Saturday, August 14, 2010


Mungkin ada baiknya saya memulakan penulisan ini dengan perkongsian betapa cabaran "terbesar" dalam proses penyatuan sesuatu bangsa itu ialah dalam diri sendiri. Sejauhmana kita berupaya 'melunaskan' hati nurani dan membersihkan hati dari segala remuk redam kesumat dan prasangka, maka sejauh itu jugalah 'harapan penyatuan semakin' jelas.

Bermula dengan hanya cakap-cakap kosong di sebuah Restoran, kemudian disusuli dengan cadangan betapa Iranun perlu keluar dari kepompong minoritinya, dan perlunya satu wadah baru diwujudkan, merangkumi segenap aspek, maka satu pertemuan awal bertarikh 7.08.2010 telah dirancang dan direalisasikan. Pertemuan kedua petang tadi 14.08.2010, di tempat asal sebagai permurnian tuntutan idea penyatuan suku Iranun itu telah berjalan dengan baik dan lancar. Kehadiran masih seperti pertemuan awal sekitar 22 orang tetapi ada sudah muka-muka baru yang sebelum ini tidak berkesmpatan untuk menyelami intipati pertemuan pertama. Syukur alhamdulilah saya begitu berkeyakinan bahawa satu "harapan Baru" bagi suku Iranun akan semakin jelas setelah apa yang kita lalui selama ini, betapa menjadi pengajaran dan seperti kata sdr Alimudin ia wajar dilupakan.


Pertemuan petang tadi telah sebulat suara membentuk satu Jawatankuasa penaja yang berperanan untuk merangka satu wadah baru yang pada pertemuan ini belum lagi diputuskan, namun lebih kepada PERSATUAN.

Maka Pengerusi Penaja dimandatkan kepada SDR ALMUDIN KAIDA, Timbalan Pengerusi: SDR ROSLAN HJ MANSHOR, Naib Pengerusi : SDR ROSLAN AKIK, Setiausaha : SDR ADLAN LONOH, Bendahari : Tuan Haji Mayur, serta beberapa AJK lain termasuk Sdr Razak Rakunman, sdr Musram Rakunman, sdr Andaman, sdr Asli Bukaria dan beberapa nama lagi.

Lalu satu lagi pertemuan yang dijangka pada 28.hb ini akan diadakan di Kota Kinabalu oleh kesemua AJK Penaja ini termasuk memutuskan NAMA , Urusan Pendaftaran serta Perlembagaan Persatuan yang dibentuk.

Maka jika realiti yang diambil kira..Suku Iranun sekali lagi akan mempunyai satu wadah perjuangan yang merentasi fahaman politik dan darjat kepolitikan. Walaupun pada asasnya, AJK Penaja ini terdiri daripada "orang politik" namun atas dasar penyatuan "baju politik" mereka telah dilucutkan. Peranan dan idea mereka bukanlah atas landasan parti yang dianuti tetapi berdiri pada satu nama iaitu IRANUN. Kerana itu saya berpendirian bahawa mereka harus diberikan peluang secukupnya supaya AJK serta Wadah baru ini mendapat sokongan dan dokongan dari semua masyarakat Iranun. Ingat dan ingatlah bahawa 'BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI PASTI KITA AKAN ROBOH"

Thursday, August 12, 2010




Pergolakan politik dalam daerah Kota Belud sejak kebelakangan ini, membawa satu gambaran akan berlaku perubahan besar-besaran pada PRU 13 akan datang. Perubahan corak sokongan pengundi terutama golongan muda yang diistilah sebagai "non-Partisan " ini telah bermula pada PRU 12 lagi. Namun agak menghairankan kerana Pemimpin Kota Belud yang terdiri daripada 3 buah DUN ( DUN TEMPASUK, USUKAN DAN KADAMAIAN) dan 1 PARLIMEN yang diwakili oleh Datuk Rahman Dahlan, sehingga artikel ini ditulis, masih belum nampak kesungguhan untuk 'melayan" selera politik golongan ini. Jika berdasarkan daripada persepaktif pimpinan sayap Pemuda UMNO KB yang diterajui oleh Sdr. Barur Sawi, golongan 'atas pagar' ini masih belum dapat didekati sepenuhnya. Malahan dengan komposisi 40% pengundi di daerah ini terdiri daripada golongan muda, maka apakah pemimpin Kota Belud, begitu yakin benar sokongan golongan ini memihak kepada mereka?

Menyoroti kembali landskap politik Kota Belud pada PRU 12, maka didapati kemenangan yang diperolehi oleh kesemua calon BN secara puratanya menyaksikan penurunan. walaupun mencapai kemenangan tetapi ia bukan 'lambang' bahawa kemenangan itu bisa bertahan. Strategi dan percaturan yang tidak berhati-hati akan menyebabkan PRU 13, sokongan golongan ini akan beralih arah.

Dalam konteks ini, pembicaraan golongan non partisan ini tidak perlu dirujuk berdasarkan suku dan kaum tetapi secara holistik. Dan sejak PRU12 sudah kedengaran rasa tidak puas hati golongan ini di sana sini. Kawasan Usukan misalnya, masih lagi ditahap kemiskinan dan inti pendapatan golongan petani dan nelayan masih tidak terbela. Sedangkan, para petani dan nelayan inilah yang mempunyai anak-anak 'non-partison' ini. Apakah ADUN kawasan itu, tidak memikirkan bahawa apakah jaminan sokongan pengundi muda ini yang rata-rata telah berpendidikan dan terdedah kepada media alternatif akan memberikan sokongan kepada calon BN /UMNO di kawasan itu?. Senario anak-anak muda bukan lagi seperti tahun 70an dan 80-an yang membiarkan " orang tua" terlibat dalam politik, manakala mereka lebih suka tidak mengambil tahu. Memang benar non partisan ini, mendiamkan diri tetapi diam mereka umpama dia ubi yang berisi. sejauhmana peranan dan pembaharuan yang dibawa oleh wakil rakyat, itulah yang menjadi 'sajian' dan 'kudapan' mereka saban hari.

Kawasan Tempasuk juga tidak kurang hebatnya. Malahan inspirasi mereka melonjak-lonjak untuk mengikuti perkembangan ADUN di kawasan itu. seorang pemuda dari suku Iranun pernah menyatakan bahawa di bulan ogos inilah, tersematnya sejarah keruntuhan penempatan Iranun di Tampasuk, dan adakah bulan ogos ini juga akan menyaksikan 'kebangkitan" pimpinan muda dari Suku ini? Memang benar Projek jelapang padi membawa impak besar dalam ekonomi para petani di kawasan itu. tetapi apakah impak dan keperluan golongan muda di DUN TEMPASUK sudah dan boleh dipenuhi? Inilah persoalan yang wajar diselesaikan oleh Datuk Musbah, selaku ADUN TEMPASUK jika ingin golongan non partisan ini memberikan sokongan padu atas kepimpinannya.

Kawasan Kadamaian, dalam setahun ini, seakan dilimpahi oleh pembangunan. Jalan Raya ditar, keperluan air bersih dipenuhi dan taraf hidup rakyat semakin meningkat walaupun terdapat beberapa perkampungan yang masih sukar dihubungi. DUN KADAMAIAN yang diwakili oleh Herbat dari PBS, lebih dilihat sebagai 'tradisi' kerana kawasan Dusun. Maka kerana terlalu kepingin mendapatkan sokongan suku KDM di Kota Belud, memaksa MP PARLIMEN Datuk Rahman Dahlan menyalurkan hampir 60% peruntukan dan projek di kawasan ini. Apakah Datuk Rahman lupa bahawa golongan non partisan ini juga terdapat di kawasan DUN TEMPASUK dan USUKAN? Malahan sudah dengar keluahan di kalangan anak-anak muda, kononnya Datuk Rahman Dahlan sudah cenderung di kawasan Kadamaian.

Sesungguhnya, golongan muda memang sukar diramal. Sukar untuk ditarbiyah. Sukar untuk dimanipulasi. tetapi dengan startegi dan pendekatan yang sesuai, maka golongan ini akan memberikan sokongan dan buah fikiran untuk pengangkatan seorang pemimpin di daerah ini. Jangan kerana golongan ini lambat makan garam,.maka perhatian tidak diberikan dan suara mereka ditenggelamkan oleh janji-janji yang tidak kesampaian.

Tuesday, August 10, 2010


Keadaan politik di sabah sekarang boleh diistilahkan sebagai "tension but stabil". Iaitu penuh dengan tekanan tetapi masih boleh dikawal dan pengawalan itu berlaku secara semulajadi berlandaskan undang-undang sedia ada. Keadaan politik sama ada di pihak pemerintah atau pembangkang di Sabah, mecetuskan pelbagai tanggapan dan impian. SAPP selaku parti pembangkang tempatan masih menyuarakan beberapa tuntutan perubahan, walaupun Presidennya Datuk Yong Teck Lee, dikaitkan dengan kemeruduman serta kerugian teruk Amanah Saham Sabah semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah yang dilahirkan melalui sistem penggiliran Ketua Menteri. Isu ini menjadi perhatian umum, sekaligus beberapa orang pemimpin dari SAPP menggesa kerajaan negeri melakukan siasatan, kerana mereka beranggapan bahawa perseiden mereka perlu dibersihkan dari tuduhan liar itu. sehingga kini belum apa-apa lagi tindakan dari kerajaan negeri.

PKR juga begitu kemaruk dengan gerak sarafnya. Dilaporkan daerah Tenom menjadi sasaran parti ini sebagai usaha mendapatkan sokongan dari suku kadazanmurut di kawasan berkenaan. beberapa cabang PKR ditubuhkan dan mereka optimis untuk merampas daerah Tenom dari genggaman BN.

Manakala dari parti pemerintah, BN Sabah masih dengan kemelut hitam mereka. retak yang pada mulanya agak kecil kini semakin besar. Beberapa tuntutan dari parti-parti komponen masih belum dipenuhi. PBS selaku sayap kiri dalam BN Sabah masih meluahkan kehendak mereka supaya kerajaan yang diterajui oleh UMNO dapat merealisasikan hasrat pembenterasan PATI yang dianggarkan mencecah ratusan ribu orang. sekalipun sudah lebih 10 tahun Umno bertapak di negeri ini, namun isu PATI gagal diselesaikan.

Terbaru timbalan Presiden UPKO Datuk Wilfred Bumburing menggesa UMNO bersikap adil dalam pengagihan kerusi pada PRU 13 akan datang. Beliau menyuarakan kebimbangan atas sikap pemimpin UMNO negeri yang dengan suka hati menyusun peruntukan kerusi berdasarkan parti-parti Komponen dengan tidak mengambil kira sensitiviti pemimpin parti komponen berkenaan. Ini kata beliau akan menjurus kepada ketidak adilan dan ketidakpuasan hati. Sikap bongkak pemimpin sebegini akan merugikan BN di sabah.

Monday, August 9, 2010


Mana-mana pun bangsa di dunia ini, tidak kira majoriti atau minoriti, pasti akan selalu memikirkan soal penyatuan, soal kelangsungan, soal survival dan soal keberdayaan mengharungi tekanan tamadun dari bangsa lain. Dilema bangsa sebegini bukan sekejap hatta memakan masa yang lama. Tiada bangsa yang ingin berada di tahap kebejatan. Tiada bangsa atau suku juga yang rela menjadi hamba kepada bangsa lain. Itu, semua orang tahu, dan semua orang pasti kebenarannya.



Sejak 3 hari yang lepas, apabila beberapa orang pemimpin Iranun menyuarakan perihal “penyatuan” dalam satu majlis pertemuan di sebuah restoran di Kota Belud, maka isu “penyatuan” ini mula menitirdari satu bibir ke satu bibir. Pelbagai pandangan diberikan, terutama bagi mereka yang tidak berkesempatan menghadiri majlis itu. Walaupun pertemuan itu disifatkan sebagai antara “udang-udang kecil” ditengah-tengah ikan paus di laut samudera, oleh segolongan pemimpin dari suku ini yang ‘nakal’ , namun ternyata ia mengundang pelbagai spekulasi. Ada yang mempersoalkan, apa daya dan upaya ‘udang-udang kecil’ ini tanpa “udang” besar (lobstar) yang merujuk dengan tanpa kehadiran Tan Sri Pandikar Amin.



Beberapa ahli akademik dari suku ini, mula memikirkan bagaimana membuatkan emosi suku Iranun “meletus” melangkaui pemikiran sempit dan tertekan? Akan ada dan betapa perlunya satu lagi ‘pertemuan’ wajar dilakukan, walaupun oleh ‘udang-udang kecil” ini. Kemudiannya, bila ada kesepakatan dan permurnian unsur-unsur penyatuan berlaku, maka satu rombongan pemikir harus “mencemar duli” menemui Tan Sri Pandikar Amin. Itu kata dan harapan mereka.



Lalu, tidak sampai sehari, pertemuan udang-udang kecil itu, sudah ada rombongan pemikir politik menemui “lobstar” dan khabarnya, sedang memurnikan hasrat serta tujuan pertemuan kali kedua itu dirancang.



Selamat dan harmoni buat pemimpin Udang-udang Kecil yang mahu menghidupkan sesi penyatuan ini. Terutama kepada sdr Almudin Kaida, sdr Adlan Lonoh, Sdr Roslan Hj. Manshor, dan sdr Razak Rakunman. “udang-udang” kecil ini mempunyai aura sehingga membuatkan pemikir dan ahli akademik Iranun bingkas dari lena yang panjang.



Ada juga beberapa idea yang diutarakan menyatakan bagaimana perlunya isu penyatuan ini digembar-gemburkan tatkala PRU 13 semakin dekat. Isu penyatuan ini kata mereka tidak dibatasi oleh politik tetapi atas dasar ‘mengusung’ bibit-bibit perpecahan jauh dari hati dan sanubari suku Iranun. TSP yang dikatakan sebagai udang besar ini perlu melunakkan hati, menyusun semula barisan kepimpinan pelapis Iranun yang mendapat tarbiyah terus daripada beliau. Mungkin tidak ramai yang bersetuju mengenai hal ini..tetapi apakah tidak pernah terlintas dalam hati Iranun, kemana Tan Sri Pandikar selepas ini? Apa yang menjadi dilema Iranun, sehingga nampak begitu berpecah dan retak di sana sini? Sebagai permulaan awal, penulisan ini hanya bersifat sebagai ‘mukadimah’.

Sunday, August 8, 2010


Ilustrasi idea ini saya panjangkan, bermula bila YDP PERKASA SABAH yang juga penggiat politik UMNO KB, mengeluarkan satu kenyataan dalam FCB nya yang mengundang banyak idea pertentangan dan tidak kurang juga idea yang menyokong. Namun yang lebih menarik perhatian saya ialah ayat yang digunakan oleh SdrMusli Oli ini :

.."jika saya ada keberanian Pandikar Amin, aura Tun Mustapha, visi Harris Salleh, Kesetiaan Shafie Afdal, kedegilan Chong Kah Kiat, determination Jeffry Kitingan, kepintaran Salleh Keruak, kewarakan Sakaran Dandai dan kewangan Musa Aman. Saya boleh jadi KM Sabah yg terbaik!!..

Apa yang berlegar di fikiran saya waktu ketika membaca kenyataan dan ayat ini ialah,mengapa ada dua pemimpin Kota Belud yang dimasukkan oleh Sdr Musli Oli? Mereka yang saya katakan ialah Datuk Salleh Tun Said dan Tan Sri Pandikar Amin. Dan lebih memeranjatkan saya ialah apabila Datuk Salleh dikaitkan dengan ayat " KEPINTARAN" . Apakah tidak ada tokoh politik Sabah yang lebih menonjol percaturan politiknya dengan mengenepikan soal emosi , sebaliknya mengetengahkan kebijakkan dan kepintaran dalam menjamin kelangsungan ideologi dan idealisme perjuangannya? Saya tidak mempertikaikan ayat Sdr Musli Oli tetapi mungkin 'isi' atau kandungan ayat itu boleh dihujahkan. Kerana itu saya memberikan satu contoh dalam FCB sdr Musli Oli bahawa jika 'KEPINTARAN' politik yang dimaksudkan, rasanya Datuk Pairin lagi menyerlah dan wajar dimasukkan dalam kenyataan itu, kerana percaturan,pertimbangan, gagasan serta keberanian mempertahankan hak-hak peribumi dan hak perundangan Sabah termasuk isu PATI dan sebagainya. Sehinggakan, walaupun PBS bertindak keluar dari BN, namun aura dan kepercayaan rakyat Sabah tidak pernah goyah. Terbukti melalui sokongan rakyat. PBS jatuh bukan kerana atas'penderhakaan" rakyat tetapi petualang politikus yang liar.

Saya tidak kontra kepada SSK tetapi saya menunjukkan sikap kontra kepada kenyataan YDP PERKASA SABAH ini. Begitu juga dengan "kesungguhan Datuk Musbah" dalam memberikan perhatian kepada masyarakat Kota Belud juga ditolak oleh sdr Musli sebagai prasyarat untuk menjadi pemimpin dan dalam angan-angannya menjadi Ketua Menteri. Lihat kenyataan beliau ini :

"..jika seorang pemimpin yg di "hadiah" jawatan Ketua UMNO Bahagian secara percuma. dan dgn jawatan itu dia jadi YB dan menteri. Bila tiba pemilihan dia dapat pula sokongan penuh KM Sabah, masih juga gagal dapat pertahan jawatannya sebagai Ketua UMNO, maka pemimpin itu tak layak dibincang dalam perbahasan ini!!! Peluang telah diberi, mana janji bangunan UMNO Kota Belud ketika lobi projek kerajaan dulu? Semua dah berlalu, dapat projek yg dapat bangunan sendiri bukan bangunan UMNO. Sehari selepas kalah, arah UMNO keluar dari pejabat peribadi yg dijadikan pejabat parti!!.."

Kenyataan ini saya anggap sebagai serangan peribadi dan bukan satu hujah kuat untuk mengetengahkan idea politik yang baik. Apakah kaitan kenyataan ini dengan sikap serta "KESUNGGUHAN" yang dimiliki oleh wakil rakyat Tempasuk ini? Sekali lagi saya mengingatkan sdr sekalian bahawa saya juga bukan pro dan kontra kepada pemimpin tertentu atau sesiapa sahaja, tetap kenyataan yang harus dikeluarkan dalam FCB harus lebih bertanggungjawab. Ertinya, boleh diperjelaskan supaya ia tidak menjadi satu kekaburan. Dan hujah diberikan harus menggambarkan pendirian dan tidak bersifat goyah.


lalu 'KEBERANIAN' yang dimaksudkan oleh Sdr Musli Oli itu saya, ilutrasikan dengan "KEBERANIAN" yang dimiliki oleh Tan Sri Simon Sipaun yang berani menyanggah idea pembentukan Malaysia kepada Tun Mohd Stepehens...walaupun Sdr MO menolak idea ini dengan alasan beliau bukan politikus..tetapi apakah 'pengangkatan' KEBERANIAN itu hanya terhad kepada golongan Politik? Bolehkah KEBERANIAN O.T.JOHN GHANI bertanding sebagai calon BEBAS dengan mengenapikan kehendak pucuk pimpinan UMNO dan BN Sabah, sehingga memenangi kerusi Kuala Penyu itu tidak boleh dikatakan sebagai satu KEBERANIAN?

Apakah muslihat kepada kenyataan MO ini? Apakah gambaran bahawa hanya pemimpin tertentu yang berada di Saf idealisme nya, maka itu yang menjadi idola kepimpinan ideal? Sedangkan yang berada di luar dan punya kredibiliti serta sejarah politik matang boleh sahaja diketepikan.

Saturday, August 7, 2010


Bermula dalam FCB Seorang AJK UMNO KB yang "memposkan" satu gambar sesi minum di sebuah Restoran bersama beberapa penggiat politik dari suku Iranun maka lahir idea supaya satu "meja bulat" di buat untuk membincangkan perihal hala tuju perjuangan suku Iranun dalam Survival bangsa minoriti ini di Kota Belud dan di Sabah khasnya. Bertubi-tubi idea dan saranan diberikan dalam FCB Sdr Roslan Hj Manshor mengenai perkara ini. Dan sesungguhnya itu IRRANUN, dalam hanya kurang dari 3 minggu , akhirnya satu pertemuan telah dapat direalisasikan petang tadi 07.08.2010 di sebuah Restoran milik orang Iranun iaitu Restoran Citarasa Kota Belud. Walaupun kehadiran dalam sekitar 20 orang lebih, namun sebagai permulaan, sebelum digerakkan satu lagi pertemuan susulan, maka ia sudah cukup memadai. Dan sambutan yang diberikan cukup memberangsangkan, walaupun perkara ini diwar-warkan dalam FCB dan melalui lisan.

Apa yang dibincangkan bukan sahaja mencakupi perihal politik dan 'pertarungan' hidup suku Irranun dalam persaingan menggapai kuasa politik di Sabah,tetapi juga turut melahirkan rasa sedih dan pilu atas 'kematian' PISBA dan 'kemurungan" PAGISA dalam memartabatkan dan memberikan sinar harapan bagi suku ini. Sebagai permulaan, bahawa IRRANUN harus terkedepan memperlihatkan bakat-bakat kepimpinan muda dalam soal kepolitikkan,maka satu idea yang diutarakan oleh seorang politikus veteran IRRANUN supaya satu "wadah" baru diwujudkan guna tempat 'berpaut" bagi keseluruhannya orang IRRANUN. Wadah yang bukan sahaja merentasi fahaman politik dan idealisme kepartian , rasanya dan sewajarnya diberikan perhatian oleh mereka pejuang dalam suku ini yang hadir dalam majlis berkenaan.

Kematian PISBA dan kemurungan PAGISA yang diistilahkan oleh kebanyakkan golongan muda dari suku ini, harus dihidupkan semula walau dengan nama dan pendekatan yang berbeza. Kerana pada dasarnya hal-hal penyatuan bangsa hanyasanya dapat dimanfaatkan melalui satu bentuk wadah dan gerakan yang tersusun. Bukankah persada kepimpinan IRRANUN turut tersebar melalui PISBA suatu ketika dulu.? Hanya yang menjadi hambatan kini ialah keperluan kepada 'gerakan bangsa' itu dan kesanggupan segelintir yang bernama pemimpin IRRANUN untuk turut sama mencambah idea dan pemikiran untuk kelangsungan suku IRRANUN.

Dengan kehadiran dalam majlis berkenaan, Sdr Timbalan Presiden PBS, Sdr Almudin Kaida, Sdr Roslan Hj Manshor ( AJK umno KB), sdr Razak Rakunman, sdr Musram Rakunman , sdr Jabar Khan Nafi, dan beberapa pemimpin muda..maka ia memerlukan kesepakatan supaya pertemuan kali kedua yang dijangka akan diadakan pada waktu terdekat akan berjalan lancar dan membuahkan hasil yang lebih besar.

Ingatlah dan waspadalah bahawa proses 'penyatuan' bangsa bukan perkara kecil tetapi banyak rintangan dan hambatan yang menanti...Semoga usaha murni ini akan menjadi sebagai "cendera kenangan"buat generasi baru masyarakat IRRANUN ini.

Monday, August 2, 2010



Mendasari penulisan ini adalah semangat yang terkandung dari kata-kata seorang tokoh agung dalam politik Dunia, Abraham Lincon yang menyatakan bahawa Pemimpin yang sebenar adalah mereka yang berfikir setiap detik tentang kemashlatan rakyat, politikus pula ialah mereka yang sentiasa memikirkan kemenangan setiap kali pilihanraya . Sewajarnya pandangan ini diambil kira oleh para pemimpin Kota Belud dalam menentukan ‘status’ mereka di mata rakyat. Program yang dirancang jika untuk rakyat, maka segala kebaikkanya harus dipulangkan kepada rakyat.



Beberapa hari lepas apabila Program Pemimpin bersama Rakyat diadakan di kota Belud, maka antara kedaifan awal yang sangat memalukan ialah berkaitan dengan “kehadiran” rakyat yang dikatakan program itu diadakan untuk mereka? Apa yang kelihatan ialah ‘kebanjiran’ pemimpin politik Umno Kota dari semua peringkat kepimpinan. Dan itu pada asasnya adalah perlu dan sangat-sangat di tuntut. Program Anjuran Kementerian Pertanian Industri Asas Tani itu bersama Biro ekonomi Umno Kota Belud menyaksikan kehadiran menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar yang juga timbalan perhubungan Umno Selangor. Barisan kepimpinan Kota Belud, menyaksikan YB MP Parlimen, Datuk Rahman Dahlan, YB Datuk Musbah Hj. Jamli, YB Datuk Japlin Akim, Timbalan.Presiden PBS Almudin Kaida.



Hanyasanya yang tidak kelihatan ialah Ketua Umno Kota Belud, Datuk Salleh Tun Said yang juga penasihat kepada Ketua Menteri. Walaupun dalam FCB nya beliau mengupload gambar Datuk Raya iaitu isterinya yang dikatakan menjalani pembedahan tetapi ada sumber-sumber terdekat yang menyatakan bahawa pembedahan itu telahpun berlangsung 3 hari yang lepas sebelum majlis berkenaan. Ini menimbulkan banyak tanda tanya kerana sebelum inipun iaitu ketika majlis makan Malam Umno KB yang waktu itu juga dihadiri oleh Datuk Noh Omar, kelibat Datuk salleh juga tidak kelihatan. Sedangkan Umno KB dikhabarkan adalah anak angkat kepada Datuk Noh. Apakah percaturan politik DSSK ini menguntungkan orang Kota Belud dan masyarakat UMNO di daerah ini?



Jika diimbas kepada kehadiran pimpinan Umno dan Masyarakat di daerah ini ketika majlis itu,hanya Ketua Umno Bahagian Kota Belud yang tidak kelihatan, walaupun timbalannya En. Awadnir Matanggal turut menyertainya. Seorang pemimpin UMNO KB menyatakan kepada saya mengenai keperluannya DSSK berada dalam majlis berkenaan, namun seakan satu bentuk “pemulauan” politik dilakukan oleh DSSK terhadap apa juga aktiviti yang melibatkan YB Datuk Musbah selaku pembantu menteri pertanian sedangkan majlis itu turut ditaja oleh Biro ekonomi Umno KB. Begitu juga majlis yang dihadiri oleh MP Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan, jarang kelihatan DSSK bersama sekalipun atas landasan parti dan keperluan masyarakat Kota Belud.



Siapakah yang dimaksudkan oleh DSSK dalam blognya sebagai “parasit” dalam perjuangan parti. Apakah tindakan beliau memulau aktviti ‘seteru’ politiknya ini bukan “parasit” namanya? Bukankah tanda tanya dan peremahan masyarakat Kota Belud atas tindakannya itu umpama “mambang” politik yang berpanjangan.? Rakyat harus melihat hal ini sebagai satu kriteria dalam memberikan sokongan kepada sesiapa juga pemimpin di daerah ini.

Sunday, August 1, 2010


Langkah kerajaan membenarkan kakitangan awam pendidikan gred DG41-DG48 menceburkan diri dalam dunia kepolitikkan adalah dihargai. Sebelum ini sekatan diberikan atas beberapa faktor perkhidmatan seperti peranan guru yang berupaya mepengaruhi anak murid, faktor kerisauan kerajaan bahawa guru-guru akan mencampuradukkan tugas rasmi dengan prinsip politik, selain kerana kekhuatiran guru-guru akan melepaskan jawatan jika mencapai prestasi jawatan dalam politik. Namun begitu langkah berani kerajaan ini, memberikan bayangan bahawa hampir 80% guru-guru di sekolah rendah dan menengah akan terbuka ruang untuk menceburkan diri dalam lapangan politik negara. Ini tidak menghairankan kerana sebelum ini pun status guru sememangnya diakui. Tun Ghaffar Baba, mantan Tim. Presiden Umno dan Tim. Perdana Menteri adalah bekas seorang guru, Tan Sri Muhammad, Mohammad Taib, mantan MB selangor juga adalah bekas seorang guru.MB Pahang sekarang dan Datuk Noh Omar juga pernah menjadi guru.


Di Kota Belud peranan guru dalam politik Umno memang tidak dapat dinafikan...beberapa nama seperti En. Jeniar Subeh, En. Ripin Soud,En Roslan Hj Manshor , En Marali Adim dan beberapa orang lagi yang tidak dapat disenarai pendekkan di sini , nyata adalah antara 'penggiat' politik dalam parti umno KB. Peranan guru dalam politik KB sememangnya diakui..kerana mereka ini bukan sahaja arkitek sosial di sekolah tetapi juga berupaya menjadi wadah pembentukan masyarakat dan negara.

Kalau dulu guru-guru ini begitu takut dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib , kini dengan langkah kerajaan membenarkan guru-guru DG41 0-DG 48 ini untuk aktif dalam politik akan membuka lembaran baru dalam dunia kepolitikkan di negara kita. Kebimbangan yang melampau oleh pemimpin negara atas keterlibatan banyak golongan usahawan dan kontraktor dalam politik sehingga mengundang banyak persepsi negatif terutama berkaitan usaha-usaha 'mengampu' untuk mendapatkan tender dan jawatan dalam parti dapat diseimbangkan melalui penglibatan banyak golongan profesionalisme termasuk guru.

Persoalan yang bermain dalam benak kita ialah apakah kepimpinan sedia ada boleh dengan jiwa besar dan tangan terbentang luas mengalu-alukan kehadiran guru-guru di daerah KB ini secara terbuka untuk menganggotai dan menungguli jawatan dalam parti..teringat saya peristiwa seorang AJK Bahagian, yang semua orang tahu "ditukarkan" ke Sandakan, hanya gara-gara bergiat dalam politik, sehingga khabarnya personaliti politik ini terpaksa meminta bantuan dari YB-YB di Kb..tetapi semuanya 'gagal' membela nasibnya. Hanya melalui seorang "guru" jugalah beliau berjaya 'menyelamatkan' diri daripada ditukarkan ke Sandakan...Semoga peristiwa ini tidak akan berulang ..apatah lagi bila kerajaan membenarkan penglibatan politik kakitangan awam yang bergelar "cikgu" ini.

Tuesday, July 27, 2010


Rumah guru Sk Tamau juga terbengkalai...





JKR KOTA BELUD melawat tapak..tetapi tiada tindakan yang diambil.




Bangunan sementara yang dibina, sempit dan tidak selesa.



Walaupun isu ini sudah terpampang di dada akhbar nasional Berita Harian, walaupun Pengerusi PIBG bersama wartawan Borneo Post, Sdr Naddin Sahiddin telah membuat liputan mengenai kelewatan pembinaan bangunan sekolah ini dan khabarnya telah pun diterbitkan dalam surat Khabar berkenaan, walaupun Isu ini telah dimaklumkan kepada JKR Kota Belud , sudah dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan Bahagian, melalui unit pembangunan, isu ini juga telah sedia maklum kepada MP Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan, telah maklum kepada DUN TEMPASUK iaitu Datuk Musbah Jamli di mana sekolah ini di dalam DUN Berkenaan, Namun segala-galanya bagaikan ‘mencurah air di daun keladi”. Isu kelewatan pembinaan Bangunan Sekolah ini telah mencecah lebih setahun. Tiada tindakan yang diambil. Semua agensi yang terlibat seolah-olah ‘enggan’ memberikan response.



JKR Kota Belud seakan menutup mata. Walaupun sudah beberapa kali melawat tapak pembinaan, dan juga mengetahui perkembangan ini, tetapi tiada tindakan drastik yang diambil. Jika menurut Iklan pembinaan di luar, sepatutnya pembinaan Sk Tamau ini siap pada bulan Jun 2009. Sehingga sekarang perkembangan hanya sekitar 70%. Kerja-kerja pembinaan hanya dijalankan oleh pekerja kontrak tidak sampai 10 orang. Jabatan pendidikan Kota Belud juga menutup mata, tiada tindakan yang diambil. YB MP PARLIMEN DAN YB DUN TEMPASUK juga gagal mengambil tindakan sewajarnya. Yang menjadi sasaran ialah murid-murid Sk Tamau yang tidak selesa dengan sesi pembelajaran yang dijalankan.Khabarnya juga Penyelia petang Sk Tamau juga telah mendapat surat pertukaran, kerana sekolah berkenaan telah diwartakan untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran persekolahan satu sesi.Sedangkan bangunan konkrit masih belum siap sepenuhnya. Dimanakah murid-murid ini akan menjalani pembelajaran?



Kerana itu, Ketua kampung dan pengerusi JKKK harus segera melaporkan perkara ini kepada SPRM supaya dapat mengambil tindakan dan satu bentuk penyiasatan dapat dibuat, agar projek-projek kerajaan yang berimpak tinggi seperti ini tidak akan terbengkalai. Siapakah yang ‘melindungi’ projek ini sehingga agensi yang terlibat tidak dapat berbuat apa-apa? JKR, PPD KOTA BELUD hatta YB-YB di daerah ini juga 'gagal' memberikan alternatif. Adakah orang penting di sebalik projek ini? Rakyat berhak mengetahui keadaan yang sebenar. Jika tidak pembaziran wang rakyat yang digunakan untuk projek seumpama ini akan berleluasa.

.

Monday, July 26, 2010






Kata orang Janji politik bagi seorang wakil rakyat adalah janji yang bisa tak tertunai. Kata orang juga janji peribadi seorang pemimpin adalah janji 'hidup mati" politiknya. Kerana kata orang jugalah, ia sewajarnya dijadikan sempadan dan pengajaran bagi sesiapa juga yang menjadi wakil rakyat. Pemimpin KB, sama ada yang telah lama bergelar YB ataupun baru merasa status itu, akan mendepani janji-janji politik kepada rakyat.

Ketika seorang blogger Kota Belud, menyuarakan kebimbangan kepada YB Datuk Musbah Jamli, Adun Tempasuk mengenai kekhuatirannya dengan nasib sedereten bangunan sekolah agama di bawah kendali JHEAIS di DUN berkenaan yang kerapkali dilanda banjir...menyebabkan ramai kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk menjalani pembelajaran..maka YB yang disinonimkan oleh kebanyakkan blogger sebagai "Thaksin Sinawat" Kota Belud itu telah memberikan response positif akan mengambil tindakan sewajarnya. Aku Janji itu berlangsung tahun lepas ketika Kg. Merabau Kota Belud, dimana selalu berlaku limpahan air sungai Merbau, mengakibatkan Banjir di sekolah berkenaan.




Beginilah keadaan sekolah agama merbau yang usur dan sering dilanda banjir.

Dan setelah berlangsung beberapa bulan mendatangnya, tindakan itu tidak pernah kunjung tiba, sekolah agama yang menempatkan dua blok bangunan kayu yang uzur di mamah usia sehingga nampak sudah seret ke tepi..masih tidak berubah. Setiap kali banjir melanda, sekolah itu pasti akan digenangi air dan pembelajaran kanak-kanak seusia 7-12 tahun sekitar kg Tamau, Pintasan, Kota Bungan dan Tawadakan itu dengan purata bilangan pelajar sekitar 200 orang akan terganggu dan tergendala.

Apa yang memeranjatkan kita ialah tidak kurang dari 5 bulan setelah banjir melanda Kota Belud yang menyaksikan Datuk Musbah turun padang, telah meluluskan pembinaan jambatan gantung untuk kegunaan penduduk yang terlibat dan jambatan itu dibangunkan berdekatan dengan sekolah yang berkenaan.

Apakah Datuk Musabh sudah mengambil inisiatif mengenai perkara ini? Atau sudah YB Jelapang Padi ini telah lupa dan alpa kepada keperluan penambahbaikan keadaan sekolah yang uzur itu? Apakah wujud keperluan birokrasi mengenai hal ini?

Menyusuri keadaan itu, berbangkit pula isu pembinaan Masjid Kg Tamau, yang dikatakan telah mendapat "restu" dari YB Haji Musbah. Seingatnya, dari tahun lepas lagi setelah beberapa kali dilawat oleh pegawai pembangunan Negeri..kononnya sudah ditender dan dikhabarkan juga diperolehi oleh syarikat mantan PKR TEMPASUK, Sdr Baghdad Turogan. Tahun 2010 telah melangkah ke bulan 8, isu pembinaan masjid baru Kg. Tamau terus menjadi tanda tanya? Isu kelewatan pembinaan bangunan konkrit SK Tamau yang mencecah kelewatan 12 bulan disiapkan oleh kontraktor juga tidak mendapat perhatian YB Datuk Musbah, walaupun YB ini pernah menghadiri program PIBG di bangunan sementara sekolah berkenaan dan telah melihat sendiri keperluan mendesak yang dialami oleh murid-murid sekolah tersebut.

Dimanakah janji Datuk Musbah mengenai permasalahan rakyat di kawasan DUN nya? Kita mengharapkan agar isu-isu ini dapat diperjelaskan supaya kekeliruan dapat diungkai dan rakyat berpuas hati atas khidmatnya sebagai "Yang berhormat dan yang berkhidmat".

Saturday, July 24, 2010


Sejak beberapa bulan yang lepas, tatkala Tan Sri Pandikar turun 'mencemar duli politik' minum bersama rakyat dan penyokongnya di beberapa restoran di KB, ramai yang mula "meniupkan' sentimen politik peribadi pemimpin itu. Ada yang mula menagak-agak TSP akan kembali ke persada politik KB, Ada juga yang mula memikirkan bahawa TSP barangkali sudah ada 'calon' pilihan untuk menerusikan 'legasi' kepimpinannya di daerah ini. Tidak kurang juga meramal, bahawa TSP sengaja melihat semula bahang 'pengaruhnya' di daerah KB sejurus sebelum PRU 13 akan datang.

Walaupun ada yang mula memandang enteng kepada percaturan TSP dalam persada politik tanahair, apatah lagi setelah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dalam parti terutama UMNO KOTA MARUDU, namun jarang ada yang dapat menjangka, bahawa sesungguhnya satu kelebihan pada pemimpin ini ialah beliau mempunyai rangkaian kuat di peringkat negeri dan pusat. Bila-bila masa, TSP boleh mewarnai kembali aliran politik Sabah, setelah tamat penggal sebagai YDP Dewan Rakyat.

Maka atas kesedaran itu, pemerhati politik Sabah, sudah mula mengcongak-congak akan kebarangkalian yang berlaku. Dan satu daripadanya ialah, andaian bahawa TSP akan ke Tempasuk Semula, sebagai ADUN walaupun ada DUN USUKAN yang juga 'selamat' bagi beliau. Kata pemerhati politik ini, Musa Aman tidak ada pilihan lain selain daripada mencalonkan semula TSP kerana beberapa desakan peringkat tertinggi dan juga desakan akar umbi peringkat parti mengkehendakkan begitu. Itupun tidak mustahil kata mereka kerana sebelum ini sudah 2 kali persefahaman politik antara TSP dan Datuk Musbah Jamli telah berlangsung..dan seperti adatnya, ketika DHMJ menjadi Calon di Temapsuk, maka TSP juga berkempen untuk beliau.

Angin bertiup kencang sejak akhir-akhir ini, menyatakan TSP bakal calon di Tempasuk, walaupun ada suara-suara kecil memberi laluan kepada beliau untuk Parlimen Kota Belud. Namun itulah politik, ia sentiasa bergelora..dan geloranya sentiasa panas selagi PRU 13 tidak kunjung tiba

Wednesday, July 21, 2010


Siapa yang tidak suka jika daerahnya ada pemimpin yang berjiwa besar. Siapa yang tidak'kembang hidungnya' kalau dikatakan daerahnya yang miskin telah berjaya melahirkan pemimpin yang ada 'class' di peringkat negeri dan negara. Semuanya suka, dan semuanya juga bergumbira dengan pencapaian itu. Namun kenapa pemimpin yang dilahirkan di Kota Belud ini mendapat 'perhatian' dari pengendali media ketiga iaitu media alternatif, berupa BLOG dan FACEBOOK. ? Mungkin jawapan yang agak selamat ialah kerana mereka pemimpin, lantas ia menjadi sasaran setiap mata yang bukan sahaja para blogger tetapi juga ahli masyarakat yang lain.


Antara pemimpin yang paling mendapat sambutan dan menjadi sasaran kritikan di Kota Belud ialah mantan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Salleh Tun said. pelbagai tanggapan, bahan cerita dan juga pertikaian kerasionalan dipaparkan di dada-dada Blog dan FCB. Ada yang menyatakan kerumitan tentang kepimpinannya, ada yang mempertikaikan kewajaran tindakan pemimpin ini. Termasuk ada yang mencemuh, melontarkan fitnah dan pelbagai bentuk rencam lagi.

KM terfikir seketika mengapa DSSK menjadi sasaran ?. Sebenarnya pada hemat KM , bukan sahaja DSSK tetapi juga kesemua pemimpin di KB yang menjadi bahan cerita para blogger. TSP, DARD, DJA dan DMHJ juga telah menimbulkan pelbagai polemik terhadap dunia pengendali blog ini. Namun apa yang nyata ialah kesemua pemimpin ini kecuali DSSK, hadir ke dalam Blog yang berkenaan untuk membuat penjelasan, dan memberikan pandangan terhadap isu yang dipaparkan. Misalnya TSP suatu ketika dulu, telah menunjukkan 'keterbukaan' beliau apabila, banyak blog di KB yang 'dimasukinya' untuk membetulkan fakta dan pandangan penulis blog ini. Mungkin ada kesanya..akhirnya, isu-isu dan cerita panas pemimpin ini berlalu begitu sahaja.

DARD juga sedemikian, telah beberapa kali memberikan penjelasan dalam blog yang berkenaan. Isu peribadi dan perancangannya sebagai MP Kota Belud telah diperjelaskan seterang-terangnya. Dan kini, isu 'keperluan' DARD di KB telah makin dilupakan. Hanya beberapa isu berbangkit yang masih cuba dipaparkan.

DMHJ telah juga berbuat yang begitu...walaupun dikatakan beliau kesuntukan masa, namun beliau masih tetap menemani para blogger di KB yang tidak seramai pun seperti di semananjung untuk menerangkan isu-isu berkaitan gagasan dan wawasannya terutama melibatkan sektor ekonomi seperti projek Jelapang Padi.

DJA, walaupun masih mengambil jalan 'tengah' itu mendaimkan diri, tetapi beliau masih mengikuti perkembangan dunia blog dan FCB di KB ini. Dalam blognya, beliau masih membuka ruang untuk 'sembang' mengenai isu yang dipaparkan.

Menyentuh DSSK, pemimpin ini banyak menerima kritikan. Sikap tidak mempedulikan media ketiga di daerah ini telah menjadikan DSSK sasaran setiap masa. Punca kepada kemurungan umno KB dikatakan berpunca dari kepimpinannya. Tinddakannya setiap masa mendapat liputan meluas para blogger. Mungkin kerana DSSK tidak membenarkan interaksi sehala berlaku dalam blognya, dan juga 'enggan' memberikan respone terhadap isu mengenai dirinya yang dipaparkan, maka beliau terus mendapat publisiti dalam dunia blog.

Pengiktirafan terhadap dunia media ketiga ini seharusnya diambil dari awal-awal lagi. dan bukannya mengambil jalan 'membisu seribu bahasa' kerana jika berlarutan, proses pembersihan diri dan roh perjuangannya tidak akan terlaksana dalam waktu yang terdekat.




Keputusan MT Umno untuk menyerahkan segala urusan berkaitan dua Bahagian Umno ,masing-masing satu di Kelantan Dan Kedah kepada Badan Perhubungan negeri Parti itu, seharusnya diberikan perhatian kepada UMNO KOTA BELUD, supaya situasi 'memalukan' itu tidak berlaku kepada Bahagian itu, berikutan beberapa insiden menggambarkan ketidakwujudan keserasian kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian berkenaan.

Masyarakat Kota Belud, terutama barisan kepimpinan Umno Bahagian itu yang terdiri daripada Sayap Pemuda, Wanita Dan Puteri amat maklum dengan situasi yang melanda Bahagian itu. Kepimpinan DSSK dilihat sebagai "biduk lalu, kiambang bertaut". Bah kan ada AJK Umno KB yang begitu lantang dan berani mempertikaikan beberapa situasi yang bagi hemat mereka tidak menguntungkan Bahagian itu dan gagal diselesaikan oleh kepimpinan sedia ada. Seorang Blogger yang menggelarkan dirinya sebagai "AHLI UMNO KOTA BELUD" membuat pendedahan seperti berikut dalam blognya"

"....Lazimnya setiap tahun setiap cawangan UMNO diminta mengadakan mesyuarat tahunannya dengan dihadiri oleh seorang AJK bahagian bagi memantau perjalanan mesyuarat tersebut mengikut perlembagaan parti. Tetapi sebaliknya pada tahun ini cawangan-cawangan UMNO di dalam bahagian UMNO Kota Belud tidak satu pun yang mengadakan persidangan sebaliknya dibuat dikedai-kedai kopi sahaja dengan dipantau oleh seorang AJK bahagian. Justeru itu jika tulisan saya ini dapat dibaca mana-mana pemimpin UMNO yang menduduki jawatan Ahli Majlis Tertinggi memohon agar perkara ini disiasat dan diminta melakukan sesuatu agar perkara ini dapat diperbetulkan demi untuk menjaga keutuhan parti UMNO supaya sentiasa releven sepanjang zaman"...


Menyedari keadaan itu,maka sebagai masyarakat kota Belud, merakamkan rasa kebimbangan itu jika 'krisis' kepimpianan antara mantan ketua Umno Bahagian itu , Datuk Musbah dengan DSSK , tidak diselesaikan dengan rasa jujur dan bertanggungjawab. Walaupun 'krisis' itu hanya berupaya sengketa senyap, kerana keperluan menjaga kepentingan masing-masing dan berupa 'dalam hati' namun ia akan menjadi 'api dalam sekam' yang akan membakar Umno Bahagian itu pada jangka panjang. Pengurusan Umno KB juga dipertikaikan.

Pengurusan parti UMNO Kota Belud amat memalukan sekali sejak dibawa kepimpinan Datuk Salleh Tun Said cawangan-cawangan bukan sahaja tidak mengadakan mesyuarat tahunan akan tetapi wang RM 50 ringgit yang diagihkan oleh UMNO pusat untuk tujuan pengurusan cawangan dalam mengadakan mesyuarat tahunannya tidak diberi oleh bendahari bahagian iaitu Zainal Abiddin Haji Soud. Rata-rata ketua cawangan UMNO mengeluh ke atas pengurusan parti yang mereka anggap cukup memalukan dan menjurus ke arah kehancuran.



Monday, July 19, 2010


ADAKAH NAJIB MEMILIH DATUK SALLEH TUN SAID SEPENINGGALAN DATUK MUSA AMAN.?


Ibarat filem “putus sudah kasih sayang”, mungkin begitulah tamsilan bagi nasib politik Musa Aman apabila sebegitu ramai orang perseorangan, termasuk ahli politik tertentu yang membawa khabar bahawa ADUN Sibuga itu bukan lagi pilihan Najib untuk terus menerajui kerajaan BN di Sabah. Banyak yang memberikan sebab kepada hal itu, di samping atas alasan imej Najib dan negara di mata dunia yang tercalar lantaran masalah penggubahan wang haram, isu pembalakan di hutan simpan Yayasan Sabah, isu rampasan tanah-tanah kerajaan yang diusahakan oleh rakyat tempatan yang merentasi kawasan pantai timur melibatkan daerah Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Terdapat juga beberapa isu bertiup sekitar di Kota Kinabalu yang mengembar-gemburkan kononnya, kontrak-kontrak pembangunan bernilai jutaan ribu ringgit diberikan kepada kroni dan proksi Datuk Musa Aman. Mereka mempertikaikan ketelusan dan pengagihan kontrak tersebut.



Di peringkat politik, Datuk Musa Aman juga dilihat ‘gagal’ mewujudkan isu perpaduan di kalangan parti komponen BN di Sabah. SAPP keluar dari BN, LDP bermasam- muka dgn pucuk pimpinan negeri. Selain itu isu pengguguran beberapa pemimpin di Sabah pada PRU 12 juga terus diperkatakan dan disifatkan sebagai percaturan Musa Aman yang sangat ‘mencemaskan”. Bisa saja kata mereka UMNO dan BN di Sabah hampir-hampir kalah pada PRU 12 yang lepas..mujurlah kesetiaan para pemimpin ini masih bisa dipertahankan.



Atas sebab itu, maka ramai pemerhati politik mentafsirkan bahawa Datuk Musa Aman tidak akan dapat bertahan lama. Mahu atau tidak, Najib akan membuat satu lagi keputusan untuk menggantikannya. Persoalannya ialah siapa yang berpotensi untuk kerusi no satu negeri itu? Ada yang ‘mengandaikan’ bahawa terdapat dua tokoh yang berpotensi menduduki kerusi KM Sabah sepeninggalan Datuk Musa Aman, iaitu Datuk Shafie Apdal dan Datuk Salleh Tun Said.



Para penyokong tegar DSSK berkeyakinan benar bahawa pemimpin kesayangan mereka itulah begitu ‘dekat’ kepada jawatan Ketua Menteri Sabah. Alasan dan hujah yang diberikan, kerana, DSSK dikatakan berpengalaman mentadbir negeri kerana pernah menjadi Ketua Menteri dalam sistem penggiliran yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir pada ketika itu. Berbanding dengan Datuk Shafie yang langsung tidak punya pengalaman mentadbir negeri. Kerana pada waktu itu DSSK juga dilihat telah berjaya ‘menjinakkan” dan menyelesaikan beberapa isu politik terutama berkaitan dengan kelantangan PBS dan juga isu kelangsungan kepimpinan Tun Mustapha dan legasinya. Kedua, kerana kata mereka DSSK sekarang ialah Timbalan pengerusi Perhubungan negeri dan penasihat Sains kepada Datuk Musa Aman, situasi kedua-dua ini seakan memberikan gambaran bahawa DSSK lah yang sepatutnya menggantikan Datuk Musa Aman sekiranya berlaku seperti yang di dakwa oleh ramai blogger itu. Manakala Datuk Shafie pula adalah ketua perhubungan negeri Kedah. Atas alasan tradisi, ketua perhubungan negeri adalah Ketua Menteri,Maka DSSK bagi mereka adalah calon yang paling tepat.



Kesemua hujah itu secara rasional tertolak jika Najib membuat perhitungan yang lebih matang dan tepat untuk politiknya dan kesinambungan Sabah sebagai fixed deposit. Ini kerana berdasarkan hujah bahawa ketika DSSK menjadi Ketua Umno Bahagian ,beliau telah bertindak tidak mencalonkan Datuk Najib yang ketika itu sebagai Timbalan Presiden UMNO. Mungkin peristiwa ini boleh dijadikan sandaran buat Najib bahawa DSSK bukan pemimpin yang boleh dipercayai.



Soal pengalaman, Najib melihat Datuk Shafie sebagai lebih berbanding DSSK kerana walaupun DSA tidak pernah menerajui negeri tetapi pengalaman mengetuai beberapa kementerian penting dalam era Mahathir, Abdullah dan Najib sendiri memberi kelebihan kepada pemimpin pantai Timur ini untuk menjadi calon paling sesuai. Walaupun, DSA adalah pengerusi Perhubungan Umno Kedah, tetapi tradisi itu tidak semestinya benar dan bukan prasyarat utama dalam pemilihan Ketua Menteri Sabah. DSA boleh menjadi Ketua Menteri Sabah dan kemudian mengisi kekosongan jawatan ketua perhubungan yang ditinggalkan oleh Datuk Musa Aman.



Di peringkat pimpinan dalam kawasan masing-masing, DSSK dilihat telah mula menerima tentangan di peringkat daerah Kota Belud. Ramai yang tidak berpuas hati, sehingga hanya memberikan kemenangan sebanyak 47 undi menewaskan Datuk Musbah dalam pertandingan sengit pemilihan ketua bahagian Umno KB. Dan kalau berdasarkan jumlah pencalonan. Datuk Musbah nyata mendapat kepercayaan ketua-ketua cawangan berbanding DSSK. Manakala DSA di kawasan Semporna masih mendapat kepercayaan dalam kawasannya. Walaupun pada PRU 12 menyaksikan beliau di tentang oleh En. Azis Abd. Hamid (PKR) namun beliau menang dengan majoriti besar.



Penawaran Jawatan penasihat Sains hanya dilihat sebagai percaturan politik Musa Aman untuk mengurangkan “bisa” dalam kepimpinan suku USBO di Sabah. DSSK dikatakan telah ‘memasuki” perangkap Samar yang begitu memedihkan. Sejauh mana Najib mengambil kira faktor dan situasi ini? Hanya akan terjawa jikasegala hijab politik terbuka selepas PRU 13.