Showing posts with label pencerobohan di Lahad Datu. Show all posts
Showing posts with label pencerobohan di Lahad Datu. Show all posts

Friday, March 1, 2013



Dua komando polis Malaysia terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina hari ini.

Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.

Wartawan Bernama yang berada di kawasan Felda Sahabat 17 di perkampungan itu berkata mayat dua anggota keselamatan itu diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu.

"Sehingga kini tiada pengesahan polis, kami hanya melihat mayat dengan boot hijau diusung ke dalam trak tersebut," katanya yang terpaksa keluar dari kawasan Felda itu setelah diarahkan pihak berkuasa.

Pada 2 petang, beliau berkata pihak berkuasa mengarahkan wartawan keluar kerana khuatir keselamatan mereka berikutan insiden tembakan masih berlaku.

Setakat ini, tiada pihak berkuasa boleh mengesahkan identiti anggota yang maut.

Sementara itu, seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram - Azzimudie Kiram - yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.

Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.

"Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut," kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.

"Yang terbunuh termasuk seorang wanita."

Idjirani merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan serangan itu, dan berkata orang-orang Azzimudie hanya bersenjatakan bolos (parang) dan pisau dan hanya beberapa orang bersenjatakan senapang.

Beliau mendakwa bahawa komando polis Malaysia telah menggunakan penembak tepat ke atas pengikut Azzimudie.

Akhbar berbahasa Cina, China Press pula memetik sumber yang tidak disahkan di tempat kejadian, yang mendakwa dua penceroboh telah ditembak mati, manakala tiga anggota tentera Malaysia cedera.

Bagaimanapun, ABS-CBNnews melaporkan bahawa Duta Malaysia ke Filipina telah mengesahkan berlaku insiden menembak antara kedua-dua pihak tetapi tiada sebarang kematian.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) Raul Hernandez memberitahu agensi berita bahawa Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario baru sahaja berbincang dengan duta Malaysia, yang mengesahkan berlaku insiden menembak di Lahad Datu tetapi ia sudah dihentikan.

Beliau berkata Manila sedang memantau keadaan.

Sementara itu, Azzimudie memberitahu Radio dzMM Filipina bahawa kumpulannya tidak akan kembali ke Filipina kerana ia akan "memalukan" mereka dan kesultanan Sulu.

"Kita tidak boleh pulang ke Filipina kerana ia akan memalukan kita. Kami telah menegaskan niat kami datang ke sini," Azzimudie dipetik sebagai berkata.

Menurutnya, dia dan 275 pengikutnya mahu tinggal di Kampung Tanduo di Lahad Datu manakala kerajaan Filipina sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan isu itu.

"Mereka boleh meneruskan rundingan secara aman...," tambahnya.

Manakala Sultan Sulu Jamalul Kiram memberitahu Radio dzMM bahawa dia tidak akan memerintahkan pengikutnya untuk menyerah diri walaupun berlaku kejadian berbalas tembak, tetapi menegaskan pintu rundingan masih terbuka.

Menurut ANC Dateline Filipina, jurucakap Sultan Sulu Jamalul Kiram - Abraham Idjirani - kesultanan itu tidak akan membalas dendam terhadap kematian pengikutnya, dan menegaskan kumpulan itu mahu ia diselesaikan secara aman.

Idjirani berkata mereka akan membawa perkara itu ke perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan mungkin meminta Pertubuhan Persidangan Islam untuk campurtangan.

The Philippine Inquirer pula memetik Jamalul Kiram menafikan laporan bahawa adiknya, Azzimudie telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia.

Idjirani berkata, keluarga diraja itu masih dapat bercakap dengan Azzimudie, yang disebut sebagai Raja Muda.

"Kita bercakap dengan beliau. Beliau tidak cedera dan masih mengetuai perjuangan itu, " katanya.

Sekitar jam 3.25 petang tadi, Jabatan Luar Filipina berkata tiga orang mati dan 10 telah ditangkap dalam kejadian itu, lapor AFP.

Saturday, February 23, 2013



Saya masih ingat dengan jelas dalam minda saya tahun 1998 apabila Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan parti, beliau dicanangkan sebagai ajen AS. Video dan gambar Anwar yang dihampar dengan permaidani merah , bersalaman dengan menteri pertahanan AS diulang tayang berkali-kali sebagai pembuktikan bahawa Anwar adalah pembelot dan pengkhianat Negara, bersengkongkol dengan Negara asing yang kononnya mahu menguasai Malaysia dari aspek ekonomi dan politik. Anwar tidak diberikan ruang secukupnya untuk menjawab tuduhan yang berulang-ulang itu. Media memainkan isu ini sehingga Anwar ditangkap dan dipenjarakan. Begitu mudahnya Anwar dipermalukan, daripada yang pernah diangkat sebagai orang nombor dua dalam kerajaan kepada manusia yang paling hina dina di Malaysia. PROPAGANDA POLITIK.

Lewat dua minggu lepas, berlaku pencerobohan bersenjata segerombolan ‘tentera Sulu’ di Lahad Datu. Ada yang melaporkan kekuatan tentera itu mencecah 100 orang, walaupun ada media alternative yang menyangkal dan menyatakan keahlian mencecah 400 orang. Dalam insiden ini sekali lagi Anwar di kaitkan. Blog-blog pro BN/UMNO memutarkan berita bahawa Anwar telahpun sebelum itu mengadakan rundingan sulit dengan Nur Misuari di selatan Filipina yang membawa kononnya ‘kemasukan’ tentera bersenjata itu ke Sabah.

Lebih dua minggu dan sehingga artikel ini ditulis belum pun ada tanda-tanda ‘krisis’ sejarah kekuasaan kesultanan Sulu ke atas Sabah itu akan langsai dengan aman. Menteri dalam negeri Datuk Seri Hisyammuddin telahpun ‘melawat’ Lahad Datu. Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman juga mengikut jejak Hisyam. Meskipun begitu, krisis masih belum berakhir.

Semua sedia maklum dalam menjelangnya PRU 13 ini, isu atau krisis ‘tentera sulu’ di Lahad datu ini perlu ditangani dengan cukup berhati-hati. Walaupun rundingan telah selesai dan khabarnya ‘tindakan pengusiran’ akan dilakukan. Namun yang berlaku, sebaliknya, pertambahan bilangan tentera di Lahad Datu, dan sekatan jalan raya oleh pasukan keselamatan di pantai Timur beroperasi 24 jam.

Sama ada benar atau tidak , dalang adalah Anwar Ibrahim, kita perlu berlapang dada. Seharusnya satu siasatan rapi wajar dilakukan. Berikan masa dan peluang untuk ketua pembangkang ini membela diri. Jangan peristiwa 1998 berulang. Rakyat sudah tidak boleh disandiwarakan lagi. Cukup dan cukuplah.

Apa yang lebih penting dari tuduhan pembabitan Anwar Ibrahim dalam skandal tuntutan tentera sulu keatas Sabah ini tentunya menyentuh berkenaan dengan kerapuhan kawalan keselamatan perairan Negara. Mungkin agak tidak keterlaluan jika yang menceroboh perairan Negara itu dalam kapaisiti 10 hingga 20 orang barangkali tidak sangat menggemparkan rakyat Sabah. Namun jika 100 orang yang menaiki perahu pancung dengan kelengkapan senjata dan Berjaya mendarat di persisir pantai Negara, ia cukup membimbangkan kita. Begitu rapuhnya kawalan keselamatan perairan Negara sehingga sesukanya dibolosi. Begitu lemahnya bahagian risikan ketenteraan sehingga perkara ini ‘gagal’ dihidu lebih awal sebagai satu ancaman keselamatan Negara.

Seharusnya situasi ini tidak boleh berlaku kerana setiap tahun aspek keselamatan dan pertahanan Negara adalah antara yang mendapat peruntukan berbillion dari kerajaan. Pembelian Kapal Selam Secorpione yang ‘disemayamkan’ di teluk sepanggar, bukankah bertujuan untuk mengawasi perairan Negara? Bukankah TLDM begitu sensitive dengan rondaan bersama kapal-kapal perang yang canggih dan dalam keadaan siapsiaga yang tinggi?

Bagaimana tentera sulu ini boleh membolosi perairan Sabah? Jika benar ada dalangnya, maka tidak hanya Anwar yang terlibat tetapi pegawai-pegawai TLDM juga mungkin ‘bersahabat’ dengan Anwar. Bagi saya sekali lagi PROPAGANDA POLITIK di mainkan.

Marilah kita bersama menjaga keselamatan Negara tanpa adanya kepentingan politik kepartian dan individu. Keselamatan itu bukan hak kerajaan, bukan hak parti, bukan hak individu tetapi hak bersama yang perlu dipelihara dan dijaga.

Monday, February 18, 2013

LAPORAN DARI MANILA: Menurut AFP Pengikut Sultan Sulu yang menceroboh masuk ke Sabah minggu lalu tidak akan meninggalkan negeri itu kerana mendakwa kawasan tersebut merupakan wilayah nenek moyang mereka, kata Sultan berkenaan pada Ahad berhubung insiden yang berlaku.

Sultan Jamalul Kiram berkata kira-kira 400 pengikutnya termasuk 20 penembak – tetap bertegas untuk tinggal di tempat berkenaan walaupun mereka dikepung oleh pasukan keselamatan, serta desakan kerajaan Malaysia yang mahu kumpulan itu pulang ke Filipina.

"Mengapa kami harus meninggalkan rumah kami sendiri? Hakikatnya mereka (rakyat Malaysia) membayar sewa (kepada kami)

"Pengikut kami akan tinggal di Lahad Datu, Sabah. Tiada siapa akan dihantar pulang ke Filipina. Sabah ialah rumah kami,” katanya kepada pemberita di Manila.

Kesultanan Islam yang berpangkalan di Selatan Filipina pernah mentakluki Borneo dan menerima pampasan nominal tahunan dari Malaysia di bawah satu perjanjian lama kerana memiliki Sabah.

Kiram berkata beliau memutuskan untuk menghantar kumpulan pengikutnya ke Sabah selepas kesultanan itu dipinggirkan dalam satu rangka kerja perjanjian yang ditamatkan pada Oktober antara Manila dan kumpulan pemberontak Islam di selatan Filipina.

Perjanjian itu membuka jalan perdamaian di selatan Filipina yang merupakan rumah kepada kumpulan minoriti masyarakat Islam dan sebahagian besar orang Kristian.

Jurucakap Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani kemudian berkata adik kepada sultan, Raja Muda Abimuddin Kiram, yang mengetuai kumpulan ke Sabah telah menyatakan kepada beliau melalui telefon bahawa mereka akan tinggal di sana.

"Objektif untuk tinggal di Sabah adalah untuk selama-lamanya, dengan mengambilkira hak kedaulatan kami ke atas Sabah," katanya kepada AFP.

Idjirani berkata terdapat kira-kira 400 pengikut Kesultanan Sulu, termasuk 20 orang yang membawa senjata.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jumlah mereka yang bersenjata adalah 80 hingga 100 orang.

Idjirani berkata kumpulan berkenaan tidak akan bertindak ganas namun mereka akan menentang jika ada provokasi.

"Kami mengiktiraf keupayaan Malaysia. Kami tidak mempunyai senjata dan keupayaan namun kami mempunyai kebenaran sejarah," katanya sambil menambah bahawa kumpulan itu 'sanggup mati demi mempertahankan hak nenek moyang mereka'.

Idjirani berkata pembantu kanan Presiden Benigno Aquino telah menghubungi sultan dan mereka sedia menghantar surat kepada kerajaan Malaysia bagi pihaknya dalam urusan perundingan.