Saturday, August 6, 2011


kita sama-sama pernah diajar erti curiga


curiga di dalam diam


curiga di dalam mimpi.



jika esok kalian bisa bermimpi


dan melihat bayangan wajah moyang kami


kirimkan saja kami ilmu hitam


kerana itu sahajalah pengganti cemburu kami


melihat pembangunan orang lain.


Jalan di sebelah rumah kami telah lama becak


itupun telah kami kirimkan dalam mimpi


namun kanak-kanak masih lagi bermain lumpur.



Semoga kita sentiasa bercerita di dalam mimpi


kerana itu sahajalah penyambung kemesraan kita.


Maafkan kami tuan-tuan...




by: Norawi Hj Kata

Friday, August 5, 2011


Ketika penyokong-penyokong tegar UMNO dan BN sibuk membisikkan tentang perihal PAS 'bakal' menggugurkan DSAI dari kerusi pembangkang dan berhasrat 'memperdaya' KU LI untuk menduduki kerusi itu, UMNO lupa bahawa dalam parti teras BN itu juga sudah ada gerakan untuk mendesak Najib berundur selepas PRU 13 nanti. Inilah yang telah didedahkan oleh Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali. Menurut Mustafa sudah terdapat satu gelombang gerakan yang serius dalam UMNO untuk mendesak Najib dan Rosmah berundur kerana kedua-dua mereka dilabel sebagai 'liabiliti' kepada UMNO.

Meminta pemimpin untuk berundur, bukanlah perkara baru dalam UMNO, kerana sebelum ini sewaktu era pemerintah Pak Lah dan selepas tragedi 2008, Gerakan seperti yang didakwa oleh Mustafa itu memang berlaku. Antara yang begitu lantang mengkritik dan meminta Pak Lah berundur ialah Mantan PM Tun Mahathir ketika itu yang kemudiannya disambut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Akhirnya tidak tahan dengan desakan demi desakan Pak Lah melepaskan Jawatan PM dan menyerahkannya kepada timbalannya, iaitu Najib pada waktu itu. Peralihan kuasa berjalan dengan baik dan UMNO mendapat suntikan semangat baru apabila Najib mengambilalih tampuk pemerintahan.

Bukan sahaja UMNO mengalami perubahan dan transformasi seperti mengubah dan menghapuskan beberapa fasal perlembangaannya terutama yang berkaitan dengan kouta pemilihan dalam parti, KERAJAAN juga diperkenalkan dengan konsep NKRA dan KPI. Perubahan yang dilakukan oleh Najib dalam ekonomi juga tampak lebih baik dari era Pak Lah. Namun begitu yang mengusarkan banyak pihak dalam UMNO ialah peranan Datin Rosmah Mansor dalam percaturan dan pertimbangan politik Najib. Belanjawan lepas yang diumumkan oleh Najib bukan sahaja memperuntukkan jutaan ringgit untuk Program Rosmah iaitu PERMATA, tetapi juga program lawatan Rosmah di beberapa negara Eropah dan Mesir turut dipersoalkan. Kerana itu barangkali dalam UMNO Gerakan meminta Najib berundur itu mula meletus.

Jika benar seperti yang didedahkan oleh Mustafa itu menjadi kenyataan, maka Malaysia akan sekali lagi menerima PM yang baru. Siapalah yang bakal menggantikan Najib? Dan adakah Najib akan rela melepaskan jawatanya seperti Pak Lah? Atau apakah tindakan Najib untuk mengatasi gerakan itu? Masih terlalu samar kerana politik itu penuh dengan kesamaran.

Wednesday, August 3, 2011


"Kalau panggil Parlimen tergempar kerana Mismah, saya tak setuju. Tapi kalau isu kredibiliti Ketua Pembangkang, esok saya ke Parlimen."


Inilah kenyataan MP Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan dalam laman Fcbnya beberapa jam yang lepas, sekaligus mengundang pelbagai spekulasi negatif buat MP Kota Belud ini. Ramai yang menganggap bahawa Datuk Rahman Dahlan terperangkap dalam bebanan bagasi percaturan politiknya, setelah begitu ramai yang meramalkan bahawa Datuk Rahman adalah antara pemimpin muda yang 'bakal' tidak mendapat tempat di Kota Belud lagi pada PRU 13 akan datang. Nasibnya masih berada diawang-awangan kerana setiap kawasan pilihanraya di Sabah sudah punya calon pilihan masing-masing mengikut selera rakyat di kawasan berkenaan.
Datuk Rahman sanggup 'melobi' fikrah rakyat dan pucuk pimpinan UMNO yang menggambarkan DARD sanggup menjadi benteng kepada serangan pembangkang kepada kerajaan dalam isu ini.


Kenyataan Datuk Rahman ini jelas tidak membezakan antara keperluan yang melibatkan 'keselamatan' negara dengan isu politik. Walaupun kes Mismah didedahkan oleh pembangkang yang melambangkan seolah-olah berlaku kepincangan dalam pengurusan kewargnegaraan di negara ini dengan memberi debit kepada Kerajaan di bawah pimpinan Najib, namun sebagai MP Parlimen di Sabah, Datuk Rahman seharusnya mengetahui lebih awal bahawa kes seumpamanya itu banyak berlaku di Sabah. Manakan logik sebagai MP Parlimen di Sabah, Datuk Rahman lebih mementingkan persoalan kredibiliti Ketua Pembangkang daripada isu sebegini. Kenyataan DARD ini boleh digambarkan sebagai senjata makan tuan bila ramai yang menganggap bahawa DARD begitu angkuh dan pada waktu yang sama enggan mengulas lambakan permasalahan rakyat Kota Belud yang perlu diselesaikan.

Kes Mismah menggemparkan negara apabila penama ini yang berstatus Penduduk Tetap (PR) seperti yang dilaporkan dalam portal Malaysiakini dan memegang Kad MYPR bernombor 640704715238 telah didaftarkan sebagai pengundi baru. Namun yang lebih menggemparkan ialah apabila selang beberap jam selepas semakan yang dibuat itu mendapati Mismah telah menjadi Warganegara dengan MYkad Biru. Keadaan ini telah mencetuskan keraguan yang munasabah terhadap keneutralan dan ketelusan SPR dan KERAJAAN mengenai pemeliharaan dan pembersihan demokrasi di negara ini.

Seperti yang diutarakan oleh seorang pengunjung fcb Datuk Rahman yang juga rakyat Kota Belud, sdr Rosdeen bahawa daripada

"Ya Dato....daripada layan Mismah...bagus atur masalah d KB...dari layan isu kredibiliti ketua pembangkang yang memang kita boleh pertikaikan...bagus atur kredibiliti sendiri di kawasaan sendiri...atur masalah air,tanah di rampayan,isu empangan di Tambatuon dan banyak isu d P169 menantikan penyelesaian...selamat berjuang Dato..."



Tuesday, August 2, 2011


Gambar : Sabahkini,net

Kalau di Pantai timur, rasanya SEMPORNA tetap menjadi tumpuan penganalisis politik tempatan. Pertama kerana SEMPORNA adalah satu-satunya di Sabah yang mengeluarkan pemimpin sehingga mencapai jawatan nombor tiga dalam parti teras pemerintah iaitu UMNO. Kedua kerana Tun Sakaran Dandai yang pernah menjawat jawatan ketua menteri Sabah dan TYT dikatakan mempunyai pengaruh yang besar dalam politik Sabah seperti pengaruh Tun Mustapha. Ada yang menyatakan bahawa tidak ada sangat kredibiliti YB Nasir Sakaran ADUN Senallang, tetapi kerana reputasi ayahandanya Tun Sakaran, maka YB Nasir 'sentiasa diberikan' peluang. Buktinya kata mereka, kawasan Senallang yang diwakilinya 2 musim tidak menunjukkan apa-apa perubahan, termasuk bekalan air bersih dan penurapan jalanraya kampung.

Atas dua sebab itulah Pekan SEMPORNA dibagaikan seperti gemerlapan lampu neon kota yang 'terang' pada malam hari tetapi penuh dengan kepalsuan. Pemerhati politik kerap menyelami percaturan politik Keluarga Tun Sakaran ini dengan pertimbangan wajar politik Datuk Shafie Apdal MP Parlimen Semporna yang menduduki naib presiden UMNO dan juga diwar-warkan bakal dimahkotakan dengan kerusi Ketua Menteri Sabah menjelang PRU 13 akan datang.

Walaupun sedikit demi sedikit pembangunan di Semporna mula kelihatan, namun beberapa kelemahan pentadbiran pihak berkuasa tempatan masih kelihatan. Melalui portal Sabahkini, memaparkan isu ini:

Oleh : MUTALIB M.D



KENDATIPUN pekan Semporna diwakili oleh tiga orang Adun iaitu Bugaya, Senallang, Sulabayan dan seorang Ahli Parlimen (Semporna) tetapi tidak ada seorangpun yang prihatin terhadap masalah prasarana yang dihadapi penduduk Semporna.


Buktinya, lopak besar di jantung pekan Semporna terbiar begitu sahaja tanpa ada usaha walau seorangpun wakil rakyatnya yang berusaha untuk memastikan lopak kerbau berkenaan ditutup dan diselenggarakan.


Aktivis Masyarakat, Abdullahsani Haji Abdul Salleh membidas kesemua wakil rakyat di Semporna kerana membiarkan lopak besar sebesar lubang kubur di hadapan Milimewa dan lebih 20 lubang di tengah pekan Semporna.


“Kita kesal kerana tidak ada pihak yang mahu tampil menyelesaikan masalah ini kerana setiap wakil rakyat menuding jari sesama sendiri siapa yang patut menyelenggarakan Pekan Sampah Semporna, sehingga jalan di dalam pekan langsung tidak diselenggara,” kata Abdullahsani yang juga Pengerusi Local Community Forum Tun Sakaran Marin Parks.


tempatan berhubung keadaan pekan Semporna yang bukan sahaja mempunyai dua menteri penuh di peringkat negeri dan persekutuan, malah empat Wakil rakyat; namun tidak seorangpun yang peka dan prihatin terhadap rungutan rakyat dan pelancong.


Kesemua wakil rakyat, kata Abdullahsani masing-masing sibuk dengan urusan mereka di ibu negeri dan ibu kota dan hanya kembali ke Semporna secara senyap-senyap seperti kelawar dan meninggalkan Semporna seperti pencuri tanpa sempat berjumpa rakyat.


Menurut Abdullahsani, beliau sering dilontarkan pelbagai soalan oleh para pelancong dan rakyat

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Majlis Daerah dan Jabatan Kerjaraya segera membaiki jalan di dalam Pekan Semporna yang tidak ubah seperti sebuah perkampungan di Filipina Selatan.


“Semporna mempunyai aset pelancongan semula jadi kelas dunia; tetapi oleh kerana pekan Semporna begitu mundur dan daif, maka rakyat Semporna tidak mendapat manfaat langsung daripada pelancong yang hanya ke Sipadan dan pulang tanpa membelanjakan wang mereka di Pekan Semporna,” ujar Abdullahsani yang agak kesal dengan senario yang berlaku.

Monday, August 1, 2011


Sejak kes atau skandal pengambilan Tanah warisan Iranun di Rampayan oleh syarikat pemaju Kinsamewah sdn.bhd. meletus di Kota belud, Bahi Mulia yang juga merupakan adik kepada YDP Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Pangima Pandikar Amin Hj Mulia mula mendapat perhatian terutama di laman sosial fcb. Bukan kerana populariti TSP, tetapi kerana ketegasannya mempertahankan hak dan warisan Tanah masyarakat Rampayan. Ahli Jawatankuasa yang dilantik ntuk menangani kes ini khabarnya turut disertai oleh masyarakat setempat. Walaupun kes ini sudah kepengetahun MP Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan dan ADUN Tempasuk Datuk Musbah Jamli,namun kedua-dua pemimpin yang dipilih rakyat ini 'nyata' gagal merundingkan keputusan yang memuaskan hati kedua-dua belah pihak. Malahan mungkin kerana ketidakpuasan hati terhadap cara Datuk Rahman menangani permasalahan ini, sudah ada laman fcb yang dibuat sebagai tanda protes kepada ahli Parlimen ini.

Kenyataan Bahi wata dalam beberapa pedebatan di fcb juga mengundang persoalan yang boleh difikirkan:

Kalau berdasarkan surat YB DARD..menjadikan pusat pelancongan mewah, pembangunan hotel bertaraf 5 bintang sesuatu yg sgt mustahil. Ini kerana pemaju akan mengalami kerugian yg sgt besar kerana langsung TIDAK ADA kemudahan asas...TIDAK ADA JALAN RAYA, TIDAK ADA TELEKOMUNIKASI, TIDAK ADA BEKALAN AIR, jauh tersorok dari pekan apa lagi bandar... Untuk membangunkan sahaja 3 kemudahan asas ini memerlukan puluhan JUTA...so di mana
letaknya KEWAJARAN pembinaan hotel mewah di sini.

Beberapa hotel di KK pun gagal bertahan. Ini kerana pelancong lebih tertarik melancong ke Pulau Bali, Pulau Phoket, dll distinasi pelancongan yg tidak ada sekatan..mereka boleh separuh bogel, berjemur di pantai sesuka hati..Arak dan perempuan jadi langganan utama serta pusat perjudian. ini yg boleh menghidupkan hotel2 mewah.... Dapatkah ini diterima dan dilakukan di Kota Belud yg kaya dengan budaya ketimuran?



HOTEL MEWAH KONON.... Anjing dan Sapi di Kota Belud pun sampai sekarang TIDAK PANDAI SELESAI...MASALAH SAWAH PADI DI JAWI-JAWI YG DITENGGELAMI AIR walau hujan turun sekejap saja pun tidak ada jalan penyelesaian...Mana JELAPANG PADI KOTA BELUD yang tidak menelan peruntukan ratusan juta?... Inikan pulak, hutan rimba hendak dibangunkan...


Adakah benar PEMBANGUNAN ? ATAU TANAH RAMPAYAN DIJUAL UNTUK MENDAPAT KEUNTUNGAN? .......Pendapat kamu betul dik, adakah company besar main beli saja tanah tetapi tidak buat SWOT Analysis....

SEPERKARA LAGI : Sibuk sangat membawa PEMBANGUNAN MEGA di Rampayan.... Inikah warga Kota Belud mahukan, sedangkan air minum mereka pun tidak ada...semua kemudahan asas belum lagi ditunaikan oleh kerajaan...
1. Berapa peratus jalan raya yg telah berturap di Kota Belud ?
2. Berapa Peratus rumah yang mnerima bekalan elektrik ?
3. Berapa Peratus rumah yang menerima air bersih ?
4. Berapa Peratus penurunan Miskin Tegar ?
5. Berapa Peratus peningkatan Pendapatan Isi Rumah ?
6. Berapa Peratus penurunan gejala sosial d Kota Belud ?
7. Berapa Peratus peningkatan Belia yang ke menara gading ?
8. Berapa Ekor Lembu & anjing yg berkurangan bersantai d Pekan KB ?

Ramai sudahkah belia yg menjadi usahawan yg dibantu dan diasuh oleh MP Kota Belud sehingga PEMBANGUNAN MEGA MENJADI KEUTAMAAN....



Ketika Anwar Ibrahim mulai menghebohkan hasrat hendak menawan Putrajaya, beliau memberi gambaran yang ramai Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan melompat parti untuk menyertai kerajaan baru. Kenyataan beliau sungguh memeranjat serta mengelirukan. Memeranjatkan kerana dikhuatiri kemungkinan beliau betul betul mendapat sokongan ramai MP dari Sabah, kerana perkara seperti ini pernah berlaku di peringkat negeri di sana. Tetapi setelah penafian demi penafian di buat oleh MP dari Sabah timbul pula tandatanya tentang kesahihan dakwaan Anwar itu.
Di Sarawak pula, rakyat di sana terkeliru sebab sudah sekian lama tak dengar orang lompat parti. Yang pernah lompat dua puluh tahun dahulu langsung tenggelam, kalah dalam pilihanraya berikutnya, hingga sekarang tak timbul timbul. Sebab itu MP Sarawak tak payahpun nak menafi dakwaan Anwar, sebab mereka sungguh arif akibat melompat ke parti lawan.

Di Semenanjung pula perkara lompat parti ini agaknya suatu ide atau kaedah penemuan baru Saudara Anwar. Ini pernah berlaku secara kecil kecilan diperingkat negeri dahulu, itu pun dari Parti pembangkang ke parti kerajaan di Kelantan. Yang ini lain pula, dari parti kerajaan ke parti yang ingin nak jadi kerajaan.

Sungguh mengelirukan! terutama bagi orang orang UMNO, yang kini berhadapan dengan bermacam macam masalah dalaman, misalnya dahulu Muhyddin Yassin sokong peralihan kuasa, hari ini lain pula ceritanya. Semalam si Zaid Ibrahim cabar Muhyddin letak Jawatan, hari ini dia sendiri pula yang letak Jawatan. Semalam Tun Mahathir Keluar Parti, hari ini beliau mohon nak masuk balik!

Sungguhpun demikian, ini tidaklah bermakna UMNO dalam kedudukan begitu lemah seperti di gembar gemburkan oleh Anwar. UMNO memiliki pengaruh dengan jaringan akar umbi yang meluas di Semenanjung Malaysia, berbanding PKR yang banyak bergantung dengan kekuatan Anwar semata mata.

Dalam pilihanraya tahun ini UMNO telah mendapat sokongan kira kira 1.87 juta undi Melayu dari 112 Kawasan Parlimen, manakala Barisan Nasional mendapat 2.28 juta undi Melayu di Semenanjung Malaysia.Sebagai perbandingan PKR hanya memperolehi kira kira 700,000 undi Melayu di 68 Kawasan Parlimen yang di tandinginya di Semenanjung.

Jika sesungguhnya ada Ahli Parlimen UMNO yang hendak melompat parti, sebenarnya beliau berhadapan dengan banyak risiko dalam kerjaya politiknya. Untuk menilai risiko yang dimaksudkan, bacalah artikel ini dan fikirlah sejenak.

UMNO bukanlah sebuah parti kerdil yang mudah tenggelam. Sama seperti PAS, masing masing ada landasan perjuangan kukuh. Selagi parti parti ini berada di landasan perjuangan asalnya, Melayu tidak akan sanggup meninggalkannya. Ini bukanlah andaian semata semata, kerana ini terbukti secara analisis data statistik keatas keputusan beberapa pilihanraya yang lepas. Ini telah dibuat untuk Barisan Nasional dahulu (lihat artikel ‘Malaysia’s General Election 2008 Results : A Comprehensif Analisis’ bertarikh 10 Mei).

Kali ini analisis yang serupa dibuat tetapi khas untuk UMNO yang telah memenangi 79 kerusi(66 kerusi di Semenanjung dan 13 di Sabah). Berasas dengan model equation yang dihasilkan dalam para. Kaedah Analisis di hujung artikel ini, saya perturunkan estimates keputusan pilihanraya umum 2008 untuk kawasan P. 160 Johore Bahru sebagai contoh:

Butir butir Kiraan undi mengikut model undi sebenar
Undi Melayu (0.54×31,035) =16,758
Undi Cina (0.39×26733) =10,426
Undi India (0.05×2876) = 144
Undi Setia UMNO (320×87.5%) =27,968
Undi sumbangan Calon (313×5) = 1,567
Konstant - 19,015
Jumlah undi UMNO 37,847 43,143


Dalam contoh diatas, peratusan undi umno pada pilihanraya sebelumnya, yang mencerminkan undi setia umno, menyumbang sebanyak 27,968 undi dan faktor status calon hanya menyumbang 1,567 undi sahaja.Kelebihan undi sebenar sebanyak 5296 berbanding kiraan model tidak dapat di explain, besar kemungkinan kerana faktor populariti khas calon Datuk Shahrir Samad yang bertanding dalam kawasan P.160 ini.

Kesimpulan

Dengan hasil kajian diatas, bolehlah disimpulkan seramai 54% dari pengundi Melayu yang turun mengundi pada pilihanraya tahun 2008 telah mengundi UMNO, berbanding sebanyak 39% bagi kaum Cina dan 5% bagi kaum India.

Sebilangan besar pengundi telah mengundi kerana setia dengan parti, manakala sumbangan undi atas sebab populariti khas calon juga agaknya tinggi. Bagaimanapun seseorang calon biasa hanya mampu memperolehi undi individu yang marginal sahaja, tidak melebihi 1,600 undi dan kira kira 83% calon umno adalah dalam categori ini.

Berbanding keputusan pilihanraya tahun 2004, hasil analisis menunjukkan peratusan undi Melayu untuk UMNO hanya menurun kira kira 3.3% sahaja, mengambarkan keadaan lebih baik dari tanggapan umum. Ini lebih baik daripada prestasi Barisan Nasional yang kehilangan 10% undi Melayu, secara tidak lansung menggambarkan kemerosotan sokongan Melayu kepada parti MCA, MIC dan GERAKAN.

Implikasi daripada hasil kajian diatas menunjukkan, sekiranya seseorang Ahli Parlimen UMNO melompat parti ke Pakatan Rakyat, beliau akan kehilangan kerusi dalam pilihanraya umum yang akan datang oleh kerana kedudukan UMNO yang teguh dalam kawasan tersebut dengan regression coeficient undi Melayu 0.54 dan coeficient kesetiaan pengundi 320. Natijah ini relevan untuk calon biasa, merangkumi 83% daripada keseluruhan calon UMNO.

Anda mungkin bertanya, jika begitu, mengapa UMNO boleh kehilangan begitu banyak kerusi kepada Parti Pembangkang dalam pilihanraya tahun ini. Jawapannya ialah kerana larinya sokongan secara mendadak dari kaum India dan Cina, dan bukan kerana kehilangan undi Melayu yang banyak. Sebenarnya, UMNO telah kehilangan separuh undi Cina dan hampir semua undi India dalam pilihanraya tahun ini. (Dipetik dari blog Dah Ikhwan Weblog).

Perkembangan mutakhir dengan kemenangan PRK 8 BN dan 8 PR. Empat PRK terakhir membuktikan orang Melayu menolak PAS dan sokongan Orang India meningkat naik serta orang Cina mula menunjuk peningkatan undi. Di PRK Merlimau contohnya sokongan orang India kepada BN sebanyak 80% dan sokongan orang Cina kembali 60%.

Seperti apa yang disimpulkan oleh DS Najib ini ialah tanda-tanda mengalakkan dan trend kebangkitan rakyat Malaysia baik orang Melayu yang setia kepada UMNO, orang India yang kembali menyokong BN, juga orang Cina yang mahu memberi peluang kepada DS Najib memimpin Malaysia.

Semua parti komponen BN pada peringkat bahagian di semua 222 kawasan pilihan raya parlimen telah diminta mengemukakan nama calon yang difikirkan sesuai untuk diserahkan kepada pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin atasan secepat mungkin.


Akhbar harian Cina Sin Chew Daily pada tajuk utamanya yang memetik sumber berkata semua bahagian menerima arahan itu sejak dua atau tiga bulan lalu yang meminta mereka mengemukakan senarai calon berdasarkan agihan kerusi yang dibuat pada pilihan raya umum 2008.


Setiap bahagian diminta mengemukakan tiga nama bersama latarbelakang terperinci mereka.


Menurut akhbar itu, arahan daripada pemimpin BN itu dibuat sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu tetapi berdasarkan scenario politik semasa, kemungkinan besar pilihan raya umum akan diadakan pada November atau Mac, April tahun depan.


Senarai itu adalah hanya nama awal yang akan dikaji bersama laporan penilaian dan kaji selidik untuk menentukan kemampuan seseorang calon untuk menang sebelum keputusan muktamad dibuat.


Penyerahan nama yang awal itu bertujuan memberi Najib lebih banyak masa untuk "menyaring" calon menjelang pilihan raya umum akan datang.


Memetik seorang ahli parlimen yang tidak disebutkan namanya, akhbar Sin Chew Daily melaporkan pemimpin BN telah mewawancara beberapa ahli parlimen BN baru-baru ini dan sesi terbaru itu berlainan dengan temu-bual tiga minit yang diadakan dengan Najib, sebelum ini.


"Sepanjang pengetahuan kami, laporan kali ini yang diperolehi pemimpin atasan BN, tidak hanya terhad yang diterima daripada polis Cawangan Khas (SB) atau Kementerian Penerangan sahaja.

"Tidak memeranjatkan jika terdapat 20 atau 30 laporan berhubung satu-satu kerusi. Ini akan memastikan maklumat yang diterima boleh menggambarkan keadaan sebenarnya," kata ahli parlimen itu.


Menurut sumber lain yang dipetik akhbar itu lagi, peluang BN menang di 80 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan adalah antara 40 hingga 60 peratus dan kerusi-kerusi ini yang akan menentukan jika BN dapat merebut kembali majoriti dua pertiganya di parlimen.


"Kerusi-kerusi ini bukan sahaja yang BN tewas pada 2008 tetapi juga adalah kerusi yang dimenanginya," kata sumber itu sambil menambah 'kerusi sasaran' itu kini 'dijaga' oleh menteri dan timbalan menteri BN.


Mengenai negeri-negeri yang tumbang pada Pakatan Rakyat pada pilihan raya yang lalu, BN yakin dapat merampas kembali Kedah dan Selangor, lapor akhbar berkenaan.


Sunday, July 31, 2011


Apabila DSAI dipanggil membela diri ekoran kes liwat siri 2 yang dihadapinya di mahkamah sudah ada yang mula menimbulkan susana panik dan berat sebelah. Kononnya keputusan akan mendati DSAI bersalah dan akan merengkok kembali dalam penjara. Kepanikkan dalam politik meletus dan membuak persisi lava gunung berapi yang panas dan mendidih. Kerusi Ketua Pembangkang yang kini disandang oleh DSAI mula dianugerahkan kepada Tengku Razaliegh (KU LI) yang mula kedengaran desas desusnya menerima pelawaan dari PAS.

Memang pun dari sejarah politiknya, PAS lebih berkecenderungan kepada KU LI bila persefahaman politik telah terjalin dalam APU suatu ketika dulu sebelum KU LI membubarkan Semangat 46 dan kemudiannya menyertai UMNO semula, berbanding dengan DSAI yang dari awal telah menyertai UMNO dan telah tidak punya rekod berkerjasama dengan PAS terkecuali apabila DSAI dilucutkan dari semua jawatan parti dan kerajaan pada tahun 1998.


Oleh kerana PAS secara logiknya lebih senang mentarbiyah KU LI daripada DSAI dan lebih berkesanggupan melihat KU LI mengemudi parti pembangkang kerana KU LI punya pengalaman sebegitu berbanding DSAI. Tambahan pula KU LI harus memikirkan semula platform politiknya setelah kehadirannya dalam UMNO ibarat melukut ditepi gantang, biduk lalu kimbang bertaut. Ada tidak bertambah dan ketidaannya tidak berkurang pada UMNO.

Tinggal hanya kebersetujuan KU LI samaada akan menyertai pembangkang ataupun tidak. Rekod bersih KU LI juga berbanding dengan DSAI yang terpalit dengan pelbagai skandal akan memungkinkan dengan aura KU LI pakatan Pembangkang akan berupaya menawan putrajaya. Antara DSAI dan KU LI siapa yang lebih layak?

Barisan Nasional (BN) boleh kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13, demikian menurut keputusan pilihan raya olok-olok melainkan parti-parti komponennya meletakkan muka-muka popular yang berpotensi dan memastikan jentera di peringkat akar umbi menjana sokongan pengundi.



The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya latihan yang diadakan baru-baru ini menunjukkan BN boleh kehilangan sehingga 15 daripada 56 kerusi di Johor, dikuasai Pakatan Rakyat (PR).


Persekitaran itu tidak pernah diduga tetapi BN telah hilang enam kerusi di Johor pada pilihan raya umum 2008.
Daripada enam kerusi itu PAS menguasai dua manakala DAP pula empat.


Difahamkan Perlis, di mana BN menguasai 14 daripada 15 kerusi, kemungkinan akan kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan salah satu daripada tiga bahagian Parlimen di tangan Pakatan Rakyat disebabkan kemarahan penduduk negeri itu mengenai isu Wahabi termasuk tindakan meletakkan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dalam senarai pengganas.


“Pilihan raya olok-olok ini menunjukkan banyak kelemahan. Dan, isu Wahabi tidak membantu,” kata satu sumber Umno kepada The Malaysian Insider.



Seorang pemimpin Umno yang semakin meningkat juga memberikan sentimen yang sama sambil menegaskan, BN perlu meletakkan muka-muka baru untuk menyegarkan kedudukan perikatan itu sementara memastikan jentera peringkat bawah peringkat aktif bagi mendapatkan sokongan menyeluruh.


“Masalahnya ialah jentera Umno boleh bekerja jika diberikan motivasi, tetapi ahli parti komponen kelihatan tidak diberikan motivasi,” kata pemimpin Umno itu.


Beliau mendedahkan bahawa Umno hanya boleh menang 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak meskipun BN memerintah semula negeri itu sejak awal 2009 ekoran tindakan melompat parti melibatkan tiga wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.



Pada Jun lalu, Umno negeri itu yakin boleh menang 33 kerusi dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menolak laporan The Malaysian Insider bahawa kemenangan hanya boleh dipastikan jika calon yang betul dipilih kali ini.


Difahamkan beberapa pemimpin Umno bahagian di Perak keberatan untuk berkempen atau mendaftar pemilih baru melainkan mereka pasti akan menjadi calon pilihan raya umum ke-13.
“Umno Perak kuat dan boleh menang 33 kerusi negeri tetapi pemimpin-pemimpin bahagian tidak mahu bergerak kecuali mereka atau calon pilihan mereka diturunkan,” kata sumber Umno ketika itu.


Pada Mac 2008, Umno bertanding di 34 daripada 59 kerusi Dewan Undngan Negeri di Perak dan menang 27 kerusi manakala MCA pula satu. Pakatan Rakyat memperoleh 31 kerusi.
“Keadaan tidak berubah di Perak dan kini keadaan yang sama wujud di Negeri Sembilan memandangkan pembangkang menjadi semakin kukuh, melihat pada kemungkinan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan kekal sebagai menteri besar,” kata sumber Umno.




Mohamad disebut-sebut akan bertanding kerusi Parlimen.
Kata sumber itu, mereka melobi dengan kuat untuk mendapatkan kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Tetapi mereka lupa bahawa kemenangan ketika pilihan raya umum 2008 adalah tipis,” katanya lagi.



Di negeri itu, BN menguasai 21 daripada 36 kerusi manakala 15 dimenangi Pakatan Rakyat, yang yakin untuk mengambil alih negeri itu kali ini.


Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS kini menguasai kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selain memperoleh 82 kerusi Parlimen.


Perikatan itu menyasarkan akan memperoleh lebih banyak kerusi kali ini dan mengurangkan lagi majoriti BN pada pilihan raya umum ke-13.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memberi bayangan bila pilihan raya umum akan diadakan tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberitahu BN agar bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum dalam waktu terdekat.


Kebanyakan penganalisis dan pemimpin pembangkang menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini tetapi ada juga mengatakan ia kemungkinan diadakan seawal November ini selepas Bajet 2012 dibentangkan di Parlimen awal 7Oktober dan sebelum perhimpunan agung tahunan Umno.

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADAN KEPADA SEMUA PENGUNJUNG BLOG INI.


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.



1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-



2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-



3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-



4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-




5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-




PENERANGAN HADIS


1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.



2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.



3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.




4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.



5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.



6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.



7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.



8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.



9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.



10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.



11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.



Biografi


1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.


2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani


3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Friday, July 29, 2011


Antara lapan tuntutan perhimpunan BERSIH 2.0 9 Julai lepas ialah penggunaan dakwat kekal atau indelible ink dalam sistem pilihanraya negara. Ini membawa makna setiap pengundi berdaftar di negara ini akan mencelupkan jari ke dalam dakwat sebelum melakukan pengundian. Beberapa alasan yang diberikan oleh BERSIH 2.0 dan juga gabungan parti pembangkang terhadap penggunaan dakwat kekal ini. Selain daripada mengelakkan pengundian yang berulang, sistem dakwat kekal ini juga dikatakan murah dan jimat serta senang dilaksanakan dan tidak memerlukan latihan kepada pengendali atau pegawai SPR yang bertugas. Walaupun sistem ini dianggap secara manual tetapi dipercayai ia lebih efisien dan mampu mengatasi masalah pengundi hantu.

Malahan alasan lain yang turut diberikan ialah penggunaan Dakwat kekal ini telahpun cuba dipraktikan oleh SPR pada era pentadbiran Pak Lah tetapi dibatalkan secara mengejut dengan alasan berkaitan keselamatan negara, walaupun di pihak pembangkang isu penggunaan dakwat kekal ini dimanipulasikan oleh BN untuk mengelakkan daripada diterima pakai dalam sistem pilihanraya negara. Selain daripada itu pembangkang juga menyuarakan jaminan bahawa penggunaan dakwat kekal ini tidak bertentangan dengan perlembagaan negara perkara 119 (1). Lagipun penggunaan dakwat kekal ini bukan bertujuan untuk menyekat orang ramai daripada mengundi tetapi hanya bersifat 'mengesahkan' semata-mata.

Ekoran daripada penolakkan penggunaan Dakwat kekal itu, kerajaan dan SPR mengemukakan kaedah lain iaitu penggunaan sistem biometrik. Pengenalpastian Identiti pengundi adalah berdasarkan butiran MYKAD yang menyebabkan perkongsian maklumat dengan JPN. Sistem ini dipercayai lebih baik dan efisien kerana pengesahan cap jari di lakukan dengan cepat dan selari dengan maklumat dalam MYKAD.Melalui kaedah ini juga ia akan mengelakkan pertindihan pengundi dan pengundian nlebih dari sekali. Sealain daripada itu sistem ini juga akanmemastikan perjalanan pemilihan lancar dan bebas dari unsur penipuan. Di tambah lagi wakail -wakil parti politik yang bertanding dan ejen calon dibenarkan berada di pusat pengundian untuk mengelakkan unsur manipulasi.


Walaupun jaminan telah diberikan oleh pihak SPR namun pakatan pembangkang telah membuat keputusan untuk menolak penggunaan sistem biometrik ini atas alasan politik. Seperti yang dikatakan oleh Presiden PAS dalam blognya bahawa penggunaan sistem biometrik ini tidak akan dapat mengatasi permasalahan pengundi hantu dan senang dimanipulasikan kerana sistem ini memerlukan pakar untuk melaksanakannya, sedangkan kepakaran itu cukup terhad buat masa ini. Walaupun sistem MYKAD ini dikatakan selari dengan rekod JPN, namun pihak pembangkang masih mempertikaikannya kerana JPN di bawah kawalselia kerajaan. Dengan memberi contoh seperti di Sabah bahawa berlaku pertambahan penduduk Sabah 300% dalam tempoh 5- 10 tahun yang lepas cukup memeranjatkan.

Selain itu pembangkang juga memberikan alasan, sistem biometrik ini akan lebih banyak menimbulkan kerumitan terutama apabila cip MYKAD mengalami kerosakan atau down sistem boleh berlaku bila-bila masa dan ini akan menganggu sistem pemilihan yang dijalankan. Selain itu tidak akan jaminan tentang kos operasi dan juga pemantaun yang optimam dari kedua-dua pihak terutama SPR, kerana pengendalian sistem ini memerlukan kepakaran. Jika ingin mewujudkan sistem pilihanraya yang adil, hanya penggunaan dakwat kekal sahaja yang dapat merealisasikannya buat masa ini, kata gabungan parti pembangkang.

Berdasarkan kebimbangan itu pihak SPR dan kerajaan terutamanya perlu juga mengemukakan kesulitan-kesulitan yang bakal dihadapi bila menggunakan sistem dakwat kekal termasuk perbandingan kos operasi dan perbezaan tempoh pengendalian kedua-dua kaedah pengundian ini, untuk memberikan makl;umat tepat kepada rakyat supaya rakyat dapat memberikan maklumbalas yang tepat kerana rakyat yang memilih dan bukan pemimpin kerajaan dan pemimpin pembangkang.

Wednesday, July 27, 2011


Di Kota Belud, situasi sokongan kepada pemimpin sesuatu yang cukup getir dan pahit untuk diulas. Kerana rata-rata penduduknya masih dibelenggu oleh prinsip politik songsang yang berpendirian perlu memberikan sokongan kepada pemimpin dari parti tertentu dengan menerima habuan RM sekitar 50-Rm 100 setiap kali pilihanraya. Agak menyedihkan kerana situasi ini berlarutan sekian lama, sehingga pemimpin yang dilahirkan langsung tidak berbuat apa-apa tetapi boleh 'dimenangkan' dengan begitu mudah.

Generasi yang berpendirian begitu telah mula berkurang,generasi yang mula celik kepada politik secara matang mula mengambil tempat. Perubahan itu mula terasa pada PRU12 yang lepas..tetapi agak terlalu perlahan. Ramai meramalkan bahawa generasi baru yang mula mempersoalkan gerak dan geri pemimpin termasuk sumbangan mereka kepada kesejahteraan hidup rakyat akan mula mendominasi politik Kota Belud. Inilah yang membimbangkan beberapa pemimpin di Kota belud, apatah lagi tingkah politik mereka mula diceritakan dilaman blog dan Fcb. Baru-baru ini khabarnya pemimpin lama yang memang tidak pernah membuat apa-apa di daerah Kota Belud telah mengumpulkan beberapa orang blogger,untuk suai kenal dan mungkin juga untuk menarik sokongan golongan muda ini.

Rakyat Kota Belud harus berani berubah, menolak pemimpin yang gagal mrealisasikan setiap janji pilihanraya mereka. Mungkin agak payah dan susah tetapi dengan meletakkan kepentingan generasi akan datang, mungkin boleh diteruskan. Bayangkanlah jika sokongan yang anda berikan itu telah dipergunakan selama 5 tahun, bukankah pada saat di penghujung penggal YB yang dipilih itu akan dapat menunaikan janjinya. Jika tidak anda dan generasi anda telah mengalami kerugian selama tempoh itu. Berikan pengajaran berguna kepada mereka bahawa pemimpin bukan setakat 'menjual' air liur mereka ketika kempen tetapi juga komitmen dan kesungguhan membantu rakyat.

Para pemimpin yang suka menabur janji ini begitu merasakan bahawa mereka masih berpengaruh, lantas menyusun kembali pengaruh mereka dengan meletakkan beberapa orang penting mereka dalam beberapa agensi kerajaan tempatan di Kota Belud. Mencadangkan nama pegawai tertentu, supaya konon pegawai terbabit akan menyokong mereka kalau mereka berpelung menjadi wakil rakyat atau diteruskan status wakil rakyat mereka pada PRU 13 akan datang. Rakyat Kota Belud harus berani menyatakan pendirian mereka kepada Najib bahawa apa kemahuan mereka bukannya apa yang pemimpin mahukan untuk mereka.

Jika landasan generasi baru dijadikan sandaran secara total, kita berkeyakinan akan berlaku perubahan kepimpin di Kota Belud. Maksudnya, akan ada pemimpin yang benar-benar membela rakyat dan bukan pemimpin yang sukar menabur janji dan tidak menunaikannya. sesiapa pun juga pemimpin itu baik dari parti pemerintah atau parti selainnya, bukan isu utama kerana yang lebih penting ialah nilai kepimpinan itu dan hubungannya dengan rakyat. kalau rakyat Kota Belud menyahut seruan itu, yakinlah bahawa anda tidak akan dipermainkan selama-lamanya.

Sejak kebelakangan ini politik Sabah kembali bergelora..badainya cukup kuat dan ganas. Kepimpinan UMNO Sabah digambarkan cukup berkecamuk dengan pelbagai team dan kumpulan. Manakala komponen BN sabah juga begitu rapuh dengan pelbagai insiden termasuk yang melibatkan parti komponen dari kaum Cina. Kepimpinan LDP dan SAPP ( keluar dari BN) telah lama menunjukkan kontra besar kepada kepimpinan Musa Aman selaku Ketua Menteri Sabah. Perselisihan dan pergeseran politik antara Musa Aman dan Shafie Apdal juga banyak dimuatkan di dada-dada akhbar portal dan laman web blog. Tambah meruncingkan rakyat Sabah lagi ialah apabila medan maya terus terusan bergelomang dengan ceritera politik pemimpin terbabit.

Dan dalam waktu yang cukup keruh itu, sekali lagi politik Sabah menerima tsunami bila Parti Usno cuba dihidupkan kembali oleh anak kepada pengasas asal parti itu iaitu datu Badarudin Tun Mustafa. Semua rakyat Sabah tahu bahawa parti Usno yang diasaskan pada tahun 1961 oleh Tun Mustapha Datu Harun telah 'dimatikan' ekoran daripada keputusan untuk membawa masuk UMNO ke Sabah pada tahun 1991. Walaupun ramai juga yang tahu bahawa USNO telah berjaya menjadi Payung Politik bumiputera Islam di Sabah dengan berjaya memerintah Sabah selepas pilihanraya 1967 dan kekal berkuasa sehingga tahun 1975 dibawah kepimpinan Tun Mustapha dan berlanjutan ke tahun 1976 di bawah kepimpinan Said Keruak.

Parti Usno inilah juga yang telah menjalinkan kerjasama erat dengan UPKO di bawah kepimpinan Tun Mohd Stephens .Melalui Persekutuan Tanah Melayu, USNO dan UPKO telah berjaya memperolehi kemerdekaan dari Great Britian.

Perjalanan hidup politik Usno sememangnya penuh dengan tragis dan ranjau..pernah mengalami kekalahan kepada parti BERJAYA pada tahun 1976 dan BERJAYA memerintah Sabah sehingga 1985 di bawah kepimpinan Datuk Haris Salleh, bekas setiausaha USNO. Selepas itu walaupun USNO menyertai pilihanraya negeri sekitar tahun 1981, 1985,1986 dan 1990 namun telah gagal untuk memperolehi majoriti dan membolehkan USNO membentuk kerajaan.

Jika Usno dihidupkan semula, tentunya politik Sabah akan mengalami gelombang deras yang maha deras. Bukan sahaja UMNO akan mengalami penurunan sokongan tetapi lebih jauh dari itu ialah tentunya Mantan Pemimpin Usno yang masih bergentayangan ekoran 'gagal' mendapat tempat dalam UMNO Sabah dijangka akan mengemudi kembali parti Usno, walaupun pada asasnya hanya kelihatan beberapa orang dibelakang Datu Badaruddin Tun Mustapha beberapa minggu lepas ketika mengumumkan hasrat untuk mendaftarkan kembali parti Usno di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

UMNO Sabah bukan sahaja akan mengalami dan 'kehilangan' pemimpin yang selama ini berada pada kedudukan 'atas pagar' dengan mengamalkan suara senyap dalam parti itu ekoran beberapa isu termasuk hal berkaitan tander dan projek tetapi juga dengan kemunculan Usno kembali akan merencatkan usaha UMNO Pusat mengekalkan Sabah sebagai Fixed Deposit, apatah lagi bila USNO itu nanti berada pada kedudukan 'anti' kerajaan (pembangkang).

USNO jika berjaya didaftarkan semula akan mengembalikan kegemilangannya sama ada selaku pemerintah atau ketika berada di posisi pembangkang. Rakyat Sabah akan punya pilihan sama ada berada pada payung UMNO parti dari Semenanjung atau akan terus bersama USNO dan menghidupkan roh perjuangan Tun Mustapha. Rakyat Sabah akan kembali mempunyai hak memilih tidak seperti tahun 1991 bila rakyat bumiputera Islam tidak punya pilihan besar selain dari menyertai UMNO kerana USNO dikaramkan dalam lautan politik Sabah.



Oleh : Media Usno

USNO telah dihidupkan semula dan memberi altimatum 14 hari kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) sebelum kes berkenaan dirujuk kepada DYMM Ynag Di Pertuan Agong kerana Kerajaan Malaysia tidak menghormati Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan!




Demikian kata Presiden Penaja USNO, Datu Badaruddin Tun Datu Mustapha, iaitu anak ‘Bapa Kemerdekaan Sabah’, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun dalam sidang akhbarnya yang diadakan di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu, kelmarin.



Dalam kenyataan 2 muka surat itu, Datu Badaruddin telah membacakan beberapa tuntutan kepada pihak kerajaan mengenai parti berkenaan.




Antara lain Datu Badaruddin Tun Datu Mustapha memaklumkan, bahawa mereka telah menghidupkan semula Parti USNO pada 26 Oktober 2010 ekoran dari penolakan NGO USNO beberapa tahun lalu oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) yang menyebabkan para ahlinya membuat keputusan mendaftarkan semula USNO dalam bentuk parti politik.




Jesteru itu, USNO memberi tempoh yang agak singkat kepada kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri KDN selama 14 hari bagi memaklumkan mereka sama ada melulus atau sebaliknya.

USNO menuntut keadilan dan hak mereka sebagai Rakyat seperti mana dalam Perjanjian Malaysia dan termaktub dalam tuntutan 20 perkara ketika Sabah membentuk Malaysia.




Jika pihak KDN tidak mengambil keputusan mengenai kedudukan Parti itu, maka pihak USNO akan menghantar satu Memorandum kepada DYMM Agong melalui TYT Negeri Sabah bagi mendapatkan Hak mereka.

Mereka mendakwa sepatutnya kerajaan belaku adil dan saksama terhadap rakyat mereka yang berada di Malaysia Timur dan dan tidak hanya kepada rakyat Malaysia Barat dengan merujuk kepada keputusan pihak kerajaan mendaftarkan parti MAKKAL SAKTI di Semenanjung hanya mengambil masa 60 hari, wal hal USNO telah menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kelulusan itu.




Di samping itu, kata Badaruddin, USNO juga mengambil keputusan untuk bertanding pada PRU13 pilihanraya akan datang dan menuntut kelulusan sementara penggunaan Lambang dan Logo Parti itu dibenarkan menyertai pilihanraya berkenaan.

USNO meminta supaya UMNO mengenang budi Ahli USNO yang telah memberi laluan kepada mereka untuk bertapak di Sabah dan jangan takut berhadapan dengan Parti USNO pada pilihanraya akan datang.




Bagaimanapun, kata Badaruddin, UMNO dilihat amat gementar jika Kerajaan meluluskan permohonan Parti Kemerdekaan Sabah ini dan Badaruddin yakin dalang sebenar yang menghalang pendaftaran USNO ialah pemimpin UMNO.




Jesteru itu Datu Badaruddin Tun Datu Mustapha mencabar Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussien, jika ingin berhadapan dengan ‘budak-budak nakal’ pada pihanraya akan datang, maka beliau diminta supaya membantu menyegerakan kelulusan USNO dan mencabarnya untuk turun ke gelanggang bertarung pada PRU13; untuk melihat siapa yang lebih diterima di Sabah, sama ada UMNO atau USNO.




Sidang akbar yang dihadiri oleh lebih kurang 50 orang ahli dan pendokong USNO seluruh Sabah itu juga dihadiri oleh 13 orang penajanya yang diketuai oleh Datu Badaruddin Tun Datu Haji Mustapha dan Naib Presidennya Abdullah Sani Hj. Abdul Salleh