Thursday, August 19, 2010


Bismillahhirahmannirahim


Dengan nama Allah yang maha Pengasih dan Penyayang. Yang mengatur alam ini dengan begitu sempurna.Mentakdirkan malam mengambil alih siang dan siang ditutupi malam. KepadaNYA kita menyerahkan jiwa dan raga. Mengharapkan agar Datuk Seri dan keluarga sentiasa dalam RahmatNYA.



Pertama sekali saya memohon maaf kerana mengutus surat terbuka ini kepada Datuk Seri…Terbuka kerana sesiapa pun boleh membacanya.Tidak mengandungi paparan sengketa lama dalam bangsa. Tetapi ini sekadar catatan penglipurlara, seorang puteri pejuang bangsa ,membawa cerita-cerita lisan masa depan bangsa kita. Mungkin Datuk seri lebih arif dan perkasa dalam cerita bangkit dan rebahnya bangsa .Kerana MUNGKIN Datuk seri punya Ilmu Kebalnya. SEDANGKAN kami generasi muda sudah semakin SESAT dan kembali mentelaah buku dan catit,penghujungnya entah ke mana. Andainya itu berlaku..surat terbuka ini adalah renteten darinya..Andai Datuk Seri sibuk banyak perkara…surat ini sekadar mengingatkan semula..



Datuk Seri…


Saya hanyalah manusia biasa, bersendirian mengutus surat kepada Datuk Seri membawa pesan, membawa rintihan, membawa keluhan generasi belia kita sebangsa…mengingatkan semula Datuk Seri sudah sedekad lamanya kita tidak mendengar laungan PISBA. Sudah sekian lamanya juga kita sudah tidak merasa hembusan nafas PISBA, juga sudah sedekad ini mungkin akan menjadi sekurun kalau pencaindera PISBA ditutup sekian lama. Kerana Datuk Seri seingat saya, PISBA ditubuhkan sudah seusia dengan saya. Seorang manusia sudah cukup dewasa mencecah umur 35 tahun, barangkali sudah separuh perjalanannya. Cukup matang menghadapi gelombang. Cukup dewasa menghadapi badai samudera. Bagaimana dengan PISBA kita Datuk?



Datuk Seri..


Kalau di susur semula ‘kehebatan’ PISBA, ia menjadi salur darah bangsa kita. Bermula dari mufakat pemimpin yang lahir dari jerit laung bangsa Iranun…pemimpin kita mula mendaki bukit-bukit kuasa. Terima kasih kepada mereka..kerana merekalah bangsa kita mencipta nama…kerana merekalah kita disegan kawan dan lawan..Tetapi datuk…setelah hampir begitu lama..Di mana sudah Generasi kita?..Di mana sudah janji-janji pemimpin kita?..Di mana sudah pemufakatan kita..? Di mana Datuk, pertubuhan kita? Di mana sudah PISBA? Tempat generasi muda bergurau senda.. tempat sekalian orang tua kita mencanai dan menggilap tunas pemimpin muda…



Datuk Seri…


Andainya PISBA sudah lama meninggal dunia…Tunjukkanlah kami mana pusaranya? Sampaikan pada kami bila kendurinya..? supaya kami datang menangisi kematian pejuang bangsa…supaya kami hadir membacakan Fatihah…supaya kami berkumpul membacakan doa..Dan sekiranya PISBA berkahwin dua..mana bunga manggarnya..bunyi gong dan keulintangangan tak sampai di telinga. Janganlah generasi muda menjadi anak tiri kepada isteri kedua…janganlah kami-kami ini tak cukup makan di keramaiannya…Janganlah kami dicerca di majlis renjis mawarnya.



Kami tidak punya apa Datuk seri…kami sudah yatim piatu..tidak menentu.. matinya PISBA, gelitalah kami, Nisannya PISBA kenangan bagi kami…Hancurnya PISBA mengkucar-kacirkan kami..Berilah kami tanda Datuk Seri….Andainya PIBSA dijangkiti wabak bahaya..kita bersemuka daripada bercengkarama di hujung telinga…kita berusaha mencari penawarnya. Biar tak larat berlari..kita merangkak.., biar tak boleh merangkak …kita mendengus tanda masih bertenaga. Kerana PISBA adalah bapa-bapa pejuang kita..kerana PISBA adalah ibu-ibu mengandungkan pemimpin kita…,



Kami ini generasi muda..perlu dibakar semangatnya..kerana Datuk seri..ramai lagi adik-adik kami yang tidak pernah mendengar PISBA, malahan langsung tidak mengenali Datuk Seri…Tidak Nampak jalan yang dilalui bangsanya…masih ramai yang terkurung dalam gua-gua gelap yang dibina tatkala musim hujan dan panas. Ada yang teraba-raba mencari idealisme perjuangan bangsanya. Sampai ada yang menangis melihat ego, dendam kesumat ,dan politik haprak membakar bangsanya. Nenek moyang kita jua pernah berkata…biarkan kita binasa, biarkan kita terbakar seluruhnya namun kalau itulah syarat anak-anak kita megecapi bahagia…



Datuk seri..


Andainya surat terbuka ini tidak sampai ke mata Datuk seri…saya pasrah ,kerana sebagai puteri bangsa..saya sedar .saya hanyalah sebutir pasir di tepi pantai…nilainya TIDAK SEBERAT segenggam garam dilautan..Bagi yang menatapnya…mohon dengan seikhlasnya, sampaikan ke pengetahuan Datuk seri supaya kita tidak dirundung malapetaka.



Salam kasih sayang yang berpanjangan dari saya puteri bangsa..

Seikhlasnya..


KELAPA MAWAR

Tuesday, August 17, 2010




Jika pun secara umumnya istilah “wadah” itu dimengertikan, maka ia menjurus kepada satu wacana atau platform yang membawa kepada kebaikan. Jauh dari mencetuskan perkelahian, jauh dari manipulasi dan jauh dan persengketaan. “ Wadah” adalah landasan atau “tapak asas” untuk tujuan kebajikan. “tempat” untuk mencanang idea. Melontarkan buah fikiran dengan semangat musyawarah dan kekitaan. Tempat mencanai idea –idea baru dan segar untuk tujuan penyatuan, kesatuan dan paling dekat dengan tujuan “reform” dan kemajuan. Ia lebih singkat ditafsirkan sebagai “ a raised floor or stage for people to stand on when they are making a speech”.




Beberapa faktor kepada penwujudan satu ‘wadah’ baru bagi sesebuah kelompok, organisasi, bangsa, syarikat ataupun badan-badan kepartian. Namun “wadah’ ini seperti yang saya terangkan dari awalnya membawa kebaikan, membawa penyatuan dan bukan menghancurkan dan menjahanamkan organisasi atau pertubuhan lain.Peri penting satu wadah baru yang segar diwujudkan sama ada dalam bentuk NGO atau pertubuhan ialah kerana dengan pertubuhan bukan politik, maka suara dapat dilaungkan dengan lebih bebas, rangka pembaharuan dapat dilaksanakan dengan tuntas tanpa birokrasi dan segala macam ragam pengurusan. Dapat melahirkan ahli yang lebih pragmatis dan berupaya mencerna idea dan pemikiran untuk tujuan apa juga termasuk soal-soal penyatuan bangsa.





Kalau kita menyoroti sejarah bangsa Yahudi yang kini menguasai sosiopolitik dan ekonomi dunia, maka kita dapati bahawa bangsa Yahundi ini bergerak dalam satu ‘wadah’ sama ada dalam bentuk NGO, syarikat atau pertubuhan radikal. Bangsa Yahundi tidak punya apa-apa kekayaan material, tidak ada keupayaan persenjataan yang canggih hatta tidak punya negara sekalipun. Tetapi Bangsa Yahudi menggunakan ‘wadah’ atau pertubuhan mereka untuk ‘memperdagangkan’ idea dan buah fikiran mereka dalam semua bidang. Jururunding dan bijak pandai mereka ditempat kan dalam hampir semua organisasi penting. Mereka menjual idea sebenarnya. Kerana itu, kehadiran mereka diperlukan. Kehadiran mereka sebagai ‘juru runding politik dan juru runding ekonomi ‘ sangat-sangat penting. Justeru tidak hairan jika 1/3 daripada dunia ini dikuasai oleh pemikiran mereka. AS dan hampir kesemua negara di dunia mengggunakan khidmat dan kepakaran mereka.






Jika kita ‘perkenankan’ idea wadah baru ini dengan masyarakat Iranun, maka beberapa sebab kepada keperluannya mewujudkan satu bentuk atau platform ke arah penyatuan masyarakat Iranun. Wadah baru yang bakal ditubuhkan ini, jauh dari persepsi negatif dan bebas dari cengkaman politik kepartian. Jauh sekali ditubuhkan untuk menjatuhkan kepimpinan seseorang sama ada dari orang Iranun sendiri ataupun dari luar Iranun. Wadah baru ini bergerak sebagai satu pertubuhan sosial setelah kegagalan beberapa pertubuhan Iranun sebelum ini. Misalnya PISBA walaupun sudah lama ditubuhkan seawal tahun 1978 lagi, tetapi banyak kali terjebak kepada percaturan politik. Malahan sampai satu ketika, ramai pemimpin PISBA membuat gesaan untuk menyerahkan kepimpinan kepada bukan ahli politik. Setelah diserahkan kepada para pemikir Iranun, PISBA akhirnya mati, dan sejak tahun 1999, PISBA hilang dalam kamus dan jiwa generasi muda Iranun.






Setelah itu PAGISA pula ditubuhkan dan dianggotai oleh para graduan Iranun. Dan seperti nasibnya PISBA , ternyata PAGISA juga gagal menjadi platform untuk ‘memperdagangkan idea penyatuan”. Akhirnya PAGISA jadi lesu, tidak bermaya dan tidak banyak Aktiviti dapat dijalankan. BKI juga begitu, walaupun unsur-unsur bahasa dititikberatkan, namun BKI tetapi dipandang sebagai ‘gagal’ merealisasikan harapan generasi muda dan akan datang untuk melihat Iranun menjadi bangsa besar dan disegani. Dalam soal ini..kelemahan PISBA,PAGISA dan BKI sewajarnya dijadikan pengajaran untuk membina satu wadah baru yang lebih kemas dan teratur.






Oleh itu penwujudan satu wadah baru harus dilihat dari sudut positif. Walaupun Wadah baru ini dipengerusi oleh orang politik ( Pengerusi Penaja) tetapi orang Iranun berpeluang dan malahan berhak untuk menolak mereka dalam satu mesyuarat agung yang menyaksikan jawatan Presiden dan ke bawah dipertandingkan. Apa yang berlaku ialah kesanggupan untuk ‘menanggalkan’ topeng politik mereka nanti. Jangalah disalah tafsirkan kewujudan wadah baru ini kononnya untuk mengekang kemaraan politik seseorang, atau tujuan untuk memecahbelahkan masyarakat Iranun. Berilah keyakinan dan dorongan, mudah-mudahan wadah baru ini nanti akan lebih segar dan mampu menjadi paltform penyatuan masyarakat Iranun.

Sunday, August 15, 2010


“Air yang di cincang tidak akan putus” Bagai isi dengan kuku” . Begitulah agaknya perumpaan yang boleh diberikan berkenaan kaitan Pemimpin dengan bangsanya. Seorang pemimpin yang diangkat, akan tidak dapat lari dari perjuangan dan dilema penyatuan bangsa kelahirannya. Malahan ketika ‘kuasa’ berada ditelapak kaki pemimpin, maka segala percaturan, pertimbangan, kehendak , keinginan dan buah fikirannya perlu ‘disenyawakan’ dengan bangsanya, supaya naluri kepimpinan akan dapat diterima. Dan bila sampai masanya, pemimpin akan pergi dan pengganti akan terus meneruskan agenda sebelumnya. Pemimpin yang pergi akan terus ‘hidup’ dengan ideanya ketika dia ‘berkuasa’.



Ketika saya menulis paparan ini, teringat saya Presiden Filipina, Marcos. Ketika pemimpin ini digulingkan oleh “people power” di Manila, pemimpin diktator ini telah menghubungi Presiden Amerika ketika itu Reagan untuk meminta bantuan. Dan antara lain yang diucapkan oleh Reagan ialah “Masa Mu telah tiba”. Kata-kata itu menggambarkan bahawa proses kepimpinan sebenarnya berperingkat dan berfasa. Bila tiba masanya, sama ada seorang pemimpin itu mahu atau tidak..”kuasa” yang dipegangnya terpaksa dilepaskan. Hanya situasi pelepasan kuasa itu yang berbeza. Misalnya Taksin Sinawat yang disinonimkan oleh sokongan akar umbi digulingkan oleh rakyat Thailand melalui kuasa tentera ekoran beberapa dasarnya di Selatan Thailand yang menerima kritikan hebat. Di Malaysia, Tun Mahathir melalui proses peralihan kepimpinan yang paling lancar di era pemerintahannya.



Isu-isu ini saya paparkan tatkala, saya membaca coretan pemimpin tunggal Iranun, Tan Sri Pandikar Amin yang memberi perumpamaan bahawa pemimpin lama ibarat pelita yangt bersinar dan diperlukan sangat-sangat pada zaman dahulu. Kata beliau lagi, zaman moden ini pelita telah banyak dan pelbagai warna dan ada yang menggunakan “janakuasa”. Sedangkan pelita kata beliau lagi bersinar tanpa bantuan ‘janagkuasa”.



Perumpaan ini bagi saya cukup besar maknanya.Terutama kepada pemimpin muda yang bakal mengambilalih kepimpinan suku Iranun ini. Apakah makna tersirat dari tulisan TSP ini dalam blognya? Apakah ada dikalangan suku Iranun yang berani tampil ke hadapan menyatakan dengan setulusnya kepada TSP bahawa “pelita” yang dimaksudkan itu adalah TSP sendiri? Atau adakah yang sanggup menyatakan kepada TSP bahawa “sudah sampai masanya”? Atau barangkali ada yang bersanggupan menyuarakan bahawa kesemua “pelita” sama ada baru atau yang lama adalah mempunyai tugas yang sama?



Idea dari seorang pemikir Iranun yang sempat saya tanya mengenai perumpaan TSP ini menyatakan bahawa pemimpin Iranun ini seakan mula merajuk dengan bangsanya. Memberi peringatan kepada pemimpin muda bahawa, tanpa sokongan dan keterlibatan mereka, maka TSP boleh berdiri sendirinya. (Pelita tidak perlukan janakuasa). Sekaligus ini juga memberi peringatan kepada pemimpin sedia ada bahawa kepimpinan Iranun adalah pelbagai variasi dan pendekatan.



Bagi Kelapa Mawar, pemimpin lama jangan dilupa. Angkat mereka di mana mereka harus berada. Jangan disisihkan dengan alasan “ sudah sampai masanya”. Alangkah baik dan ketikanya jika proses peralihan itu berlaku dengan sopan dan penuh kesantunan. Generasi yang ada dan akan datang ‘membesar’ dengan hati yang tiada lukanya.

Saturday, August 14, 2010


Mungkin ada baiknya saya memulakan penulisan ini dengan perkongsian betapa cabaran "terbesar" dalam proses penyatuan sesuatu bangsa itu ialah dalam diri sendiri. Sejauhmana kita berupaya 'melunaskan' hati nurani dan membersihkan hati dari segala remuk redam kesumat dan prasangka, maka sejauh itu jugalah 'harapan penyatuan semakin' jelas.

Bermula dengan hanya cakap-cakap kosong di sebuah Restoran, kemudian disusuli dengan cadangan betapa Iranun perlu keluar dari kepompong minoritinya, dan perlunya satu wadah baru diwujudkan, merangkumi segenap aspek, maka satu pertemuan awal bertarikh 7.08.2010 telah dirancang dan direalisasikan. Pertemuan kedua petang tadi 14.08.2010, di tempat asal sebagai permurnian tuntutan idea penyatuan suku Iranun itu telah berjalan dengan baik dan lancar. Kehadiran masih seperti pertemuan awal sekitar 22 orang tetapi ada sudah muka-muka baru yang sebelum ini tidak berkesmpatan untuk menyelami intipati pertemuan pertama. Syukur alhamdulilah saya begitu berkeyakinan bahawa satu "harapan Baru" bagi suku Iranun akan semakin jelas setelah apa yang kita lalui selama ini, betapa menjadi pengajaran dan seperti kata sdr Alimudin ia wajar dilupakan.


Pertemuan petang tadi telah sebulat suara membentuk satu Jawatankuasa penaja yang berperanan untuk merangka satu wadah baru yang pada pertemuan ini belum lagi diputuskan, namun lebih kepada PERSATUAN.

Maka Pengerusi Penaja dimandatkan kepada SDR ALMUDIN KAIDA, Timbalan Pengerusi: SDR ROSLAN HJ MANSHOR, Naib Pengerusi : SDR ROSLAN AKIK, Setiausaha : SDR ADLAN LONOH, Bendahari : Tuan Haji Mayur, serta beberapa AJK lain termasuk Sdr Razak Rakunman, sdr Musram Rakunman, sdr Andaman, sdr Asli Bukaria dan beberapa nama lagi.

Lalu satu lagi pertemuan yang dijangka pada 28.hb ini akan diadakan di Kota Kinabalu oleh kesemua AJK Penaja ini termasuk memutuskan NAMA , Urusan Pendaftaran serta Perlembagaan Persatuan yang dibentuk.

Maka jika realiti yang diambil kira..Suku Iranun sekali lagi akan mempunyai satu wadah perjuangan yang merentasi fahaman politik dan darjat kepolitikan. Walaupun pada asasnya, AJK Penaja ini terdiri daripada "orang politik" namun atas dasar penyatuan "baju politik" mereka telah dilucutkan. Peranan dan idea mereka bukanlah atas landasan parti yang dianuti tetapi berdiri pada satu nama iaitu IRANUN. Kerana itu saya berpendirian bahawa mereka harus diberikan peluang secukupnya supaya AJK serta Wadah baru ini mendapat sokongan dan dokongan dari semua masyarakat Iranun. Ingat dan ingatlah bahawa 'BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI PASTI KITA AKAN ROBOH"

Thursday, August 12, 2010




Pergolakan politik dalam daerah Kota Belud sejak kebelakangan ini, membawa satu gambaran akan berlaku perubahan besar-besaran pada PRU 13 akan datang. Perubahan corak sokongan pengundi terutama golongan muda yang diistilah sebagai "non-Partisan " ini telah bermula pada PRU 12 lagi. Namun agak menghairankan kerana Pemimpin Kota Belud yang terdiri daripada 3 buah DUN ( DUN TEMPASUK, USUKAN DAN KADAMAIAN) dan 1 PARLIMEN yang diwakili oleh Datuk Rahman Dahlan, sehingga artikel ini ditulis, masih belum nampak kesungguhan untuk 'melayan" selera politik golongan ini. Jika berdasarkan daripada persepaktif pimpinan sayap Pemuda UMNO KB yang diterajui oleh Sdr. Barur Sawi, golongan 'atas pagar' ini masih belum dapat didekati sepenuhnya. Malahan dengan komposisi 40% pengundi di daerah ini terdiri daripada golongan muda, maka apakah pemimpin Kota Belud, begitu yakin benar sokongan golongan ini memihak kepada mereka?

Menyoroti kembali landskap politik Kota Belud pada PRU 12, maka didapati kemenangan yang diperolehi oleh kesemua calon BN secara puratanya menyaksikan penurunan. walaupun mencapai kemenangan tetapi ia bukan 'lambang' bahawa kemenangan itu bisa bertahan. Strategi dan percaturan yang tidak berhati-hati akan menyebabkan PRU 13, sokongan golongan ini akan beralih arah.

Dalam konteks ini, pembicaraan golongan non partisan ini tidak perlu dirujuk berdasarkan suku dan kaum tetapi secara holistik. Dan sejak PRU12 sudah kedengaran rasa tidak puas hati golongan ini di sana sini. Kawasan Usukan misalnya, masih lagi ditahap kemiskinan dan inti pendapatan golongan petani dan nelayan masih tidak terbela. Sedangkan, para petani dan nelayan inilah yang mempunyai anak-anak 'non-partison' ini. Apakah ADUN kawasan itu, tidak memikirkan bahawa apakah jaminan sokongan pengundi muda ini yang rata-rata telah berpendidikan dan terdedah kepada media alternatif akan memberikan sokongan kepada calon BN /UMNO di kawasan itu?. Senario anak-anak muda bukan lagi seperti tahun 70an dan 80-an yang membiarkan " orang tua" terlibat dalam politik, manakala mereka lebih suka tidak mengambil tahu. Memang benar non partisan ini, mendiamkan diri tetapi diam mereka umpama dia ubi yang berisi. sejauhmana peranan dan pembaharuan yang dibawa oleh wakil rakyat, itulah yang menjadi 'sajian' dan 'kudapan' mereka saban hari.

Kawasan Tempasuk juga tidak kurang hebatnya. Malahan inspirasi mereka melonjak-lonjak untuk mengikuti perkembangan ADUN di kawasan itu. seorang pemuda dari suku Iranun pernah menyatakan bahawa di bulan ogos inilah, tersematnya sejarah keruntuhan penempatan Iranun di Tampasuk, dan adakah bulan ogos ini juga akan menyaksikan 'kebangkitan" pimpinan muda dari Suku ini? Memang benar Projek jelapang padi membawa impak besar dalam ekonomi para petani di kawasan itu. tetapi apakah impak dan keperluan golongan muda di DUN TEMPASUK sudah dan boleh dipenuhi? Inilah persoalan yang wajar diselesaikan oleh Datuk Musbah, selaku ADUN TEMPASUK jika ingin golongan non partisan ini memberikan sokongan padu atas kepimpinannya.

Kawasan Kadamaian, dalam setahun ini, seakan dilimpahi oleh pembangunan. Jalan Raya ditar, keperluan air bersih dipenuhi dan taraf hidup rakyat semakin meningkat walaupun terdapat beberapa perkampungan yang masih sukar dihubungi. DUN KADAMAIAN yang diwakili oleh Herbat dari PBS, lebih dilihat sebagai 'tradisi' kerana kawasan Dusun. Maka kerana terlalu kepingin mendapatkan sokongan suku KDM di Kota Belud, memaksa MP PARLIMEN Datuk Rahman Dahlan menyalurkan hampir 60% peruntukan dan projek di kawasan ini. Apakah Datuk Rahman lupa bahawa golongan non partisan ini juga terdapat di kawasan DUN TEMPASUK dan USUKAN? Malahan sudah dengar keluahan di kalangan anak-anak muda, kononnya Datuk Rahman Dahlan sudah cenderung di kawasan Kadamaian.

Sesungguhnya, golongan muda memang sukar diramal. Sukar untuk ditarbiyah. Sukar untuk dimanipulasi. tetapi dengan startegi dan pendekatan yang sesuai, maka golongan ini akan memberikan sokongan dan buah fikiran untuk pengangkatan seorang pemimpin di daerah ini. Jangan kerana golongan ini lambat makan garam,.maka perhatian tidak diberikan dan suara mereka ditenggelamkan oleh janji-janji yang tidak kesampaian.

Tuesday, August 10, 2010


Keadaan politik di sabah sekarang boleh diistilahkan sebagai "tension but stabil". Iaitu penuh dengan tekanan tetapi masih boleh dikawal dan pengawalan itu berlaku secara semulajadi berlandaskan undang-undang sedia ada. Keadaan politik sama ada di pihak pemerintah atau pembangkang di Sabah, mecetuskan pelbagai tanggapan dan impian. SAPP selaku parti pembangkang tempatan masih menyuarakan beberapa tuntutan perubahan, walaupun Presidennya Datuk Yong Teck Lee, dikaitkan dengan kemeruduman serta kerugian teruk Amanah Saham Sabah semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah yang dilahirkan melalui sistem penggiliran Ketua Menteri. Isu ini menjadi perhatian umum, sekaligus beberapa orang pemimpin dari SAPP menggesa kerajaan negeri melakukan siasatan, kerana mereka beranggapan bahawa perseiden mereka perlu dibersihkan dari tuduhan liar itu. sehingga kini belum apa-apa lagi tindakan dari kerajaan negeri.

PKR juga begitu kemaruk dengan gerak sarafnya. Dilaporkan daerah Tenom menjadi sasaran parti ini sebagai usaha mendapatkan sokongan dari suku kadazanmurut di kawasan berkenaan. beberapa cabang PKR ditubuhkan dan mereka optimis untuk merampas daerah Tenom dari genggaman BN.

Manakala dari parti pemerintah, BN Sabah masih dengan kemelut hitam mereka. retak yang pada mulanya agak kecil kini semakin besar. Beberapa tuntutan dari parti-parti komponen masih belum dipenuhi. PBS selaku sayap kiri dalam BN Sabah masih meluahkan kehendak mereka supaya kerajaan yang diterajui oleh UMNO dapat merealisasikan hasrat pembenterasan PATI yang dianggarkan mencecah ratusan ribu orang. sekalipun sudah lebih 10 tahun Umno bertapak di negeri ini, namun isu PATI gagal diselesaikan.

Terbaru timbalan Presiden UPKO Datuk Wilfred Bumburing menggesa UMNO bersikap adil dalam pengagihan kerusi pada PRU 13 akan datang. Beliau menyuarakan kebimbangan atas sikap pemimpin UMNO negeri yang dengan suka hati menyusun peruntukan kerusi berdasarkan parti-parti Komponen dengan tidak mengambil kira sensitiviti pemimpin parti komponen berkenaan. Ini kata beliau akan menjurus kepada ketidak adilan dan ketidakpuasan hati. Sikap bongkak pemimpin sebegini akan merugikan BN di sabah.

Monday, August 9, 2010


Mana-mana pun bangsa di dunia ini, tidak kira majoriti atau minoriti, pasti akan selalu memikirkan soal penyatuan, soal kelangsungan, soal survival dan soal keberdayaan mengharungi tekanan tamadun dari bangsa lain. Dilema bangsa sebegini bukan sekejap hatta memakan masa yang lama. Tiada bangsa yang ingin berada di tahap kebejatan. Tiada bangsa atau suku juga yang rela menjadi hamba kepada bangsa lain. Itu, semua orang tahu, dan semua orang pasti kebenarannya.



Sejak 3 hari yang lepas, apabila beberapa orang pemimpin Iranun menyuarakan perihal “penyatuan” dalam satu majlis pertemuan di sebuah restoran di Kota Belud, maka isu “penyatuan” ini mula menitirdari satu bibir ke satu bibir. Pelbagai pandangan diberikan, terutama bagi mereka yang tidak berkesempatan menghadiri majlis itu. Walaupun pertemuan itu disifatkan sebagai antara “udang-udang kecil” ditengah-tengah ikan paus di laut samudera, oleh segolongan pemimpin dari suku ini yang ‘nakal’ , namun ternyata ia mengundang pelbagai spekulasi. Ada yang mempersoalkan, apa daya dan upaya ‘udang-udang kecil’ ini tanpa “udang” besar (lobstar) yang merujuk dengan tanpa kehadiran Tan Sri Pandikar Amin.



Beberapa ahli akademik dari suku ini, mula memikirkan bagaimana membuatkan emosi suku Iranun “meletus” melangkaui pemikiran sempit dan tertekan? Akan ada dan betapa perlunya satu lagi ‘pertemuan’ wajar dilakukan, walaupun oleh ‘udang-udang kecil” ini. Kemudiannya, bila ada kesepakatan dan permurnian unsur-unsur penyatuan berlaku, maka satu rombongan pemikir harus “mencemar duli” menemui Tan Sri Pandikar Amin. Itu kata dan harapan mereka.



Lalu, tidak sampai sehari, pertemuan udang-udang kecil itu, sudah ada rombongan pemikir politik menemui “lobstar” dan khabarnya, sedang memurnikan hasrat serta tujuan pertemuan kali kedua itu dirancang.



Selamat dan harmoni buat pemimpin Udang-udang Kecil yang mahu menghidupkan sesi penyatuan ini. Terutama kepada sdr Almudin Kaida, sdr Adlan Lonoh, Sdr Roslan Hj. Manshor, dan sdr Razak Rakunman. “udang-udang” kecil ini mempunyai aura sehingga membuatkan pemikir dan ahli akademik Iranun bingkas dari lena yang panjang.



Ada juga beberapa idea yang diutarakan menyatakan bagaimana perlunya isu penyatuan ini digembar-gemburkan tatkala PRU 13 semakin dekat. Isu penyatuan ini kata mereka tidak dibatasi oleh politik tetapi atas dasar ‘mengusung’ bibit-bibit perpecahan jauh dari hati dan sanubari suku Iranun. TSP yang dikatakan sebagai udang besar ini perlu melunakkan hati, menyusun semula barisan kepimpinan pelapis Iranun yang mendapat tarbiyah terus daripada beliau. Mungkin tidak ramai yang bersetuju mengenai hal ini..tetapi apakah tidak pernah terlintas dalam hati Iranun, kemana Tan Sri Pandikar selepas ini? Apa yang menjadi dilema Iranun, sehingga nampak begitu berpecah dan retak di sana sini? Sebagai permulaan awal, penulisan ini hanya bersifat sebagai ‘mukadimah’.

Sunday, August 8, 2010


Ilustrasi idea ini saya panjangkan, bermula bila YDP PERKASA SABAH yang juga penggiat politik UMNO KB, mengeluarkan satu kenyataan dalam FCB nya yang mengundang banyak idea pertentangan dan tidak kurang juga idea yang menyokong. Namun yang lebih menarik perhatian saya ialah ayat yang digunakan oleh SdrMusli Oli ini :

.."jika saya ada keberanian Pandikar Amin, aura Tun Mustapha, visi Harris Salleh, Kesetiaan Shafie Afdal, kedegilan Chong Kah Kiat, determination Jeffry Kitingan, kepintaran Salleh Keruak, kewarakan Sakaran Dandai dan kewangan Musa Aman. Saya boleh jadi KM Sabah yg terbaik!!..

Apa yang berlegar di fikiran saya waktu ketika membaca kenyataan dan ayat ini ialah,mengapa ada dua pemimpin Kota Belud yang dimasukkan oleh Sdr Musli Oli? Mereka yang saya katakan ialah Datuk Salleh Tun Said dan Tan Sri Pandikar Amin. Dan lebih memeranjatkan saya ialah apabila Datuk Salleh dikaitkan dengan ayat " KEPINTARAN" . Apakah tidak ada tokoh politik Sabah yang lebih menonjol percaturan politiknya dengan mengenepikan soal emosi , sebaliknya mengetengahkan kebijakkan dan kepintaran dalam menjamin kelangsungan ideologi dan idealisme perjuangannya? Saya tidak mempertikaikan ayat Sdr Musli Oli tetapi mungkin 'isi' atau kandungan ayat itu boleh dihujahkan. Kerana itu saya memberikan satu contoh dalam FCB sdr Musli Oli bahawa jika 'KEPINTARAN' politik yang dimaksudkan, rasanya Datuk Pairin lagi menyerlah dan wajar dimasukkan dalam kenyataan itu, kerana percaturan,pertimbangan, gagasan serta keberanian mempertahankan hak-hak peribumi dan hak perundangan Sabah termasuk isu PATI dan sebagainya. Sehinggakan, walaupun PBS bertindak keluar dari BN, namun aura dan kepercayaan rakyat Sabah tidak pernah goyah. Terbukti melalui sokongan rakyat. PBS jatuh bukan kerana atas'penderhakaan" rakyat tetapi petualang politikus yang liar.

Saya tidak kontra kepada SSK tetapi saya menunjukkan sikap kontra kepada kenyataan YDP PERKASA SABAH ini. Begitu juga dengan "kesungguhan Datuk Musbah" dalam memberikan perhatian kepada masyarakat Kota Belud juga ditolak oleh sdr Musli sebagai prasyarat untuk menjadi pemimpin dan dalam angan-angannya menjadi Ketua Menteri. Lihat kenyataan beliau ini :

"..jika seorang pemimpin yg di "hadiah" jawatan Ketua UMNO Bahagian secara percuma. dan dgn jawatan itu dia jadi YB dan menteri. Bila tiba pemilihan dia dapat pula sokongan penuh KM Sabah, masih juga gagal dapat pertahan jawatannya sebagai Ketua UMNO, maka pemimpin itu tak layak dibincang dalam perbahasan ini!!! Peluang telah diberi, mana janji bangunan UMNO Kota Belud ketika lobi projek kerajaan dulu? Semua dah berlalu, dapat projek yg dapat bangunan sendiri bukan bangunan UMNO. Sehari selepas kalah, arah UMNO keluar dari pejabat peribadi yg dijadikan pejabat parti!!.."

Kenyataan ini saya anggap sebagai serangan peribadi dan bukan satu hujah kuat untuk mengetengahkan idea politik yang baik. Apakah kaitan kenyataan ini dengan sikap serta "KESUNGGUHAN" yang dimiliki oleh wakil rakyat Tempasuk ini? Sekali lagi saya mengingatkan sdr sekalian bahawa saya juga bukan pro dan kontra kepada pemimpin tertentu atau sesiapa sahaja, tetap kenyataan yang harus dikeluarkan dalam FCB harus lebih bertanggungjawab. Ertinya, boleh diperjelaskan supaya ia tidak menjadi satu kekaburan. Dan hujah diberikan harus menggambarkan pendirian dan tidak bersifat goyah.


lalu 'KEBERANIAN' yang dimaksudkan oleh Sdr Musli Oli itu saya, ilutrasikan dengan "KEBERANIAN" yang dimiliki oleh Tan Sri Simon Sipaun yang berani menyanggah idea pembentukan Malaysia kepada Tun Mohd Stepehens...walaupun Sdr MO menolak idea ini dengan alasan beliau bukan politikus..tetapi apakah 'pengangkatan' KEBERANIAN itu hanya terhad kepada golongan Politik? Bolehkah KEBERANIAN O.T.JOHN GHANI bertanding sebagai calon BEBAS dengan mengenapikan kehendak pucuk pimpinan UMNO dan BN Sabah, sehingga memenangi kerusi Kuala Penyu itu tidak boleh dikatakan sebagai satu KEBERANIAN?

Apakah muslihat kepada kenyataan MO ini? Apakah gambaran bahawa hanya pemimpin tertentu yang berada di Saf idealisme nya, maka itu yang menjadi idola kepimpinan ideal? Sedangkan yang berada di luar dan punya kredibiliti serta sejarah politik matang boleh sahaja diketepikan.

Saturday, August 7, 2010


Bermula dalam FCB Seorang AJK UMNO KB yang "memposkan" satu gambar sesi minum di sebuah Restoran bersama beberapa penggiat politik dari suku Iranun maka lahir idea supaya satu "meja bulat" di buat untuk membincangkan perihal hala tuju perjuangan suku Iranun dalam Survival bangsa minoriti ini di Kota Belud dan di Sabah khasnya. Bertubi-tubi idea dan saranan diberikan dalam FCB Sdr Roslan Hj Manshor mengenai perkara ini. Dan sesungguhnya itu IRRANUN, dalam hanya kurang dari 3 minggu , akhirnya satu pertemuan telah dapat direalisasikan petang tadi 07.08.2010 di sebuah Restoran milik orang Iranun iaitu Restoran Citarasa Kota Belud. Walaupun kehadiran dalam sekitar 20 orang lebih, namun sebagai permulaan, sebelum digerakkan satu lagi pertemuan susulan, maka ia sudah cukup memadai. Dan sambutan yang diberikan cukup memberangsangkan, walaupun perkara ini diwar-warkan dalam FCB dan melalui lisan.

Apa yang dibincangkan bukan sahaja mencakupi perihal politik dan 'pertarungan' hidup suku Irranun dalam persaingan menggapai kuasa politik di Sabah,tetapi juga turut melahirkan rasa sedih dan pilu atas 'kematian' PISBA dan 'kemurungan" PAGISA dalam memartabatkan dan memberikan sinar harapan bagi suku ini. Sebagai permulaan, bahawa IRRANUN harus terkedepan memperlihatkan bakat-bakat kepimpinan muda dalam soal kepolitikkan,maka satu idea yang diutarakan oleh seorang politikus veteran IRRANUN supaya satu "wadah" baru diwujudkan guna tempat 'berpaut" bagi keseluruhannya orang IRRANUN. Wadah yang bukan sahaja merentasi fahaman politik dan idealisme kepartian , rasanya dan sewajarnya diberikan perhatian oleh mereka pejuang dalam suku ini yang hadir dalam majlis berkenaan.

Kematian PISBA dan kemurungan PAGISA yang diistilahkan oleh kebanyakkan golongan muda dari suku ini, harus dihidupkan semula walau dengan nama dan pendekatan yang berbeza. Kerana pada dasarnya hal-hal penyatuan bangsa hanyasanya dapat dimanfaatkan melalui satu bentuk wadah dan gerakan yang tersusun. Bukankah persada kepimpinan IRRANUN turut tersebar melalui PISBA suatu ketika dulu.? Hanya yang menjadi hambatan kini ialah keperluan kepada 'gerakan bangsa' itu dan kesanggupan segelintir yang bernama pemimpin IRRANUN untuk turut sama mencambah idea dan pemikiran untuk kelangsungan suku IRRANUN.

Dengan kehadiran dalam majlis berkenaan, Sdr Timbalan Presiden PBS, Sdr Almudin Kaida, Sdr Roslan Hj Manshor ( AJK umno KB), sdr Razak Rakunman, sdr Musram Rakunman , sdr Jabar Khan Nafi, dan beberapa pemimpin muda..maka ia memerlukan kesepakatan supaya pertemuan kali kedua yang dijangka akan diadakan pada waktu terdekat akan berjalan lancar dan membuahkan hasil yang lebih besar.

Ingatlah dan waspadalah bahawa proses 'penyatuan' bangsa bukan perkara kecil tetapi banyak rintangan dan hambatan yang menanti...Semoga usaha murni ini akan menjadi sebagai "cendera kenangan"buat generasi baru masyarakat IRRANUN ini.

Monday, August 2, 2010



Mendasari penulisan ini adalah semangat yang terkandung dari kata-kata seorang tokoh agung dalam politik Dunia, Abraham Lincon yang menyatakan bahawa Pemimpin yang sebenar adalah mereka yang berfikir setiap detik tentang kemashlatan rakyat, politikus pula ialah mereka yang sentiasa memikirkan kemenangan setiap kali pilihanraya . Sewajarnya pandangan ini diambil kira oleh para pemimpin Kota Belud dalam menentukan ‘status’ mereka di mata rakyat. Program yang dirancang jika untuk rakyat, maka segala kebaikkanya harus dipulangkan kepada rakyat.



Beberapa hari lepas apabila Program Pemimpin bersama Rakyat diadakan di kota Belud, maka antara kedaifan awal yang sangat memalukan ialah berkaitan dengan “kehadiran” rakyat yang dikatakan program itu diadakan untuk mereka? Apa yang kelihatan ialah ‘kebanjiran’ pemimpin politik Umno Kota dari semua peringkat kepimpinan. Dan itu pada asasnya adalah perlu dan sangat-sangat di tuntut. Program Anjuran Kementerian Pertanian Industri Asas Tani itu bersama Biro ekonomi Umno Kota Belud menyaksikan kehadiran menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar yang juga timbalan perhubungan Umno Selangor. Barisan kepimpinan Kota Belud, menyaksikan YB MP Parlimen, Datuk Rahman Dahlan, YB Datuk Musbah Hj. Jamli, YB Datuk Japlin Akim, Timbalan.Presiden PBS Almudin Kaida.



Hanyasanya yang tidak kelihatan ialah Ketua Umno Kota Belud, Datuk Salleh Tun Said yang juga penasihat kepada Ketua Menteri. Walaupun dalam FCB nya beliau mengupload gambar Datuk Raya iaitu isterinya yang dikatakan menjalani pembedahan tetapi ada sumber-sumber terdekat yang menyatakan bahawa pembedahan itu telahpun berlangsung 3 hari yang lepas sebelum majlis berkenaan. Ini menimbulkan banyak tanda tanya kerana sebelum inipun iaitu ketika majlis makan Malam Umno KB yang waktu itu juga dihadiri oleh Datuk Noh Omar, kelibat Datuk salleh juga tidak kelihatan. Sedangkan Umno KB dikhabarkan adalah anak angkat kepada Datuk Noh. Apakah percaturan politik DSSK ini menguntungkan orang Kota Belud dan masyarakat UMNO di daerah ini?



Jika diimbas kepada kehadiran pimpinan Umno dan Masyarakat di daerah ini ketika majlis itu,hanya Ketua Umno Bahagian Kota Belud yang tidak kelihatan, walaupun timbalannya En. Awadnir Matanggal turut menyertainya. Seorang pemimpin UMNO KB menyatakan kepada saya mengenai keperluannya DSSK berada dalam majlis berkenaan, namun seakan satu bentuk “pemulauan” politik dilakukan oleh DSSK terhadap apa juga aktiviti yang melibatkan YB Datuk Musbah selaku pembantu menteri pertanian sedangkan majlis itu turut ditaja oleh Biro ekonomi Umno KB. Begitu juga majlis yang dihadiri oleh MP Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan, jarang kelihatan DSSK bersama sekalipun atas landasan parti dan keperluan masyarakat Kota Belud.



Siapakah yang dimaksudkan oleh DSSK dalam blognya sebagai “parasit” dalam perjuangan parti. Apakah tindakan beliau memulau aktviti ‘seteru’ politiknya ini bukan “parasit” namanya? Bukankah tanda tanya dan peremahan masyarakat Kota Belud atas tindakannya itu umpama “mambang” politik yang berpanjangan.? Rakyat harus melihat hal ini sebagai satu kriteria dalam memberikan sokongan kepada sesiapa juga pemimpin di daerah ini.

Sunday, August 1, 2010


Langkah kerajaan membenarkan kakitangan awam pendidikan gred DG41-DG48 menceburkan diri dalam dunia kepolitikkan adalah dihargai. Sebelum ini sekatan diberikan atas beberapa faktor perkhidmatan seperti peranan guru yang berupaya mepengaruhi anak murid, faktor kerisauan kerajaan bahawa guru-guru akan mencampuradukkan tugas rasmi dengan prinsip politik, selain kerana kekhuatiran guru-guru akan melepaskan jawatan jika mencapai prestasi jawatan dalam politik. Namun begitu langkah berani kerajaan ini, memberikan bayangan bahawa hampir 80% guru-guru di sekolah rendah dan menengah akan terbuka ruang untuk menceburkan diri dalam lapangan politik negara. Ini tidak menghairankan kerana sebelum ini pun status guru sememangnya diakui. Tun Ghaffar Baba, mantan Tim. Presiden Umno dan Tim. Perdana Menteri adalah bekas seorang guru, Tan Sri Muhammad, Mohammad Taib, mantan MB selangor juga adalah bekas seorang guru.MB Pahang sekarang dan Datuk Noh Omar juga pernah menjadi guru.


Di Kota Belud peranan guru dalam politik Umno memang tidak dapat dinafikan...beberapa nama seperti En. Jeniar Subeh, En. Ripin Soud,En Roslan Hj Manshor , En Marali Adim dan beberapa orang lagi yang tidak dapat disenarai pendekkan di sini , nyata adalah antara 'penggiat' politik dalam parti umno KB. Peranan guru dalam politik KB sememangnya diakui..kerana mereka ini bukan sahaja arkitek sosial di sekolah tetapi juga berupaya menjadi wadah pembentukan masyarakat dan negara.

Kalau dulu guru-guru ini begitu takut dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib , kini dengan langkah kerajaan membenarkan guru-guru DG41 0-DG 48 ini untuk aktif dalam politik akan membuka lembaran baru dalam dunia kepolitikkan di negara kita. Kebimbangan yang melampau oleh pemimpin negara atas keterlibatan banyak golongan usahawan dan kontraktor dalam politik sehingga mengundang banyak persepsi negatif terutama berkaitan usaha-usaha 'mengampu' untuk mendapatkan tender dan jawatan dalam parti dapat diseimbangkan melalui penglibatan banyak golongan profesionalisme termasuk guru.

Persoalan yang bermain dalam benak kita ialah apakah kepimpinan sedia ada boleh dengan jiwa besar dan tangan terbentang luas mengalu-alukan kehadiran guru-guru di daerah KB ini secara terbuka untuk menganggotai dan menungguli jawatan dalam parti..teringat saya peristiwa seorang AJK Bahagian, yang semua orang tahu "ditukarkan" ke Sandakan, hanya gara-gara bergiat dalam politik, sehingga khabarnya personaliti politik ini terpaksa meminta bantuan dari YB-YB di Kb..tetapi semuanya 'gagal' membela nasibnya. Hanya melalui seorang "guru" jugalah beliau berjaya 'menyelamatkan' diri daripada ditukarkan ke Sandakan...Semoga peristiwa ini tidak akan berulang ..apatah lagi bila kerajaan membenarkan penglibatan politik kakitangan awam yang bergelar "cikgu" ini.