Saturday, October 15, 2011


KENYATAAN MEDIA

13 OKTOBER 2011Sukacita ingin dimaklumkan bahawa sdr Ahmad Thamrin bin Mohd Jaini telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah berkuatkuasa 12 Oktober 2011.


Perlantikan sdr Ahmad Thamrin, yang merupakan suatu keputusan penting bagi KEADILAN Sabah telah dibuat selepas proses rundingan dengan pimpinan-pimpinan KEADILAN SABAH diadakan dimana secara keseluruhannya, pimpinan KEADILAN Sabah bersetuju bahawa beliau merupakan calon yang terbaik untuk menerajui Parti KEADILAN Rakyat Sabah dalam terus mengembang dan menggembeling sokongan rakyat Sabah terhadap KEADILAN, serta dalam persediaan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.


Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ketua-ketua Cabang KEADILAN Negeri Sabah serta kalangan anggota-anggota Parti KEADILAN Rakyat Sabah di atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada Majlis Presiden Sabah yang saya pengerusikan dan saya yakin bahawa kerjasama dan sokongan yang lebih baik akan dapat diberikan kepada sdr Ahmad Thamrin.


Sehubungan dengan itu, saya ingin mengumumkan bahawa Majlis Presiden Sabah yang telah ditubuhkan untuk memimpin dan mentadbir KEADILAN Sabah sejak 27 Januari 2011 lalu, dengan ini dibubarkan.


Seterusnya, saya telah juga meminta sdr Ahmad Thamrin untuk segera memulakan rundingan di kalangan pimpinan KEADILAN Sabah bagi menyusun saf pimpinan negeri, yang saya yakin di bawah pimpinan sdr Ahmad Thamrin nanti akan terus berjaya mendapat sokongan dan kepercayaan dari rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak dan keadilan yang sewajarnya menjadi milik rakyat Sabah sendiri, tetapi dikorbankan oleh keborosan dan ketamakan UMNO dan Barisan Nasional selama ini.


Sekian terima kasih.


DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAILPRESIDENPARTI KEADILAN RAKYAT

Friday, October 14, 2011

Semangat dan keyakinan luar biasa Datuk Musbah pada PRU 12 yang lepas cukup mengkagumkan. Apakah semangat itu akan berulang pada PRU 13 akan datang, atau apakah Datuk Musbah sudah kehilangan semangat itu?


SETELAH dua “posting” bercakap mengenai bersunat (masuk jawi) dan tandas dua era, izinkan saya menyentuh sedikit mengenai prospek Barisan Nasional, Umno dan Perdana Menteri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ada ramalan mengatakan PRU akan diadakan seawal April-Mei tahun depan atau pada penghujung tahun. Tetapi, semua sekata bahawa ia akan berupa PRU paling mencabar bagi BN akibat persekitaran politik dan ekonomi yang tidak merangsang.

Ramai yang menyokong atau bersimpati dengan BN berpendapat Mohd Najib Abdul Razak seolah-olah berseorangan dan keseorangan menghadapi ujian itu.


Jadi, kata mereka, beliau perlu segara turun ke padang, lembah dan luruh untuk berjumpa rakyat jelata, khasnya orang Melayu dan Bumiputera Sarawak dan Sabah.


Bukan turun macam dewata dari kayangan dengan segala adat istiadat dan dikepung para hulubalang sampai rakyat terpelanting dan terasing.


Bukan juga turun macam halilintar membelah bumi tapi hujan tidak turun dan bumi rekah dibakar kemarau seribu tahun akibat janji-janji yang mereka tidak fahami.


Turun menyusur akar berjumpa rakyat jelata bukan untuk mendengar cerita lama para panglima dan tuan-tuang perang parti yang berkata, segala-galanya OK tetapi Umno dekat-dekat KO pada PRU lalu.


Dan bukan juga perarakan jalanan berbas, berkereta atau bersampan ala-Obama yang lebih berupa sarkas media arus perdana daripada menemui rakyat jelata. Boleh naik bas, tetapi tengok jugalah bas jenis mana dan siapa yang Perdana Menteri bawa bersama.


Buktikan Yang Rakyat Diutamakan
Kalau betul rakyat didahulukan, dahulukanlah rakyat bila Perdana Menteri pergi berjalan-jalan. Bukan rombongan Umno Perhubungan, Umno Bahagian atau pegawai Kerajaan.


Dengarlah keluh-kesah rakyat bawahan – pesawah, nelayan, peniaga kecil dan Umno cawangan. Bukan cerita-cerita bermadu dan lagu merdu pegawai tinggi Kerajaan. Bukan cerita-cerita perebutan jawatan dan lobi hendak jadi calon negeri dan Parlimen.


Itu budi bicara dan hak Presiden Umno dan Pengerusi BN. Tapi kalau tidak berani buat keputusan dan hendak main selamat, janganlah cakap mengenai “winnable candidates”. “Winnable” macam mana kalau parti sendiri tolak seperti yang sedang berlaku kepada Koh Tsu Koon?

Tapi khabarnya hendak bertanding juga, kalau di Johor pun tidak mengapa. Memanglah Johor tidak mengapa sebab itulah pun negeri yang masih selamat. Yang sudah tidak laku itu, berhenti sajalah. Politik bukan kerjaya sepanjang hayat!


Kalau Mohd Najib hendak menang, hendak mendapat mandat sendiri, beliau kenalah pisahkan era beliau daripada era (Tun) Abdullah Ahmad Badawi.


Mandat sekarang bukan mandat beliau. Ia adalah mandat Abdullah. Cuma kerana tidak menang besar, Umno hilang sabar dan mereka tekan Abdullah supaya lekas-lekas beredar. Natijahnya, Mohd Najib wajib peroleh mandat yang lebih besar.


Seandainya beliau tidak berani atau terlalu bersimpati sehingga tidak sanggup menggugurkan beban era Abdullah sebelum PRU akan datang, pengundi tidak akan yakin yang beliau serius membuat transformasi. (Transformasi bukan istilah saya. Ia adalah antara kata kunci Pentadbiran Mohd Najib). Beliau mesti mengotakan janji merombak Kabinet sebelum adakan PRU.Sokongan Melayu Faktor PenentuKalau orang Melayu tidak sokong, Umno akan lemah. Umno yang lemah tidak akan dapat meyakinkan orang bukan Melayu yang majoritinya akan terus mengundi Pakatan Rakyat kerana DAP.


Tanggapan bahawa Mohd Najib terlalu memihak kepada bukan Melayu dan elit liberal bandar tidak membantu meyakinkan penyokong terbanyak Umno di luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin dalam bandar.


Itu belum dikira lagi beban-beban sampingan yang sepatunya tidak ada yang datangnya daripada golongan dalaman – inner circle – daripada dalam rumah tangga kepada dalam Kabinet, dalam PMO, dalam sektor swasta sehingga penasihat-penasihat dalam dan luar negara.
Ramai daripada mereka, dengan izin, adalah lembu-lembu suci (terjemahan literal the sacred cows) yang tidak boleh disentuh langsung. “Wahyu” mereka amat ditakuti.


Susun sepuluh jari memohon maaf, sama benar, dusta atau persepsi semata-mata, cerita-cerita sebegini tidak membantu menyerlahkan imej Mohd Najib sebagai Perdana Menteri yang menguasai situasi.


Nada bahasa sebegini memanglah pedih dan hanya orang bebal, orang tidak cerdik atau orang tidak berkepentingan sahaja boleh mengucapkannya. Namun risikonya tetap ada.
Jadi, terpulanglah kepada yang empunya diri untuk menilai tulisan seperti ini sebagai kerja orang dengki, orang tak sedarkan diri dan orang iri hati atau sebagai peringatan yang mungkin, di sana sini, terselit sedikit kebenaran. Wallahualam.

A. Kadir Jasin

Thursday, October 13, 2011


Rakyat Kota belud seharusnya memanjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi dan melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada MP Kota belud, Datuk Rahman Dahlan yang telah menunjukkan komitmen yang cukup tinggi dalam menyelesaikan dan mencari jalan mengatasi masalah bekalan air bersih di daerah Kota Belud. Dengan kesungguhan dan bantuan dari agensi kerajaan yang lain terutama kementerian Pembangunan Luar bandar dan Wilayah di mana Datuk Shafie Apdal selaku menterinya serta kesungguhan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Musa Aman, akhirnya bekalan air bersih yang menjadi idaman setiap anak watan Kota belud akan dapat diatasi sedikit masa lagi.

Sebagai projek yang disifatkan oleh Datuk Rahman sebagai 'dekat dihati', masalah itu akan dapat diatasi dalam waktu terdekat. Seperti yang dipaparkan oleh ahli parlimen itu dalam bognya menyatakan bahawa status terkini bekalan air bersih di Kota belud ialah 'sedang' berjalan dijangka Rakyat Kota Belud yang dibelenggu masalah bekalan air bersih sekian lama akan tersenyum apabila projek menanam dan menyambung paip di sekitar perkampungan seperti yang dinyatakan oleh Rahman Dahlan akan siap sepenuhnya kelak menjelang 31 disember 2012.

Permintaan bekalan air bersih di Kota Belud telah menjangkau pada kadar 33 juta liter sehari manakala keupayaan pengeluaran sebanyak 35 juta liter sehari.Keperluan bekalan air luar bandar menurut Rahman Dahlan dapat dibahagikan kepada dua zon iaitu perkampungan yang menggunakan dan mendapatkan air secara alternatif seperti air hujan, telaga, dan paip tiub. perkampungan yang tersenarai ialah sebanyak 27 perkampungan iaitu :

1. Kg Tamau
2. Kg Kuala abai seberang
3. Kg labuan ulu
4.Kg Ambong
5. Kg kelawat pangi
6.Kg kelawat pompod
7. Kg Mandap
8. Kg Kinasaraban
9. Kg Kelawat sawah
10. Kg.Kesapang Ulu
11. Kg Tawadakan
12.kg kawang-kawang
13. Kg rampayan Ulu
14. Kg Rampayan laut
15. Kg Pandasan
16. Kg timbang menggaris
17.kg Rosok
18. Kg Bengkahak
19. kg bahab
20. Kg Taginambur seberang
21. kg Gaur
22. Kg Bokilong
23. Kg nanamun
24. Kg Dudar
25.kg Merbau
26. Kg taburan
27 kg sarang.

Manakala Zon perkampungan yang kedua ialah perkampungan yang mempunyai paip air tetapi menghadapi masalah bekalan air bersih. perkampungan yang dikenalpasti iaitu:

1. Kg.Wakaf
2. Kg. Timbang dayang
3. Kg. Kuala abai
4. Kg Kota peladok
5. Kg Labuan
6.Kg jawi-jawi taun gusi
7.kg Pusat Khidmat negara
8. Kg Pantai emas
9. Kg suang punggur
10. Kg Kondis





Ucapan Tan Sri Pandikar Amin ketika PRU12 yang lepas begitu berapi-api, walaupun pada PRU itu beliau dan kawan karib politiknya di Kota Belud, datuk salleh Tun said digugurkan. Apakah pada PRU 13 akan datang sekali lagi kejutan buat masyarakat Kota Belud?




Wednesday, October 12, 2011

Inilah antara janji MP Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan mengenai pengagihan projek dan peruntukan dalam Parlimen Kota Belud.Apakah janji ini telah dapat dilaksanakan?

Terjumpa video ini dalam youtube. Anda nilailah sendiri


Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana menteri Malaysia juga Presiden UMNO Datuk seri Najib Tun Razak di parlimen pada 7.Okt.lepas,ramai menyifatkannya sebagai bajet terbaik yang benar-baner memahami jiwa dan kesengsaraan jiwa rakyat ketika menghadapi kemelut kenaikan harga barang dan keadaan ekonomi serantau yang tidak menentu. Pemberian on-Off kepada rakyat yang berpendapatan di bawah RM300 pada kadar RM500 secara tunai dikatakan sebagai salah satu elemen dalam bajet tersebut yang sangat unik dan berani. Tidak pernah dalam sejarah kerajaan sesensitif sedemikian.

Namun ketika PM mengumumkan hasrat mengkaji elaun ahli Parlimen dan membayangkannya akan mengalami kenaikan, rakyat mula mencatur persoalan, benarkah hasrat kerajaan untuk memberikan bantuan tunai kepada rakyat seperti yang diumumkan adalah bersifat ikhlas dan jujur serta mulia. Kerana hasrat kerajaan itu dilihat sebagai tidak mahu rugi. Memberikan bantuan kepada rakyat pada waktu yang sama menaikkan elaun ahli parlimen yang sebelum inipun telah mengecepi pelbagai kemudahan jika berbanding dan rakyat di kawasan pedalaman.Akhirnya hasrat menaikkan elaun ahli Parlimen itu mendapat bantahan dari pihak pembangkang sambil menyifatkannya sebagai tidak signifikan langsung kerajaan menaikkan elaun berkenaan ketika rakyat banyak yang menderita dan memerlukan pembelaan.

Media massa pula mendendangkan bahawa hasrat menaikkan elaun ahli Parlimen itu sebenarnya dimulakan oleh beberapa ahli parlimen pembangkang. Sambil menyifatkan pembangkang sebagai tidak realistik kerana apabila tuntutan mereka dipenuhi, sebaliknya menyatakan penentangan pula. Walhal pada Najib, bajet 2012 yang dibentangkan itu bukannya cedokkan dari bajet Pakatan Rakyat, apatah lagi manifesto pembangkang dalam Buku Jingga.

Lantas, bila pembangkang membantah, hasrat menaikkan elaun ahli Parlimen ini ditarik balik selepas 3 hari diumumkan. Pelik tetapi benar, Belanjawan negara boleh ditarik balik dan ditokok tambah semudah . Seolah-olah kenaikan elaun ahli Parlimen ini dicadangkan hanya berdasarkan kepada 'cuba dulu baru tahu' dan bukannya difikirkan sedalam mungkin sebelum dibentangkan.

Saturday, October 8, 2011



Friday, October 7, 2011


Pelbagai reaksi keatas pembentangan belanjawan negara 2012 yang dibentangkan oleh PM yang juga menteri kewangan di Parlimen kelmarin. Selain daripada menjanjikan skim baru kepada perkhidmatan Awam dan juga bantuan sekali terima keatas rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM3000. Najib juga menggemparkan Dewan Parlimen dengan janji untuk mengkaji semula elaun ahli Parlimen dan juga mengumumkan kenaikan elaun berkenaan.

Isu ini mendapat maklumbalas yang kurang menyenangkan dikalangan ahli parlimen pembangkang, kerana disaat rakyat menghadapi masalah kenaikan harga barang yang melambung serta kos sara hidup yang tinggi, Kerajaan mengumumkan pula kenaikan elaun keatas ahli parlimen. Adakah wajar atau sebaliknya. Ikuti komen Nurul Izzah Anwar yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai mengenai isu ini.




Ini pula adalah komen Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri besar Selangor mengenai Bajet 2012.

Walaupun belanjawan Kerajaan Persekutuan dikatakan bersifat kebajikan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata ia tidak memberi pelan yang kukuh bagi membolehkan negara mengharungi keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.Khalid berkata jika pelan untuk memperoleh hasil tidak ditingkatkan, usaha untuk memberi kebajikan tidak akan kesampaian.

“Jika struktur ekonomi kita tidak jelas hasil pendapatan negara kita tidak dapat dikekalkan di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” kata Khalid bila ditemui TV Selangor selepas pembentangan belanjawan 2012.

Kerajaan Persekutuan membentangkan belanjawan RM232 bilion bagi tahun 2012 yang antaranya memperuntukkan bayaran sekali RM500 bagi isi rumah berpendapatan rendah dan pemansuhan semua yuran pendidikan.Bajet kerajaan yang menganggarkan defisit 4.7 peratus adalah 12 bilion lebih daripada belanjawan alternatif yang dibentangkan Pakatan Rakyat, tiga hari lalu.

Antara usaha-usaha lain adalah penukaran skim gaji penjawat awam dari SSM kepada SBPA dan baucher buku teks kepada pelajar universiti.Sebanyak RM978 juta diperuntukkan untuk merancakkan pembangunan di lima wilayah ekonomi dan pakej insentif percukaian bagi membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur.

Wednesday, October 5, 2011


saya berkesempatan berbicara dengan seorang penyokong kuat YB datuk Musbah Jamli, ADUN Tempasuk Kota Belud. Dengan tidak melepaskan peluang tersebut, saya mengutarakan beberapa persoalan termasuk apakah peratusan Datuk Musbah dicalonkan semula di Tempasuk, walaupun saya yakin jawapan yang diberikan tentunya memihak kepada YB Datuk Musbah, namun saya ingin mendengar sendiri pandangan penyokong ini serta harapannya kepada pembantu menteri Pertanian itu.

Dengan bersandarkan kepada prestasi YB datuk Musbah serta hubungan rapatnya dengan YB datuk Ketua Menteri Sabah, beliau yakin Datuk Musbah akan dicalonkan pada PRU 13 akan datang, beliau memulakan hujah politiknya kepada saya. Lantas pertanyaan kedua yang saya ajukan ialah apakah pencapaian tertinggi YB beliau itu? Dengan cepat dan pantas beliau menyebut, Projek Jelapang Padi Kota Belud. Kemudiannya beliau membandingkan pencapaian itu dengan apa yang pernah dibuat oleh YB-YB sebelumnya. " Tidak ada pencapaian yang terbaik dan setanding dengan pencapaian YB datuk Musbah dalam membawa pembangunan dan membenteras kemiskinan masyarakat di Kota Belud" katanya lagi.

Lalu apakah hanya dengan pencapaian itu, maka membolehkan YB Musbah dapat dicalonkan? bukankah begitu ramai lagi pemimpin di peringkat pusat yang telah mencapai prestasi kerja yang memberangsangkan , namun tersisih dari kabinet Najib? Bagaimana dengan pencapaian Syed Hamid Albar,misalnya" .Kata saya lagi.

Penyokong Datuk Musbah ini menjadi perlahan hujahnya. tetapi dengan memberikan penjelasan bahawa peringkat pusat tidak boleh disamakan dengan di Sabah. Dan apatah lagi di Kota Belud. Lihat apa pencapaian pemimpin sebelum ini, walaupun mereka telah menduduki kerusi penting dalam kabinet negeri Sabah. Katanya membidas hujah nakal saya.

Akhirnya, saya melontarkan permasalahan dan kecaman terhadap Datuk Musbah oleh pihak lawan. Datuk Musbah dikaitkan dengan pemilikkan harta yang diluar kemampuannya. Apak komen anda? tanya saya. Dia menjawab ,jangan kita lupa bahawa Datuk Musbah sebelum menceburkan diri dalam dunia politik adalah merupakan usahawan yang berjaya. Maka soal harta dan pemilikkan yang melampau sudah semestinya tidak timbul dan itu bukan isunya, sambungnya lagi. Apa yang menjadi penilaian masyarakat setempat ialah soal kewibawaannya membawa pembangunan dan kemakmuran kepada masyarakat di Tempasuk.

sebagai menutup perbualan kami, penyokong Datuk Musbah ini melahirkan harapan yang sangat tinggi untuk melihat YB nya ini dicalonkan semula. Sama ada berjaya atau tidak projek Jelapang padi itu, semestinya bergantung kepada kesinambungan dan kesanggupan pemimpin itu sendiri,katanya menutup perbualan kami pada petang itu.

Tuesday, October 4, 2011


Di Sabah hanya seorang pemimpin politik muda yang begitu lantang mengkritik dan mempersoalkan segala dasar dan percaturan politik pakatan pembangkang iaitu Pakatan rakyat. Pemimpin dan politikus yang di maksudkan ialah mantan setiausaha BN Pusat yang kini menyandang jawatan sebagai setiausaha BN negeri Sabah merangkap Ahli Parlimen Kota belud iaitu Datuk Rahman Dahlan.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, ahli Parlimen Kota Belud itu membidas dan memperlekehkan isi kandungan Buku Jingga yang menjadi manifesto bersama Pakatan Rakyat ,PKR-PAS dan DAP. Malahan kenyataan pedas Datuk Rahman mendakwa bahawa jika Buku Jingga itu dilaksanakan ia bukan sahaja memberi impak besar kepada ketenteraman dan kestabilan politik negara bahkan juga boleh mengundang parah yang lebih besar iaitu boleh bankrapkan negara. dengan kata lain segala perancangan ekonomi yang terkandung dalam Buku Jingga akan menyebabkan negara mengalami keberhutangan yang serius dan boleh menjerumuskan negara dalam kancah kemuflisan.

Anehnya kenyataan Datuk Rahman Dahlan itu bukan sahaja tidak menarik minat ketua pembangkang Datuk seri Anwar Ibrahim, malah langsung tidak disentuh dan dibidas oleh ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam parlimen dan ketika mengadakan road show di Kota Belud. Dengan mengganggap bahawa kenyataan DARD itu adalah keluar dari mulut politikus yang masih mentah dan junior, sebaliknya DSAI membangkitkan isu kebocoran dalam pengurusan wang dan aset negara oleh BN.

Kelmarin apabila DSAI membentangkan bajet Pakatan Rakyat di perkarangan Dewan Parlimen, sekali lagi menarik minat ahli Parlimen Datuk Rahman Dahlan. Dalam satu kenyataan, DARD menganggap bahawa bajet yang dibentangkan oleh PR itu sebagai BUKU JINGGA VERSI 2.0,Malahan menyifatkannya sebagai lebih besar dan lebih teruk.

Selain itu DARD juga mendesak PR supaya menerangkan bagaimana untuk mengurangkan perbelanjaan dan peruntukkan Jabatan Perdana Menteri yang melibatkan sebanyak 10 billion.

Justeru itu ramai pemerhati politik berpendapat, kenyataan DARD itu wajar diambil perhatian oleh DSAI.Malahan ada saranan supaya DSAI 'mencabar' DARD untuk mengadakan satu sesi debat mengenai hala tuju dan keberkesanan Buku Jingga dan bajet PR itu. Kalau sebelum ini DSAI menerima cabaran Datuk Shabery Chik mengenai isu kenaikan minyak, maka apakah salahnya pula DSAI menggunakan platform perdebatan dengan DARD pula untuk memperjelaskan kepada rakyat apa yang dirancang dan terkandung dalam Buku Jingga.

DARD bukan sahaja pemimpin muda yang begitu lantang mengkritik tetapi juga dilihat sebagai ikon golongan pemimpin muda dalam UMNO yang sanggup berhadapan dengan pihak pembangkang dalam menangani sebarang isu berbangkit. Sebagai rekod , DARD sebelum ini telah menerima cabaran debat dengan Lim Kit Siang mengenai isu empangan Tambatuon di Kota Belud yang dijadualkan akan diadakan pada 24 atau 25 september ini, tetapi kemudiannya ditunda ke pada tarikh yang belum diketahui lagi apabila kekangan masa dan program membelenggu ahli parlimen Kota Belud itu.

Apakah DARD telah bersedia berdebat dengan DSAI? Atau adakah DSAI sanggup melupakan keseniorannya dalam politik demi rakyat dan matlamat politiknya? Masih belum terjawab melainkan jika perdebatan kedua pemimpin ini menjadi realiti.

Spekulasi terbaru mengenai percaturan politik Tan Sri Pandikar Amin di Kota Belud cukup memeranjatkan. Ada kemungkinan besar TSP tidak akan 'merebut' dan 'melobi' sebarang kerusi DUN atau Parlimen di Kota Belud. sekaligus menangkis tanggapan awal pemerhati politik tempatan bahawa TSP akan 'mengambil laih' semula DUN Tempasuk yang ditandingi oleh Datuk Musbah Jamli pada PRU 12 yang lepas.

Malahan desas-desus bertiup kencang bahawa TSP ada kemungkinan akan bertanding di luar kawasan Kota Belud. Sesetengah penganalisis politik Kota Belud yang sempat saya temui juga menganggap percaturan politik TSP kali ini dengan bertanding di luar kawasan Kota belud sebagai "patut' dan "wajar' untuk memastikan kelangsungan politik YDP dewan Rakyat itu. Tapi menurut sumber ini, TSP masih 'menunggu' lampu hijau dari Najib sama ada bertanding peringkat DUN atau Parlimen.

Kesanggupan TSP berkenalan di luar Kota Belud, dilihat sebagai dua ekor harimau tidak akan berada pada satu rimba. Mengambil perumpamaan itu berkait dengan hubungan TSP dengan Datuk Salleh Tun said yang dikatakan tidak akan melepaskan cengkaman politik di Kota Belud, sama ada merebut kembali Kerusi Parlimen atau kembali semula ke Usukan. Hubungan kedua-dua tokoh ini yang rapat ekoran pengguguran mereka pada PRU 12 yang lepas bertambah intim apabila mereka mengambil alih kepimpinan sebuah NGO politik di Sabah iaitu USBO.

Justeru itu ada pandangan bahawa tidak akan ada dua raja rimba dalam hutan yang sama. Barangkali perkelanaan TSP di luar Kota Belud adalah untuk mencari rimba baru dan semestinya rimba itu punya persamaan besar dengan rimba yang ditinggalkannya.

Dua kawasan yang dispekulasikan akan ditandingi oleh TSP iaitu sama ada di Kota Marudu dimana beliau pernah menjadi ketua Bahagian UMNO di kawasan itu sebelum meletakkan jawatan ekoran perlantikkannya sebagai YDP Dewan rakyat. Dan satu kawasan lagi ailah di Tungku , Lahad datu dengan mengambil kapasiti di kawasan itu didiami oleh kebanyakkkan masyarakat Iranun sesuku dengan TSP.

Justeru kawasan Tungku dilihat menjadi kawasan selamat bagi tokoh Iranun itu selasin dari Kotas Belud, sendiri.Sebagai rekod TSP sebelum ini belum pernah bertanding di luar kawasan Kota belud, begitu juga dengan Datuk salleh Tun said.

Tuduhan kononnya Kelapa Mawar menjadi 'dalang' kepada pembongkaran segala bentuk kelemahan dan kedaifan NGO Iranun di Kota Belud adalah sama sekali tidak benar. Malahan dakwaan bahawa Kelapa Mawar mempunyai agenda dan kepentingan peribadi dalam memaparkan isu berkenaan juga adalah tidak benar sama sekali. Bahkan ada tanggapan dari pemimpin NGO berkenaan kononnya Kelapa Mawar berasa iri hati atas penonjolan mereka. Dakwaan itu juga adalah bersifat prejudis dan tidak bersandar kepada kewarasan pemikiran yang dituntut.

Apabila kritikan dilemparkan kepada NGO ini, sifat melatah,melenting dan bertanggapan negatif menjadi pilihan mereka. Kelapa Mawar langsung tidak menyerang peribadi mereka. Kelapa Mawar tidak mengaibkan peribadi pemimpin NGO ini. Hanya kelapa Mawar 'memertikaikan' beberapa kelemahan yang pada pandangan Kelapa Mawar wajar diberikan perhatian. Pendekatan serta matlamat pertubuhan itu yang masih kabur pada kaca mata orang lain yang sesuku dengan mereka.

Pada waktu yang sama kelapa mawar juga memberikan beberapa cadangan dan pandangan untuk memperbaikinya. Namun pandangan itu tidak semestinya diterima. Menyuburkan prinsip demokrasi dengan memberikah hujah penafian dan hujah penguat adalah lebih dituntut daripada melemparkan tanggapan yang tidak berasas.

Kelapa Mawar inginkan keterbukaan dalam berhujah. Jika merasakan bahawa apa yang dipaparkan itu tidak tepat dan tidak relevan, maka inilah masanya untuk menerangkan kepada umum supaya kekalutan dan kekaburan itu menjadi jelas.

Jarang ada pemimpin yang bila dikritik mengambil jalan dan pendekatan untuk menjawab secara berhemah dan berhujah secara matang. Malahan ada yang lebih suka tidak mahu dikritik dan tidak mahu dipersoalkan. seolah-olah apa yang dilakukan itu benar kepada semua orang.

Mempersoalkan identiti kelapa Mawar mungkin ada asasnya, tetapi itu tidak bermakna bahawa prinsip berhujah itu mati hanya kerana berselindung disebalik nama samaran. Kelapa mawar lebih bebas menyuarakan idea dalam keadaan begini. Tidak terikat kepada sesiapa, tidak terbatas kepada isu tertentu sahaja.Justeru kelapa mawar bukan hero kepada sesiapa juga bukanlah musuh kepada yang lainnya. Kita suburkan suasana berhujah dalam dunia maya ini.

Kepada pemimpin NGO Iranun , teruskan perjuangan kalian!


Kakitangan kerajaan bakal naik gaji sehingga 40%? Kalau betul berita gaji kakitangan awam 2012 naik kakitangan naik gaji ini, Alhamdulillah. Kalau diikutlah kenaikan sehingga 40% sangatlah tinggi tetapi dilihat sepadan memandangkan taraf hidup rakyat Malaysia pun dah melambung tinggi. Yang pastinya, berita kenaikan gaji dalam Bajet 2012 akan ditunggu-tunggu. Dan kami pasti slot pengumuman seperti kenaikan gaji kakitangan awam ini akan boleh didengar pada slot terakhir pengumuman Bajet 2012. Pada awalnya, ramai yang mengatakan :



:Kakitangan kerajaan akan mendapat bonus yang lumayan dan gaji kakitangan awam 2012 naik. Adakah berita bonus lomayan ini dan kenaikan gaji ini akan menjadi realiti untuk kakitangan awam??Ada yang meramalkan gaji kakitangan awam 2012 naik sehingga 30 – 40% tetapi semua elaun dihapuskan. Kalau begini, nampaknya makinramai yang akan kena bayar income tax.Dan ada juga yang meramalkan, gaji kakitangan awam 2012 naik sehingga 30 – 40% tetapi semua elaun diselaraskan ke RM500 untuk semua. Walaubagaimanapun, namapun ramalan.Kalau tahun lepas, kakitangan awam menerima bantuan kewangan sebanyak RM500, tahun ini bonus setengah bulan gaji. Dan paling terbaru, berita gaji kakitangan awam2012 naik sehingga 40% mula kedengaran….Gaji satu lapis sektor awam diwujud semula, naik hingga 40 peratus



KUALA LUMPUR— Putrajaya dijangka memperkenalkan sistem saraan baru sektor awam, menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) — antara lain menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat — yang bakal membawa kenaikan gaji sehingga 40 peratus.Sistem saraan yang namanya masih dirahsiakan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012 — yang ramai melihatnya sebagai “bajet pilihan raya umum ke-13”. Kerajaan bercadang untuk melaksanakan mulai 1 Januari 2012 bersama sistem penilaian baru, yang dikenali sebagai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek).“Difahamkan agensi-agensi kerajaan sudah melengkapkan kajian memperkenalkan sistem saraan yang baru, bukan pelarasan tetapi satu sistem yang baru, skim gaji satu lapis yang pernah digunakan sebelum SSB,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.



Di bawah sistem satu lapis bilangan tangga gaji juga akan ditambah sampai 25 hingga 30 dan kemungkinan lebih dalam gred tertentu. Minggu lalu, The Malaysia Insider membawa laporan bahawa kerajaan kemungkinan akan menaikkan gaji kakitangan awam dan membayar bonus menerusi bajet kali sebelum menghadapi pilihan raya umum.Kali terakhir kerajaan meluluskan pelarasan adalah pada 2007 iaitu sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus. Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.



Satu sumber berkata, “langkah ini (memperkenalkan sistem saraan baru) juga satu bentuk kenaikan gaji tetapi pelaksanaan menjangkaui kenaikan gaji sebab ia akan membabitkan penyusunan semula skim dan gred.”“Tindakan paling signifikan ialah memperkenalkan sistem gaji satu peringkat,” kata beliau yang turut merujuk kepada permintaan Cuepacs pada 1995, mendesak kerajaan memperkenalkan semula sistem gaji satu lapis dengan memansuhkan SSB.Bagaimanapun tuntutan itu tidak dilayan dan kerajaan hanya memberi pelarasan gaji ketika itu.“Cuepacs juga sebenarnya telah berharap sistem gaji satu lapis akan diperkenalkan semula pada 2002 (ketika SSM diperkenalkan), tetapi tidak menjadi kenyataan. “Jika ia diperkenalkan semula bermakna ia akan membawa faedah besar kepada kakitangan awam … kenaikan kemungkinan boleh sampai RM300 hingga RM700, bergantung pada skim dan gred masing-masing,” kata sumber itu sambil menambah, maklumat ini benar sehingga semalam dan kemungkinan boleh berubah mengambil kira keadaan ekonomi global dan tempatan.



“Kalau dari segi peratusan, kita boleh katakan kenaikan ini antara lapan hingga 30 peratus, mungkin dalam kes gred tertentu boleh mencapai 40 peratus,” kata sumber itu lagi.Satu lagi perubahan di bawah sistem saraan baru ini ialah langkah kerajaan menyatukan Kumpulan Sokongan I dan II iaitu perkhidmatan kumpulan rendah di bawah satu grup yang bahawa dikenali sebagai Kumpulan Pelaksana. Nama Kumpulan Pengurusan dan Profesional dijangka akan dikekalkan. SSM diperkenalkan pada 2002 menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam. SSM terdiri daripada sistem gaji tiga lapis dengan kenaikan tahunan secara mendatar, menegak atau melintang dengan masing-masing mempunyai kuota.Sistem kuota itu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dan dakwaan wujud diskriminasi dalam proses penilaian prestasi. Proses penilaian itu kemudian digantikan dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sekali lagi membawa kepada kontroversi. The Malaysian Insider difahamkan sistem saraan ini, yang mirip dari segi sistem gaji satu lapis yang digunakan sejak negara merdeka sehingga 1991.




Awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Prospek, sistem baru menggantikan PTK, akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat. Penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang telah diukur oleh panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.Prospek yang diperkenalkan Mei lalu hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari ini. Mei lalu, JPA mengumumkan Prospek sebagai pengganti PTK berkuat kuasa 1 Julai lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa. Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.



Mungkin ada yang tertanya-tanya gaji satu lapis ini bagaimana? Okey…begini :Gaji satu lapis tu maknanya, tangga gaji satu sahaja sekarang ini ada 3 lapis P1, P2 dan P3Kalau kita cemerlang boleh dapat naik gaji dari P1 ke P2. Cemerlang lagi P2 pergi P3Gaji satu lapis ini tiada sistem siling, tiada gaji mati. Selagi berkhidmat, selagi itulah gaji naik




beritasemasa.com


Monday, October 3, 2011


Ketika Datuk seri Najib menuju ke arah keberjayaan transformasinya termasuk memansuhkan akta ISA dan kemudiannya di war-warkan oleh media massa dalam waktu terdekat di bulan Oktober ini, Najib akan membentangkan belanjawan negara 2012 yang dikatakan oleh kebanyakkan pemerhati politik sebagai "bajet" PRU 13, Pakatan Rakyat di bawah pimpinan ketua pembangkang Datuk seri Anwar Ibrahim memintas' keajaiban itu dengan mengumumkan Bajet Pakatan Rakyat di perkarangan Parlimen. Teks ucapan penuh DSAI itu boleh diikuti di sini teks ucapan belanjawan alternatif pakatan rakyat

Antara pengisian Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat ialah :

Belanjawan Pakatan Rakyat memperuntukkan RM 220 bilion dengan mengekang defisit pada 4.4 % daripada KDNK berbanding BN melebihi 6%.

Bayaran bonus warga emas sebanyak RM 1,000 setahun kepada yang layak - iaitu yang berpendapatan di bawah RM18,000 setahun. Gaji minima sebanyak RM 1,100 memanfaat 300,000 kakitangan awam. Akta sedia ada akan dipinda.

Pembayaran elaun pendidik sebanyak RM 500 sebulan.

Pakatan Rakyat mengumumkan pemberian lesen lesen teksi secara terus kepada pemandu pemandu teksi dan batalkan sistem konsesi ala BN.

Defisit negara pimpinan UMNO mencecah 6% bagi tahun 2011 tersimpang dari janji Najib untuk kurangkan ke kadar 5.2%.


Ketua Pembangkang membentangkan Bajet Pakatan Rakyat di dewan taklimat Parlimen.


Jabatan Perdana Menteri akan di rombak. SPR, SPRM akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

Perdana Menteri daripada Pakatan Rakyat tidak akan menjawat jawatan Menteri Kewangan. Ucapkan selamat tinggal kepada tenaga perunding luar negara.

Penglibatan tenaga kerja wanita kepada ditingkatkan kepada 55% menjelang 2015. Berbanding 42% sekarang ini.

Belanjawan Pakatan Rakyat mencadangkan pemotongan belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dan dikembalikan kepada Kementerian lain.

Perolehan kerajaan melalui tender terbuka dengan jaminan skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan program latihan usahawan baru.

Pakatan Rakyat berbcadang kembalikan cukai-cukai eksais & duti yang dibatalkan Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah (beg-beg mewah, dll).

Belanjawan Pakatan Rakyat tumpu pembangunan wilayah terutama pembinaan infra termasuk lebuhraya yang menghubungi Sabah dan Sarawak.

Pakatan Rakyat akan melaksanakan semua tuntutan BERSIH, memansuh ISA, OSA dan AUKU.

Saya amat menyedari bahawa keterlibatan PAGISA dalam ruang lingkup budaya dan kelangsungan sosial suku Iranun cukup besar dan amt bertenaga. Beberapa aktiviti PAGISA termasuk soal santunan kepada golongan marhein di Sabah dan penyatuan kepada beberapa NGO lain yang dilandaskan kepada Islam juga satu strategi yang ampuh. Sehingga itu PAGISA berdiri seadanya,walaupun cabaran besar sentiasa melanda melibatkan soal dana, kewangan dan peruntukan masa bagi pemimpin PAGISA. Itu kita maklumi sedari awal lagi.

Sudah menjadi lumarh manusia, bila berlaku perubahan dan peningkatan imej baik perseorangan atau berkumpulan , ia menjadi perhatian. Sama ada perhatian oleh orang luar dari ruang sedia ada atau pun perhatian yang datangnya dari dalam ruang yang lompang. PAGISA tidak terkecuali dari mengalaminya.

Membaca artikel setiausaha PAGISA "Harapan Besar terhadapPagisa satu cabaran baru" yang dipostkan dalam blog rasmi MGO Iranun itu ,Lihat pagisa.blogspot.com saya menjadi terlalu pesimis. Kerana atas beberapa keadaan yang pada hemat saya yang saya kongsikan dengan beberapa orang rakan graduan Iranun lain sebagai agak longgar dan boleh diperdebatkan.

Blog kelapa mawar memaparkan bagaimana perlunya PAGISA lebih terbuka. Soal aktiviti dan pelbagai recam program dirancang begitu baik dan sistematik. Tapi mungkin ada benarnya pertanyaan ini. Apakah aktiviti PAGISA telah memberikan kesan besar kepada masyarakat Iranun? atau aktiviti itu hanya memberikan kesan kepada pimpinan PAGISA?

Soal kedua, kita juga mengemukakan soal keterbukaan keahlian PAGISA. Dalam konteks ini, kita mencadangkan supaya PAGISA mengadakan satu program bergerak untuk menghimpunkan ratusan graduan Iranun di Sabah dan di Kota Belud amnya. Tidak lagi perlu menunggu graduan datang dan menghubungi s/u Pagisa untuk memohon keahlian. Soal komited atau tidak bukan pada hemat kita menjadi persoalannya tetapi PAGISA harus bersedia menjadi payung kepada ratusan anak graduan Iranun yang masih bertaburan. Baik yang sudah berkerjaya atau masih berpengangguran.

Sebab itu artikel ini mungkin panas kerana menggesa PAGISA keluar dari kepompong lama dan mengecapi dunia baru yang tanpa sempadan jarak dan waktu. Pencarian ahli PAGISA ini sangat mendesak bagi saya kerana ia membersihkan PAGISA dari tanggapan negatif bahawa PAGISA adalah milik secara inklusif oleh kelompok tertentu sahaja.

PAGISA harus menongkah arus dari segi penambah keahlian dan tidak bergantung kepada ahli sedia ada yang barangkali jauh lebih monoriti dari bilangan graduan Iranun di luar sana. Kepimpinan dan pendekatan perlu dirubah. sesuai dengan tuntutan masa dan ketika. Saya secara telusnya tidak nampak apakah faedahnya PAGISA berada pada takuk lama dengan tidak menambahkan keahlian secara agresif? Dengan menunggu orang datang dan mengisi borang keahlian akan membantutkan perancangan dan kecergasan PAGISA? Berapa lama abadnya harus PAGISA menunggu untuk mengumpulkan graduan Iranun yang bergentayangan ini? Apakah 10 dan 20 tahun lagi?

Mohon kepada pimpinan PAGISA supaya satu bentuk perbincangan diperingkat pimpinan teratas untuk mengusulkan harus bagaimana menambah ahli PAGISA ini.

Sunday, October 2, 2011


Isu tarikh pilihanraya umum ke 13 terus menjadi topik perbualan rakyat di negara ini. Bukan sahaja pemimpin parti pemerintah dan parti pembangkang menantikan tarikh keramat itu, tetapi jugta rakyat awam terus mendendangkan lagu yang sama.

Di Kota Belud, antara pemimpin politik yang menjadi tumpuan media ialah Tan Sri Pandikar Amin yang juga Yang Deprtua Dewan Rakyat. Memang pada dasarnya keputusan membubarkan Parlimen adalah dibawah bidang kuasa dan budi bicara Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. Dan itu telah terlaksana di negara ini lewat 50 tahun lebih. Tiada yang mempertikaikannya pada asas undang-undang dan perlembagaan negara.

Namun begitu pada posisi perundangan negara YDP dewan Rakyat juga semestinya diberitahu terlebih awal sama ada dalam bentuk 'rahsia' yang diikat oleh sumpah simpan rahsia, ataupun dikiaskan oleh perlambangan. Itu terpulang pada ketokohan dan kebijaksanaan PM 'melafazkan' nya di hadapan YDP Dewan Rakyat.

Kerana atas situasi itu kehadiran YDP Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin di Kota Belud dalam beberapa majlis berbuka puasa dan majlis sambutan Hari raya Aidilfitri terus diintai oleh para wartawan dan juga penyokong atas pagar untuk mendengar sendiri dari mulut TSP mengenai bayangan tarikh PRU 13. Sebagai orang nombor 3 dalam carta pemerintah sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, TSP dilihat boleh mencanai tarikh pilihan Najib untuk membubarkan Parlimen.

Dalam satu Majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan di Kota Belud, TSP dilaporkan sebagai berkata bahawa PRU 13 paling lewat dan paling awal pun akan diadakan pada bulan Mac 2012. Ertinya pada tahun depan. Jangkaan sesetengah pihak bahawa PRU bakal diadakan pada tarikh metos 11.11.11 mungkin tidak akan menjadi kenyataan. Namun begitu ramalan Sdr Musli Oli sebelum ini bahawa PRU 13 berkemungkinan diadakan pada Februari 2012 dilihat lebih dekat dan boleh dijadikan pedoman kepada pemerhati politik tempatan. Lihat .rontogdaily.com

Sdr MO dalam tulisannya itu meramalkan pada tarikh tersebut dengan hujah bahawa banyak perkara yang diselesaikan oleh Najib dalam rentetan ke penghujung tarikh itu. selain daripada persidangan UMNO dan Mod parti komponen lain seperti MCA yang disinonimkan dengan sokongan masyarakat Cina, Najib juga kini dilihat semakin utuh mendapat sokongan orang Melyau dan masyarakat Cina setelah beberapa transformasi besar dilakukan oleh Najib termasuk memansuhkan akta ISA dan membuat penambahbaikan sistem pilihanraya negara.

Jika pada tarikh yang diramalkan oleh MO dan TSP itu lebih dekat , ertinya hanya tinggal kurang dari 6 bulan dari sekarang, PRU 13 akan diadakan.

Friday, September 23, 2011


Isu Musli Oli akan bertanding pada PRU 13 di Kota Belud telah lama dicetuskan oleh penulis nasional ini pada 2 tahun yang lepas. selain daripada membuat pengakuan pada laman blog, Musli Oli yang juga penggiat NGO di Sabah membuat ikrar terbaru itu dalam FCB beliau. Sambil mendakwa bahawa beliau mendapat sokongan daripada Datuk kalaku Untol, Musli Oli juga membuat dakwaan akan bertanding sama ada pada DUN atau Parlimen.

" InsyAllah tuan haji saya jadi YB selepas ini, tapi jgn tidak undi saya pada PRU akan datang. samada Usukan atau calon MP. Kompom sudah tanding"

"Terima kasih karim, tolong kempen di KB samada DUN atau Parlimen. datuk kalakau akan bantu juga.."

Kenyataan MUsli OLi ini sangat menarik dalam politik Kota Belud. Pertama kerana keluarga MO bukanlah baru berkecimpung dalam dunia politik. kalau tidak silap saya Allahyarham Abang MO telahpun bertanding menggunakan logo PAS dan mendapat undi lebih 2000 di KB. satu pencapaian yang baik . ketika rakyat KB pada waktu itu masih dibelenggu oleh politik wang yang ditabur setiap kali pilihanraya.

Kedua yang menarik ialah, kenyataan MO ini dilihat sebagai satu langkah "protes' senyap keatas kepimpinan sedia ada. Baik Datuk Japlin di Usukan atau Datuk Rahman dahlan di Parlimen. Itupun jika kedua tokoh politik ini dicalonkan kembali pada PRU akan datang. Jika tidak ura-ura di Usukan , Datin Saidatul Badru akan bertanding dan pertembungan MO dengan Datin ini akan mencatat sejarah politik sendiri.

Jika di Parlimen KB, datuk Salleh atau TSP atau Datuk Musbah juga akan mencatat sejarah politik kerana MO dan tokoh-tokoh politik ini mempunyai hubungan yang baik dan intim terutama Datuk salleh Tun said.

MO bukan sahaja mempunyai kekeluargaan yang ramai di KB tetapi juga dilihat sebagai tokoh NGO di sabah yang mempunyai rangkaian kuat di peringkat nasional. Apakah yang bakal terjadi jika ura-ura MO akan bertanding di Usukan atau Parlimen menjadi kenyataan? Bersama kita tunggu paling lewat pun pada tahun 2012 dengan mengambil kira mod dan petanda Najib akan membubarkan parlimen.

Thursday, September 22, 2011


Kenyataan Mat Sabu bahawa Mat Indera adalah 'pejuang' dalam satu ceramah politiknya dalam insiden serangan komunis pada balai polis Bukit Kepung telah mengundang padah kepada timbalan presiden PAS itu apabila di dakwa di mahkamah Seksyen, Butterworth pagi kelmarin. Jika sabit kesalahan Mat Sabu boleh dipenjarakan selama 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Mat Sabu kemudiannya dibebaskan atas ikat jamin sebanyak 15 ribu sementara menunggu perbicaraan pada 27 Oktober ini.

Walaupun begitu peguam Mat Sabu mempertikaikan kewajaran kes itu dibawa di mahkamah kerana menurut peguam itu kes sejarah sepatutnya di bawa ke meja akademik dan bukannya di mahkamah.


BUTTERWORTH, 21 Sept: Peguam Mohamed Hanipa Maiden menganggap kes yang melibatkan Mohamad Sabu sebagai kes 'karut' kerana mana ada kes yang berhubung sejarah dibicarakan di mahkamah melainkan di Malaysia.

Sepatutnya, kata beliau ia dibawa ke medan pentas akademik bukan ke mahkamah seperti mana hari ini.Pagi tadi, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu telah dibebaskan pada pukul 12.15 tengah hari dengan ikat jamin RM15 ribu.Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan tahanan dua tahun penjara, didenda atau kedua-duanya sekali.

Kes beliau akan disebut sekali lagi pada 27 Oktober ini dan dibicarakan pada 5 hingga 9 Disember depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Beliau dibela oleh Hanipa Maidin dan Amirudin Zulkiply manakala pendakwaan dilakukan oleh Mohamad Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusuf dan Suhaimi Ibrahim di hadapan Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajudin.

Turut hadir memberikan sokongan moral kepadanya ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Khalid Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Kedah, Nasir Mustaffa dan ramai lagi kepimpinan PAS dari Pulau Pinang dan Kedah.Sementara itu, Mohamad berkata, beliau sedia dibicarakan dan yakin kesnya akan mencapai kemenangan demi memperbetulkan fakta sejarah yang telah diselewengkan oleh penjajah.


Umno juga ujarnya, akan kalah untuk mempertahankan fakta yang salah sekaligus meranapkan impian Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan pemerintahan negara ini.

"Saya yakin seyakin-yakinnya kita boleh menang kes ini dan Umno tewas dalam hal persejarahan Malaysia ini," tegas beliau ketika berucap ringkas di luar mahkamah.
Katanya, Umno dan BN hanya mahu menggambarkan perjuangan mereka sahaja yang betul mengenai kemerdekaan negara.


"Umno dan BN hanya mahu mengambarkan perjuangan mereka sahaja yang betul tentang kemerdekaan dengan membelakangkan perjuangan orang lain walaupun mereka lebih ke hadapan menentang penjajah," katanya.