitan keputusan undangp-undang. Barangkali situasi ini sudah menepati pepatah melayu" Alah bisa tegal biasa".

Situasi politik di Kota Belud, juga mencetuskan pengkajian yang memberangsangkan, terutama apabila dunia politik di daerah ini sering kali dikaitkan dengan suku dan agama. Tanpa kita sedari, DUN Kadamaian 'diserahkan' kepada puak KDM yang majoritinya adalah bukan Islam, mungkin kerana secara tradisinya kawasan itu di bawah pengaruh PBS. Begitu juga di Tempasuk isu agama dan suku memainkan peranan yang penting dalam pengekalan kerusi kepada UMNO. Jika suku dusun yang rata-ratanya adalah penganut Krisitian memainkan isu penggunaan kalimah "Allah" ini, nyata mungkin sokongan akan berubah arah. Justeru adalah tidak patut isu penggunaan kalimah "Allah" ini terus dipolitikkan di semenanjung kerana jika ia masih berlaku..maka akan terjaminkah Sabah sebagai "simpanan tetap" buat BN?


Sunday, January 10, 2010

Bukankah sikap dan pendekatan DSSK, selaku Ketua Bahagian akan menjauhkan UMNO KB daripada menjadi "Juara rakyat"?

Tanda-tanda Kubra bagi satu perjuangan bangsa dan agama ialah apabila mendapat sahutan daripada golongan elit terpelajar yang berdarah muda dan memiliki kekuatan minda dan fizikal yang boleh digunakan untuk sesuatu tujuan perjuangan. Hanyasanya bila perjuangan itu tidak mendapat kesinambungan, justeru ia tidak akan bertahan lama kerana selepas pendukungnya, idealisme perjuangan itu akan bersepah dan bertaburan akibat kehilangan ‘sahutan’ golongan muda. Menyedari inilah rasanya, gerakan mempopularkan kembali UMNO di mata rakyat segera dilakukan. Malahan PM menggesa supaya satu program bulanan diadakan sekurang-kurangnya untuk mengangkat UMNO menjadi “Juara rakyat”.

Mungkin penulisan ini menyingkap kerelevenan “juara rakyat” ini dari sudut kedaerahan, kerana kalau kita berbicara tentang hayatnya UMNO di Sabah..kewarasan kita tidak mampu menolak bahawa daerah Kota Belud adalah tempat UMNO Sabah dilahirkan. Di Usukanlah yang kini wakil rakyatnya berdilema dengan skandal dan kes rasuah menyaksikan UMNO di Sabah diazankan ditelinga kanannya, tanda satu kelahiran wadah perjuangan bangsa dan agama akan bermula. Namun setelah dekat-dekat 20 tahun UMNO di Sabah dan ‘membesar menjadi remaja” di Usukan..UMNO tidak perlu dikiaskan dengan “Menggondol Kejuaraan rakyat” kerana rakyat di Kota Belud boleh dengan megah dan sinis melontarkan pertanyaan ini..’SETEMPOH ITU, APAKAH UMNO DI KOTA BELUD TELAH BENAR MEMPERJUANGKAN NASIB DAN ASPIRASI MASYARAKAT DI DAERAH INI..?

Walaupun ada pemikiran bahawa, tidak usah kita bertanya apakah sumbangan UMNO kepada kita, tetapi kita harus menginsafi bahawa apakah sumbangan kita kepada parti itu..? Namun idea juga ini terus tertolak dengan persoalan bahawa, Apakah tujuan UMNO dilahirkan..? Apakah hanya menerima sumbangan ‘kesetiaan’ daripada bangsa yang mendukungnya..? Atau apakah timbal balas harus berlaku..ertinya kedua-dua ada peranan dan sumbangan yang sepatutnya dilunaskan..?

Apa yang amat mendukacitakan golongan elit dan terpelajar di daerah ini ialah apabila usaha membetulkan keadaan dengan membuat beberapa teguran kepada pemimpin yang mendukung Falsafah perjuangan UMNO di KB..maka ia menjadi satu “ancaman”kpada pemimpin ini. Malahan ada kecenderungan mengatakan bahawa ia ‘beregenda’ dan tidak dilihat sebagai memaparkan kesilapan yang wajar diperbetulkan. Kenyataan DSSK selaku Ketua Umno Kota Belud yang melabelkan para Blogger di daerah ini sebagai “monyet” amat memilukan. Bahkan selama ini ketidaksediaan DSSK menerima kritikan jelas terpampang dalam blognya yang langsung tidak membenarkan ulasan pengunjung di buat. Jika inilah tabiat ketua bahagian UMNO KB..maka akan benarkah bahawa UMNO menjadi JUARA RAKYAT di Kota Belud?

Apakah DSSK sendiri buta kepada sejarah bahawa, antara pencetus kepada gerakan nasionalisme di Negara ini diawal pra merdeka adalah kerana gerakan kesusteraan dan kewartawanan yang mendukung beberapa persatuan seperti KESATUAN MELAYU MUDA (KMM ) yang menjadi pilihan Dato Onn Jaafar, selain daripada persatuan-persatuan lain seperti Pergerakan Melayu Semenanjung Johor,Perikatan Melayu Perak, Dan Zaaba sendiri memimpin Persatuan Melayu Selangor. Bukankah pena dan penulisan mampu memberi kesan kepada kesinambungan talian hayat politiknya. Apabila media arus perdana dikaitkan dengan campurtangan parti pemerintah, maka ramai golongan elit memilih medan Blog sebagai wadah menyampaikan informasi dan membangkitkan kesedaran atas apa yang berlaku. Kenapa paparan ramai Blogger di Kota Belud tidak pernah mendapat tindakbalas dari DSSK…?

Kerana itu apabila UMNO Bahagian KB menjadi liability kepada rakyat terutama golongan muda dan berpendidikan ini, DSSK langsung tidak ada usaha untuk mendekati mereka. DSSK langsung tidak mengendahkan pemikiran dan idea teguran yang dibuat..? Kerana DSSK merasakan bahawa Dengan Wang dan kuasa sedikit yang ada pada beliau, maka Dia tetap menjadi “juara rakyat” sedangkan lapis susun masyarakat menyaksikan perubahan saban tahun, lama akan tidak golongan muda akan menjadi TERAS dalam masyarakat Kota Belud.. Di manakah DSSK pada waktu ini..?

Sebagai sahutan kepada apa yang diilhamkan oleh PM, bahawa UMNO perlu menjadi Juara rakyat, maka sayugia diingatkan bahawa peningkatan sokongan kepada pembangkang di daerah ini harus menjadi kayu ukur dan penanda aras kepada “kejuaraan “ itu. UMNO di Kota Belud, harus berkerja keras meningkatkan KPI di mata masyarakat supaya ia benar-benar memenangi perlawanan PRU 13 akan datang. Selebihnya UMNO harus dipertanggungjawabkan bahawa keresahan, kemerlaratan, kedayusan, kejanggalan Rakyat sebenarnya kerana pemimpin UMNO di KB yang tidak suka ditegur, dimaklumkan kesalahan, dan yang paling parah ialah rasa selalu benar menguasai medan fikir mereka.

Kalau DARD yang diistilahkan oleh pemimpin UMNO KB sebagai ‘orang luar’ boleh memanjangkan aspirasi rakyat dengan pendekatan dan gagasan yang menyakinkan…kenapa setelah sekian lama,anak jati dan pemimpin UMNO KB…benar-benar melupakan itu semua..? Apakah itu tanda Sughra bahawa UMNO bukan “juara rakyat” lagi pada PRU akan datang..?

Tuesday, January 5, 2010



Dalam dunia perniagaan menjenamakan semula produk dan perkhidmatan adalah antara strategi pemasaran sesuatu syarikat untuk meningkatkan permerolehan keuntungan. Walaupun penjenamaan itu memerlukan kos pengendalian yang melambung tinggi dan tempoh masa yang agak panjang, namun langkah sedemikian dilihat mampu mengembalikan keyakinan dan kepercayaan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan itu. Mungkin atau tidak idea ini dicedok keberhasilannya dalam dunia korporat,maka ia di implimentasikan dalam dunia politik. PENJENAMAAN SEMULA .!.

Sesungguhnya idea penjenamaan semula BN adalah satu idea murni yang tidak wajar dikesampingkan keberhasilannya. Justeru itu apabila DSSK mencetuskan idea penjenamaan semula logo BN, ia satu idea kehadapan yang wajar diperdebatkan kerana selain kos dan tempoh masa penjenamaan yang panjang dan semakin mendekati PRU-13, ia juga menuntut kesediaan ahli untuk beranjak dari satu jenama lama kepada satu jenama baru yang nyata lebih berdaya saing dan mempunyai tahap “kesiapsiagaan” politik yang utuh dan ampuh. Maka wajar lah jika idea itu dipertikaikan, dicemuh, diperlekeh, dicerna, dikupas, dipuji, dihayati selain ada yang langsung beranggapan bahawa idea itu tidak releven dengan situasi politik sekarang yang menyaksikan komponen parti-parti TERAS dalam BN bergolak dengan krisis nilai dan kepimpinan yang teruk dan parah.

Jika apa yang dicadangkan itu menjadi kenyataan , maka BN akan mempunyai wajah baru, idea kepimpinan yang baru, gagasan penyatuan yang baru, selain daripada logo dan warna tarikan yang juga mungkin baru.Namun adalah tidak salah jika penjenamaan BN itu dilihat dari dua persepsi berbeza. Selain aspek kebaikannya, penjenamaan itu juga wajar dibaca dari segai kesan negative kepada parti perikatan tertua di negera ini. Rasional dan cabarannya wajar diketengahkan bersama idea penjenamaan itu, kerana kerasionalan ini akan memungkinkan daya dan usaha seterusnya dirangka untuk memperkasakan penjenamaan itu tidak hanya sekadar logo tetapi mungkin juga kepada rentak dan tari menghadapi karenah pembangkang di dewan rakyat.

Walaupun seperti yang dikatakan dari awal tadi, bahawa idea penjenamaan BN adalah satu idea murni, namun apakah wajar idea itu dilaksanakan ketika komponen parti TERAS seperti MIC, MCA, GERAKAN,PPP dan malahan UMNO sendiri sedang nazak dengan krisis yang meruncing. Bagaimanakah parti-parti kanan dalam BN ini menunjukkan komitmen atas penjenamaan itu, kerana mereka sendiri dalam ruang kepartian itu, gagal “dijenamakan” dari awal sehingga membawa kepada beberapa pemimpin utama meninggalkan parti dan menyertai PKR.? Kalaupun penjenamaan ini berlaku atas rela dan paksa..tentunyanya natjiah tidak akan seperti yang dikehendaki.. Misalnya MCA hingga kini masih dirundung malapetaka kepimpinan yang amat meruncing dalam sejarahnya. MIC juga dibayangi oleh kerakusan pemimpin tertentu yang hendakkan kuasa yang lama. GERAKAN pula dikatakan semakin lembik setelah gagal mempertahankan Pulau Pinang dalam PRU 12 yang lalu, walaupun Presidennya dilantik dalam kerajaan atas ihsan PM. PPP pula masih berhadapan dengan pertarungan dua orang berpengaruh dalam parti itu. Dan UMNO masih teraba-raba mencari mantera keramat guna menarik minat orang muda Melayu kepada parti itu. Jika yang demikian, tentu tidak wajar idea penjenamaan itu berkuatkuasa dalam waktu yang terdekat ini. Selagi krisis kepimpinan parti-parti komponen ini tidak diselesaikan.

Di Sabah, walaupun dikatakan suasana politik Nampak begitu tenang,namun sebenarnya bergolak. Kalau isu penjenamaan ini dilaksanakan di Sabah. Maka parti-parti komponen seperti PBS, PBRS dan parti Cina seperti LDP, akan merasai tempiasnya. Seperti yang berlaku di semenanjung, apakah Parti-parti komponen di Sabah juga bersedia menghadapi perubahaan yang wujud hasil dari penjenamaan itu. Bagaimanakah perjuangan PBS yang selama ini dilihat sebagai mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah dapat diserasikan dengan kehendak kepada penjenamaan itu? Bagaimanakah keadaan PBRS yang begitu lemah dan ‘daif’ politiknya, boleh dibangunkan dengan idea ini..? Atau bagaimanakah meredakan kemarahan Chong Kah Kiat terhadap Umno Sabah ? Atau bagaimanakah lagaknya UMNO Sabah sendiri menerima perubahan ini?

Nyata idea penjenamaan BN di Sabah hanya retorik politik yang disandarkan kepada pengamatan peribadi pemimpin tertentu dan bukannya atas kepastian yang hakiki akan keberhasilannya.