Tuesday, April 22, 2014



Ramai yang bertanya kepada saya serta mempersoalkan keistimewaan pihak imigresen di Sabah dan Sarawak. Mereka hairan bagaimana peruntukan begitu ada di dalam persekutuan seperti Malaysia. Keraguan mereka boleh kita fahami. Di beberapa tempat seperti Kesatuan Eropah, keadaan ini tidak lagi dipraktikkan. Kita bagaimanapun masih mengamalkannya. Kuasa pula diberi bagi mempertahankan pemerintah dan bukannya orang ramai.

minggu lalu, pemimpin daripada Pakatan Rakyat dihantar pulang daripada Sarawak. Antaranya ketua setiausaha PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail serta ahli parlimen dari parti tersebut, Tian Chua dan Rafizi Ramli. Ini bukan juga kali pertama. Kita telah saksikan peruntukan ini digunakan bagi menghalang pengkritik memasuki sesuatu negeri. Sebabnya jelas: mereka mengancam kerajaan pimpinan parti komponen Barisan Nasional. Bagaimanapun, ketua pertubuhan Perkasa Datuk Ibrahim Ali dibenarkan walaupun didakwa termasuk di dalam senarai yang dilarang memasuki negeri itu. Apa-apapun, Ibrahim berjaya membentuk pertubuhan serupa di Sarawak.

Dalam pada itu, ketua menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dilapor mencabar ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa perkara itu ke mahkamah. Sebagai seorang bekas wartawan dan peguam, Adenan tentu tahu pemimpin PKR itu tidak akan menang. Kedudukan di dalam Perlembagaan Persekutuan amat jelas: Artikel 9(1) menjamin kebebasan bergerak bagi semua warganegara. Artikel 9(3) bagaimanapun mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada perkara ini. Ia dimasukkan di dalam perjanjian sebelum mereka menyertai persekutuan pada 1963. Kita juga pernah dengar mahkamah mempertahankannya pada 1979 dan 2002.

Samada undang-undang ini wajar diubah perlu dibincangkan di Parlimen dann di kedua-dua negeri terlibat. Meminda peruntukan perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak dan perkenan Yang di-Pertua Negeri juga diperlukan. Perkara ini jelas di dalam Artikel 161E(4) Perlembagaan Persekutuan. Keperluan ini bukan mudah diubah dan kita memerlukan budibicara Sabah dan Sarawak di dalam hal ini. Ia juga bergantung kepada warga di neger-negeri itu: Adakah mereka mahu meneruskan pemerintahan yang tidak semestinya melindungi hak warga Sabah dan Sarawak seperti mana tujuan sebenar Perlembagaan?

Ia juga menunjukkan bahawa peruntukan Artikel 9(3) berada di kedudukan sama dengan Artikel 153 yang melindungi hak istimewa Melayu serta penduduk asal Sabah dan Sarawak. Selepas 50 tahun, nasib golongan yang dilindungi tidak juga berubah. Artikel 9(3) bertujuan melindungi kesejahteraan penduduk asal di Sabah dan Sarawak agar tidak dibanjiri penduduk Semenanjung. Namun kuasa imigresen kini digunakan sehingga kedua-dua negeri ini tidak dapat melakukan perubahan. Di dalam amalan demokrasi, rakyat wajar diberi pilihan menentukan nasib mereka. Kini, jika ahli politik Umno sahaja yang dibenarkan ke sana, bagaimana pula dengan pemimpin Pakatan Rakyat? Persaingan sihat diperlukan agar penduduk diberi pilihan idea yang berbeza.

Namun, seperti dijelaskan di atas, perubahan sukar dilaksanakan. Selain perubahan kepada rejim pemerintah, mahkamah perlu mentafsir Artikel 9(3) dengan lebih baik. Ia perlu sejajar dengan niat asal yang termaktub di dalam Perlembagaan.

1 ulasan :

Anonymous said...

Kebijaksanaanan pemimpin Sabah dan Serawak..menjaga dan melindungi dari kaki kelentong dari luar...