Sunday, September 27, 2015



Kelantangan Dr Salleh Tun Said mempertahankan kepimpinan DSN, mungkin banyak menimbulkan kecurigaan ramai pemerhati politik yang berkecenderungan kepada aliran neutralisme politik. Banyak tuduhan kononnya Dr Salleh melobi unutk mendekati Najib, dan ada juga yang cuba mempertahankan tindakan ADUN USUKAN dan KETUA UMNO KOTA BELUD itu, setelah ramai pemimpin kanan UMNO hanya mendiamkan diri. 

Seorang bekas wartawan Zabidi Hj Saidi menulis dalam blognya mengenai perkara ini.


Dr Salleh Said Keruak bukan nama baru dalam politik Malaysia. Saya mengenali beliau ketika bertugas di Sabah sebagai wakil akhbar Watan pada tahun 1989. Oleh kerana SRT adalah pengedar akhbar Watan di Sabah, maka saya tinggal selama sebulan di rumah menantu pengedar akhbar Watan di Petagas sementara mendapatkan rumah sewa.

Suatu pagi ketika minum pagi di Restoran Rahmat di bandaraya Kota Kinabalu saya mendapat pesanan dari menantu Datuk Rahmat bahawa Dr Salleh mahu menemui saya. Maka saya pun pergi ke pejabatnya yang terletak di deretan bangunan yang sama, tidak jauh dari restoran tersebut.

Itulah kali pertama saya mengenali anak muda yang bernama Salleh yang baru berusia 32 tahun. Beliau seorang yang educated dan knowledgable. Beliau aktif dalam persatuan belia SANYA dan menjadi Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Ayahandanya Said Keruak ketika itu adalah Yang Dipertuan Negeri Sabah dan pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan Presiden USNO. Sejak itu saya berkawan dengan Dr Salleh dan rupanya sudah 26 tahun kami berkawan.

Anak lelaki tunggal dari lima orang adik beradik, akhirnya Dr Salleh mengikut jejak langkah ayahandanya menyertai politik. Apabila Umno bertapak di Sabah pada tahun 1991, Dr Salleh menyertai Umno dan saya pernah meramalkan dalam akhbar Watan jika PM dipilih dari Sabah, mungkin Dr Salleh anak Sabah pertama menjadi PM.

Beliau orang yang kaya, tidak rasuah, banyak pengaruh dan pemurah menyebabkan beliau disenangi oleh banyak pihak. Tetapi nasibnya dalam politik kurang cemerlang. Selepas BN membentuk kerajaan pada 17 Mac 1994 di Sabah, beliau dilantik Menteri Kewangan dalam kabinet Sakaran Dandai.

Apabila Sakaran Dandai dilantik Yang Dipertuan Negeri Sabah, Dr Salleh menjadi Ketua Menteri BN yang kedua. Tapi tempohnya tidak lama kerana ketika itu BN mengamalkan penggiliran jawatan Ketua Menteri setiap dua tahun. Dr Salleh digantikan oleh Dr Yong Teck Lee tetapi beliau dikekalkan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Dahulu Dr Salleh menjadi ahli parlimen Kota Belud dan ADUN Usukan. Apabila Umno membuat ketetapan hanya satu jawatan sahaja mesti dipegang oleh mana-mana YB maka beliau pilih menjadi ahli parlimen Kota Belud pada PRU 2004.

Pada tahun 2008 beliau digugurkan sebagai calon parlimen dan digantikan oleh orang luar, Rahman Dahlan. Ketika menganggur inilah beliau mula menulis dalam blognya www.sskeruak.blogspot.com mulai Mei 2008. Selepas itu beliau dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri dan pada tahun 2013, beliau dipilih semula sebagai calon DUN Usukan. Beliau kekal menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah sehinggalah dilantik sebagai Senator dan Menteri Komunikasi dan Multi Media sejak akhir Julai lalu.

Sebagai orang yang setia dengan pemimpin, Dr Salleh seringkali dalam blognya mempertahankan PM, Najib Razak apabila diserang oleh Dr Mahathir Mohamad. Banyak kali beliau mempertahankan Najib, dan saya bergurau dengannya, satu hari nanti Datuk akan jadi menteri. Beliau kata Najib mana pandang padanya.

Dalam suasana Najib mahu menggugurkan Shafie Apdal sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Najib memerlukan seorang pengganti dari Sabah juga, maka Najib melihat Dr Salleh yang sesuai jadi menteri dari Sabah. Jadi siapa sangka Dr Salleh yang sudah berhenti jadi Ketua Menteri Sabah pada tahun 1996 akan kembali sebagai menteri pusat 19 tahun kemudian.

Dalam politik beliau lebih senior dari Shafie. Pada tahun 1995, Dr Salleh sudah jadi Ketua Menteri sedangkan pada tahun yang sama Shafie baru jadi setiausaha parlimen dalam kabinet Dr Mahathir. Shafie bertuah kerana mempunyai karier yang berterusan menyebabkan beliau merupakan pemimpin Sabah yang pertama memenangi jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2009.

Sebaliknya karier politik Dr Salleh terbantut selepas beliau berhenti jadi Ketua Menteri pada tahun 1996. Justru itu agak sukar bagi beliau mahu mengekalkan jawatan ahli majlis tertinggi Umno tanpa jawatan menteri.Sebab itu Shafie lebih ke depan dalam politik berbanding Dr Salleh. Sebaliknya

dalam USBO, Dr Salleh adalah Presiden USBO manakala Shafie adalah timbalannya tetapi dalam politik Shafie lebih mengatasi Dr Salleh.

Dengan terlantiknya Dr Salleh sebagai menteri pada Julai lalu, maka jawatan Naib Presiden Umno dari Sabah mungkin menjadi milik Dr Salleh pada tahun 2018. Pada pemilihan 2013,banyak bahagian di Sabah mendesak Dr Salleh bertanding Naib Presiden tetapi beliau mencadangkan supaya Musa Aman yang bertanding. Sebaliknya Musa tidak bertanding sebarang jawatan menyebabkan Shafie kekal sebagai Naib Presiden Umno bagi penggal kedua.

Dr Salleh tidak pernah melobi untuk menjadi menteri. Beliau pun tidak pernah mimpi bahawa beliau akan menjadi menteri pusat setelah 19 tahun meninggalkan jawatan Ketua Menteri Sabah. Oleh itu tuduhan blogger mengatakan Dr Salleh terus membodek Najib tidak timbul kerana Dr Salleh adalah seorang yang setia kepada ketua.

Lihat sahajalah di saat Najib diserang atas isu 1MDB, menteri kabinetnya tidak berani bersuara mempertahankan Najib sebaliknya Dr Salleh dari dahulu hingga sekarang tetap konsisten mempertahankan institusi Perdana Menteri. Beliau mempertahankan PM bukan kerana Najib tetapi mempertahankan PM kerana PM adalah Presiden Umno. Sesiapa sahaja yang jadi PM, beliau tetap akan patuh kerana PM adalah ketua kerajaan kita.

0 ulasan :