Monday, September 14, 2009


“rakyat sekarang bukan lagi sekadar berbicara soal pembangunan semata-mata.rakyat berbicara mengenai pelbagai hal,daripada soal peluang pekerjaan, kos sara hidup dan hak-hak mereka sehinggalah kepada soal ketelusan dan kredibiliti pemimpin. Rakyat juga mahu melihat pengumuman dan janji-janji yang diwar-warkan itu, dilaksanakan dengan sempurna…”


Itulah antara petikan ucapan Datuk Salleh Tun Said (DSSK), Ketua bahagian UMNO kota Belud juga mantan KM Sabah, dalam persidangan UMNO bahagian itu 1 Ogos yang lalu. Menggambarkan bahawa pemimpin seperti DSSK telah tahu dan sesungguhnya percaya bahawa rakyat sudah semakin matang akan minda dan pemikiran mereka dalam membuat sebarang pertimbangan politik dan dalam soal bersangkut dengan akauntibiliti dan kredibiliti seorang pemimpin. Citra Perjuangan inilah yang antara lain terkandung dalam piagam seorang pemimpin. Namun tidak pasti sama ada citra itu hanya tersurat atas kertas atau sebaliknya kerana apabila saya secara ikhlas dan jujurnya mengetengahkan apa yang saya katakan sebagai “kegagalan” pemimpin di Kota Belud..bermacam-macam anggapan yang diberikan..melabelkan saya sebagai penulisan upahan golongan tertentu..


Sedangkan atas nama bahawa kita sebagai rakyat sentiasa memerhatikan gelagat dan pencapaian pemimpin kita di daerah ini, justeru saya membuka pemikiran bersama menyelami citra perjuangan pemimpin kita. Ketika saya katakan dalam beberapa penulisan sebelum ini yang menyifatkan bahawa DSSK dan TSP ‘gagal’ membangunkan kawasan yang pernah mereka wakili iaitu USUKAN dan TEMPASUK, maka ada pihak yang mempertikaikan dengan memberi alasan dengan membandingkan pembangunan di tempat lain, hingga KUBANG PASU yang menjadi tempat mantan PM, juga dicanang kononnya tidak setanding dengan tempat lain yang lebih membangun di Selangor. Sedangkan konteks keperluan tidak diperjelaskan. Ertinya keperluan masyarakat di Kubang pasu tidak sama dengan apa yang diperlukan oleh masayarakat di USUKAN dan TEMPASUK. Bahawa pembangunan fizikal yang amat mendesak ialah keperluan asas kehidupan berupa bekalan air bersih, jalanraya, juga bekalan elektrik. Hanya dengan melihat satu aspek Bekalan air bersih di daerah KB, kita bisa melihat ‘kegagalan’ pemimpin sehingga masyarakat menghadapi kerumitan dalam hidup. Maka nya, bila ada rakyat yang mengkritik dan menegur..seharusnya dipandang dengan lebih adil dan saksama. Sebagaimana yang dikatakan oleh DSSK dalam ucapannya itu..

“ Ahli kita kini sudah matang dan dewasa, lantang bersuara dan berani mengkritik. Mereka mengintai setiap perilaku, tindak tanduk dan pergerakan pemimpin mereka. Jika tidak disenangi, mereka meluahkannya tanpa segan. Mereka menggunakan pelbagai wadah dan saluran media, termasuk internet, untuk menyampaikan pandangan mereka..”


Mengambil kira kepada kesediaan pemimpin inilah , maka saya menyuarakan apa yang sepatutnya diambil perhatian…Suatu ketika apabila TSP mengutarakan gagasan penyatuan rumpun sebangsa dalam beberapa siri ulasan yang dibuat oleh pemimpin berpengalaman ini dalam penulisan saya….saya, juga turut memberikan pandangan akan natijah dan kesan kepada politik daerah KB dan Sabah jika gagasan ini disedari dan dijadikan sebagai klimaks politik mereka. Pandangan saya melihat kepada kesan keseluruhan terutama dalam proses pembentukan Negara bangsa. Juga saya turut memberikan cadangan bahawa apa yang penting kepada seseorang pemimpin ialah KEPERIBADIAN dan IDELISME sehingga mampu dibaca dan di ikuti oleh generasi baru dan lama. Maka ada pandangan serong yang turut mengatakan bahawa saya hanya mencari kesalahan dan kesilapan DSSK dan TSP, sedangkan DARD juga tidak terkecuali..dari pemerhatian saya….Kes orang kanannya ‘mengamuk’ gara-gara parking lot turut menerima post istimewa daripada saya…”SPEKULASI DI USUKAN’ juga membawa permasalahan politik yang ditinggalkan oleh YB JAPLIN..manakala YB Haji MUSBAH juga saya pertikaikan mengenai kelancaran Projek Jelapang Padi yang dirancang.


Dan di sepanjang saya melakarkan pelbagai bentuk penulisan , antara harapan terbesar saya ialah supaya apa yang saya paparkan dapat dibaca oleh para pemimpin di daerah KB..dengan satu niat suci…menegur kepimpinan mereka atas apa yang dikatakan sebagai “kegagalan” dalam tempoh kepimpinan mereka. Mengharapkan supaya diketahui dan diusahakan memperbaiki kesilapan itu. Justeru dalam semua penulisan saya..tidak pernah saya melemparkan tohmahan dari sudut peribadi..kerana yang menjadi focus kepada saya ialah PERANAN mereka sebagai pemimpin…sama ada anggapan atau fakta penulisan saya itu tersasar..maka ia hanyalah pandangan peribadi saya sebagai seorang anak watan Kota Belud yang berhak memberikan pandangan.


Justeru dalam penulisan saya kali ini..merakamkan kekaguman yang amat sangat kepada TAN SRI PANDIKAR AMIN yang hati kecil saya melabelkan Beliau sebagai Pemimpin yang cukup terbuka..kerana memperjelaskan beberapa isu sebenar…Keterbukaan ini membuatkan saya percaya bahawa inilah antara resepi utama pemimpin ini sehingga melakarkan kejayaan gemilang dalam kerjayanya sebagai ahli politik yang disegani. Begitu juga pemimpin muda YB DARD turut mengambil beberapa tindakan, sehingga sanggup memohon maaf secara terbuka atas kesilapan yang dilakukan oleh orang kanannya itu. Saya turut mengkagumi keperibadian beliau. Terkecuali DSSK yang belum memberikan response secara lebih terbuka..tetapi saya berkeyakinan bahawa isu yang saya paparkan sudah sampai kepengetahuannya. Bagi YB MUSBAH dan YB JAPLIN..kita masih meragui sama ada mereka menyertai kita dalam beberapa siri perbincangan cyber ini.


Apa-apa pun sebagai rakyat biasa dan tentunya manusia biasa jua, saya mungkin tidak terlepas dengan kesilapan dan kesalahan dalam fakta sebenar ketika dalam penulisan. Maka saya dengan rendah diri MEMOHON MAAF SECARA TERBUKA kepada para pemimpin ini terutama yang amat di sayangi TAN SRI PANDIKAR AMIN, Dan DATUK SALLEH SAID KERUAK jika “hak’ sekecil ini yang saya gunakan memberikan kesan peribadi kepada mereka. Saya hanyalah warga kota Belud yang jauh dari apa yang disangkakan, tidak ada agenda mahupun kepentingan, apatah lagi menjadi upahan kepada golongan tertentu. Mohon maaf juga kepada para rakan blogger yang lain atas sebarang kesilapan selama bersama KELAPA MAWAR memikirkan bersama isu-isu yang diketengahkan.Terima kasih atas pandangan kalian semua.Dan atas pertimbangan inilah, saya mengambil keputusan untuk mengakhiri Citra perjuangan penulisan ini.

16 ulasan :

Tudung Duang said...

Kalau benar apa yang dikata...apa kan daya! Biarlah saya orang pertama dalam ruangan KM ini mengucapkan TERIMA KASIH atas segala isu yang dipaparkan...Biarpun 'obses' tapi saya akan merindui tulisan-tulisan oleh KM..

Percayalah... Bukan mudah menjadi seorang pemimpin! Kita cuma boleh melihat, menegur, mengkritik, mempersoal, mempertikai,kita juga boleh menghentam, melanyak sesedap hati...sepuas perasaan ..sesuka badan..namun...

hakikatnya...DSSK,TSP,DMJ,DARD,DJA..lebih mengetahui...

"Tangan mereka diberi melenggang, kakinya diberi melangkah, lidahnya diberi berkata, supaya melenggang tidak terpepas, supaya melangkah tidak terdedat, supaya bercakap tidak terpekap"...

Kepercayaan jangan disia-siakan, kekuasaan jangan disalahgunakan, kebebasan jangan berlandaskan angan..teguran dan kritikan hatta hinaan dan cacian harus di asamgaramkan...

Pemimpin KB bukannya 'maksum'...bukannya malaikat..cuma manusia biasa yang diberikan pangkat dan kedudukan...mereka tetap "bumi yang ditimpa hujan"..juga "laut yang sering bergelora"! Justeru...

TERIMALAH MEREKA SEADANYA...
Kesalahan dan kelemahan mustahil tiada..
Hanya jujur dan ikhlas sajalah yang berjaya di mata Tuhan dan manusia..

Ikhlas dari TudungDuang.

SUARA RAKYAT said...

salam, sebelum menutup kata.. kita tak kenal siapa kelapa mawar. Benarkah sosok tubuhnya wujud atau jelamaan sesiapa. Saya sangat senang hati jika individu yang bersinonim kelapa mawar, dapat berbicara dikhalayak. Tapi saya faham maksud berselidung.. agar bebas meluahkan apa yang berbuku.

Watababai said...

Salam Kak KM..

Saya amat terkejut dgn keputusan Sdri KM ini..kerana saya baru sahaja mengikuti pemikiran dan idea KM yang bagi saya..dalam banyak hal membuka tempurung yg selama ini gelap gelita..

keputusan sdr SMA barangkali mendorong kepada keputusan sdr KM ini ( mungkin)..tapi secara ikhlasnya saya merasa kehilangan idea ini..

sedih, pilu dan banyak lagi persoalan yg membelanggu minda saya ketika terbaca penulisan sdri KMyg terakhir ini..dan seperti yg dikatakan oleh Abang Musram..alangkah indahnya jika KM dpt berbicara di khalayak ramai..kerana idea KM nyata 'beraura"

apa-apa pun sebagai blogger yg baru menyertai perbincangan ini..saya mohon izin agar dapat copy penulisan sdri KM sebagai santapan minda seadanya.

Saya mendoakan sdri KM sentiasa sihat dan diberikan kekuatan meneruskan kehidupan ini. Salam sayang dari saya..

Watababai..

Unknown said...

Salam Kelapa Mawar,

Kita tidak boleh putus asa dari setiap apa yang kita lakukan, saya merasa teruja apabila saudari memberitahu bahawa ini adalah penulisan yang terakhir buat saudari. Namun saya secara peribadi merakamkan tahniah kepada suadari atas apa yang saudari paparkan selama ini. Memanglah dalam setiap isu yang saudari paparkan ramai yang tidak sependapat dengan saudari, tetapi tidak kurang juga yang menyokong tindakan saudara memaparkan kelemahan-kelemahan pemimpin di Kota Belud.

Pada saya tindakan saudari ini tepat pada masanya dilakukan kerana sepanjang artekil yang saudara paparkan sentiasa mendapat perhatian dikalangan blogger KB, dari isu kelemahan semua pemimpin kepada isu orang kanan pemimpin. Apa pun antara isu yang saudara paparkan, isu yang menarik perhatian saya ialah Si Aslie yang mengamuk tidak tentu pasal. Saya dan saudara Abu sependapat menyokong tindakan saudari mempaparkan isu tersebut. Sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepada kita supaya sentiasa menjaga keperibadian sepanjang masa. Sebagai pemimpin seharusnya menjadi pemimpin dan bukannya menjadi samseng seperti saudara Aslie.

Apapun juga saya mengucapkan tahniah Datuk DARD kerana sanggup memohon maaf bagi pihak orang kanannya (ASLIE). Sikap yang yang ditunjukkan oleh Datuk DARD ini mengambarkan keperibadiannya yang mulia dan layak menjadi pemimpin kerana sanggup mendengar rintihan rakyatnya dan paling penting sekali sanggup menerima teguran dari orang bawahan. Bukan macam yang lain tu, bila dipaparkan kelemahannya sikit bukan main melenting lagi.

Tahniah Saudari Kelapa Mawar!

mambangtiora said...

Salambuat kelapa mawar..

jangan begitu kelapa mawar..penulisan mu sentiasa saya ikuti cuma pada ketika itu saya belum bersedia jadi blogger jadi saya tidak memberikan komen cuma sebagai pembaca. sekarang setelah jadi blogger hilang pula kelapa mawar dari persada politik kota belud,hilanglah seri politik kota belud dengan pandangan bernas saudara.kami akan sentiasa merindui penulisan saudara..secara peribadi saya meminati penulisan saudara yang bernas walaupun mungkin bukan semua tetapi sebagai insan yang dianugerahkan akal fikiran kita boleh membezakan mana yang betul dan mana yang salah. dan mana-mana individu yang terkena itu..panadai-pandailah menjawab kalau tidak benar apa yang kita takutkan.saya setuju dengan kelapa mawar walaupun TSP, DSSK, teruk kena hentam mereka masih membela diri, lagipun apa yang ditakutkan kalau tidak salah..inilah warlord yang kita mahu kerana berjiwa kental.sekurang-kurangnya mereka dapat muhasabah diri ,betulkah tindakan yang mereka ambil apabila dipersoalkan oleh blogger dengan pandangan yang bernas..akhir sekali ..salam buat kelapa mawar.. fikirkanlah semula keputusan saudara ini..

palingberani said...

Salam ziarah KM..

Kenapa sdri KM ambil langkah berhenti...sedangkan penulisan sdri amat dinantikan oleh kebanyakkan blogger KB..

Saya sendiri..terpaut dgn cara penulisan dri KM dan mula mengikuti perkembangan blog sdri ini...idea-idea yg dilontarkan membuatkan saya berfikir akan rasionalnya. Sesekali menjadi forum antara para blogger...

Saya juga mula melihat apa yg sdri KM katakan terutama yg melibatkan pencapaian masyarakat kita di KB..Iranun, Bajau atau dusun, masih memerlukan pembelaan..

Saya tidak setuju dgn keputusan sdri KM ini..mohon dikaji semula...demi kita di KB ini.

BELUM PENDEKAR said...

Salam KM,

1. Pada saya, memang bukan menjadi satu kesalahan bagi sesiapa pun untuk mengkritik mana-mana "pemimpin" . Namun demikian, KM perlu sedar bahawa "cara" atau "kaedah" mengkritik itu perlu kena pada tempatnya. Andai kita ikhlas untuk menegur dengan niat agar pemimpin kita memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada, maka buatlah dengan kaedah yang tertib dan bersantun agar teguran tersebut tidak menjadi teguran yang membawa rebah.

2. Bagi saya yang Belum Pendekar ini, apabila sampai ke peringkat kita mengatakan bahawa seseorang pemimpin itu tidak memberi ruang dan memancung pemimpin muda, menyimpan kedudukan untuk diberi kepada anak mereka dan sebaginya; itu sudah agak keterlaluan. Saya yakin, bukan itu cara menegur dengan niat untuk membetulkan kelemahan pemimpin. Saya juga percaya bahawa apabila DSSK mengatakan bahawa rakyat sekarang telah tahu mengkritik ,maka kritikan yang dimaksudkan tersebut bukan sebegitu gaya rupanya. Ingatlah KM, Bangsa kita penuh dengan adat resam dan kita telah dididik dengan adat resam tersebut sejak kecil. Jadi, sebagai individu yang telah terbuka pemikirannya serta terpelajar, kita sepatutnya lebih tahu bagaimana menggunakan budi bahasa dan adat resam ini sesuai dengan keadaannya. Janganlah kerana kita merasa bahawa kononnya kita telah moden, maka kita boleh menegur atau mengkritik dengan cara orang barat. Main hentam sesuka hati. Ini adalah kerana jika kita mengkritik dengan cara yang tidak santun, kita juga harus bersedia untuk dikritik dalam nada yang sama malah mungkin lebih keras dan sakit lagi.

3. Pada hemat saya yang tidak berapa berpengetahuan dalam politik ini, sekiranya kita sama-sama ikhlas ingin melihat bangsa kita maju sepertimana bangsa-bangsa yang lain di Negara ini, kaedah yang paling baik ialah dengan menyatukan pemikiran semua golongan terpelajar dari KB (tanpa mengira suku bangsanya) untuk mencari kaedah dan jalan terbaik agar satu "gagasan khusus" untuk masyarakat daerah KB dapat dibentuk dan dikemukakan kepada kerajaan. Masalahnya, kita terlalu mengharap kepada wakil rakyat dan pemimpin untuk melakukan semua perkara untuk kita. Walhal kita ada pemimpin peringkat kampung dan sebaginya. Sebagai pemimpin peringkat akar umbi, mereka lah yang wajar menjadi mata telinga kepada wakil rakyat. Kalau memang benar ada kesulitan tertentu yang pemimpin terlepas pandang, pemimpin peringkat kampung perlulah mengambil insiatif untuk memaklumkannya agar dapat diselesaikan. Saya melihat bahawa kesepakatan kita amat perlu kita perteguhkan kerana “sebaik-baik lidi ialah apabila ia menjadi penyapu - ia tidak akan mudah patah dan berguna kepada masyarakat”

bersambung...

BELUM PENDEKAR said...

Sambungan..
4. Saya menyebutkan mengenai penyatuan pemikiran “semua” golongan terpelajar daerah tanpa mengira suku bangsa sebentar tadi kerana saya percaya bahawa cabaran kita yang sebenarnya bukanlah persaingan antara suku Irranun dengan suku bajau atau dengan suku dusun dan sebagainya yang terbatas di KB sahaja. Cabaran kita yang sebenar ialah bagaimana kita sebagai “masyarakat KB” mampu bersaing dengan masyarakat dari daerah lain, negeri lain dan sebaginya. Ini amat penting kerana, tidak guna suku Irranun atau Bajau atau Dusun menang dalam persaingan antara kita di KB tetapi hakikatnya masyarakat KB masih jauh ketinggalan berbanding masyarakat daerah lain. Justeru, seperti saya katakan tadi, kita perlu bersatu dan menyokong pemimpin sedia ada dengan sepenuh hati agar kita menjadi kuat dan suara kita akan menjadi lebih kedengaran.

5. Saya secara ikhlas mengatakan bahawa memang benar, pemimpin kita ada "kelemahan" di sana-sini. Tapi, janganlah jadikan kelemahan ini sebagai sebab untuk menutupi kelebihan yang ada. Ibarat lumba lari marathon KM, ahli politik peringkat negeri yang ada sekarang ini telah lari beribu batu jauhnya, dan antaranya yang ada dalam kumpulan yang sedang berlumba lari ini adalah pemimpin yang mewakili daerah kita, DSSK dan TSP. Masalahnya, pemimpin lain sekarang ini sebenarnya sedang mempunyai ketakutan yang amat besar kalau-kalau DSSK dan TSP mendahului perlumbaan tersebut walhal kedua-dua wakil kita ini berlari untuk bangsanya. Justeru itu, berbagai cara digunakan oleh pelumba yang sekarng ini berlari di depan agar mereka ini terkeluar dari perlumbaan. Almaklum saja, DSSK dan TSP ni punya stamina yang tinggi dan sedang mengikuti rapat. Silap-silap haribulan akan memotong pelari yang di depan tersebut apabila beliau sudah tidak lagi bermaya. Oleh itu, berbagai dakyah dilancarkan secara halus agar mereka tidak mendapat sokongan malah ditentang masyarakat sendiri. Mereka mahu, orang KB membentes kaki wakil mereka sendiri agar tiada lagi pesaing yang menguggat mereka. Saya melihat, ada orang kita yang telah termakan racun berbisa ini. Mereka sanggup menderhaka kepada masyarakat KB demi kepentingan peribadi. Mengandaikan bahawa orang KB telah membentes DSSK dan TSP lalu mereka berdua tersungkur jatuh dan tidak mampu meneruskan perlumbaan lagi buat seketika; orang KB diharap akan mencari "pelumba" baru. Dan, sebagai pelumba baru perlulah pulak bermula dari garis permulaan. Kalau ini keadaannya, sampai bilapun pelumba KB tidak akan dapat mengejar pelumba yang ada dihadapan tadi kerana mereka telah lama jauh kehadapan. Akhirnya, orang KB akan terus berada di belakang .

bersambung..

BELUM PENDEKAR said...

sambungan..

6. Ingatlah juga wahai KM, bahawa umpama permainan bolasepak, walaupun penyerang menjaringkan gol tetapi kalau "pasukan" tersebut kalah, tidak ada gunanya. Kita juga perlu sedar bahawa semua pemain di dalam pasukan bolasepak itu mempunyai tanggungjawab dan peranan untuk mempastikan bahawa pasukan tidak kalah. Jangan letakkan tanggungjawab tersebut kepad ketua pasukan sahaja. Justeru tindakan secara bersama dan kolektif adalah amat diperlukan. Andai ada pemain di dalam pasukan ini yang membentes kaki kawan sendiri, maka akan mudahlah bagi pasukan lawan untuk memperkotak-katik kan pasukan kita. Dalam hal ini, kita semua adalah pemain pasukan bola sepak tersebut.

7. Sejujurnya, saya ingin mengatakan bahawa atas prinsip berjuang secara bersama demi masyarakat KB inilah maka saya mempertahankan DSSK dan TSP. Jangan kita fikir bahawa apabila kita tidak mahu DSSK dan TSP maka mereka akan hilang begitu sahaja. Percayalah, dengan kemahiran dan kebijaksanaan yang mereka ada, mereka boleh survive. Bila-bila masa, jika TSP mahu misalnya, beliau boleh menjadi Duta Negara kita ke mana-mana Negara luar kerana PM tidak akan membiarkan ketokohan beliau dibazirkan begitu sahaja. . Cuma, kalau ini terjadi, yang bernasib malang adalah masyarakat KB sendiri, punya pemimpin yang bijaksana tetapi tidak dihargai dan tidak diberi sokongan. Sanggupkah kita melihat dan mendengar masyarakat KB menjadi bahan ketawa orang daerah lain atau dalam konteks yang lebih luas menjadi bahan ketawa orang negeri lain. Seperti KM, saya juga adalah anak jati KB dan semangat, jiwa serta keinginan saya untuk melihat masyarakat KB menjadi contoh kepada masyarakat daerah lain memang tidak pernah padam sampai sekarang. Justeru, saya berjuang dan berbakti dengan cara saya kerana saya percaya, di manapun kita berada kita tetap boleh berbakti kepada bangsa dan masyarakat andai kita ikhlas dengannya. Tidak perlu menunggu sehingga kita menjadi wakil rakyat atau Ketua Bahagian atau yang sewaktu dengannya.

8. Seruan saya, sayangilah daerah dan masyarakat kita dan buatlah sesuatu untuk meningkatkan martabatnya. Paling tidak, "kalau tidak mahu membantu, jangan menyusahkan" terutama orang-orang yang sedang berusaha ke arah itu. Ingatlah bahawa persengketaan anatara kita tidak akan membawa apa-apa. Hanya orang berkepentingan yang akan mendapat faedah daripadanya dan kita pula "Kalah jadi abu, menang jadi arang" .

Wassalam.

SMA said...

Sdr/i Kelapa Mawar,

Nasib pemimpin, penulis, pengkritik dan mereka yang 'sepentas' dengan mereka adalah seperti nasib nelayan, nasib saya. Pabila kelaut mencari nafkah sentiasa dipukul ombak dan ditiup angin yang kadang-kadang tidak tentu arahnya.

Atas sebab itulah saya berpegang pada satu prinsip, 'mesra alam'. Kalaupun saya memukat, saya memukat dengan cara dan kaedah 'mesra alam'. Dengan cara begitu, saya tidak menggangu 'hidupan' lain di dasar laut, yang mungkin kalau saya menggangu mereka akan menjadi masalah pada diri saya dan nelayan-nelayan yang lain seperti saya.

Sebagai contoh, kalau saya menangkap ikan dengan menggunakan bahan letupan (bom), mungkin saya akan dapat ikan yang banyak didalam masa yang singkat. Akan tetapi saya juga tahu bahawa cara itu akan menjejaskan kehidupan saya, anak-anak saya dan nelayan-nelayan lain seperti saya dihari muka.

Walaupun mempunyai pelbagai pancarobah, saya akan meneruskan hidup saya sebagai nelayan juga, sebab tanpa saya, rakyat lain yang hidup di darat tidak akan ada lauk-pauk mereka.

Atas sebab yang sama, saya sarankan Kelapa Mawar untuk meneruskan tulisan anda dengan cara dan kaedah 'mesra alam' seperti cara saya.

Halamanmu menjadi popular sebab paparan mu yang mengamit ramai minat sehingga TSP sendiri, pemimpin bertaraf pemimpin negara hinggap disana dan saya percaya walaupun tidak meberikan komen, sekali sekala mungkin menjengok juga. Dan kalau TSP ada menjengok, saya guarantee DSSK juga tetap ada menjengok sama.

Atas sebab itu bakat mu sebagai 'pengacara isu' politik boleh diterima, cuma mungkin perlu untuk diperhalusi supaya 'mesra semua'.

Teruskan tulisan sdr/i mengenai dengan isu politik semasa, jangan kecewakan taman-taman lain seperti PalingBerani, Tudung Duang, Mambangtiora, Nayawa bin Badan, Watababai, Datu Pidtailan, Abu, Si Rengit, Belum Pendekar dan lain-lain.

Saya sendiri, walaupun sibuk menyarah hidup sebagi nelayan, sekali sekala akan singgah juga.

Saya juga memohon maaf kalau ada komen-komen saya yang menyinggong perasaan Kelapa Mawar dan Bloggers yang lain di Kota Belud.

Salam Siber,

SMA

ROJOKOBOG said...

Salam semua,
Mohon maaf atas segala ketelanjuran kata sepanjang membuat komen di blog yang panas, sejuk, suam2 ini...maaf KM sejak akhir2 ini tak dap buat komen , seminar di KL agak bz, apa pun tqvm.

Unknown said...

sejak ramadhan ini jarang-jarang saya layari blog, namu setiap kali saya buka, blog Kelapa Mawar adalah yang pertama saya layari, walau satu ketika dulu saya pernah juga 'menyisih diri' seketika. Namun setiap kali ada saja isu menarik yg dipaparkan.

walau isu nampak ringan, tetapi penulisan KM yg provokatif mengundang komen-komen yang menarik dan kita dapat feedback dari umum.

saya doakan kejayaan kepada KM. tetapi penulis tidak akan berhenti menulis selagi ada ilham. kekalkan imej KM. mungkin barangkali KM tidak menulis tentang KB mungkin KM akan meneroka isu-isu lain. apa pun saya sentiasa berdoa KM sentiasa beroleh kejayaan dan kebahagiaan dari Allah.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin dari Musli Oli, Masturah Jamrah, Gaddafi Musli, Radzi, Mohanna, Melissa, Maisarah dan Muhd Adam Musli...

Unknown said...

saya sebenarnya amat hargai isu-isu politik KB ini dibaca dan diketahui umum terutama orang KB. isu terbaru ialah kisah SSK yang sudah lupa 'orang lama' kawan-kawan yang mendampingi beliau ketika tiada kuasa.

saya terima sms tengah malam dari seorang penyokong kuat ssk, 'SSK sekarang asyik dengan Serin, Jinuin, Naumul dan orang-orang yang menyokong Musbah dalam pemilihan UMNO lalu, kita tidak lagi dilayan. sms pun tidak jawab'

luahan perasaan seperti ini ada kalanya perlu diberi perhatian. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran sms itu. tapi inilah lumrah politik. yang sudah confirm dalam 'kandang' jarang diberi perhatian.

ada pula beberapa org yang rapat dilaga-lagakan.Untuk apa? pengalaman saya sendiri akan saya paparkan. sejarahnya panjang dan menarik. sebab itu saya rayu KM janganlah berhenti menulis tentang politik KB.

Unknown said...

baru-baru ini saya beritahu kisah seorang pekerja SSK yang setiap hari dan malam bermain 'judi cyber'. saya sms SSK dengan niat baik utk nasihat pekerja itu.

Saya jaga imej SSK sebagai pemimpin kerana kebetulan pekerja SSK ini setiap hari di rumah dan pejabat beliau. jika ada serbuan polis dan ditangkap pekerja ini, pasti akan dikaitkan dgn SSK.

namun apa yg berlaku, saya pula jadi 'musuh' kepada pekerja yang kebetulan saudara sepupu saya ini. sms saya antar kepada ssk ditunjukkan kepada pekerja ini seolah-olah saya yang fitnah dan dengki. walhal sayalah yang mencadangkan nama saudara saya ini bekerja dengan SSK.

sekarang kami tidak lagi bertegur sapa dan saya tidak pernah lagi berkunjung ke rumah dan berjumpa dengan SSK. Inilah politik KB. hal remeh tapi kesannya berat dan mengguris hati kita..saya selalu berfikir melihat bigger picture tetapi hal kecil begini pun kita jadi mangsa, apa lagi hal besar?

kelapa mawar said...

salam kembali..

Sdr tudund Duang,
Mrakunman,
Watababai,
Datu Paidtalian,
Belum pendekar,
Somprot mesra Alam (sma)
Mambangtiora
palingberani
rOJOKOBOG
Musli..


Ma kasih atas pandangan sdr/i sekalian..saya amat-amat menghargainya. Semoga kalian sukses dan terus berjuang demi kemakmuran masyarakat kita di Kb ini...

Insyallah, selagi KELAPA MAWAR diperlukan, selagi itu kita kan berada dalam medan perjuangan ini. Mohon maaf sekali lagi..dan SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN.

BELUM PENDEKAR said...

Saudara Musli,
Saya suka cara saudara menegur. Walaupun perkara ini bersifat terus terang tetapi disampaikan dengan penuh kesantunan. Saya harap DSSK atau orang yang beliau percayai dapat mengambil perhatian kerana pada saya pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mendengar/mengambil teguran yang ikhlas daripada penyokong dibawahnya. Percayalah, kami bukannya sokong yang membawa rebah dan kami juga tidak menyokong membabibuta. Sokongan kami adalah atas fakta dan kepercayaan bahawa kita sama-sama ikhlas berjuang untuk kepentingan masyarakat KB. Jika ada bukti yang jelas bahawa sokongan kami tidak diperlukan lagi maka kamilah orang pertama yang akan melepaskan "penyokong" yang berada dalam kandang tersebut walaupun dengan terpaksa.

Saya percaya bahawa sebagai penulis berpengalaman yang menjaga kredibalitinya, saudara Musli tidak akan sanggup mencemarkan nama baik pemimpin sendiri. DSSK, dengar-dengarlah...

Salam.