Monday, April 16, 2012



Saya bukan orang PKR, bukan juga sealiran dengan ideologi mereka. Pada waktu yang sama saya juga tidak mahu terpalit dengan ideologi politik UMNO dan BN. Saya lebih suka melihat antara kedua-dua aliran tarikat politik itu dalam 'mazhab' pemikiran saya. "non partisan" atau 'atas pagar' yang sentiasa melihat kedua pihak, sama ada Sang Penguasa dan Sang Pembantah mempunyai iltizam politik melihat "MALAYSIA BARU " tercapai.

Namun setelah sekian lama kita mengalami sendiri segala macam recam program pembangunan Sang Penguasa, maka sekian itu juga kita tidak dapat lahir dari apa yang dikatakan sebagai 'kepincangan' dasar, polisi dan pendekatan kepada sistem keadilan dan penjagaan dana-dana awam yang sumbernya dalah dari wang rakyat, wang pembayar cukai. Pendapatan negara paling besar datangnya dari cukai yang dibayar oleh rakyat.

Pun begitu adalah tidak adil jika kita menafikan secara mutlak, segala bentuk pengorbanan Sang Penguasa untuk membangunkan negara tercinta ini. Misi dan Visi 2020 adalah ilham suci yang harus terpikul pada beban pundak setiap warga negara ini. Maka apakah tidak ada lain lagi misi yang lebih sempurna selain dari itu? Jawabnya mungkin ada kerana tabiat alam, setiap yang difikirkan duluan dari masa depan, pasti menghadapi cabaran yang lebih ganas.

Apabila Sang Permbantah mula berangan-angan dengan segala janji-janjinya kepada warga negara ini,ramai yang menganggapnya sebagai "janji bulan dan bintang". Tidak akan tercapai dan terlaksana.Bagaimana kita tahu tidsak boleh dilaksanakan jika kita tidak pernah memberikan ruang yang lebih luas kepada Sang Pembantah menerangkan polisi dan dasar ciptaan mereka. Mungkin saja ia lebih baik dari dasar dan polisi yang kita ketahui sebelum itu.Bayangkanlah jika ia lebih baik dari sebelum ini, maka menolaknya bukankah satu kerugian dan kemuflisan dasar negara.

Jika di Sabah PR dan Sang Pembantah ini mahu memberikan kuasa Autonomi, royalti minyak 20%,pengatasan masalah Pendatang Tanpa Izin (PATI), Penyelesaian Tanah Adat dan penyamarataan kedudukan Sabah, sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu (PTM), mengapakah ia perlu ditolak sedangkan itulah yang selama ini dihajatkan?

Berikan ruang kepada Sang Pembantah menerangkan polisi mereka ini. Jika Sang penguasa merasa apa perlu ditakutkan, selama 50 tahun mereka mencengkam kuasa, bukannya rakyat buta mata dan hati untuk membuat penilaian.Persilakan mereka!!!biar rakyat menghakiminya.

Namun jika banyak kepincangan yang disembunyikan, justeru rakyat berduyun-duyun datang mendengar ceramah sang pembantah.Kata Datuk Sairin Karno, "jangan test-test atau cuba-cuba dalam menukar kerajaan, kerana ia bukan perkara main-main".Bagaimana pula jika Sang Penguasa cuba-cuba atau test-test rakyat dalam memilih kerajaan?

Bagi saya janji-janji sang Pembantah ini boleh ditunaikan dengan syarat mereka diberikan peluang sebagaimana kita selama ini memberi peluang kepada sang Penguasa menjalankan polisi dan dasar mereka.Namun apakah keputusan kita memberi laluan kepada sang pembantah itu adalah yang terbaik buat masa depan negara ini?


0 ulasan :