Wednesday, April 18, 2012



Sebelum ini PM Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden UMNO dipetik sebagai berkata bahawa beliau sanggup kehilangan kawan dalam politik jika 'kawan' itu tidak dicalonkan oleh beliau atas kepentingan parti. Najib juga selalu mengungkapkan "calon boleh menang".Maknanya istilah 'calon luar' mungkin akan dan masih berlaku pada PRU 13 ini, asalkan calon berkenaan boleh menang.

CADANGAN pemilihan ‘orang luar parti’ sebagai calon Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO pada pilihan raya Umum (PRU) ke-13 boleh dipertimbangkan jika calon berkenaan dapat diterima oleh pengundi setempat.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras,Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, pemilihan calon pada PRU akan datang harus menepati kehendak Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya mahukan ‘calon yang boleh menang’ diletakkan bertanding.

Beliau menegaskan, matlamat UMNO adalah mencipta kemenangan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, bukannya kerana ingin popular atau disebabkan terselit agenda peribadi.

“Jika orang luar parti boleh memberikan kemenangan besar kepada UMNO dan BN, maka sewajarlah mereka diberikan peluang dan semua pihak termasuk kepimpinan parti di peringkat bahagian hendaklah memberikan sokongan padu,” tegasnya.

Justeru beliau mengingatkan bahawa faktor pemilihan calon pada PRU ke-12 dilihat salah satu punca yang menyebabkan UMNO dan BN mengalami kekalahan paling teruk dibeberapa negeri termasuk di Wilayah Persekutuan.

Katanya, ‘minat’ orang luar parti disenaraikan sebagai calon menunjukkan dasar terbuka Najib selaku Perdana Menteri berjaya menarik minat kumpulan berkenaan untuk bersama-sama mengekalkan kemenangan BN pada PRU akan datang.

“Inilah yang dikatakan perubahan dalam UMNO dan kita hendaklah berani serta bersedia menerima perubahan tersebut secara terbuka tanpa dibelenggu rasa iri hati atau kecewa,” tegasnya.

Tambah beliau, cadangan mencalonkan orang luar parti seperti golongan profesional, penjawat awam, tokoh perbankan dan pengurusan GLC juga mampu memberi saingan kepada parti-parti pembangakang.

Beliau mengulas pengesahan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam bahawa senarai yang diterima oleh ibu pejabat parti memang ada yang mencadangkan pemimpin NGO yang menyokong kerajaan, bekas penjawat awam dan pengursuan kanan GLC serta tokoh-tokoh tokoh korporat.

Beliau dipetik sebagai berkata, trend berbeza kali ini menunjukkan keterbukaan beberapa bahagian UMNO, sekaligus membuktikan semangat untuk memastikan kemenangan BN amat tinggi.

“Matlamat perjuangan UMNO dan BN untuk membela nasib rakyat dapat dicapai jika semua kepimpinan bahagian bersikap terbuka dan menolak kepentingan diri,” kata Tengku Adnan lagi.

0 ulasan :