Friday, March 9, 2012



Perdana Menteri Datuk Seri Najib dalam satu kenyataannya di Johor dipetik sebagai berkata bahawa rakyat percaya kepada janji BN justeru sokongan rakyat kepada gabungan parti itu meningkat.Sambil menyebutkan bahawa sebaliknya bagi pembangkang janji mereka setiap hari perseoalkan oleh rakyat , Najib juga percaya untuk mendapatkan sokongan pemimpin BN perlu "walk to Talk" dan janji mesti dikotakan.



JOHOR BARU: Sokongan rakyat kepada BN meningkat kerana kerajaan sentiasa mengotakan janjinya berbanding pembangkang hanya pandai berjanji, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

“Saya rasa sehari dua ini penambahan keyakinan rakyat terhadap BN adalah disebabkan apa yang kita (BN) kata, kita kotakan. Sebaliknya pembangkang bila mereka janji, tahap keyakinan janji mereka semakin hari semakin dipersoalkan.

“Justeru itu, kalau hendak terus mendapat keyakinan rakyat, sebagai pemimpin di semua peringkat kita mesti ‘walk the talk’… janji mesti dikotakan,” katanya semasa melakukan tinjauan mesra dan berucap pada majlis perjumpaan dengan penduduk Taman Setia Indah di sini, hari ini.

Najib berkata walaupun dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira tiga tahun ini, kerajaan mampu menterjemah segala projek yang dirancangkan kepada realiti yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Insya-Allah, kalau tiga tahun kita sudah berjaya yakinkan rakyat, apatah lagi kalau lima tahun yang mendatang, macam-macam kita boleh buat untuk rakyat,” katanya.

Meningkat kepada 69 peratus

Manakala di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sokongan terhadap Perdana Menteri petunjuk positif sokongan rakyat terhadap BN.

Beliau berkata memandangkan Najib adalah ketua kerajaan dan pengerusi BN, imej yang dibawa oleh Perdana Menteri menggambarkan imej BN.

“Dengan adanya bancian sikap itu ia dengan sendirinya memberi indikasi yang baik kepada BN keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Dermasiswa Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) 2012 di sini hari ini.

Semalam, Merdeka Centre for Opinion Research dilaporkan berkata rating sokongan terhadap Perdana Menteri meningkat kepada 69 peratus daripada 59 peratus pada Ogos 2011.

Pusat tinjauan pendapat itu berkata ini disebabkan mood orang ramai yang lebih senang dengan keadaan ekonomi umum dan pengagihan dana bagi meringankan beban ekonomi keluarga berpendapatan rendah.

Pusat itu berkata tinjauannya mendapati antara 10 dan 23 Febuari, sokongan terhadap Perdana Menteri paling tinggi, pada 78 peratus, di kalangan keluarga dengan pendapatan di bawah RM1,500 sebulan, dengan responden India pada 80 peratus dan responden Melayu 74 peratus.

0 ulasan :