Wednesday, April 26, 2017



Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Pandikar Amin Haji Mulia mengumumkan hasrat beliau untuk kembali aktif dalam arena politik tanah air khususnya di Sabah.

Katanya, masanya telah tiba untuk beliau mempertimbangkan hasrat itu setelah berkhidmat selama sembilan tahun sebagai Speaker Parlimen Malaysia.

“Dalam tempoh begitu lama mengetuai Persidangan Parlimen dan memberi arahan, teguran serta suruh duduk para wakil rakyat atau ahli-ahli Yang Berhormat (YB), suatu hari nanti saya pula akan berada di situ dan disuruh duduk seperti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Lawatan Mesra ke Ladang Lebah Kelulut di Kampung Bodu dan Ladang Lebah Kelulut Kampung Onduon, Matunggong Kudat baru-baru ini.

”Saya ingin kembali berkhidmat kepada rakyat khususnya di kawasan saya sendiri dan itulah hasrat saya tanpa berselindung,” jelas Pandikar yang kini berusia 64 tahun.

Pandikar menceburi bidang politik pada 1982 apabila bertanding bagi kawasan Parlimen Kota Belud, tetapi tewas. Pada tahun yang sama beliau bertanding pada pilihan raya kecil kawasan DUN Usukan, Sabah dan berjaya memenangi kerusi itu atas tiket USNO.

Beliau juga merupakan bekas Senator dan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1999 sehingga tahun 2002 dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk pada tahun 2008.

Pandikar pernah menjadi Presiden Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR BERSATU), sebuah parti politik dari Sabah yang telah dibubarkan.




Pemimpin Umno di Sabah menyambut baik hasrat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk kembali bertanding menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.



Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin percaya berdasarkan pengalaman Pandikar, baik di peringkat kerajaan atau kawasan, pemimpin veteran Umno itu mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

Bung juga yakin 'kehadiran' Pandikar itu juga boleh menyemarakkan suasana positif bagi politik Sabah.

"Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja, termasuk Pandikar untuk aktif di dalam politik. Mungkin beliau merasakan boleh berkhidmat kepada rakyat dan negara. Jika itu yang difikirkan terbaik, pada saya, tidak menjadi masalah kepada mana-mana pihak.

"Seseorang individu itu mempunyai iltizam atau perancangan tersendiri untuk membangunkan masyarakat dan negerinya.

"Kita tidak boleh gambarkan sejauh mana impak yang berlaku di atas komitmen dan kenyataannya, namun pada saya, dengan pengalaman yang begitu lama, Pandikar boleh menjadi pemimpin yang baik," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.

Pandikar pada hari ini menyatakan kesediaanya untuk bertanding dalam PRU14 nanti, berdasarkan kepada pengalamannya selama sembilan tahun memimpin Dewan Rakyat.

Beliau bagaimanapun enggan memutuskan untuk bertanding sama ada di peringkat Dewan Undang Negeri (DUN) atau Parlimen, dan menyerahkan segalanya kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

Pandikar merupakan Presiden Pertubuhan Bugis Bersatu Sabah (USBO).

Beliau mula menyertai politik pada 1982 untuk bertanding di Parlimen Kota Belud, namun tewas.

Pada tahun yang sama juga beliau bertanding di Pilihan Raya Kecil DUN Usukan dan menang kerusi berkenaan atas tiket Usno.

Pandikar mula dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat ke-8 pada 2008 bagi menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib.