Showing posts with label isu borneosasi:DARD. Show all posts
Showing posts with label isu borneosasi:DARD. Show all posts

Saturday, February 11, 2012



Oleh; Ismai Mohd.Rosli

JAWATAN-JAWATAN teras yang penting di Jabatan Persekutuan di negeri Sabah telahpun dipegang oleh rakyat Sabah yang berkelayakan dan berpengalaman, kata Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan.

Menurutnya, tuduhan pihak pembangkang mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan tidak memperdulikan proses ’Isu Borneosasi‘ adalah satu perkara yang tidak benar.

Katanya, dakwaan pembangkang itu hanya untuk mengelirukan pemikiran rakyat yang bertujuan menanam rasa kebencian terhadap Kerajaan Persekutuaan semata-mata.

“Jawatan-jawatan yang paling teras, asas dan penting telahpun dipegang oleh rakyat Sabah yang berkelayakan serta berpengalaman antaranya seperti jawatan Pengarah di Jabatan Imigresen Sabah; Jabatan Pendaftaran Negeri Sabah; Jabatan Pendidikan Negeri Sabah; Jabatan Kesihatan Negeri Sabah; Universiti Malaysia Sabah (UMS); Jawatan Pegawai Kewangan Persekutuan (FFO); Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Sabah (JPNS).

“Begitu juga dengan jawatan di Petronas di wakili oleh orang Sabah, SESB dan jawatan Pengarah di Jabatan Koperasi dan Jabatan Kastam dalam masa yang terdekat ini turut akan dipegang oleh rakyat Sabah.”

Beliau menjelaskan demikian ketika berucap merasmikan majlis Ramah Mesra Ahli Parlimen Kota Belud dan ADUN Kadamaian serta pelancaran Persatuan Belia dan Sukan Kadamaian yang telah diadakan di Dewan Sorob Kg. Tambulion, Kota Belud baru-baru ini.

Terdahulu di majlis yang sama, Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah mengingatkan para belia di daerah ini agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tomahan pembangkang terutama yang dibaca menerusi laman internet.

Beliau berkata, golongan belia perlu meneliti kebenaran setiap tomahan pembangkang yang mereka baca menerusi pelbagai laman sosial dalam internet berfikir secara rasional dan bijaksana.

“Ledakan maklumat yang datang bertubi-tubi diterima melalui blog, facebook, twitter seharusnya tidak diterima dan ditelan bulat-bulat sebaliknya sebelum mempercayai sesuatu isu golongan belia perlu menganalisa kebenaran setiap maklumat yang diterima,” tambahnya.

Majlis tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Belia dan Sukan Kadamaian diserikan dengan pelbagai aktivit antaranya Pertandingan Futsal, Pertandingan Bola Tampar, Nyanyian Karaoke, cabutan tiket bertuah dan persembahan nyanyian dari penyayi tempatan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Wakil Rakyat DUN Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah; Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Kota Belud, Madli Nelson; Setiausaha Pemuda PBS Negeri Sabah, Melon Yaming yang juga Pengerusi Penganjur serta para pemimpin setempat yang lain.